Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ebit Lew adalah seorang usahawan, motivator dan juga pendakwah bebas tersohor di negara kita dan Singapura. Kerja-kerja kebajikan yang beliau lakukan khususnya ketika Malaysia dalam kuarantin baru-baru ini sungguh membuka mata banyak pihak.

Ada sebuah karya beliau, yang ditulis bersama saudaranya, Rahman Lew, dengan judul Menelusuri Cinta (2015) begitu menarik perhatian saya. Karangan beliau, atau mereka, ini bukanlah mengenai cinta-cintun murahan tentunya. Akan tetapi ia seputar tahap, proses, bagaimana dan mengapa perlu untuk kita berusaha meraih cinta abadi, cinta sejati, dan cinta tulen Sang Pencipta.

Ada sebuah babak yang sungguh menarik untuk dibabadkan di sini. Judul bab dalam buku itu ialah ‘Di Mana Islam Tertegak’. Ebit, memperihalkan kisah menyayat hati yang menimpa ahli keluarga Rasulullah SAW untuk menegakkan agama, dan terkorban di tangan ‘musuh Allah’.

Ebit menulis begini:

“Paling sayu bila teringatkan kisah bagaimana ahli keluarga Nabi SAW mati demi memperjuangkan Islam. Keteguhan mereka dalam mempertahankan iman dan kebenaran hingga terkorban jiwa di tangan musuh Allah SWT.”

Bab ini sebetulnya merungkai dan mengisahkan kejadian pembunuhan Saidina Hussein bin Ali, cucu Nabi Muhammad saw di Karbala pada 10 Muharam 61 H dalam satu pertempuran yang tidak seimbang. Seramai 20 ribu orang tentera Yazid Muawiyah bawah pimpinan Ubadillah bin Ziyad dan Umar bin Saad bertembung dengan 72 orang rombongan ahli keluarga Rasulullah SAW, dan sahabat handai mereka.

Sempena 10 Muharam pada Ahad lalu, maka saya kira molek saya menurunkan pandangan atau kisah dibawakan oleh Ebit Lew ini untuk penghayatan kita bersama.

Ebit menceritakan bagaimana rombongan Saidina Hussein telah dikepung di Karbala, disekat bekalan makanan serta air minum, selama 10 hari dan usaha untuk mendapatkan air demi menghilangkan dahaga digagalkan dan terus digagalkan oleh pasukan musuh. Bayangkan kesukaran dan kesusahan yang mereka lalui.

Ebit mencatatkan begini:

“Tidak dapat digambarkan penderitaan yang ditanggung oleh Abdullah bin Hussein bin Ali RA yang masih kanak-kanak terpaksa menahan rasa dahaga yang amat sangat. Saidina Hussein RA merayu supaya anaknya dapat mengambil air untuk menghilangkan dahaganya. Anak kecil keluarga Nabi SAW ini dipanah oleh orang yang zalim. Hampir seluruh keluarga Rasulullah mati dipancung dan dizalimi oleh tangan-tangan sang penzalim.”

Akan tetapi usaha untuk mendapatkan air, khusus oleh Abal Fadzl menemui kebuntuan. Adik sebapa Saidina Hussein itu disergah dan diterkam musuh, dan dipotong kedua belah tangannya hingga kudung menyebabkan kantung air yang dibawanya terlepas.

Haus 10 hari di padang pasir

Peristiwa ini menyebabkan anak-anak Saidina Hussein menderita kehausan di tengah padang pasir selama 10 hari. Puncaknya ialah pada hari Asyura. Ebit mengisahkan bagaimana Sukainah, anak perempuan Saidina Hussein bergegas mendapatkan ayah dengan harapan beroleh air. Malangnya, Sukainah bukan beroleh air; tetapi mayat bapanya yang suci.

Tulis Ebit:

“Saidatina Sukainah, anak perempuan Saidina Hussain RA semasa dalam berada dalam khemah begitu gembira apabila mendengar tapak kaki kuda ayahnya pulang. Seperti biasa dia keluar berlari menyambutnya. Tapi beliau menangis dan menjerit, ‘Wahai Ayahku Saidina Hussain RA (cucu Nabi SAW yang pernah dicium dan selalu di pangkuan Nabi SAW) dalam keadaan kepalanya dan jasadnya terpisah.’”

Ebit seterusnya melanjutkan bagaimana cicit Rasulullah SAW, Ali Zainal Abidin mengalami trauma yang dahsyat ekoran kejadian di Karbala pada hari Asyura itu. Ebit menggarapnya seperti di bawah:

“Bukan seorang malah seluruh ahli keluarganya yang lelaki dibunuh dengan kejam kecuali Imam Ali Zainal Abidin yang meninggal kerana menderita sakit yang sangat teruk. Hinggakan beliau tidak mampu untuk berdiri. Seluruh ahli keluarga beliau diikat dengan rantai besi di leher dan seluruh anggota. Apabila ditanya Imam Ali Zainal Abidin (yang menangis setiap malam dengan dahsyat), katanya Nabi Yaakub buta kerana hanya mendengar berita kematian Nabi Yusuf yang sebenarnya masih hidup. Manakala aku dengan mata ini sendiri telah melihat seluruh ahli keluargaku dipancung.”

Di dalam perenggan di atas, selain merakamkan nestapa cicit Rasulullah SAW yang diberi gelar as-Sajjad itu, Ebit juga menyentuh satu hal yang sangat mustahak. Iaitu menangis. Menurut Ebit, Nabi Yaakub sendiri menangis maka mengapa tidak Imam Sajad? Satu hal tidak diungkapkan oleh Ebit ialah menangis adalah merupakan satu sunnah para Nabi. Malah tidak keterlaluan disebutkan air mata atau tangisan telah membantu menegakkan agama Islam.

Mungkin itulah sebabnya, Ebit dalam perenggan seterusnya di dalam bab tersebut menegaskan, betapa budaya tangisan atau menangis ini sangat bermakna dihidupkan kembali. Oleh sebab terlalu leka dan hidup suka-suka, anak-anak kita tidak lagi mengenali penderitaan dan pengorbanan Saidina Hussein, cucu Nabi Muhammad untuk membawa reformasi politik dan meluruskan semula agama Islam yang telah dipesongkan oleh agamawan remeh temeh atau apa yang saya panggil agamawan Liverpool.

Kata Ebit begini:

“Hargailah nikmat Islam dan sunnah Nabi SAW. Bagaimana kita masih tidak mampu menangis sedangkan sunnah Nabi SAW telah pupus dan lenyap dari kehidupan kita. Hari ini anak kita mengenali dengan dekat seorang pemain bola yang tidak pernah beri walau sesuap nasi pun pada kita, tetapi masih tidak kenal nama anak dan cucu baginda SAW.”

Kesesatan ikon

Kata-kata Ebit ini amat menghiris. Pemuda negara zaman ini misalnya kesesatan ikon. Mereka menjadikan pemimpin yang salah sebagai ikon, misalnya sang ikon Miti. Atau menjadikan penyanyi K-Pop sebagai ikon. Lebih haru menjadikan ulama remeh- temeh, pemimpin korup, dan menyayat hati; atau menjadikan selebriti palsu selaku ikon. Padahal cucu Nabi Muhammad saw terbunuh untuk menegakkan Islam.

Sayang sekali keluarga Rasulullah SAW yang disebut oleh Ebit sebagai demikian sederhana menjadi mangsa kelas pemerintah kejam. Ebit menyinggung perihal Fatimah dan Ali yang tidak cukup makanan dalam bab ‘Apabila Dakwah Ditinggalkan.’ Bandingkan dengan kepimpinan dengan nama agama yang lencun GLC.

Usaha kecil Ebit Lew untuk memugar kembali sejarah yang terjadi di Karbala amat penting dihargai. Tidak ramai yang berani masuk ke daerah ini kerana bimbang dikecam atau kehilangan pengikut. Ini kerana memasuki daerah asing ini, iaitu menyuarakan mengenai perjuangan Saidina Hussein akan selalu disalahertikan, atau ditohmah macam-macam. Ini kerana budaya Islam Ahli Sunnah wal Jamaah kita hari ini telah dicemar oleh unsur Wahabi tanpa disedari masyarakat.

Lukisan menggambarkan peperangan Karbala oleh Abbas Al-Musavi milik Muzium Brooklyn, Amerika Syarikat

Ebit bagaimanapun melakukannya - mengisahkan tragedi Karbala - dengan selamba dan bersahaja. Di hari Asyura ini, mengapa tidak kita menyahut seruan Ebit Lew dan Rahman Lew supaya membetulkan semula duduk letak kerangka minda kita.

Ebit Lew dalam satu bab lain menyatakan kepentingan menjadikan ahli keluarga Rasulullah SAW sebagai pedoman, kata beliau dalam bab ‘Kuasa Usaha dan Redha’:

“Bacalah dan hayati kisah anak Nabi SAW semuanya terutama kisah Zainab RA, Fatimah RA, Hassan dan Husin RA. Betapa mereka sayang dan inginkan kebaikan untuk manusia. Kerana mereka faham tujuan hidup yang sebenarnya.”

Harus diingat Zainab di sini adalah Zainab cucu Rasulullah saw, adik Saidina Hussein yang ikut berada di Karbala menyaksikan kejadian menyayat hati itu. Zainab inilah yang akan bersyarah sebagai feminis agung mematahkan hujah Ubaidillah bin Ziyad, Umar bin Saad malah Yazid bin Muawiyah. Namun, berapa ramai antara kita yang kenal kesrikandian Zainab?

Kita sahut inti dalam bab ‘Di Mana Islam Tertegak’ oleh Ebit Lew itu, untuk mencari dan membongkar misteri siapakah penzalim membuat onar terhadap agama Islam dengan membunuh cucu Rasulullah SAW. Siapakah mereka, musuh Allah ini?

Cukup-cukuplah kita menjulang ikon salah. Sangat penting kita menelusuri cinta, dan cinta yang dimaksudkan itu adalah cinta hebat pemuda yang akan menjadi penghulu syurga kelak. Inilah ketua armada Islam. Inilah ketua satria kita.

Namanya Hussein bin Ali Thalib.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS