Paling Popular
Terkini

Dalam usaha untuk menjadikan Kuantan sebagai sebuah bandar yang terurus, suatu masa dahulu pihak berkuasa tempatan memutuskan bahawa semua penjaja makanan hendaklah ditempatkan di kawasan khas.

Mungkin ia dilakukan untuk menjaga kebersihan bandar tersebut, dan juga memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan juga pelanggan.

Kuantan pada tahun-tahun berkenaan pernah dinobatkan sebagai bandar paling bersih. Maka ia sering dilawati oleh anggota perbandaran dari luar negara.

Kerana usaha itu jika kamu ke Kuantan, tidak terdapat sebarang penjaja makanan sepertimana yang ada di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur misalnya.

Kegiatan yang biasanya menjadi identiti kebanyakan bandar tumpuan pelancong di negara kita itu dihapuskan terus oleh pihak berkuasa tempatan Kuantan.

Peniaga kemudiannya ditempatkan berpusat di medan-medan selera yang dibina khas oleh pihak berwajib.

Pada satu ketika kami dapati Kuantan adalah daerah yang paling banyak mempunyai medan selera.

Kena sewa tempat lain

Setelah beberapa lama berlalu, hanya tinggal dua atau tiga medan selera saja yang masih aktif. Paling mendapat sambutan ialah Medan Selera Taman Sepakat.

Ia kini menjadi antara medan selera yang sering dipenuhi pelanggan setiap malam.

Kami sendiri adalah pelanggan tetap gerai Deena yang menyediakan pelbagai jenis makanan.

Secara peribadi, kami menganggap sos lada hitam di gerai tersebut adalah antara yang terbaik tersedia di bandar Kuantan.

Namun hari ini, gerai Deena dan semua peniaga di medan selera berkenaan diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa tempatan. Alasannya tapak medan selera yang berusia hampir 20 tahun itu dibina di atas tanah rezab jalan.

Segala perbincangan dengan pihak berkuasa oleh para peniaga di tapak medan selera tersebut setakat ini nampaknya gagal menemui penyelesaian.

Akhirnya peniaga yang sudah sekian lama membina nama di tempat tersebut terpaksa berpindah juga. Mereka perlu menyewa di tempat lain.

Pada musim segalanya serba susah dan sempeti seperti sekarang ini, membebankan peniaga dengan menyuruh mereka memulakan kembali apa yang telah mereka usahakan selama berpuluh tahun adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Berpindah ke tempat baru bermakna peniaga perlu mengeluarkan belanja untuk membayar deposit sewa kedai yang baru, di samping terpaksa mencari tapak yang sesuai bagi menjamin kedatangan pelanggan sepertimana yang telah mereka usahakan sebelum ini.

Medan Selera Taman Sepakat mungkin akan hanya tinggal kenangan. Namun adalah lebih baik sekiranya apa saja tindakan yang mahu diambil mengambil kira juga untung rugi kehidupan mereka yang kita sabitkan dengan kepayahan seperti ini.

Kita yang dibayar gaji bulanan untuk memudahkan rakan kita yang menunggu gaji daripada pelanggan seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

Deena Western Food kini berpindah di deretan rumah kedai di belakang restoran makanan segera di Sungai Isap. Dengan sewa yang tentu saja lebih mahal, mereka tidak tahu berapa lamakah ia akan bertahan di sana.

Sementara itu gerai Kaler Maler yang terkenal dengan yong tau foo dan gerai Satay Ustaz tidak diketahui sama ada masih meneruskan perniagaan di tempat lain atau telah menutup perniagaan mereka.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara yang suka menghabiskan masa di medan selera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS