Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada sebuah peribahasa yang kurang diketahui orang kerana jarang digunakan.

Bunyinya, jangan diajar anak harimau makan daging. Tentu sahaja peribahasa ini aneh kerana bukankah daging itu memang makanan harimau? Dan kalau anak harimau tidak disuguhkan oleh ibu atau bapanya daging habuan, maka apa yang anak harimau itu akan makan?

Melainkan yang dimaksudkan dengan harimau dalam peribahasa ini bukanlah anak harimau seperti yang kita faham.

Dalam ilmu orang Melayu, kita selalu diajari yang kerja raja dijunjung, kerja kita dikelek - yakni kita harus mendahulukan kerja raja berbanding kerja kita sendiri.

Misalnya, kalau kita sedang bercucuk tanam, jika dititah kita keluar mempertahankan nusa atau menentang musuh sebagai contoh, hendaklah kita mengutamakan kerja raja.

Barangkali dalam konteks sekarang, jika diminta kita sebagai barisan hadapan keluar menentang musuh iaitu menjaga pesakit jangkitan Covid-19, maka barisan hadapan haruslah berkorban meninggalkan kerja sendiri di rumah untuk berkhidmat kepada kerajaan.

Kata Abdul Hadi Awang, kalau tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang sila letak jawatan. Dalam hal inilah sebagai pengkaji alam Melayu, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit kepandaian tentang ilmu Melayu-Islam yang sebenar. Kita orang Melayu, bukan Arab maka kerangka Melayu lebih terpakai dari kerangka Arab-Islam.

Jadi elok kita fahamkan perihal “yang berbangsa dibangsakan; manakala yang berbahasa itu kita bahasakan” - yakni dalam ilmu orang Melayu kita perlu berbuat sesuatu yang patut. Bukan semua perkara itu patut, dan bila kita buat sesuatu elok berpatut-patut.

Dalam sesebuah negeri Melayu-Islam, hendaklah kita tahu ada tujuh rukun yang menjaga umat atau negeri. Dalam hal ini perbilangan Melayu mengajarkan satu hierarki sosial dan peranan masing-masing. Tentulah kita - Melayu - tidak sama dengan Inggeris, Perancis, ataupun Arab. Perbilangan atau formula kerajaan itu berbunyi begini:

Pertama raja berdaulat
Kedua datuk bertuah
Ketiga alim berkitabullah
Keempat penghulu berandika
Kelima hulubalang kuat kuasa
Keenam cerdik cendekia
Ketujuh orang patut dan berbangsa.

Kalau saya ingin mengupas ketujuh-tujuh ini tentu tidak sempat dalam ruang terhad ini. Namun cukup saya katakan tujuh status dalam masyarakat ini berkait dan bersilang balik. Sebab rakyat itu patut dan berbangsa. Istilah patut dalam hal ini bermaksud sepadan, sesuai dan selayaknya.

Makam daulat

Jadi, jika raja mahu mengecapi status berdaulat itu, menurut orang Melayu-Islam silalah berpatut dengan rakyat. Bukannya tidak patut. Manakala berbangsa dalam perbilangan di atas bermakna mestilah dilayan senonoh.

Nah perbilangan Melayu mengajar begini, ini satu panduan sepanjang zaman. Raja berdaulat melayan rakyat dengan sepadan dan patut itu ialah bila:

Raja dikasihi
Tua dihormati
Muda disayangi
Panas dinaungi
Hujan dilindungi
Haus diberi minum
Lapar diberi makan
Cepat kaki ringan tangan.

Maka kita lihat dari perbilangan di atas, untuk seseorang raja mencapai makam daulat itu bukanlah kerja senang. Mana rakyat yang panas mesti dinaungi, itu yang patut dan berbangsa untuknya. Mana rakyat yang hujan dek atap bocor ditebuk misalnya mesti dilindungi. Atau lebih takut (di hadapan Allah) ialah rakyat yang haus itu mesti dipatut dan dibangsakan dengan cukup minumnya, yang saya membayangkan sumber airnya tidaklah serupa air koko, atau teh tarik atau kopi beng.

Di kala rakyat lapar, raja berdaulat sedar peranannya dan memberi makan. Raja berdaulat - pendek kata - tidak membiarkan rakyat kebulur, menangis di tebing jalan. Raja mestilah cepat kaki ringan tangan sebagai satu kerjanya, bukan sebagai imejnya sahaja.

Perihal “raja berdaulat mestilah disokong orang terbanyak di bawah”, yang sebagai rakyat harus patut dan berbangsa ini dijelaskan seterusnya dalam satu perbilangan Melayu-Islam yang lain. Perbilangan itu bunyinya begini:

Raja disayangi
Harta orang dipelihara
Bagai menatang minyak penuh
Memegang amanat dengan petuah
Memegang adat dengan lembaga
Memegang cakap dengan karenah.

Jadi raja yang berdaulat itu untuk rakyat berasa patut dan berbangsa haruslah memelihara harta rakyat, bukan mengambilnya pula. Rakyat itu harus dilayan bagai minyak yang penuh ini kerana rakyat dituntut meninggalkan kerja sendiri untuk mendahulukan kerja raja. Sebagai balasan, raja hendaklah memegang amanah dengan petuah (atau undang-undang). Dalam hal ini pemimpin yang harus mematuhi undang-undang barulah rakyat akan patut dan berbangsa. Bukan itu sahaja raja mesti juga patuh akan adat dengan lembaga (sekali lagi adat dalam hal ini undang-undang manakala lembaga itu semacam barisan penasihat).

Lembaga, parlimen

Dalam konteks negara demokrasi hari ini, lembaga itu tidak keterlaluan jika dirujuk sebagai tempat wakil para rakyat berhimpun, atau kita kenal sebagai parlimen.

Formula “memegang cakap dengan karenah” itu bermaksud menerima kesaksian rakyatnya dengan bukti atau tanda. Justeru raja dalam kerangka Melayu-Islam bukan tunggul, patung cendana, atau insan tuli tidak berperasaan. Daulat raja itu datang dari rakyat kerana patut dan berbangsa itu.

Perbilangan Melayu pergi lebih setapak lagi dalam mengingatkan perihal raja berdaulat ini, ia mengupas secara mendalam “raja disayangi harta orang dipelihara” itu, ia menyatakan pula perihal atau kondisi seseorang raja yang dibenci itu.

Raja dibenci
Mengambil anak bini orang
Mengambil tunang-lanang orang
Kuat patah mematah
Cerdik tipu-menipu
Putih di luar hitam di dalam
Satunya satu sepuluh
Duanya dua seratus
Banyak sentak dari sorong
Banyak pintak dari beri.

Perbilangan mengenai raja yang dibenci ini mengingatkan bahawa daulat raja itu boleh hilang jika melayan rakyat dengan tidak patut dan tidak berbangsa. Sebab daulat raja itu datang daripada rakyat. Memang hari ini, rasanyalah, tidak seperti dahulu, iaitu tiada ditemui perihal pemimpin merampas anak bini orang; akan tetapi pemerintah patah-mematah atau cerdik menipu ini kita telah mendengar dalam sastera lisan orang Melayu sejak lama dahulu. Tambahan pula ada ingatan raja jangan bernifaq iaitu “putih di luar hitam di dalam”. Ini kerana rakyat yang patut dan berbangsa tidak tertipu dengan citra baik seseorang raja semata-mata.

Sebabnya, seseorang raja itu dipantau oleh enam pihak; yakni datuk bertuah, alim berkitabullah (si tahnik jangan perasan), penghulu berandika, hulubalang kuatkuasa, cerdik cendekia dan di bawah sekali rakyat atau orang yang patut dan berbangsa. Melayu juga mengajarkan yang raja berdaulat itu hanya bila hulubalang itu kuat kuasa iaitu setara dan adil dalam penguatkuasaan, dan bukan semberono dan wewenangnya senget.

Ini kerana raja dibenci apabila ia berniaga (tidak dapat dielakkan dalam alam Melayu, pemimpin itu berdagang) dan bila berniaga ia tidak melebih-lebih dengan satunya satu sepuluh. Raja berdaulat mengambil satu sepersepuluh saja bukan menggenapkan dengan satu. Bahkan duanya dua seratus, iaitu hanya dua dari seratus sahaja diambil. Jadi dalam ilmu Melayu-Islam, raja tidak membolot. Terakhir raja dibenci itu tidak banyak “pinta dari beri”, yang baginda tidak merampas sebaliknya banyak berbudi.

Menyemak kuasa

Semua di atas ialah cara orang Melayu menjaga dan menyemak kuasa orang atas. Ia adalah penjelasan atau kepala kepada peribahasa yang kita semua tahu iaitu “raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah”.

Di sinilah juga orang Melayu dipesankan “jangan diajar anak harimau makan daging”. Yakni jangan dibiarkan pemimpin itu menjadi zalim. Itulah maksud peribahasa tersebut.

Dalam keadaan para datuk tidak lagi bertuah, orang alim “berprono”, para pegawai pula tidak lurus (baca: korup), hulubalang pula memilih-milih dalam menguat kuasa, serta yang patut cerdik itu diserang sawan bebalisme; maka untuk raja itu kekal berdaulat ia akan jatuh dalam lingkaran rakyat terbanyak di bawah. Raja akan berdaulat, dikasihi dan disayangi jika ia mematut dan membangsakan rakyat.

Rujukan:
Ahmat Adam. 2005. “Nilai-Nilai Melayu Dalam Kata-Kata Adat dan Peribahasa: Cermin Diri Bangsa Melayu”. Dlm. Seminar Islam Hadhari. Kefahaman Mengenai Keutuhan Budaya: Bahasa Kiasan, Korpus Melayu Silam dan Pembangunan Minda Baru Islam. 18-19 Januari. Anjuran kerajaan negeri Melaka dan Institut Kefahaman Islam Malaysia serta Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia. Hlm 6-7.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS