Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Dong Zong hanya memperjuangkan isu Cina”, demikianlah persepsi yang terpahat dalam kalangan masyarakat Melayu secara umum.

Apa tidaknya, Dong Zong jarang tampil dengan imej positif dari kaca mata kebanyakan orang Melayu. Tulisan Jawi? Tolak! Sekolah Wawasan? Bantah!

Bukan sahaja pendirian Dong Zong dipertikaikan, malah kenyataan media untuk menyatakan pendirian itu pun boleh mengundang pertikaian. Kita masih ingat bagaimana beberapa kesalahan tatabahasa dikesan dalam kenyataan medianya, sehingga dijadikan bukti untuk “mengesahkan” tuduhan bahawa sememangnya Dong Zong meremehkan isu penguasaan bahasa Melayu.

Serangan sedemikian tidak dituju kepada Dong Zong sahaja, tetapi ada kalanya dipukul rata ke atas masyarakat Cina. Pernah sekumpulan siswa Cina tersilap mengeja “rakyat” sebagai “raykat” dalam plakad rekaan mereka, lantas diperolok-olokkan di laman sosial media. Jikalau diteliti, lawak ini bukan untuk tujuan jenaka semata-mata, tetapi ada maksud tersirat untuk menstereotaipkan Cina sebagai kelompok etnik yang gagal menguasai bahasa rasmi negara.

Sesungguhnya, persepsi negatif ini tidak wujud tanpa sokongan fakta, cuma ada kalanya ia diperbesar-besarkan dengan prejudis yang ditanam dalam masyarakat. Tidak dinafikan bahawa terdapat kelompok Cina yang gagal menyesuaikan diri di atas bumi yang dipijak, tetapi semestinya bukan semua Cina mengambil sikap untuk mengasingkan diri dari tanah air ini.

Dalam satu tulisan berjudul Transformasi Dong Zong di ruang pojok ini pada Januari 2020, saya cuba menggambarkan bagaimana sekumpulan pemimpin Dong Zong berikhtiar untuk membawa perubahan dalam pertubuhan Cina yang diasaskan sejak tahun 1954 ini. Cabaran mereka adalah untuk memastikan perubahan ini tidak terlalu ke depan sehingga ditolak penyokong tradisional di peringkat akar umbi. Cabaran kita pula, bagaimana satu suasana diwujudkan, agar tembok yang tertimbun dengan syak wasangka dalam komuniti masing-masing diruntuhkan, diganti dengan jambatan yang terbina atas kepercayaan sesama kita?

Kelas Bahasa Melayu

Pada 11 Ogos yang lalu, satu kelas penulisan bahasa Melayu diadakan untuk penyertaan kira-kira 25 orang petugas daripada pertubuhan Cina, termasuk Dong Zong (gambar di atas). Meskipun bukan calon terbaik, saya menerima undangan untuk berkongsi petua-petua bagaimana penulisan bahasa Melayu boleh diperbaiki dan dipertingkatkan.

Di luar jangkaan saya, petugas-petugas sekretariat yang menyertai kelas ini bukan sahaja datang daripada Dong Zong, tetapi beberapa pertubuhan Cina seperti Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Yayasan Tan Kah Kee, juga Persatuan Graduan Universiti dan Kolej China. Pimpinan pertubuhan-pertubuhan tersebut menyedari kepentingan interaksi merentasi batas bahasa, pada masa yang sama, peka terhadap kritikan dan sindiran yang melambak di media sosial, kononnya kenyataan media mereka ditulis dengan susunan bahasa yang lintang-pukang.

Padahal, kelas ini dirancang lebih awal, cuma tergendala lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19. Tinjauan sebelum ini mendapati bahawa tidak kurang dalam kalangan Cina keberatan untuk menulis dalam bahasa Melayu, kerana bimbang kesilapan tatabahasa mereka dijadikan bahan jenaka, malah serangan ke atas komuniti Cina.

Saya terkesan dengan pengakuan sedemikian, kerana fenomena sindir-menyindir ini, sama ada sengaja atau tidak, menambat langkah mereka untuk menggunakan bahasa Melayu. Ia berakhir dengan kesudahan yang “mengiyakan” tuduhan kita, bahawa “sememangnya komuniti Cina tidak menggunakan bahasa Melayu”, tanpa menelusuri puncanya. Umpama sindiran sesama kawan apabila bertutur dalam bahasa Inggeris di zaman sekolah, ia menghakis keyakinan kita untuk menguasai bahasa tersebut, dan akhirnya bahasa antarabangsa ini kekal sebagai kelemahan kita apabila dewasa.

Menadah yang rebah

Apapun tuduhan yang dilontarkan, Dong Zong mengorak satu langkah yang tepat. Hakikatnya, mereka telah mengambil beberapa inisiatif yang murni sepanjang musim pandemik Covid-19, yang mungkin terlepas pandang oleh kita.

“Menadah yang rebah” (bawah), satu kutipan derma kilat telah dilancarkan bersama Dong Zong dan KLSCAH dalam kalangan pimpinan mereka, untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada seorang jururawat yang gugur di barisan depan ketika memerangi wabak Covid-19.

Saya berkesempatan untuk mengikuti perbincangan mereka, yang menarik untuk dikongsikan. Tiada pertikaian untuk menghulurkan derma, tetapi ada keraguan dalam bab angkanya, yang mungkin disebabkan mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Jikalau angkanya terlalu kecil, dikhuatiri bantuan itu tidak kesampaian untuk meringankan beban keluarga; jikalau angkanya terlalu besar, dibimbangi pula ia mengundang tafsiran yang pelbagai, khususnya yang negatif. Mungkin “Cina saja nak tunjuk mereka kaya”, atau hujah perkauman yang mengguris hati, “Melayu korbankan nyawa, Cina hulurkan wang sahaja”— sungguhpun kita sedar, jikalau tiada ada-apa yang dilakukan, Cina akan dituduh “bersahaja dengan pengorbanan Melayu”, oleh sesetengah netizen.

Masuk bab “publisiti”. Tujuan asalnya adalah untuk menyeru agar lebih ramai menghulurkan bantuan – sebagai jawapan kepada pertikaian “berapa mangsa yang boleh dibantu dengan angka derma yang sama, jika ada”. Hasratnya, “kami membantu dahulu keluarga mangsa ini”, dan diharapkan lebih ramai menyahut usaha ini, jikalau berlaku lagi tragedi seumpama ini.

Namun demikian, boleh jadi langkah ini ditafsirkan sebagai “menagih publisiti murahan”. Maklumlah di alam maya, komen seperti “ada udang di sebalik batu” boleh ditemui di merata-rata – sedar atau tidak – mematahkan semangat mereka yang terpanggil untuk menderma.

Bukan itu sahaja, mereka perlu berdepan dengan masyarakat Cina, yang mana ada antaranya, boleh tahan juga sikap sinis dan perkaumannya – “Saja untuk mengambil hati Melayu”, “Mengapa tidak derma kepada Cina yang memerlukan?”, malah ada komen yang lebih membingitkan telinga, dengan prejudis dan prasangka buruk yang menjadi-jadi.

“Kalau kita yakin bahawa inisiatif ini adalah usaha yang murni, kita teruskan sahaja. Jika pun ada kritikan, kita perbaiki pada masa depan.” Mujur inilah kata putusnya, menyumbang kepada pembinaan sebuah masyarakat yang saling membantu tatkala berdepan dengan krisis.

Bedah Buku: Mitos Pribumi Malas

Langkah Dong Zong tidak terhenti di situ sahaja. Satu program bedah buku sedang diusahakan, dan bakal diadakan pada jam 8 malam, 18 Ogos 2020, dengan siaran langsungnya melalui media seperti Kinitv. Apa yang menarik, buku yang dibedah adalah karya terpilih tokoh intelek tersohor, Allahyarham Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Pribumi Malas.

Tiada yang luar biasa, andainya program ini diadakan di universiti awam, atau pertubuhan Melayu. Namun jikalau ia ditelaah dalam konteks masyarakat Cina, usaha yang dipelopori bersama oleh Dong Zong, KLSCAH, Yayasan Tan Kah Kee dan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG ini sungguh bermakna.

Maklumlah, dua retorik yang sering diulangi, “Melayu malas” dan “Cina kaya”, di samping label prejudis seperti “India mabuk”. Masyarakat Cina akan melenting apabila dilabel “kaya”, kerana bukan semua Cina kaya, dan jika pun kaya, mereka menganggap itu atas curahan keringat sendiri. Tetapi ramai dalam kalangan Cina akan bersetuju, jikalau Melayu dituduh malas.

Situasinya tidak berbeza dalam kalangan masyarakat Melayu. Berasa terhina apabila dilabel malas, tetapi mengangguk kepada retorik “Cina kaya”, untuk menjustifikasikan dasar afirmatif berasaskan etnik.

Namun, apakah retorik lapuk sedemikian tidak harus dikaji dan dinilai semula? Sedangkan ia adalah lanjutan propaganda penjajah, belum lagi mengambil kira senario yang berbeza sejajar dengan peredaran zaman. Apakah label perkauman sedemikian membantu untuk membina Malaysia yang lebih baik, atau merobekkan lagi hubungan antara etnik di sebaliknya? Tatkala politik tanah air menjadi kalut dan menemui buntu, lantaran tiada kepercayaan antara kaum, bukankah masyarakat sivil harus menerokai jalan keluar, untuk mengubah status quo ini?

Kita sedia maklum, perubahan tidak datang sekelip mata. Tiada jaminan bahawa Dong Zong akan meluncur di “landasan yang betul” selepas ini, kerana proses perubahan itu berliku-liku, ada kalanya mara tiga langkah ke depan, dan ada kalanya mundur selangkah ke belakang.

Apapun, perubahan ini berlaku susulan tindak balas sesama kita. Jikalau usaha positifnya disambut baik, maka mereka lebih yakin untuk mengorak langkah seterusnya. Jikalau inisiatifnya disambut hambar, malah dibalas dengan sindiran, pimpinannya akan teragak-agak untuk terus maju. Lebih-lebih lagi, mereka akan berdepan dengan tekanan daripada golongan komuniti Cina yang lebih selesa dalam kelompok sendiri, dan enggan melapangkan dada untuk meraikan kepelbagaian tanahair ini.

Dengan kata lain, sama ada transformasi Dong Zong berjaya atau tidak, kita antara faktor penentunya. Masyarakat kita hanya akan menjadi lebih baik, seandainya anggota-anggota masyarakat berikhtiar untuk menjadikannya lebih baik.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS