Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Lebih sepuluh tahun lalu, saya menyeberang lautan dan melanggar deruan angin dan badai untuk terbang ke Kota Kinabalu. Dalam ingatan saya ada seorang teman – namanya Albert Kok – menunggu di lapangan terbang. Albert adalah kawan di sekolah rendah yang kemudian berkahwin dengan seorang wanita Sabah dan berpindah ke sana. Itu kali terakhir saya menemui sosoknya.

Wajah Albert iras-iras bintang filem Hong Kong, Aaron Kwok. Meskipun sudah hampir lima puluh tahun, dia masih lawa.

Saya sering mengusik beliau – Albert Kwok – nama seorang pejuang. Dia, teman saya itu bagaimanapun ingin lebih dikenali sebagai Aaron Kwok, kerana dia merasakan dirinya kacak segak kerana berjaya menambat hati seorang wanita tempatan Sabah yang jelita. Mereka tidak punya anak meskipun berkahwin lebih dua puluh tahun.

Namun kata Albert selalu, “Aku gembira. Aku tetap merasa cukup.”

Saya tahu nadanya penuh dan ikhlas. Dia tidak menyalahkan isteri, atau diri.

Mata saya ada wajah Albert yang ranum itu. Terkerlip sekali dengan mesej isterinya. Saya mendapat berita sayu daripada isteri Albert, bahawa teman saya itu sudah meninggal dunia kerana strok hujung minggu lepas. Serasa-rasa hati saya ditebuk dan dibiar terdedah begitu.

Seorang guru berdedikasi, mengajar dan berlelah penat. Saat sekolah akan dibuka, dia terkejar ke sana sini untuk memberi yang terbaik buat anak-anak. Albert mengutus mesej lewat bulan lalu yang dia berasa kasihan dengan anak-anak yang tercicir pelajaran ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik melanda dunia.

“Aku mesti melakukan yang terbaik untuk anak-anak bangsa. Anak bangsa Malaysia.”

Dan saya menjawab, “Semestinya, kerana kau Albert Kwok.”

Dia membetulkan dengan gesit, “Aaron Kwok.”

Tidak ramai di Semenanjung pernah mendengar nama Albert Kwok.

Seorang Cina, sebagai pejuang? Pejuang apa? Pejuang negara? Demikian seru orang jahil sejarah.

Albert Kwok adalah nama yang segar tetapi penuh api ketika pendudukan Jepun. Selaku pemimpin Gerila Kinabalu, tentera Jepun sedang mengintai namanya, mengendap tampangnya dan memata-matai pengikutnya. Khuatir Gerila Kinabalu akan dibubarkan dan tentera sukarelawan tempatan itu dihinjak sehingga lumpuh, Albert menyusun serangan kilat.

Bermula di Menggatal

Bermula di Menggatal, Albert kemudian membakar semangat pemuda bangsa Cina di sepanjang Jesselton ke Kota Belud. Serta-merta markaz gerila di Inanam, Telipok, Telibong, dan Tuaran dihidupkan untuk mengatur serangan terhadap tentera Jepun. Albert mengaturkan Charles Peter untuk menyerbu di Tuaran, manakala Hiew Syn Yong seorang majistret mengepalai serangan di Kota Belud. Albert juga meletakkan orangnya, Kong Sze Fui di Menggatal.

Bukan semua pengikut Albert itu berbangsa Cina, yang menjadi orang kanan Charles Peter misalnya adalah Subidar Dewa Singh. Albert turut mendapat dukungan materi dan strategik daripada varian etnik Melayu iaitu antara lain daripada KK Panglima Ali dari Sulu. Sementara Panglima Ali memimpin orang Bajau, Suluk, dan Binadan dari Pulau Mentanani, Dudar dan Danawa. Beliau ditolongi KK Arshad bersama-sama penolongnya Jamalul dan Sanudin. Mereka – orang pulau – direncanakan agar menyerang Jesselton dari laut. Di Membakut, Sipitang dan Beaufort gerakan gerila ini dipimpin oleh Pak Musa yang pernah ikut memberontak menentang Inggeris sebelum kehadiran Jepun.

Ia adalah blok rakyat. Kem harapan. Sebuah gerakan rakyat.

Pada 9 Oktober 1943, sebaik sahaja tengah malam, Albert tiba bersama-sama dua buah lori termuat seratus pejuang orang Cina dari Gerila Kinabalu. Manakala Panglima Ali bersama-sama pengikutnya meskipun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan keris; mereka berjaya bersama-sama tentera pimpinan Albert untuk menawan balai polis Jepun. 50 orang tentera Jepun terbunuh.

Seisi kota Jesselton ditawan dan telah diambil alih oleh pasukan gerila, malah ‘kemenangan’ itu disambut dengan meriah. Perancangan awal adalah kejayaan merebut Jesselton ini seharusnya disambut oleh bantuan tambahan dari Tawi Tawi yakni dari pasukan Lim Keng Fatt.

Imam Marajukim, seorang Melayu dengan segera melaporkan kemenangan ini, dengan harapan pakatan ini akan dapat bertahan dari kemaraan Jepun. Akan tetapi, tidak seperti hari ini, berita tiba lewat.

Kejayaan Gerila Kinabalu itu hanya bertahan selama tiga hari. Jepun bertindak balas dengan membekalkan tentera tambahan, menumpaskan pemberontak di sepanjang Residensi Pantai Barat negeri Sabah. Dan pada 13 Oktober 1946, pesawat terbang Jepun telah mengebom pekan Jesselton, Tuaran, Kota Belud dan Beaufort.

Api menyala merumba pada hari itu. Mata saya membayang dan mengkhayalkannya. Saya berada di atas pesawat MAS yang berlegar di angkasa.

Pengkhianatan

Pun, Jepun tidak akan berjaya jika orang kampung tidak melakukan khianat. Di sinilah pengkhianatan dari dalam sendiri melumpuhkan kejayaan yang besar. Maxwell Hall dalam Kinabalu Guerillas menulis perenggan di bawah:

The native farmers stood aside, did not join with the guerillas and hurried to greet the Japanese reinforcements which soon arrived. The native farmer knows only too well that his intrest lies with the winning party and no one blames him.”

Celakalah mereka yang berkhianat. Sial mereka yang duduk di pinggiran tidak membantu malah meraikan musuh. Laknat buat musuh rakyat.

Pasukan pimpinan Albert Kwok pecah, ramai yang terbunuh dan ramai pula berpaling tadah. Tidak kurang yang menyerah kalah. Lelaki bangsa Bajau, Suluk dan Binadan ditangkap beramai-ramai dan sama ada diberi minum air sabun sehingga kembung; atau dipenggal kepala di pinggir jalan. Seksaan berterusan terhadap pengikut Gerila Kinabalu memaksakan Albert menyerah diri bersama-sama 174 orang pada 21 Januari 1945.

Etnik varian Melayu di sekitar pesisir Sabah yang tinggal di pulau-pulau kecil diburu dan dibunuh oleh askar Jepun. Malah di sesetengah pulau, semua orang lelaki dibunuh dan hanya tinggal wanita dan anak-anak dibiarkan hidup.

Albert dan tawanan perang kemudian dihukum tembak sehingga mati di tebing Sungai Petagas. Bunyi bertih peluru menabur kedengaran sepanjang hari untuk menakutkan penduduk Sabah. Ia merupakan sebuah pembunuhan yang dahsyat sekali.

Ketika saya menemui Albert kurang lebih sepuluh tahun lalu, dia membawa saya bersiar-siar di Kota Kinabalu, “Senang sekali ada teman Melayu. Isteriku tidak percaya kawan baikku di sekolah rendah adalah seorang Melayu.”

Balu teman saya Albert Kok itu memberitahukan suaminya meninggal dunia mungkin kerana tidak cukup rehat, penat keterlaluan.

Mengapa orang boleh mati lantaran lelah? Sedang di luar politikus bermain api kaum tanpa mengah.

Begitu pilu dan mencakar sekali. Hati saya berlubang sehingga sekarang saat teringat akannya. Isterinya memberitahu lagi, “Saya hanya ada kenangan Zal. Kami tidak punya zuriat. Dan warisan sebenar Albert ialah anak-anak nusa bangsa. Anak watan. Anak kesayangan.”

Saya dengar isterinya menahan sedu di hujung gagang. Saya ingin menangis sekali. Tetapi itu terlalu. Saya tidak akan membenarkan keterlaluan itu lalu mengguris lagi jiwa seorang isteri kehilangan suami.

“Aku mesti melakukan yang terbaik untuk anak-anak bangsa. Anak bangsa Malaysia.” Itulah mesej terakhir daripada Albert. Saya tatap dan baca berkali-kali.

Hati saya berdarah saat mengucapkan semula ungkapan “anak bangsa Malaysia”, lafazan seorang teman – setepatnya ‘saudara’ – yang juga berbangsa Malaysia.

Semoga selamat bersemadi di negeri abadi itu Albert, negeri tanpa ras dan kaum. Negeri anak semua bangsa. Kirim salam kepada mereka di syurga, “Beritahukan, kami jalan terus. Kami kekal melawan dengan warisan yang ada.”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS