Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Padangan sarwa dunia yang berbahaya adalah pandangan sarwa oleh mereka yang tidak pernah melihat dunia (Die gefährlichste Weltanschauung ist die Weltanschauung derer, die die Welt nie angeschaut haben).” - Alexander Von Humboldt

Ketika PH menang pada PRU14, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada Mei 2018 telah memulakan beberapa inisiatif untuk reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan sistem pendidikan tinggi di negara ini.

Dua tonggak inisiatif tersebut adalah untuk mengembalikan autonomi dan meningkatkan akauntabiliti institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Garis masa 2018-2019

Biar saya terangkan secara mudah, kronologi usaha reformasi ini berjalan. Sejak Jun 2018, sebuah Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal telah ditubuhkan yang dianggotai oleh ahli akademik dan bukan akademik dari universiti awam dan swasta serta wakil pelajar.

Jawatankuasa ini diberikan mandat untuk mengumpul input, menyelaras dan menyemak peruntukan berkaitan yang terdapat dalam Auku secara menyeluruh dan kemudiannya mengemukakan cadangan kepada pihak KPM. Jawatankuasa ini bertugas mengumpul input daripada pemegang taruh utama pendidikan tinggi iaitu mahasiswa, kakitangan akademik dan pengurusan tertinggi universiti berkaitan kandungan peruntukan yang perlu ada di dalam akta baharu ini.

Dalam masa yang sama, pandangan bertulis daripada pemegang taruh seperti daripada naib-naib canselor, timbalan-timbalan naib canselor, pendaftar universiti, bendahari universiti dan penasihat undang-undang universiti juga dikumpulkan. Input-input ini dipanjangkan kepada pasukan kajian untuk pertimbangan mereka.

Hasilnya, sepanjang 2018, sebanyak empat sesi ‘fact finding’ telah dilaksanakan dalam mengumpul input dan hasrat berkaitan pemansuhan Auku. Hasil daripada sesi ini telah menunjukkan lebih daripada 70% peserta bersetuju supaya Auku dimansuhkan dan diganti dengan akta yang baru agar ia lebih selari dengan keperluan semasa pendidikan tinggi.

Sebagai langkah proaktif, KPM juga mengambil inisiatif untuk meminda peruntukan Auku yang menghalang pelajar Universiti terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus agar selari dengan keputusan pindaan pada tahun 2012 yang membenarkan pelajar terlibat dengan aktiviti parti politik di luar kampus.

Hasilnya, Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Disember 2018. Pindaan tersebut melibatkan pemansuhan perenggan 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti, sekaligus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan pelajar untuk bersuara dan berpolitik. Pindaan yang sama turut diluluskan ialah Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Pindaan) 2018.

Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018, Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-undang Institusi-institusi Pelajaran (Pindaan) 2018 telahpun diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 14 Januari 2019, diwartakan pada 18 Januari 2019 dan dikuatkuasakan pada 15 Mac 2019.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga telah membuka jalan untuk penubuhan kesatuan pelajar yang bebas di IPTA bermula dengan penubuhan Kesatuan Pelajar di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Malah sejak Oktober 2018, semua pilihan raya kampus di Ipta juga dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa, tanpa campur tangan pentadbiran Universiti melalui jawatankuasa perwakilan pelajar masing-masing. Ini pertama kali berlaku dalam sejarah.

Sebagai rekod, inilah yang telah berlaku sejak Mei 2018 sehingga Mac 2019.

Menurut garis masa yang telah ditetapkan KPM, sepanjang tahun 2019 diteruskan dengan melakukan lebih banyak siri townhall dan merangka draf akta baharu. KPM pada ketika itu turut menubuhkan sebuah pasukan untuk mengkaji sistem legislatif pendidikan tinggi di negara lain, termasuk kemungkinan pengintegrasian akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi serta cadangan sistem tadbir urus yang bersesuaian. Beberapa dapatan awal telah dibentangkan pada bulan April 2019. Siri-siri pertemuan dan townhall juga telah dilaksanakan sekitar Julai sehingga September 2019.

Menurut garis masa ini, adalah dijangkakan proses menulis draf akta baharu dan merangka model pendidikan tinggi yang baharu akan berjalan sehingga Jun 2020. Pembentangan akta baharu ini dijadualkan dilaksanakan pada September atau Oktober 2020. Malangnya, politik nasional berubah dan PH tidak lagi menjadi kerajaan di penghujung Februari 2020.

Kandungan reformasi pendidikan tinggi

Jadi kini timbul soalan. Apakah yang telah berlaku kepada jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh KPM sejak 2018 yang lalu?

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh prinsip utama yang memandu perbincangan draf akta baharu pendidikan tinggi seperti yang telah dibincangkan oleh jawatankuasa teknikal pada 2018 dan 2019. Pertama (i), kerajaan sebagai pembuat dasar berfungsi untuk menentukan hala tuju pendidikan tinggi nasional. Ini termasuk limitasi kuasa menteri pendidikan.

Kedua (ii) organisasi penampan di antara kerajaan dan institusi pendidikan tinggi yang dilantik oleh YDPA. Pertama kali dalam sejarah jika berjaya dilaksanakan, organisasi ini adalah organisasi bebas dan berdiri sendiri mewakili kepelbagaian pemegangtaruh dan bertindak sebagai ombudsman, semuanya untuk memastikan kepentingan negara diutamakan.

Ketiga (iii) isu akademik melibatkan mahasiswa dan ahli akademik. Tiada kekangan terhadap aktiviti pelajar selagi tidak menyalahi undang-undang serta garis panduan asas untuk memandu mereka, kebebasan akademik untuk ahli akademik bekerja serta menggembleng budaya ilmu untuk memelihara profesionalisme dan integriti mereka.

Keempat (iv) melibatkan isu universiti awam seperti hubungannya dengan kerajaan dan keperluannya menjadi badan berkanun persekutuan yang bebas serta isu peruntukan dan dana yang lebih demokratik.

Kelima (v) isu autonomi kewangan untuk universiti awam, melibatkan formula baharu pendanaan yang lebih mapan serta kontrak perjanjian untuk mengikat autonomi tersebut.

Keenam (vi) isu institusi pendidikan tinggi swasta serta ketujuh (vii) objektif akta pendidikan tinggi yang melibatkan autonomi institusi & kebebasan akademik, governan yang telus dan bertanggungjawab, melindungi kepentingan pelajar dan kualiti, akses dan penyertaan yang lebih saksama serta amalan peraturan yang lebih bertanggungjawab.

Ini semua akan membolehkan pindaan dijalankan terutamanya melibatkan Akta 605, yang selama ini mengekang ahli akademik di universiti untuk menerbitkan buku (Peraturan 17), membuat pernyataan awam (Peraturan 18), menjadi penyunting (Peraturan 19) atau mengambil bahagian dalam politik (Peraturan 20).

Saya ingin menegaskan bahawa reformasi pendidikan tinggi yang kita bicarakan ini bukanlah milik mutlak PH atau beban tugas saya sebagai menteri pendidikan sebelum ini. Reformasi yang harus dilaksanakan ini adalah milik rakyat. Kita semua bertanggungjawab untuk meletakkan kepentingan negara lebih tinggi dari kepentingan individu mahupun kepentingan politik.

Menarik untuk dipersoalkan kepada menteri kementerian pendidikan tinggi hari ini, apakah sikap KPT terhadap semua usaha yang telah dimulakan sejak dua tahun yang lalu ini?


DR MASZLEE MALIK ialah anggota parlimen Simpang Renggam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS