Paling Popular
Terkini

Sewaktu perbahasan usul perbekalan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 15 Disember 2020, saya telah membawakan isu berkaitan ‘Lost Generation’ ataupun generasi tersisih di kalangan murid-murid sekolah akibat dampak pandemik Covid-19. Dampak pandemik global ini akan berkesan lama dan bertingkat-tingkat, seperti dilaporkan oleh WHO, Unesco dan World Bank.

Jika kita kecilkan skop lost generation dalam konteks Malaysia, kita boleh anggarkan sekurang-kurangnya hampir satu juta murid bakal terkesan serta tersisih dari progres pendidikan semasa khususnya murid pra-sekolah, murid tahun 1 dan 2. Anak-anak di prasekolah tahun 2020 akan naik ke darjah satu, manakala anak-anak darjah satu tahun 2020 akan naik ke darjah dua pada tahun 2021. Anak-anak ini sedang bergelut dengan beberapa kemahiran asas seperti membaca, bertutur dan menulis.

Ketiadaan PdP secara normal selama hampir setahun hakikatnya telah membantutkan proses pendidikan ini. Akibatnya, majoriti dari mereka masih lagi ramai yang tidak mampu membaca, menulis dan mengira seperti mana yang sepatutnya pada tahap umur pembelajaran mereka. Amat malang apabila tidak kelihatan usaha serius KPM untuk berhadapan dengan isu ini secara kolektif dan tuntas serta holistik selain dari melakukan PdPR seperti biasa. Lebih menyedihkan apabila sehingga kini, masih tidak ada satu pun jawapan yang jelas dan tuntas tentang master plan KPM untuk menyelamatkan lost generation ini.

Membaca

Sebagai seorang ahli parlimen bukan kerajaan, suara dan usaha saya amat terbatas. Saya pernah mengusahakan beberapa usaha di peringkat nasional seperti Gerakan Untuk Malaysia dan portal pendidikan Sophia.my, namun ia begitu terhad dan tidak mendapat kerjasama dan sokongan pihak berwajib kerana kapasiti saya sebagai ahli parlimen bukan kerajaan. Maka, saya terpaksa memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan usaha menyelamatkan murid cicir di kawasan parlimen saya dahulu, iaitu parlimen Simpang Renggam. Bagi saya, antara perkara fundamental di dalam pembelajaran ialah membaca. Bersempena PKP, anak-anak perlu dibiasakan dengan membaca dan menjadikan membaca sebagai gaya hidup.

Sejujurnya saya amat risau dengan hala tuju kempen Malaysia Membaca dan Dekad Membaca Kebangsaan yang pernah saya lancarkan dahulu sewaktu di KPM. Zaman wabak sepatutnya dijadikan peluang untuk memperhebatkan kempen membaca. Malangnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagaikan memandang sepi kepada kempen membaca serta usaha untuk menjadikan membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia.

Laporan Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015 terbitan Unesco Institute for Statistic menunjukkan secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun. Statistik NOP World Culture Score Index pula menunjukkan negara yang paling banyak masa membaca ialah India. Rakyat negara itu secara puratanya membaca melebihi 10 jam seminggu. Rakyat Thailand dan China pula membaca selama lapan hingga sembilan jam seminggu. Malaysia pula tidak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index. Secara realitinya kerana budaya membaca di Malaysia tidak melebihi tiga jam seminggu. Atas kesedaran ini jugalah sewaktu di KPM dahulu saya telah mengerakkan wawasan #MALAYSIAMEMBACA. Malangnya dengan pertukaran kerajaan, wawasan dan kempen membaca itu turut tenggelam.

Simpang Membaca

Apabila pandemik melanda dan murid-murid tidak dapat ke sekolah, saya telah meninjau keadaan di Simpang Renggam. Saya dapati ramai di antara anak-anak tidak dapat mengikuti pembelajaran PdPR kerana kekurangan peranti yang membolehkan mereka mengikuti pembelajaran. Hakikatnya, 80% daripada penduduk Simpang Renggam merupakan golongan B40.

Saya turut berbincang dengan beberapa rakan pendidik dan aktivis untuk melakukan sesuatu di kawasan parlimen saya. Melalui tinjauan saya ke rumah-rumah di dalam kawasan parlimen Simpang Renggam, saya dapati tidak semua keluarga mempunyai buku di rumah. Maka, tercetuslah ide kempen ‘Simpang Membaca’ bagi mengatasi masalah murid cicir dan juga menyemarakkan kempen membaca di Simpang Renggam.

Pada kempen ‘Simpang Membaca’ yang pertama, saya mensasarkan murid-murid di peringkat paling asas, iaitu mereka yang berada di pra-sekolah sehinga ke darjah dua. Mereka banyak terkesan akibat hilang lebih seratus hari persekolahan. Ramai ibu bapa dan guru yang mengadu anak-anak mereka dari kelompok ini menghadapi masalah membaca dan belajar. Keadaan ini bertambah parah dengan kekurangan peranti dan capaian internet yang lemah.

Bahan bacaan

Saya telah menghubungi McDonalds, beberapa syarikat penerbitan, beberapa individu yang bermurah hati untuk tujuan tersebut. Akhirnya, saya telah berjaya mengumpulkan bahan-bahan bacaan, buku kerja dan pensel mewarna untuk 3000 murid-murid prasekolah sehingga darjah dua di seluruh Kawasan parlimen Simpang Renggam.

Pada peringkat kedua kempen Simpang Membaca, atau Simpang Membaca 2.0 pula, kita mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah. Hasil sumbangan pelbagai pihak, terutamanya beberapa penerbit buku, kami telah berjaya mengumpulkan buku-buku kerja dan latihan pelbagai subjek untuk kegunaan lebih 1500 pelajar sekolah menengah dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima.

Sekarang, kami sedang merencanakan Simpang Membaca 3.0 pula di mana pelajar-pelajar sekolah rendah dari darjah tiga sehingga darjah enam pula menjadi tumpuan. Kami menyasar untuk membekalkan mereka dengan buku-buku cerita dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Usaha mengumpulkan bahan-bahan bacaan masih lagi dilakukan dan hasrat saya adalah untuk menjayakannya sewaktu PdPR berlangsung yang dijadualkan sehingga bulan Julai nanti. Sasaran kita juga adalah untuk melengkapkan seramai 3000 pelajar di dalam kawasan parlimen Simpang Renggam dengan buku-buku yang boleh membina minda dan keperibadian mereka.

Walau bagaimanapun, sebelum kempen Simpang Membaca 1.0 lagi, pihak pejabat khidmat rakyat Simpang Renggam telah mula meletakkan bahan-bahan bacaan di kilang-kilang, kafe-kafe dan juga kedai dobi. Ini bertujuan bagi menggalakkan sesiapa yang menunggu untuk membaca. Di kilang-kilang pula, mereka boleh meminjam, membaca dan memulangkan semula buku untuk dibaca oleh rakan-rakan sekerja mereka. Waktu itu kami hanya melakukan secara kecil-kecilan. Sebanyak 20 lokasi sahaja telah dipilih.

Simpang Renggam sebagai Pekan Buku

Harapan saya agar membaca terus menjadi budaya hidup rakyat di dalam kawasan parlimen Simpang Renggam. Seterusnya nanti, cita-cita saya ialah untuk membina perpustakaan awam di Simpang Renggam dan juga memperbanyakkan kedai-kedai buku di dalam kawasan parlimen ini. Misi saya di dalam tempoh sepuluh tahun lagi ialah untuk menjadikan Simpang Renggam sebagai pekan buku seperti bandar Hay-on-Wye di UK. Pekan buku Hay-on-Wye tersebut menjadi destinasi popular di kalangan bibliofilia atau pecinta buku dari seluruh dunia. Tidak mustahil Simpang Renggam akan menjadi pilihan kedua mereka nanti pada tahun 2030.

Walau bagaimanapun impian ini harus bermula dengan setiap rumah mestilah mempunyai koleksi buku untuk setiap anak dan penghuni rumah. Saya teringatkan buku “Freakonomics: A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything” karangan Steven Levitt dan Stephen J Dubne. Mereka membawakan kajian yang menunjukkan anak-anak daripada keluarga yang mempunyai koleksi buku di rumah akan lebih berjaya di dalam akademik berbanding anak-anak yang di rumahnya tiada buku. Itulah harapan saya buat warga Simpang Renggam. Apabila mereka telah memilih saya sebagai wakil rakyat, maka saya harus membalas budi mereka dengan membina masyarakat parlimen Simpang Renggam untuk menjadi maju dan bertamadun. Masyarakat yang gemar membaca biasanya masyarakat yang suka belajar, kuat jati diri beradab dan menghargai ilmu.

Jadi, ia harus bermula dengan ‘Membaca’!


MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan dan ahli parlimen Simpang Renggam.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS