Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum

Education is our passport to the future, for tomorrow belongs to the people who prepare for it today.

Malik Shabbaz (Malcolm X)

Mungkin ramai yang menganggap bahawa pandemik yang menular dalam negara kita sejak setahun lalu hanyalah sekadar isu transitori. Ia akan mereda selepas beberapa bulan, terutamanya setelah kita berjaya mencatatkan sifar jangkitan untuk beberapa hari pada tahun yang lalu. Namun, jangkaan itu meleset sama sekali setelah Malaysia, seperti mana beberapa negara dunia yang lain terpaksa berhadapan dengan siri gelombang-gelombang yang baru virus Covid-19.

Wabak merebak dan makin mengganas menyebabkan kita semua terpaksa berhadapan dengan beberapa fasa yang mencabar seperti PKP dan darurat yang tidak pernah kita jangka. Badan-badan antarabangsa seperti WHO, World Bank, Mc Kinsey dan lain-lain lagi meramalkan pandemik global ini paling segera pun akan reda di hujung tahun 2021 setelah ramai umat sesisi dunia mengambil vaksin.

Kesihatan, pekerjaan dan ekonomi sudah mengambil tempat masing-masing untuk dibahaskan. Tapi adakah kita serius membincangkan nasib anak-anak dan pendidikan apabila pelan tindakan jangka pendeknya berkali-kali dirombak? Dan pelan jangka panjangnya, terutama tindakan pascapancemik masih belum kelihatan. Lebih menyedihkan, solusi jangka pendek yang ditawarkan itu pun masih wujud kekeliruan, seperti dalam isu pengurusan sesi pembelajaran dalam talian dan pengendalian peperiksaan-peperiksaan nasional. Walhal, tidak sesiapa pun dapat menafikan bahawa pendidikanlah yang bakal menentukan masa depan negara melalui pembentukan sikap dan hala tuju generasi kita.

Laporan Unicef berkaitan kesan Covid-19 pada wanita dan kanak-kanak

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam laporannya pada November tahun lalu memberikan gambaran terburuk sekiranya isu pendidikan ini dikesampingkan dan tidak diberikan perhatian yang serius. Proses pembelajaran kanak-kanak yang terganggu sepanjang pandemik ini akan menciptakan sebuah malapetaka yang diberi nama ‘generasi yang tercicir.’

Generasi ini ialah kelompok malang yang tidak dapat bertahan dalam pandemik. Mereka tidak punya akses terhadap pendidikan berkualiti yang digerakkan teknologi. Mereka tidak faham mengapa mereka perlu belajar di rumah bukan di sekolah. Mereka tak nampak apa yang ada dalam sistem pembelajaran mereka. Mereka tiada motivasi kerana ekosistem pembelajaran mereka tidak kondusif.

Apa akan jadi kepada generasi ini nanti? Negara akan menghasilkan lambakan murid cicir. Perkembangan kognitif dan emosi mereka juga akan terganggu. Hal ini jika tidak diatasi dengan segera, serius, holistik dan bersepadu, akan membawa kepada kesan rantaian dan dampak domino kepada negara. Bersedialah kita untuk berdepan dengan bencana lebih dahsyat seperti pengangguran, peningkatan kes jenayah, kesihatan mental dan krisis moral yang membarah jika kerajaan berterusan tidak mengambil serius untuk menyikapi isu ini secara radikal dan efektif.

Mencipta jurang

Dalam situasi pandemik ini, kita terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada teknologi semata-mata tanpa mengambil kira alternatif dan wahana lain yang perlu diambil kerana jurang teknologi dan jurang ekonomi yang wujud di antara rakyat. Hal ini real, situasi ini merupakan realiti. Jurang pemilikan peranti, jurang akses kepada capaian internet, jurang literasi digital, malah ketidaksetaraan pemilikan harta dan kemampuan menjadikan rakyat Malaysia semakin dipisahkan oleh kesenjangan pendidikan yang semakin ketara di waktu pandemik ini.

Setakat laporan yang kami terima sepanjang mengerakkan inisiatif Selamatkan Murid Cicir di bawah gerakan Untuk Malaysia. Hanya isi rumah yang memperoleh pendapatan bulanan RM4,500 ke atas sahaja mampu untuk menyediakan gajet yang cukup kepada anak-anak. Dalam erti kata lain, hanya orang kaya sahaja yang boleh membeli pendidikan pada masa ini. Bagaimana pula dengan nasib anak-anak yang tidak berkemampuan? Adakah sasaran pendidikan kita tertumpu kepada golongan bergajet sahaja?

Bayangkan, ketika anak-anak yang berkemampuan di bandar sedang mengikuti pembelajaran atas talian di hujung jari, anak-anak di Kampung Waluhu pula harus mendaki bukit 150 meter untuk mendapatkan akses internet. Mereka harus berjalan kaki 30 minit setiap hari untuk menghantar tugasan dan mengikuti sesi pembelajaran. Bagaimana pula kalau hari hujan? Adakah mereka cukup motivasi untuk mendaki bukit demi mengetahui bagaimana menyebut huruf ‘A’, ‘B’, “C”?

Kita bantu kita

Rupanya teknologi pun tidak boleh menjadi sandaran paling utama untuk kita memastikan tiada murid cicir sepanjang pandemik ini. Jadi, apakah pilihan yang kita ada? Demi mengisi kelompongan itu, masyarakat sendirilah yang harus bangun dan lakukan sesuatu. Marilah bersama-sama kami demi memastikan tidak ada satu pun murid cicir dalam radius 10 kilometer dari kediaman kita. Dengan modul yang efektif, ayuhlah kita selamatkan anak-anak ini dan ajarlah mereka mengenal abjad dan angka.

Kita harus faham, kementerian memerlukan banyak masa untuk menstabilkan semula pelan pendidikan mereka. Namun untuk menyelamatkan anak-anak kita daripada tercicir akibat pengurusan yang tidak kompeten ini, kita sendiri boleh menggerakkan kudrat setakat apa yang kita ada demi memastikan generasi anak-anak kita tidak terjatuh dalam malapetaka yang lebih besar. Masa depan mereka adalah mesa depan kita jua.

Saya percaya, musibah ini besar, tetapi musibah ini hadir sebagai satu penggera kesedaran untuk kita melangkah ke depan dengan melihat apa yang lebih utama dan penting serta kesedaran untuk kita menggugurkan semua perbezaan demi menyelamatkan anak-anak kita bersama-sama sebagai warga yang cintakan masa depan cerah bagi nusa dan bangsanya.

Bersamalah membantu usaha menyelamatkan murid cicir bersama ‘Untuk Malaysia’…

Boleh layari bit.ly/tajamuridcicir untuk bersama menyelamatkan anak-anak kita.


DR MASZLEE MALIK ialah anggota parlimen Simpang Renggam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS