Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Dari kalangan rakyat terbanyak, pensyarah ialah kelompok kecil yang berperanan penting sebagai pencetus dan penggerak wacana-wacana awam (public discourse) yang akhirnya membentuk pandangan sarwa sesebuah bangsa, serta hala tuju sesebuah negara. Inilah yang telah ditekankan oleh pemikir pasca-modernisme dari Perancis Foucault tentang kepentingan discourse dalam pembentukan tradisi berfikir dalam masyarakat.

Geligawan (terjemahan kepada scholar) dan ruang serta peranannya dalam masyarakat, adalah amat kritis sebagai pendidik dan pembimbing warga nusa. Justeru, menurut Prof Shaharir Mohamad Zain perlunya kita membina ruang ilmu, atau beliau sering menyebut istilah yang diambil dari bahasa Melayu yang terpahat pada batu bersurat Talang Tuwo di Sumatera bertarikh 684 M, sebagai ‘parlak’ keilmuwan. Rasionalnya, di parlak inilah nanti para ilmuwan akan bergelut dengan jihad mereka untuk penghasilan, perbeturan dan penyebaran ilmu, agar masyarakat ini dibudayakan dengan ilmu dan kebijaksanaan (sophia).

Secara tradisinya, masyarakat melihat pensyarah sebagai insan berilmu, berhikmah dan pendidik yang dihormati. Persepsi ini datang dari akar tradisi bangsa yang diasuh untuk hormat kepada ilmu dan ilmuwan. Dan ia datang dengan tanggungjawab yang maha berat.

Masyarakat pada hari ini, mahu tidak mahu, telah diuji dengan gelombang mediocre; budaya pertengahan, sama ada dari segi hiburan, kesensasian isu, gosip-gosip panas, semuanya telah menjadi dominan dan budaya yang meluas.

Tugas pensyarah yang juga pendidik; kelompok yang juga sendi utama dalam masyarakat ialah kelompok yang digelar sebagai intelektual awam ataupun ‘cendeki‘awam’. Merekalah yang bakal mengarahkan kompas wacana masyarakat ke arah tradisi keilmuan yang sebenar.

Di Barat, Timur, dan tidak kurang juga di tanah air kita, telah wujudnya sejarah keilmuan yang membuktikan pentingnya kewujudan kelompok ilmuwan dalam pembentukan negara bangsa.

Baik dari segi politik, ekonomi (mengingatkan saya kepada Ungku Aziz, Syed Husin Alattas), isu-isu sosial (Za’ba, Munsyi Abdullah), isu-isu agama (Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir, Syed Naquib Alattas), isu-isu kebangsaan (Pak Sako, Syed Husin Ali, Chandra Muzaffar), isu sejarah (Khoo Kay Kim, Wang Gungwu) semuanya berperanan dalam membentuk nuansa pemikiran masyarakat semasa.

Dan hal ini perlu diteruskan dengan generasi mendatang. Perlu pulang semula kepada perbahasan seputar intelegensia, dan siapakah yang dinamakan sebagai intelektual secara definitifnya.

Misalnya kita melihat Syed Hussein Alatas menamakan intelektual sebagai “seorang yang mengumuli pemikiran tentang idea dan masalah non-materi dengan menggunakan akal fikirannya.”

Jika tradisi Barat pula, kita meninjau Karl Mannheim, yang merungkaikan intelektual sebagai “social groups whose special task is to provide an interpretation of the world for society.”

Tuntasnya, inilah esensi profesion seorang pensyarah; pelopor kepada tradisi ilmu dalam masyarakat, pendidik, penggerak wacana, dan penyumbang besar kepada pembentukan negara bangsa.

Dan tidak lupa juga, menjadi penyelesai kepada masalah-masalah masyarakat semasa, sekali gus menjadi penghubung antara universiti dan masyarakat

Memperkasakan kerjaya pensyarah

Kita harus sedari perihal persepsi masyarakat yang memandang tinggi kerjaya pensyarah yang rata-ratanya disikapi sebagai individu berilmu tinggi. Para pensyarah sering menjadi warga contoh untuk membangunkan masyarakat setempat khasnya, dan negara amnya.

Sayugialah para pensyarah mestilah berusaha untuk mengimbangkan fokus pensyarah pada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan penyelidkan demi mencapai harapan yang telah masyarakat letakkan kepada mereka.

Di samping itu, selaras dengan gagasan untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara, para pensyarah harus mempunyai kualiti PdP yang baik dan berkesan – bagaimana ia disampaikan dan bukan hanya kepada kandungan kursus semata-mata. Gelombang pandemik global yang melanda setiap pelusuk bumi kini telah menggandakan tuntutan keterlibatan para pensyarah.

Para pensyarah kini, mahu ataupun tidak mahu, tidak kira dari latar belakang disiplin ilmu apa pun mereka, mahupun usia mereka di dalam bidang keilmuwan wajib memahami, menekuni dan menggunakan aplikasi teknologi terkini. Fasa berkurung (lockdown) dari tahun 2020 yang berlaku di seluruh dunia telah memaksa pihak IPT menerobosi ruang digital dan bukan konvensional dalam memastikan kelangsungan pendidikan tinggi. Para pensyarah sebagai sumber mata air di wadi parlak ilmu jagat juga terpaksa menerokai alam ini.

Selain itu, seperti mana sepatutnya, para pensyarah harus berani untuk menceburi bidang-bidang kajian yang membelah bumi (ground breaking) rentas disiplin, dan bukan sekadar mengulangi apa yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu. Mereka juga tidak harus jemu untuk menghasilkan karya-karya yang menjadi rujukan dan petunjuk dalam disiplin masing-masing mahupun bekerjasama dengan pakar-pakar dalam bidang yang lain untuk mencari kesaling-hubungan ilmu demi berkhidmat kepada masyarakat, bani manusia dan alam sejagat. Dunia kini merupakan dunia penggabungjalinan disiplin yang pelbagai. Para ilmuwan tidak boleh lagi diam selesa di dalam relung keselesaan masing-masing. Ruang hempawa keilmuan rentas disiplin kini semakin membesar dan melebar.

Walau bagaimanapun kita sedari, usaha gigih yang ditagih haruslah datang bersekali dengan imbuhan yang setimpal. KPT sepatutnya meneruskan usaha pentadbiran terdahulu mengkaji usul naik taraf skim pensyarah seperti yang dicadangkan oleh Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) pada tahun 2019, dan patut terus melakukan perbincangan dengan kementerian-kementerian dan pihak-pihak yang terlibat agar ianya berjaya dilaksanakan.

Demi meningkatkan kualiti juga, imbuhan kepada penghasilan karya dan kajian perlu setimpal dengan hasilnya. Maka, sebarang insentif yang akan diberikan haruslah berdasarkan kualiti penghasilan kertas penyelidikan dalam persidangan, makalah dan jurnal dan bukanlah berdasarkan kuantiti semata-mata. Isu jurnal pemangsa, bonceng gratis, penghasilan jurnal separa matang, isu plagiarisme, dan lain-lain isu berkaitan integriti kelimuan wajib diatasi setegas dan seagresif mungkin demi menjaga status geligawan kita. Sikap defensif sesetengah pihak dalam menanggapi isu ini perlu dielakkan.

Mengembalikan wibawa universiti awam dan pendidikan tinggi

IPT kini juga harus mempunyai infrastuktur dan makmal terkini dan sistem sokongan yang padu seperti akses kepada pangkalan data yang lebih luas dan penambahan buku rujukan yang terkini. Ini penting untuk memastikan hasrat untuk menghasilakan pendidikan tinggi yang berteraskan kualiti dan, pelajar bergraduat berdasarkan standard yang tinggi dapat kita capai.

Prasarana sokongan ini juga penting untuk mewujudkan ekosistem untuk membantu para pensyarah dan penuntut untuk melaksanakan penyelidikan yang relevan dan mampu memartabatkan bangsa dan menaik taraf kualiti kehidupan masyarakat.

Di samping itu, prasarana sokongan juga harus bersikap inklusif. Maka infrastruktur dan infostruktur di IPT mestilah bersikap mesra OKU selaras dengan pelancaran dasar inklusif OKU di IPT pada tahun 2019. Integrasi sistem sokongan yang ‘seamless’ antara IPT seperti sistem perpustakaan yang membolehkan perkongsian maklumat dan bahan di antara semua IPT di Malaysia perlu diwujudkan melalui sistem data raya (big data) yang membolehkan perkongsian sumber antara para siswazah dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Usaha ini pernah dimulakan pada tahun 2019 dan mestilah diteruskan. Situasi pandemik dan pasca pandemik nanti akan menuntut usaha pengayaan bahan digital berteraskan perkongsian pintar antara IPT (sama ada IPTA mahupun IPTS) perlu dipergiatkan.

Mempertingkatkan budaya pencarian ilmu yang berfokus, berteraskan nilai

Selaras dengan kedudukan tinggi para akademia di mata masyarakat, konsep kepimpinan melalui tauladan perlu diketengahkan kepada pengurusan tertinggi-pensyarah-siswazah; sikap berintegriti perlu dijadikan budaya wajib dalam kehidupan dan hubungan sesama warga akademia mahupun antara pensyarah dengan siswa. Selain itu, sikap menepati masa adalah amat penting.

Para pensyarah juga mestilah sentiasa memyuburkan sikap dahagakan ilmu dan pemburuan ilmu yang tidak berkesudahan. Pencarian ilmu yang relevan pada setiap masa dan setiap tempat perlu dijadikan tema utama dalam kehidupan warga akademia.

Hal ini perlu diselarikan dengan perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 yang penggunaan “artificial Intelligence (AI)”, “internet of things (IOT) semakin memudahkan usaha pengayaan ilmu. Sehubung dengan itu, masyarakat kampus juga haruslah membudayakan sains dan teknologi sebagai suatu teras dalam cara hidup masyarakat.

Antara perkara yang sering merencatkan integriti dan juga kredebiliti para pensyarah ialah kegilaan menerbitkan kajian yang tidak berkualiti, melakukan plagiat dan juga pelbagai pengkhiantan ilmiah. Para pensyarah mestilah menghentikan budaya ‘berkongsi’ nama dalam kertas persidangan, makalah ilmiah atau jurnal walaupun tidak mempunyai sebarang sumbangan dalam penyelidikan. Jenayah ‘bonceng gratis’ ini mestilah diharamkan di kalangan para pensyarah. Berhubung hal ini, usaha pindaan terhadap Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 – Akta 605 adalah untuk memastikan kebebasan akademik sentiasa terjamin dan dalam masa sama memastikan integriti ahli akademik di negara kita dapat diperkukuhkan.

Pihak IPT juga hendaklah mempastikan pensyarah tidak mengikuti persidangan yang tidak bermutu, tidak berfokus dan tidak relevan dengan bidang kepakaran semata-mata ingin mengejar KPI dan juga memberatkan CV masing-masing. Pastikan para pensyarah kita menjadi pakar yang diperlukan dalam bidang tujahan masing-masing. Sebaliknya, para penyelidik dan pensyarah mestilah berusaha melakukan kajian-kajian yang memberikan impak kepada disiplin ilmu kepakaran mereka dan berusaha mendapatkan geran-geran yang berbentuk perpindahan teknologi dan relevan dengan arah tuju nasional.

Pemangkin dalam meningkat kualiti kehidupan komuniti

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, universiti haruslah memberikan manfaat kepada masyarakat. Kewujudan universiti itu sendiri adalah untuk menjadi obor penerang kepada masyarakat.

Maka, di zaman kita melaungkan ‘universiti untuk masyarakat’ dan ‘universiti sebagai medan intelektual terbuka’, universiti mestilah membuka pintu kepada masyarakat setempat untuk mengikuti kelas-kelas berkonsepkan perkongsian ilmu.

Universiti tidak harus terhad kepada para siswazah dan warga akademik semata-mata. Konsep pembelajaran sepanjang hayat harus dijadikan semangat untuk universiti dibuka kepada semua peringkat masyarakat.

Di samping itu, universiti juga harus terlibat dengan kajian, kegiatan dan juga usaha menyelesaikan masalah dalam masyarakat, sama ada melalui teknologi, sains kemanusiaan, ekonomi, politik mahupun kerja-kerja kemanusiaan.

Dengan aspirasi yang telah disebutkan, saya amat berbesar hati agar para pensyarah dan warga akademik keseluruhannya dapat bersama membangunkan semangat baru ini. Kita berhasrat untuk melihat wajah dan semangat baru bagi pengajian tinggi di Malaysia, yang pensyarah bukan lagi disikapi sebagai ‘cendekiawan’, tetapi ‘cendeki-awam’ dan ‘geliga-awam’.


MASZLEE MALIK ialah mantan menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS