Tindakan berani Malaysia memulakan pencarian minyak di Laut China Selatan (LCS) melalui Petronas pada bulan Mac yang lalu mencetuskan panik di Laut China Selatan.
Media Malaysia tidak mendedahkan isu ini secara terperinci, akan tetapi aktiviti ketenteraan yang melibatkan banyak negara berkepentingan termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia,China dan Malaysia telah berlaku sewaktu dunia dihimpit pandemik Covid-19.
Bermula Disember 2019, aktiviti ‘survey’ dan carigali dimulakan di West Capella, iaitu kawasan yang dikuasai oleh China melalui aktiviti ketenteraan, komunikasi, penyelidikan dan perikanan yang dilakukan secara terang-terangan.
Ketegangan kawasan ini bermula apabila Arapaiman-1 Blok ND1 dan Lala-Blok ND2 iaitu kawasan carigali yang mula diusahakan oleh Petronas beroperasi pada 06 Mac 2020 yang lalu.
Situasi ini menyebabkan China menghantar Haiyang Dizhi 8 ke kawasan tersebut untuk menghambat Petronas keluar dari ‘kawasan’ mereka. China sepertinya sudah mengimplementasikan status Laut China Selatan sebagai wilayah ‘Nine Dash’ (gambar, bawah) mereka.
Sejak dari itu, China telah menghantar pelbagai aset ketenteraan mereka ke wilayah LCS termasuk pengawal pantai, tentera laut, kapal peninjau dan lain-lain lagi.
Bukan sahaja memasuki jarak 200 batu Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia, malah kapal-kapal China juga menghampiri hingga jarak 8.5 batu dari kawasan carigali Petronas.
Malah kapal-kapal China juga mencerobohi kawasan perairan Brunei dan Vietnam dengan sewenang-wenangnya.
Reda suasana tegang
Natijahnya, pada 18 April, kapal perang AS dan Australia pula mula mendekati kawasan West Capella ini hingga mencetuskan situasi panik di LCS.
Keadaan ini memaksa Menteri Luar, Hishamuddin Tun Hussein Onn membuat kenyataan memohon semua pihak bertenang dan segala perselisihan di kawasan tersebut diselesaikan dengan aman dan harmoni.
Hishamuddin juga meminta semua pihak agar bertenang dan menamatkan segala aktiviti yang boleh mencetuskan suasana tegang di LCS. Negosiasi yang dilakukan oleh Hishamuddin dipercayai berjaya meredakan suasana tegang tersebut, seterusnya kapal-kapal AS dan Australia berlayar pulang.
Akan tetapi keadaan ini tidak memaksa China untuk berundur dari LCS. Malah China terus melakukan provokasi terhadap Petronas dan Malaysia amnya.
Kapal Haiyang Dizhi terus kekal di kawasan perairan ZEE Malaysia hingga menjadikan kerja-kerja Petronas terganggu. Kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China juga semakin banyak direkodkan sepanjang Mei dan Jun yang lalu termasuklah di wilayah West Capella.
Keadaan ini juga memaksa Tentera Laut Diraja Malaysia bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk memelihara kedaulatan negara dan menjaga kepentingan industri minyak nasional yang sedang diusahakan oleh Petronas.
Keadaan yang sama juga sebenarnya berlaku di wilayah Vietnam pada Oktober yang lalu. Usaha carigali yang dimulakan oleh Rosnef-Hukuryu 5 telah diganggu oleh kapal pengawal pantai China hingga memaksa kerja-kerja carigali ditangguhkan.
Keadaan yang sama juga dilihat sedang dialami oleh Malaysia dan juga bakal dialami oleh Brunei dan Filipina apabila mereka berani untuk memulakan aktiviti kelautan di LCS.
'Abang long kawasan' buli Asean
Maka kekallah LCS sebagai wilayah ‘Nine Dash China’ secara tersirat. Semua negara mestilah mendapat izin China untuk melakukan apa-apa sahaja aktiviti di kawasan mereka sendiri.
China akan kekal membuli mana-mana negara kecil Asean. Mahu tidak mahu, negara-negara Asean dilihat perlu mendapatkan izin dari China atau diganggu untuk beroperasi di wilayah tersebut.
China telah menghantar mesej yang jelas kepada Asean bahawa aktiviti perikanan sahaja yang dibenarkan itupun dikawasan-kawasan yang dikhaskan. Kawasan seperti West Capella, Kepulauan Spratley dan Terumbu Atoll dan lain-lainya haruslah mendapat kebenaran China. Yang mana kebenaran ini pasti tidak akan diperolehi.
LCS sebenarnya jauh dari aman, akiviti ketenteraan dan provokasi antara China dan US kelihatan berterusan. Dasar luar Amerika di bawah Trump dilihat tidak mesra China dan mencetuskan lebih banyak pertelingkahan.
Keadaan ini juga menyebabkan pelbagai aset AS terpaksa digerakkan ke LCS untuk mengimbangi kekuatan China.
USS Gabriel Giffords (gambar, bawah) yang mengawal Indo-Pacific direkodkan berada di LCS pada 26-28 April lalu.
Dua buah kapal terbang B-1B Lancer melancarkan operasi 32 jam dari South Dakota Air Base ke LCS untuk latihan ketenteraan pada 29 April.
Seminggu kemudian, dua buah kapal iaitu USS Montgomerry dan USNS Cesar Chavez dilaporkan mengadakan latihan di LCS yang memulakan perjalanan dari pengkalan di Singapura.
Pada 8 Mei pula, dua buah jet pejuang pengebom dilaporkan berlepas dari pangkalan tentera di Guam dan terbang rendah berhampiran West Capella.
Malah beberapa foto yang didedahkan di laman web risikan tentera juga merekodkan kapal-kapal selam US yang berpengkalan di Filipina dilihat aktif menjalankan operasi di LCS.
Medan tunjuk kekuatan
Malah kapal tentera laut AS yang berpangkalan di Taiwan juga dilihat memulakan beberapa pelayaran dan latihan bersama di LCS.
Semua ini menjadikan LCS adalah medan baru untuk menunjukkan kekuatan ketenteraan, pengaruh dan kekuasaan. AS yang lebih diperlukan oleh negara-negara Asean termasuk Malaysia mempunyai ruang yang lebih besar untuk menjadi bos di LCS.
China yang tidak disenangi oleh Asean terutamanya Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina dilihat akan terus membuli dan menjadi ‘taiko’ di LCS. China akan menekan mana-mana negara agar tidak melakukan aktiviti selain perikanan di LCS.
China dilihat akan kekal menjadi 'abang long kawasan' dan semua negara perlu tunduk hormat kepada China.
DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.