Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Dalam pengajian antropologi, warna sangat berkait dengan perlambangan mitos tertentu. Apakah itu mitos? Mitos dalam disiplin antropologi adalah ‘kata-kata’ yakni apa sahaja yang dikatakan. Dalam peradaban Yunani, mitos ini berkait dan berhubung rapat dengan ketuhanan - kebenaran dan termateri bersama sistem kepercayaan. Justeru mitos itu selalu dianggap kebenaran. Maka mitos daulat atau derhaka misalnya berkembang dalam benak orang Melayu dan jarang dipertikaikan, apatah lagi tiada usaha perombakan.

Mitos dalam sastera tradisional Melayu dapat ditemukan misalnya pada salasilah raja-raja, pembukaan negeri dan mitos pengislaman penguasa. Mitos ini dipantakkan dalam fikiran rakyat supaya mereka patuh dan menerima sistem kepercayaan itu.

Maksudnya, mitos itu dibiarkan menular sampai diimani. Mitos dalam erti kata lain adalah alat atau senjata untuk mempertahankan kuasa, atau melindungi kaum tertentu.

Justeru mitos mengenai warna juga adalah satu aspek yang boleh menjolok rasa.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, warna ini amat sensitif dan boleh melanggar kepekaan tertentu. Orang Melayu dibenarkan menggunakan apa sahaja warna yang banyak di luar sana. Malah warna menurut sudut pandang bangsa Melayu sangat terperinci dan kaya.

Sebagai contoh Hang Tuah (seperti terlihat dalam Hikayat Hang Tuah) disebut menggunakan gandingan ‘berkain kesumba murup diantelas, bertepi benirat, berikat pinggang cindai natar kuning, berbaju hijau digangsa, berdestar warna pelangi’.

Kain 'kesumba murup diantelas' pada panglima Melayu ini ialah kesumba yakni penghuraian kepada warna merah tua.

Punyalah banyak warna merah menurut orang Melayu, terdapat 26 pecahan jenis merah iaitu: merah tua, merah muda, merah darah, merah darah ikan, merah hati, merah kesumba, kesumba muruk, merah jambu atau merah bunga, pulut-pulut, merah lebam, merah malar, merah muruk, merah merang, merah marah, merah menjahang, merah menyala, merah padam, merah dadu, merah lembayung, merah pulasan, merah bunga raya, merah bunga cempaka, merah Melayu, merah telur, merah mawar atau kembang petang dan mengseta atau turut dikenali sebagai merah manggis.

Warna ungu pula dikelaskan kepada empat jenis iaitu ungu biji kundang, ungu butir setar, ungu lembayung dan ungu manis. Warna hijau yang dianggap warna utama rakyat Melayu dijeniskan kepada sepuluh bangsa hijau iaitu; hijau tua, hijau muda, hijau daun, hijau serindit, hijau pucuk pisang, hijau cekur manis, hijau terusi, hijau kepala itik, hijau laut, dan hijau batu zamrud.

Apabila hijau dan biru dipisahkan dan diperhalusi, terdapat 11 pecahan biru yang dikenal oleh orang Melayu iaitu; biru raja, biru air laut, biru langit, biru nilam, biru nilakandi, biru manis, biru laut, biru lebam, biru muda, biru senin dan biru senam.

Warna-warna ketika pandemik

Dalam masa sama, terdapat tiga jenis kelabu iaitu kelabu asap, kelabu tahi anjing, dan kelabu asap api.

Justeru, semua warna di atas adalah hak untuk rakyat kecuali tiga warna jangan sama sekali disentuh atau ‘dibuat main’. Warna-warna itu adalah kuning, putih dan hitam. Pun, inilah juga warna yang sering digunakan dalam era pandemik Covid-19 sejak mutakhir ini.

Kita misalnya tertanya-tanya dari manakah datangnya perlambangan warna kuning, suatu mitos warna yang dianggap mewakili raja-raja? Menurut Siti Hawa Salleh, pengkaji sastera tradisional Melayu yang tersohor, kaitan warna-warna ini agak rapat dengan sarwa pandang kepercayaan Hindu. Justeru tiada kena mengena dengan Islam.

Misalnya, menurut beliau dalam buku Kelopak Pemikiran Sastera Melayu (2009) warna kuning itu digunakan untuk merujuk golongan tertentu kerana ia melambangkan kemewahan dan kuasa. Apa yang menarik ialah dalam sistem kepercayaan Melayu lampau ini, warna putih dan hitam juga memberi pengertian khusus. Putih melambangkan kesucian, manakala hitam menunjukkan kebuntuan dan keputusasaan.

Saya petik tulisan Profesor Siti Hawa di sini:

“Warna merah dan kuning keemasan, perak dan suasa yang mengubah tanaman padi di Bukit Seguntang ialah warna yang membawa makna denotatif dalam kepercayaan Hindu. Warna kuning emas melambangkan warna kesucian hingga warna itu menjadi pilihan pakaian para sami dan menjadi warna larangan yang dikhaskan kepada golongan raja sahaja. Unsur kuasa dikaitkan dengan warna ini kerana emas juga melambangkan kekayaan dan kekayaan berkait pula dengan kuasa. Berdasarkan teori Samkhya terdapat tiga gunas, iaitu sifat alam semulajadi yang dilambangkan oleh warna denotatif dalam kepercayaan Hindu. Warna-warna itu ialah warna putih yang diterima sebagai lambang kesucian (sattva), warna kemerahan atau kekuningan seperti warna emas yang menjadi lambang penggerak, kuasa dan tenaga (rajas) dan akhirnya warna hitam yang melambangkan kebosanan, kehampaan, ketumpuan dan kebuntuan (tamas). Semua sifat ini wujud dalam setiap manusia dalam darjah yang berbeza-beza secara bergabung.”

Itulah sebabnya dalam mitos Melayu kita mendapati asal-usul raja Melayu, si Raja Suran di puncak Bukit Seguntang menunggang lembu yang warnanya perak terupam, melintasi tanaman suci iaitu padi yang berwarna emas kuning.

Siti Hawa Salleh menegaskan perlambangan warna ini adalah satu mitos untuk mengukuhkan konsep deva-raja atau kingship yang pemerintah dianggap kudus. Saya petik karangan Siti Hawa:

“Warna-warna yang disebut dalam perlambangan ini sebenarnya mewakili penggemblengan warna dalam gunas yang tersebut di atas. Warna putih kekal membawa makna kesucian sementara warna merah keemasan atau kuning dikaitkan dengan kuasa dan kelayakan untuk dipuja, disembah, dihormati dan disanjungi oleh golongan rakyat. Kedua-dua warna ini mengandungi kombinasi dua unsur yang paling berkesan dalam proses pengabsahan kedudukan orang yang diakui dan diterima sebagai raja, iaitu kesucian sumber jurai keturunan, asal-usul dan kekuasaan yang tidak dapat dipersoalkan.”

Kibaran bendera putih, hitam

Atas alasan inilah terdapat kemungkinan pihak pemerintah yakni dari Perikatan Nasional amat tersinggung dengan pengangkatan atau kibaran bendera putih mahupun hitam. Kod warna ini tentulah begitu mencabar kuasa, malah ketika siri kempen Bersih, gerakan propilihan raya yang bersih ini menggunakan warna kuning.

Pemerintah amat merasa tergugat kerana, rakyat, dianggap tidak layak untuk meletakkan hala tuju pentadbiran negara. Warna untuk rakyat ialah warna penyerahan, warna yang harusnya patuh dan tidak menggugat. Gunalah apa jenis warna pun yang banyak. Asal jangan kuning, hitam atau putih. Justeru apabila warna putih digunakan untuk memberi perlambangan ketidakberdayaan, ia telah memecahkan kerangka putih yang kononnya suci itu. Sebaliknya sekarang, warna putih dijadikan warna yang menunjukkan ketidakupayaan dan perlu dibantu. Ia menjadi warna yang mempamer kegagalan warna pemerintah.

Manakala warna hitam, yang sebelum ini disebutkan sebagai lambang ketumpuan dan kebosanan dikibarkan sebagai warna perlawanan atau protes.

Sayugia diingatkan, menurut orang Melayu, kuning, hitam dan putih itu sendiri ada banyak jenis. Terdapat dua belas jenis putih iaitu putih bersih, putih umbut, putih lesu, putih langsat, putih pucat, putih kuning, putih luih, putih puaka, putih melepak, putih abu, putih metah, dan putih awan. Sementara terdapat empat belas jenis kuning iaitu kuning raja (kepantangan jangan diguna rakyat), kuning air, kuning tua, kuning muda, kuning daun, kuning tanah liat, kuning bunga ketola, kuning lemak ketam, kuning mihir, kuning gadin, kuning pinang masak, kuning kunyit, serta jingga dan perang yang turut disandarkan sebagai kuning.

Hitam pula menurut pandangan Melayu ada 15 jenis hitam, yakni; hitam birat, hitam kelawar, hitam legam, hitam jebak, hitam jengat, hitam lengit, hitam lotong, hitam kumbang, hitam usam, hitam berkilat, hitam tampuk manggis, hitam manis, hitam pekat, hitam kerak dodol, dan hitam arang.

Penggunaan warna sebagai tanda sikap atau menghantar mesej tertentu ini sangat menggangu kerana dalam mitos orang Melayu, warna sangat berhubungan atau menjadi simbol kelas. Apabila warna itu dinyahmitosisasikan di mana putih diberi perlambangan baru iaitu kelaparan (baca bukti kegagalan pemerintah), sementara hitam yang asalnya putus asa diberi mitos baru iaitu protes, sistem kepercayaan umat Melayu sedang didobrak.

Ini merupakan satu langkah berani yang akan berbekas dalam minda masyarakat masa hadapan, jika dipasak berterusan.

Oleh itu apa yang menggusarkan sesetengah pihak ialah apabila generasi baru ditawarkan mitos baharu sehingga mereka misalnya gagal membezakan kuning bersih dan kuning kayangan dengan kuning sami. Atau warna putih kini sudah menjadi penyataan kesedihan dan tagihan bantuan.

Lebih dahsyat warna hitam yang selalu melambangkan penyerahan kini adalah warna perlawanan.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS