Paling Popular
Terkini

Sejak pagi hari raya kedua, perut kami sedikit meragam. Sementara menyiapkan artikel ini kami telah beberapa kali berulang-alik ke tandas.

Mungkin kerana ada ketupat atau rendang yang kami makan tidak dimasak dengan betul, atau mungkin juga kerana asyik berulang dari ruang tamu dan dapur untuk merokok dan makan maka organ pencernaan kami terperanjat dan menjadi sedikit kucar-kacir.

Namun kegusaran pada hari raya kedua tidak dapat mengatasi kemarahan yang kami rasai sejak dari malam sebelum malam raya lagi.

Malam itu - sebelum sembahyang tarawih terakhir untuk tahun ini dikerjakan - imam berdiri dan memberitahu bahawa terdapat seorang jemaah di tempat kami disahkan positif Covid-19.

Kerana itu jawatankuasa masjid mengambil keputusan untuk menutup masjid berkenaan selama dua minggu bagi memutuskan rantaian penyakit yang semakin mengila itu.

Ini bermakna masjid kami bukan sahaja ditutup untuk sembahyang sunat hari raya bahkan ia akan ditutup juga untuk sembahyang lima waktu selama tempoh yang diumumkan.

Kami bukanlah lelaki warak yang sentiasa ke masjid dan akan memberontak atau membentak tidak tentu hala demi untuk menunjukan ‘kemasjidan’ kami.

Namun sebaik menerima berita tersebut, dada kami jadi berdebar seolah-olah diserang kecemasan. Ia berterusan sehingga sedikit menggangu mood hari raya kami.

Dada terasa kian sempit

Mungkin kerana pengumuman imam masjid kami atau pun sebab yang lain, tidak dapat kami nyatakan di mana sebab kemarahan itu. Namun bermula pada saat dan ketika itu ada kata makian sentiasa bermain dalam kepala kami.

Tidak henti-henti ia berdengung dalam kepala dan mahu rasanya kami menjerit dan sekuat hati biar sampai seluruh alam mendengarnya.

Walapun kelihatan agak kasar - kerana kata makian itu merujuk kepada haiwan yang haram dimakain orang Islam - dan tidak berakhlak, kami bukan termasuk dalam kumpulan manusia yang semberono mengeluarkan kata-kata kesat.

Kami lebih gemar makan hati daripada mencemarkan air muka sendiri. Oleh itu kata makian itu kami telan walaupun dada kami terasa semakin sempit.

Sebelum kami teruskan tulisan ini - oleh kerana kita semua masih dalam suasana berhari raya - izinkan kami mengucapkan selamat hari raya kepada semua yang sudi membaca.

Gambar hiasan

Mohon maaf atas segala kesilapan dan semoga tuan-tuan yang budiman sentiasa diberi hidayah untuk terus kekal berada di jalan yang benar. Kepada teman-teman dan sahabat-sahabat di media sosial yang kami tinggalkan tanpa pesan, kami juga memohon ampun dan maaf.

Kami meninggalkan dunia media sosial setelah telefon kami mengalami sedikit masalah. Kemudian walau setelah dari itu kami telah dihadiahkan sebuah peranti lain - akibat tidak cermat - kami telah lupa semua kata laluan untuk semua akaun media sosial kami.

Setelah bercuti dari media sosial untuk beberapa ketika, kami dapati ia banyak membantu kami menghargai banyak hal yang lain. Walaupun pada mulanya agak sukar juga namun setelah sekitar tiga minggu bergelut, kami dapati dalam dunia yang meraikan kejayaan melambung botol air sebagai kejayaan mutlak, tidak ada apa yang harus kami rugikan sekiranya kami tidak duduk mengarut di media sosial.

Gambar hiasan

Dunia tidak berpusing di sekitar kita saja dan kita ini bukan sesiapa pun kepada sesiapa pun. Seperti kata pepatah: berasa penting lalu mati, setelah dua hari tidak ada apa yang diingat orang lagi.

Kami sangat mencadangkan kepada semua orang untuk keluar dari dunia media sosial. Berjoget bagai ulat cempedak untuk mengumpul like adalah satu kemalangan hidup.

Dalam pada itu, kami masih mahu menulis di sini. Satu, kerana kami memang gemar menulis dan setakat hari ini hanya ini medium yang masih boleh kami akses.

Berkurung dalam rumah saja

Kedua ialah untuk memeningkan kepala kamu semua kerana jika kamu tidak pening kamu masih akan tetap menggangap bangsa Melayu adalah mulia kerana Melayunya. Agama pula adalah kepecayaan yang kamu pakai hanya apabila kamu mahu bergaya.

Pada waktu lain kamu lebih gemar 'bertelanjang'.

Subuh hari raya pertama kami ke masjid yang terhampir yang masih dibuka. Kami gelar masjid itu sebagai 'masjid Cikgu Razak Rasdi' sempena nama sahabat kami yang menjadi pengerusinya.

Namun sebaik sampai di situ kami dapati ramai orang berpaling pulang kerana kuota 50 jemaah telah dipenuhi. Kami yang datang awal untuk sembahyang hari raya dan mengalami nasib yang sama.

Menurut Rahim Kenit ahli kumpulan metal Destroyer yang bertanggungjawab menjaga pergerakan keluar masuk jemaah, sebilangan besar orang yang mendapat tempat untuk sembahyang hari raya datang seawal jam 4:30 pagi.

Pada 1 Syawal itu kami hanya dapat sembahyang jemaah pada waktu asar. Tapi itu bukanlah menjadi sebab mengapa kepala kami masih dipenuhi dengan kata-kata kesat yang tidak diluahkan itu.

Pagi itu adalah pagi hari raya paling sunyi yang pernah kami alami. Harus diingat, kami pernah berhari raya di merata-rata tempat yang majoriti penduduknya tidak beragama Islam.

Namun meraikan hari raya di sana pun tidak sesunyi yang kami rasai pagi itu di negara yang mengaku beriman ini. Tidak ada orang berhambat meraikannya.

Masing-masing berkurung dirumah dan menutup pintu. Keadaan sekitar menjadi teramat sepi. Untunglah pada sebelah malam suasananya dihiasi dengan bunyi letupan mercun dan bunga api.

Tidak pernah kami rasakan kelazatan sebegitu apabila mendengar bunyi letupan-letupan kecil berkenaan. Walaupun benak kami masih dipenuhi dengan kata makian tadi, tidak sepatah pun kami tujukannya kepada mereka yang berbuat bising tersebut.

Kami sambut segala hiruk-pikuk tersebut bagai si Majnun yang terlihat senyuman Laila. Entah kepada siapa senyuman itu ditujukan namun kepada Majnun tentu saja ini adalah hadiah khusus daripada pujaan hatinya.

Lalu hari raya kedua pun menjelma. Seperti yang kami nyatakan pada bahagian mukadimah tadi, kami mengalami sedikit gangguan percernaan. Setelah disiasat kami dapati tidak ada sebarang masakan cili padi Negeri Sembilan itu kami makan sejak beberapa lama.

Demi kepentingan lebih besar

Jadi kebarangkalian faktor masakan Negeri Sembilan - yang pedasnya diraikan untuk menutup ketidaksedapannya - sebagai penyebab adalah sifar.

Kini kami dilanda dua kegusaran sekali gus: kata makian yang tidak mahu pergi dan tandas yang tidak henti-henti melambai mengajak bermesra.

Kemudian, BOOOM! Seperti ledakan ia memberi pencerahan kepada kami akan punca segala gundah-gulana yang kami hadapi sejak beberapa hari lalu.

Ia datang daripada berita betapa orang politik bebas lepas keluar negara dan balik. Menyambut kepulangan anakanda tercinta - juga dari luar negara - untuk meraikan hari raya serta betapa mereka bebas bertepuk tampar tanpa sebarang kebimbangan.

Seolah-olahnya wabak ini hanya akan memudaratkan kita semua yakni si bodoh marhaen yang memang senang digula-gulakan. Sementara mereka pula adalah wira penyelamat manusia yang kebal daripada segala derita penyakit dunia.

Itulah rupanya punca segala sakit hati yang kami alami.

Apa yang kita ketahui itu adalah cerita atau berita yang terlepas daripada kepungan orang kayangan terbabit. 'Rahsia' yang masih tersimpan baik di sebalik rumah mewah, kediaman agam bak istana pula rasanya banyak lagi yang tidak kita ketahui.

Gambar hiasan

Percayalah apabila kami katakan bahawa mungkin tidak ada seorang pun menteri dan orang yang rapat berpolitik bersama mereka sempat menyambut hari raya dalam penuh kesepian seperti yang kita alami.

Tentu saja mereka mempunyai daya dan upaya untuk duduk bersama keluarga bergembira, bersorak dan bertepuk-tampar sementara kita semua diugut dengan puluhan ribu ringgit denda selain diancam dengan sejuta kesusahan.

Pada zaman wabak ini, rakyat dianggap musuh yang nyata kepada kerajaan.

Bukanlah menjadi masalah kepada kita apabila terpaksa merayakan hari kemenangan itu bersendirian kerana ia adalah keperluan semasa demi kepentingan lebih besar.

Namun segala undang-undang yang diwartakan menjadi bahan lawak apabila ia hanya dikuatkuasakan terhadap sebilangan daripada kita sementara yang lain bebas lepas berbuat sesuka hati.

Mereka ke sana ke mari tanpa mempedulikan kesihatan orang lain. Didenda atau tidak bukanlah isunya. Kedegilan mereka - yakni sang politikus bengap berkenaan - dalam mematuhi undang-undang itulah yang paling menyakitkan hati.

Kami ingin bertanya: kekhinziran apakah ini?

Setelah mendapat jawapan daripada kegusaran tersebut, dada kami tidak lagi berkocak dan sistem penghadaman kami kini kembali normal. Kami tidak lagi mempunyai apa-apa kemarahan. Kesepian hari raya seakan suatu rahmat yang kami syukurkan.

Sekali lagi kami mengucapkan selamat hari raya kepada semua dan bersama-sama kita berdoa agar dunia dapat segera menyelesaikan masalah Covid-19 ini agar dengan itu kita semua dapat kembali menjadi bodoh dan menyokong partai politik mengikut selera punggung kita.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang selalu berkelana sepi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS