Paling Popular
Terkini

Baru-baru ini, ada laporan bahawa Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad ada mengadakan program santuni golongan transgander. Gambar juga tersebar dalam media sosial.

Saya mencari komen-komen negatif di laman Facebook. Sebab, saya teringat komen negatif yang diberikan kepada Dr Mujahid Yusof semasa beliau menjadi menteri agama dahulu. Komen negatif itu dilemparkan terhadapnya walaupun dia bertindak sepertimana bertindaknya menteri agama Perikatan Nasional (PN).

Sekadar pencarian, saya tidak jumpa komen negatif. Yang saya jumpa adalah komen sindir sinis sebilangan pendokong Pakatan Harapan (PH). Sindir dalam membandingkan tindakan menteri agama kerajaan PN dengan tindakan menteri sama dalam kerajaan PH dahulu.

Apa yang dilakukan oleh Dr Mujahid itu diteruskan oleh Dr Zulkifli. Cuma, masing-masing mendapat komen yang berbeza. Dr Mujahid cukup tidak bernasib baik dalam hal ini, walaupun apa yang dilakukan oleh Dr Zulkifli itu meneruskan dengan apa yang Dr Mujahid lakukan.

Kenapa?

Bukan senang hendak menjawab persoalan yang menggunakan lafaz “kenapa”. Kalau dalam wacana akademik, soalan ini dijawab oleh ahli falsafah. Dalam wacana agama, ia soalan berbentuk maqasid syariah.

Bagaimanapun, saya teringat beberapa perkara dalam hal ini. Pertama, satu ceramah yang pernah disampaikan oleh allahyarham Ustaz Ismail Kamus. Dalam ceramah beliau ada menyebut berkenaan hukum memakai baju yang ada gambar tengkorak. Hukumnya harus.

Pun begitu, apabila dilihat kepada siapa yang pakai, hukumnya akan jadi lain. Kalau yang pakai itu budak-budak rock, orang tak ambil pusing pun. Tetapi, kalau yang pakai itu adalah seorang ustaz atau seorang tuan guru, hukum harus itu mungkin menjadi pertikaian.

Hakikatnya, hukum itu tidak berubah. Yang berubah itu, apabila manusia menilai berdasarkan persepsi dan perspektif mereka. Hukum itu bukan hukum tuhan, tetapi hukum yang manusia tetapkan. Hukum yang manusia tetapkan itu diambil kira dalam masyarakat. Hukum tuhan pula, ia kekal sebagai hukum yang termaktub dalam kitab.

Perkara yang kedua yang saya terfikir pula adalah, siapa yang mencetuskan komen negatif semasa Dr Mujahid menyantuni mak nyah? Ketika itu, Pakatan Harapan adalah kerajaan yang memerintah. Kerajaan yang dituduh dikuasai oleh Cina. Walaupun perdana menterinya adalah Dr Mahathir Mohamad yang berbangsa melayu, tetapi kerajaan itu dianggap dikuasai oleh Cina. Pada mereka, Cina itu adalah DAP, dan DAP itu adalah Cina, walaupun tidak sedikit orang Cina bersama parti MCA.

Namun, kelompok yang memainkan isu itu telah menjadi penyokong kerajaan yang memerintah. Mujur pendokong Pakatan Harapan tidak gemar dengan perkauman. Jika ada yang gemar pun, pasti akan dihentam sedemikian rupa. Dengan sebab itu, isu perkauman semakin hari semakin tidak relevan di era PN. Tidak relevan kerana pemain isu ini kini sudah jadi pendokong kerajaan.

Rakyat yang bijak

Sebelum ini, bising sekejap isu troll, menganjing, apabila ada pemimpin PH mula meniru Najib Razak menganjing. Saya secara peribadi merasakan menganjing ini bukan budaya yang sihat. Menganjing itu tidak lain kecuali mahu melahirkan kemarahan. Ia tidak membijakkan rakyat dalam menilai fakta.

Mujur amalan pemimpin PH itu tidak berkembang. Hanya sekejap sahaja tersebar di media sosial. Mungkin mereka tidak akan menang berlawan dengan menganjing Najib, kerana bekas perdana menteri itu punya kebolehan menganjing jauh lebih maju berbanding mereka.

Saya berpendapat, budaya politik sihat perlu dimulakan dari pemimpin PH, walaupun, kita tetap berharap agar budaya sihat itu dilakukan oleh semua parti politik di Malaysia.

Saya percaya, ramai rakyat Malaysia mahu politik baru. Dengan sebab itu, permulaan PH menjadi kerajaan, rakyat wacanakan maksud Malaysia baru. Rupa-rupanya jenama “Malaysia baru” itu tidak lebih sekadar propaganda. Dalilnya kita dapat lihat permainan politik masih dalam laras bahasa orang tua. Kita tidak lupa terma “Melayu malas”, “Cina naik tocang” dan “India semakin melampau” yang tersebar luas.

Rakyat perlu dibijakkan, bukan dimandomkan. Kalau rakyat bijak, sudah pasti bukan Dr Zulkifli sahaja dianggap pendakwah, bahkan Dr Mujahid juga dianggap pendakwah.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS