Ini tragedi yang berlaku pada 25 Mei 1928 bersamaan 2 Zulkaedah 1343 Hijrah di sebuah kampung di Terengganu. Tragedi berlaku hampir 100 tahun mengikut kalendar hijrah - atau 83 tahun Masihi - itu tidak ramai yang tahu. Mungkin ada yang lupa atau sengaja mahu melupakan.
Tambahan pula semasa Covid-19 mengganas ini. Sejuta masalah sedia ada sudah cukup untuk menyesakkan dada, justeru kita tidak mahu lagi berfikir tentang sejarah.
Pada tarikh tersebut, 11 orang mati terbunuh dalam pertempuran di antara rakyat biasa dengan pasukan keselamatan penguasa. Ia pertempuran yang berat sebelah.
Ketika di satu pihak hanya menggunakan keris, parang dan pedang, pihak yang bertentangan pula bersenjatakan senapang dan bayonet.
Ia adalah sejarah malang rakyat miskin dalam sebuah negeri kaya. Sejarah ini wajib diketahui oleh setiap anak cucu bangsa agar kita tidak terus dibakar oleh kebodohan serta kesombongan orang yang berkuasa. Ini sejarah politik orang Melayu yang merangkumi isu geopolitik, sosiologi, psikologi dan kebudayaan.
Sejarah pertembungan kepentingan dalam sesebuah masyarakat semakin meruncing apabila ia dianggap bersekali dengan persoalan akidah. Sedangkan persoalan politik sangat luas, dinamik dan mempunyai pelbagai kemaslahatan yang perlu dipertimbangkan.
Oleh itu, batas tindakan politik dengan akidah adalah "selagi tidak syirik" yang disepakati akan kesyirikan dan kekufurannya yang nyata.
Jual jiwa dan jasad rakyat
Apabila wujud perbezaan pendapat dan hujah tidak dapat dikemukakan, atau tiada medan untuk berbahas, lalu jalan paling mudah ialah menggunakan agama sebagai timbang tara hukuman.
Agama sememangnya memberi panduan tetapi pada masa sama agama sering juga dijadikan tunggangan untuk mengaburi pandangan atas kepentingan pihak tertentu.
Ini juga ingatan untuk para pemimpin yang sedang berkuasa atau yang sedang mengintai peluang untuk berkuasa. Biar mereka sedar, jangan dalam pertarungan antara kelompok yang berbeza nasib rakyat jelata yang terpanggang api perbezaan.
Rakyat bukan mahu dimuliakan seperti raja. Rakyat hanya mahu hidup seadanya sebagai warga dalam negara merdeka. Rakyat mahu merasai nikmat kebahagiaan di bawah lembayung pemimpin berjiwa rakyat. Bukan pemimpin yang menjual jiwa dan jasad rakyat.
Ini adalah sejarah orang hulu - atau orang Terengganu sebut sebagai orang darak (darat) - juga orang terpinggir yang jauh daripada orbit pembangunan negeri.
Itu zaman perhubungan yang bergantung hanya dengan sungai, laut dan belahan banjaran. Tiada burung hudhud pembawa berita. Tiada buraq memacu roh dan jasad. Perhubungan antara masyarakat banyak digerakkan oleh semangat dan keperluan semasa.
Jika kalian menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur untuk ke Kuala Terengganu, ambil susur keluar Telemong. Jika belok ke kanan, ia menuju Kuala Terengganu. Jika ambil kiri, ia menuju Kuala Berang.
Sambil memandu Mercedes Benz atau Proton, baca-bacalah papan tanda yang tegak di tepi jalan. Apa salahnya, sekian lama asyik mencari nasi dagang, keropok lekor, kain batik, cari jugalah peribadi bangsa sendiri. Sekali sahaja.
Berhenti seketika dan bertumpang tanyalah dengan orang kampung tentang nama-nama petempatan yang tertulis dalam karangan ini. Simpan karangan ini baik-baik.
Bebas kutip hasil hutan
Kira-kira 100 tahun hijrah lalu, di sebuah kampung bernama Padang Kanchung, orang hulu Terengganu berhimpun beramai-ramai. Salah satu kumpulan itu diketuai Mat Zin anak kepada Mat Min; Tok Janggut dan Haji Kia.
Mereka penduduk hulu Terengganu hendak menghadap Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang merupakan putera kepada Sultan Zainal Abidin III.
Penduduk hulu Terengganu dari kampung Pelam dan Telemong seramai lebih kurang 100 orang mahu menuju ke istana Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah di Kuala Terengganu bagi menghadap baginda untuk menyatakan rasa tidak puas hati atas tindakan baginda di Kuala Berang.
Menurut kajian Prof Dr Abdulah Zakaria Ghazali, penduduk kampung tidak bersetuju dengan peraturan baru kerajaan mengenai tanah. Sebelumnya orang kampung bebas mengutip buah, kayu atau sebarang hasil mahsul hutan.
Kini, kerajaan Terengganu mengenakan undang-undang baru yang diperkenalkan Inggeris.
Tokoh tempatan, Abdul Rahman Limbong menganggap ia adalah peraturan kafir. Justeru menerima ia sebagai peraturan hidup bernegara bermakna orang itu kafir.
Memang pada umumnya orang Inggeris beragama Kristian sedangkan Melayu itu beragama Islam. Pengaruh Abdul Rahman Limbong ketika itu sedang meluas dalam kalangan rakyat bawahan. Dia juga seorang ulama terkenal dan ramai pengikutnya.
Tidak dapat dipastikan sama ada wujud kaitan di antara fahaman tersebut dengan idea dibawa Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sekarang mengenai batas-batas akidah orang Islam yang dikenali sebagai Amanat Haji Hadi yang diungkapkannya di Banggol Peradong kira-kira 40 tahun lalu.
Tiada kajian mengenai hal itu ditemui setakat ini. Amanat itu mengatakan bahawa perjuangan PAS adalah menentang pihak yang mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir dan mengekalkan peraturan jahiliah.
Wujud pengaruh Sakerat Islam
Kembali ke zaman Abdul Rahman Limbong. Melalui peraturan baru, orang kampung perlu mendapatkan pas khas untuk membuka tanah, membuka hutan, menebang pokok, waima berhuma bagi menyara seisi keluarga pun mesti mendapat izin.
Nikah, cerai dan kelahiran perlu didaftarkan. Peraturan yang diperkenalkan oleh kerajaan Terengganu adalah antara pembaharuan yang dibawa British di Terengganu.
Ada pandangan yang mengatakan tidak benar orang hulu Terengganu pada masa itu menentang British kerana isu peraturan baru termasuk cukai tanah. Pada mereka, pendapat tersebut memperkecil-kecilkan peranan ulama dan rakyat Terengganu yang memahami persoalan politik Islam.
Mereka mengatakan penentangan rakyat Terengganu adalah berasaskan akidah Islamiah dan menentang penjajahan.
Ia disokong dengan hujah yang menunjukkan bahawa wujudnya gerakan Sarekat Islam di Terengganu pada masa itu.
Beberapa tokoh penentang Inggeris termasuk Abdul Rahman Limbong mempunyai kaitan dengan tokoh Sarekat Islam di Indonesia, serta kesetiaan mereka kepada kerajaan Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki.
Idea politik sebagai perjuangan akidah mungkin lebih awal dari itu. Namun idea politik sebagai akidah mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan politik tanah air sehingga kini.
Kreativiti ahli politik mencerakinkan segala permasalahan politik semasa dengan persoalan agama menjadikan perseteruan semakin tajam.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.