Paling Popular
Terkini

Daripada kenyataan rasmi pemimpin tertingginya, jelas Umno tidaklah “berahi” mahupun “ghairah” terhadap Perikatan Nasional (PN). Bak kata ketua pegawai eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal, “Umno jelas menolak PN”.

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan sendiri dengan terang menegaskan Umno tidak pernah menyertai PN kerana ia bukan entititi berdaftar seperti BN.

“Umno tidak berminat untuk membentuk PN secara rasmi. Mereka lebih berminat kekal dengan BN sambil bekerjasama dengan PAS dan menjadi dominan Muafakat Nasional (MN),” kata Azlan.

Tidak memeranjatkan kerana menurut Azlan dari segi gerakan memangkin sokongan MN lebih signifikan. Saya setuju.

Tapi MN itu sendiri pada hemat saya, bukanlah entiti rasmi seperti BN mahupun Pakatan Harapan (PH).

Apa yang ada ialah sesuatu yang dipanggil Piagam MN yang dimeterai oleh Umno dan PAS pada 14 September tahun lalu. Bagi pemerhati politik dan juga pemimpin Umno dan PAS, yang dimeterai itu “hanya” memorandum persetujuan atau MOU (memorandum of understanding).

Ia sama seperti apa yang dimeterai dan ditandatangani pimpinan tertinggi Umno dan PAS bersama Bersatu, Gabungan Parti Sarawak dua parti daripada Sabah.

Dan MOU kerap dilihat sebagai “declaration of intent” atau pengisytiharan niat. Dalam erti kata lain – melahirkan hasrat atau niat semata-mata.

MOU merupakan jenis perjanjian antara dua atau pelbagai pihak. Ia menyatakan kovergensi (atau menuju titik pertemuan) kehendak antara pihak pihak berkenaan yang menunjukkan garis tindakan yang dimaksudkan.

Dan sama ada dokumen MOU itu satu kontrak yang mengikat, bergantung atau tertakluk kepada kehadiran atau ketiadaan unsur undang undang yang jelas - sesuai dengan dokumen berkenaan. (Sila Google MOU berhubung MN mahupun PN untuk membuat interpretasi sendiri).

Lima unsur

Unsur-unsur yang diperlukan, menurut Wikipedia, adalah : (1) tawaran (2) penerimaan (3) pertimbangan dan (4) niat untuk terikat secara sah. Lantas walau apa pun kandungan MOU serta inpretasinya, ia bukan sesuatu yang mengikat atau binding. Ini berdasar unsur nombor empat yang dihuraikan Wikipedia iaitu “niat untuk terikat secara sah”. Ertinya belum terikat sekadar nyatakan niat untuk terikat secara sah.

Mungkin kerana ia tidak binding, ada pihak dalam BN sarankan MN “diinstitusikan”. Tidak dapat dipastikan apa maksud jelas “menginstitusikan MN” itu.

Tapi menurut presiden MIC SA Vigneswaran, kerjasama antara semua pihak dalam MN perlu dilakukan dengan telus dan tidak meminggirkan mana-mana pihak. MIC seperti kita maklum ialah komponen BN bersama Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Umno duduk dalam BN dan pada yang sama berada dalam MN. PAS pula bersama Umno dalam MN dan bersama Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dalam apa yang dipanggil Gagasan Sejahtera. Saya tidak pasti jika Gagasan ini masih aktif.

Berbalik kepada “menginstitusi MN”, kata Mohamad Hasan, keputusan bergantung kepada laporan kajian peringkat jawatankuasa teknikal Umno dan PAS. Beliau dipetik berkata demikian Disember lalu. Sehingga kini belum perkembangaan dilaporkan.

Yang dilaporkan beberapa hari lalu ialah, sumber memberitahu Malaysiakini, Umno dan PAS sedang memuktamadkan persediaan menghadapi PRU15. Ini termasuk penubuhan urus setia MN.

Dan menurut laporan itu soal pembahagian kerusi “sudah dibincang dan dipersetujui tetapi belum muktamad”. Pembahagian kerusi memang isu hangat yang ramai telah dan sedang huraikan. Isu ini kita akan bincangkan di lain masa.

Begitu juga soal logo bersama atau “common logo” yang akan digunakan MN pada PRU15. IInsya-Allah di artikel mendatang kita bicarakan soal ini yang nampak enteng tetapi amat penting.

Ketika urus setia MN dan persiapan terakhir dilapor sedang dibincangkan, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRU15.

Keyakinan itu beliau suarakan setelah bekas presiden Umno Najib Razak datang berkunjung ke kediaman beliau tempoh hari.

Najib tak berlapik

Pengumuman Zahid mendorong ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Kadir Jasin mengajukan pertanyaan:

“Adakah Umno/BN sudah bersedia menjatuhkan kerajaan Melayu /Islam Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin bagi memaksa PRU 15 diadakan lebih awal“?

Kata Kadir bubarkan parlimen dan adakan pilihan raya umum lebih awal adalah mantera Umno. Benar. Dan jika saya boleh menambah, pemimpin tertinggi Umno juga kerap menyatakan Umno tidak punya masalah untuk meletakkan calon di kerusi yang mereka memang dulu walaupun terpaksa berdepan dengan calon Bersatu pimpinan Muhyiddin pada pilihan raya akan datang.

Malah lima hari setelah Muhyiddin mengumumkan barisan kabinetnya, Najib tanpa berlapik menegaskan, sokongan Umno kepada PN hanya sehingga PRU15.

Namun baru-baru ini keluar pula kenyataan rasmi PAS oleh setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan yang lain pula bunyinya. Kata Takiyuddin, kerjasama PAS dalam PN semakin mantap justeru menzahirkan keyakinan bahawa gabungan parti pemerintah itu akan berganding bahu bagi menghadapi PRU15 nanti.

Tajuk kenyataan Takiyuddin yang diedarkan kepada media berbunyi: “Kerjasama politik PAS, BN dan PPBM sedia hadapi PRU15”.

Kata seorang penganalisis politik: “Ini statement tak jelas PAS tentang PN. Tengok tajuk dah faham. Sekarang seperti PN, jika PRU mereka akan dengan Umno”.

Seorang pemerhati politik pula berkata itu mind game atau mainan minda Takiyuddin.

Dan Naib Presiden Umno Khaled Nordin mengenepikan kenyataan Takiyuddin dengan berkata “itu mencerminkan hanya keyakinan PAS. Belum bincang apa-apa pun.”

Lalu menurut beliau parti parti PN masih belum menyatakan komitmen mengenai kesediaan menghadapi PRU15 .

Ketua Penyelidikan Ilham Centre Professor Madya Dr Yusri Ibrahim bagaimana pun melihat ini sebagai “perang psikolgi PAS buat Umno – bahawa PAS bersedia menerima Bersatu dan sedia mengkukuhkan PN”.

Bagi Yusri, ini “strategi baik untuk PAS supaya Bersatu menyeimbangkan kekuatan Umno dalam hubungan mereka”.

Tidak boleh dinafikan ada di kalangan orang Umno mahukan Zahid atau Najib jadi perdana menteri. Bagi PAS tidak ada pemimpin masa kini yang layak jadi PM selain Haji Hadi Awang.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS