Di kalangan negara Eropah, Perancis adalah negara yang paling banyak mengalami serangan terroris. Hampir saban tahun serangan terroris berlaku di kota-kota ternama seperti Paris, Nice, Lyon dan Tolouse yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Malah siri-siri rusuhan juga berlaku antara golongan imigran dan penduduk tempatan. Persoalannya, mengapa keadaan ini berlaku? Sebenarnya ini adalah natijah dari kegagalan kerajaan Perancis menguruskan imigran yang dibawa masuk mahupun yang datang sejak kurun ke-17 masihi. Generasi pertama imigran yang bertapak di Perancis tidak mencetuskan permasalahan, akan tetapi pada generasi kedua dan ketiga inilah baru jelas kegagalan sistem pengurusan imigran di negara tersebut.
Perancis memiliki pelbagai kehebatan seperti menara ikonik Menara Eiffel, Muzium Louzre, Istana Versailles, Gereja Notre-Dame, gunung Mont-Blanc, roti Baguittes, Croissants, Macaron, lukisan Monet, Pisarro, Rousseou, arkitek Romanisque, Boroque. Dari aspek pemakanan dan gaya hidup, tidak asing nama-nama seperti Tefal, Cartier, BIC, Dior, Loreal, Chloe, Chanel, Elf, Garnier, IBIS, Danone, Accor, Lacoste, BNP Paribas, Novotel dan lain-lain lagi. Akan tetapi bukan semua produk Perancis ini adalah baik dan bermutu tinggi. Ada antaranya yang dihasilkan melalui manipulasi terhadap tenaga buruh di negara dunia ketiga dan juga imigran di Perancis itu sendiri. Wujud golongan miskin melarat dan kaya di negara yang dikenali sebagai kota cinta ini.
Negara Eropah paling banyak imigran
Melalui data French National Institute of Statistics (Insee), dianggarkan tidak kurang enam juta imigran berada di negara yang mempunyai populasi sebanyak 62 juta ini. Jumlah ini mewakili hampir 10% daripada keseluruhan penduduk Perancis. Data Uerostat pada 2016 pula menyatakan 11.8juta imigran berada di bumi Perancis - kira-kira 19% daripada jumlah penduduknya. Ini jumlah yang diambil kira daripada 5.3juta imigran langsung dan 6.5juta imigran yang mempunyai ayah atau ibu berstatus penduduk Perancis. Imigran dari kalangan Eropah berjumlah 5.5juta yang datang dari Portugal, Sepanyol, Itali dan Britain. Empat juta datang dari Afrika Utara dan dan Asia Barat. Kira-kira satu juta dari Afrika dan 400,000 Turkish-Kurdish.
Kehadiran imigran yang ramai ini menjadikan Perancis mempunyai status nombor satu sebagai negara Eropah yang diminati oleh imigran dari pelbagai pelusuk dunia. Malah penempatan imigran yang ramai di Perancis telah menjadi tarikan dan katalis kepada imigran lainnya. Keupayaan Perancis menampung imigran yang ramai ini sebenarnya diupayakan oleh liabiliti yang dimiliki semasa era penjajahan dahulu. Perancis tidak dapat lari dari menerima imigran ini yang telah berkongsi bahasa, makanan dan serba sedikit budaya yang dibawa mereka ketika menjajah negara-negara tersebut. Secara mudahnya, apabila kemasukan imigran terlalu ramai, menjadi sukar untuk Perancis mengasingkan imigran yang berstatus sah dan tanpa izin kerana persamaan bahasa dan budaya yang dimiliki mereka.
Permainan politik licik
Akan tetapi masalah besar menanti Perancis tanpa disedari. Sikap sambil lewa kerajaan Perancis terhadap isu imigran ini telah menjadikan masalah yang lain pula. Ditambah dengan suara-suara pejuang hak asasi dan kebebasan demokrasi ala Barat, maka akhirnya golongan imigran menjadi sangat ramai dan tidak dapat dikawal. Kerajaan Perancis juga dilihat gagal menguruskan imigran terutamanya dari segi asimilasi dengan budaya dan sistem setempat. Golongan imigran tertinggal dari segi sosioekonomi terutamanya pendidikan dan pekerjaan. Golongan imigran menjadi bebanan yang tak berkesudahan. Malah golongan imigran juga adalah penyumbang terbesar kepada kegiatan jenayah dan masalah sosial di Perancis. Pertembungan antara imigran dengan penduduk tempatan menjadi sangat signifikan dan acap kali berlaku. Konflik ini menyebabkan imigran dipandang hina dan dianggap pembawa masalah di dalam negara.
Keadaan ini menjadi semakin buruk apabila ahli politik dan pemimpin Perancis mengeluarkan kenyataan yang bersifat provokasi. Ini menjadikan suasana semakin tidak harmoni di Perancis. Isu berkaitan Quran, dan Nabi Muhammad adalah isu yang terlalu dekat dengan hati umat Islam. Maka apabila isu ini disentuh, ia akan mengakibatkan rasa tidak puas hati dan tindak balas luar batasan akan berlaku. Maka keadaan ini juga boleh diambil kesempatan oleh pimpinan politik untuk meraih sokongan dan memenuhi agenda tersembunyi. Macron dilihat cukup licik dalam strategi politiknya yang cuba meraih sokongan masyarakat dan pengundi berdarah Perancis dalam pilihan raya akan datang. Presiden Emanual Macron menggunakan taktik Donald Trump dan Boris Johnson dalam manisfesto politiknya yang tidak mesra imigran. Ini adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan penyatuan dan sokongan 80-90% di kalangan rakyat berketurunan Perancis dan menolak warga imigran yang hanya mewakili sekitar 10-20% dari keseluruhan warganya.
Lempar batu sembunyi tangan
Macron sama sekali dilihat tidak cuba menyelesaikan isu imigran ini dengan berhemah. Akan tetapi apa yang ingin dicapainya adalah mencipta peluang atas konflik yang berlaku. Permainan politik di atas garis perkauman, agama dan pendatang adalah strategi ampuh yang bakal membuahkan kejayaan dalam sistem politik demokrasi. Sentimen nasionalis dan agama perlu dibangkitkan agar masyarakat dapat bersama-sama menolak golongan imigran yang dianggap sebagai masalah dan dalam masa yang sama membuahkan sokongan yang padu. Macron dan ramai pemimpin politik sebenarnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat extrem dan radikal walaupun mereka tidak mengakuinya.
Kenyataan-kenyataan ultra yang dibuat sama sekali tidak mendatangkan keamanan dalam negara akan tetapi mencetuskan pertikaian dan mencipta lebih banyak insiden kerosakan. Ia juga disambut oleh pelbagai pihak yang memusuhi Islam lainnya di seluruh negara Eropah dan Amerika termasuklah penerbitan semula karikatur nabi Muhammad dalam majalah Charlie Hebdo. Ini secara tidak langsung akan memberikan laba yang lebih baik dan promosi tidak langsung kepada media-media yang memusuhi Islam. Majalah dan apa-apa sahaja terbitan Barat memerlukan instrumen untuk menaikkan jualan mereka, caranya adalah dengan mencipta konflik dan mensensasikan sesuatu isu termasuklah dalam kes imigran Perancis dan tindakan ganas umat Islam. Ketika mereka menyerang agama Islam dan imigran, itu dinamakan sebagai kebebasan bersuara dan hak asasi manusia mereka. Pada masa yang sama mereka menyekat pemakaian niqab dan bertudung, menafikan hak tidak bersalamanan dan lain-lain lagi kerana dianggap sebagai radikal dan terroris. Ini yang dinamakan double-standard atau lempar batu sembunyi tangan.
Akan tetapi bagi pemimpin seperti Macron, mereka tidak sama sekali inginkan keadaan itu menjadi baik. Kenyataan beliau yang cuba menjadikan masyarakat imigran sebagai bahan belasahan adalah sesuatu yang disengajakan. Kenyataan beliau tentang Islam sebagai agama dalam krisis dan bermasalah bukan sahaja mencetuskan pertikaian di Perancis malah menjangkiti semua umat Islam di seluruh dunia. Beliau telah menjangkakan keadaan ini akan wujud, dan beliau sama sekali tidak mahu mengakui kesalahannya.
Protes cara bijak
Dalam keadaan ini, seharusnya umat Islam tidak bertindak dengan mencipta lebih banyak konflik dan pertikaian. Umat Islam seharusnya lebih bijak dalam mengawal keadaan dan menolak sikat ekstrem dan radikal. Tindakan merosakkan kedutaan Perancis, membakar bendera dan gambar Macron adalah tindakan tidak bijak dan hanya memberikan keuntungan yang lebih kepada Perancis dan musuh-musuh Islam. Malah lebih teruk, ia akan memberikan nama buruk kepada Muslim dan imej yang tidak baik ke atas agama Islam.
Cara yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam pada ketika ini adalah dengan melakukan tindakan diplomasi dan protes secara senyap tapi bijak. Kerajaan-kerajan Islam harus menggunakan saluran politik untuk menekan Perancis dan memanggil duta mereka untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap apa yang dilakukan oleh Macron. Kekesalan perlu dizahirkan akan tetapi jangan cipta konflik terutamanya bagi negara-negara yang lemah dan bergantung kepada Barat. Perlu bijak memain isu agar hasrat tercapai tanpa konflik yang merosakkan.
Selain itu, kuasa beli yang dimiliki oleh hampir 1.4bilion umat Islam harus digerakkan dengan memboikot produk-produk Perancis. Ini akan melemahkan bukan sahaja Perancis malah mana-mana negara yang cuba merosakkan imej Islam dan mencetuskan provokasi. Mereka perlu diajar dengan ekonomi, kerana mereka mampu bertindak di luar batasan disebabkan kemampuan ekonomi yang dimiliki. Maka sekatlah talian hayat mereka ini, dengan itu mereka akan lemah dan diberikan pengajaran yang sebaiknya. Pemboikotan oleh negara tidak pantas dilakukan kerana akan menjadi isu diplomatik, akan tetapi NGO dan pertubuhan-pertubuhan yang ada di negara-negara Islam harus memainkan peranan mereka dengan cekap dan pintar.
PROF DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.