KOLUM | Saya sambung kembali perbincangan kita tentang xenophobia . Perkataan Greek ini bermakna tidak suka kepada orang asing. Tak suka yang lain – the other - yang bukan orang kita.
Takut pada orang asing. Perasaan takut ini bertukar menjadi benci terhadap orang asing. Benci ini akhirnya menjadi fahaman anti-orang asing.
Di Malaysia benci kepada orang asing ini bukan satu perkara yang baru. Sikap ini sedia terpendam. Hakikatnya sikap ini telah lama wujud tapi terpendam.
Saya membuka perbincangan sikap tidak suka orang asing ini kerana sikap itu sedang terjulur keluar. Sikap ini terjulur apabila kapal pelarian warga Rohingya cuba mendarat di Langkawi.
Media melaporkan pada 16 April 2020 yang lalu tentera laut Malaysia dengan bantuan tentera udara di Langkawi telah berjaya menghalang kemasukan sebuah kapal Rohingya dengan 200 penumpang. Umum diberitahu bahawa Langkawi bukan kali pertama menjadi sasaran kapal pelarian Rohingya datang berlabuh.
Rohingya ialah warga Myanmar yang kini dihalau keluar dari Rakhine bumi tanah tumpah darah mereka. Dari data tahun 2016 ada lebih dari satu juta Rohingya tinggal di Myanmar.
Lebih dari 1.3 juta menjadi orang pelarian di Bangladesh. Seramai 190,000 di Saudi Arabia dan 150,000 di Malaysia. Data tahun 2018 menunjukkan kini hanya 400,000 yang masih tinggal di Rakhine.
Rohingya beragama Islam, manakala Myanmar adalah negara majoriti penganut Buddha. Sekali lalu dilihat pertembungan ini seolah-olah pertembungan tamadun Islam dengan Buddhisme – Clash Of Civilisation – mengikut istilah garapan Samuel Huntington
Kes kesampaian kapal Rohingya ini membuka keluping kudis di Malaysia. Keluping kudis tidak suka kepada orang asing. Keluping kudis ini bernanah kerana dibantu oleh suasana perang anti virus korona.
Imej warga Rohingya berkulit hitam kurus kering mata hitam putih terbeliak menakutkan warga Malaysia. Imej orang pelarian tak cukup makan ini menimbul persoalan apakah warga Rohingya – orang asing ini - ada membawa virus korona.
Virus korona membawa persoalan.
Sikap benci orang asing ini terbuka mendadak ke persada arus perdana Malaysia. Kapal Rohingya telah berjaya melanggar pecah tembok xenophobia yang selama ini terpendam. Sikap xenophobia kini melimpah terbuka.
Justeru saya akan cuba mencari punca dan memahami asal usul, dari mana dan kenapa sikap xenophobia ini sampai. Apakah betul sikap benci pendatang asing ini bersangkut paut dengan virus korona.
Wajib dihitam putihkan dan digaris merahkan bahawa sikap benci orang asing ini bukan satu sikap yang hanya dimiliki oleh Bani Melayu. Sikap ini adalah sikap global, sikap sejagat yang dimiliki oleh anak semua bangsa-bangsa dalam dunia ini.
Sikap xenophobia ini ditakrif sebagai garis fahaman ideologi politik kanan. Dalam politik dunia hari ini pandangan kanan dan ekstrim kanan sedang membiak, menular dan mengampoh. Media dunia tidak putus-putus melaporkan tentang fahaman kanan yang sedang merebak menular.
Dunia pada ketika ini sedang berhadapan dan mengenali tiga tokoh – tiga protoganis dunia yang sedang menularkan sikap fahaman kanan ini.
Di India kita ada Perdana Menteri Narendra Modi dari Bharatiya Janata Party (BJP). Dari Brazil kita ada Presiden Jair Bolsonaro dari Social Liberal Party (PSL). Di Amerika Syarikat kita ada Presiden Donald Trump dari Parti Republican (GOP). Tiga watak ini adalah pemegang, pemilik, penganjur dan pemuka politik fahaman kanan.
Tiga pemimpin ini dijadikan contoh kerana mereka pemimpin negara yang besar. Bancian 2019 menunjukkan Brazil memiliki 209 juta penduduk, Amerika dengan 328 juta dan India dengan 1.353 bilion penduduk. Negara-negara besar ini sedang mengampoh dunia dengan fahaman garis politik kanan.
Semangat wataniah
Ada lagi negara yang dipimpin oleh garis politik kanan. Austria, Belgium, Cyprus dan Hungary. Manakala di setiap negara Eropah wujud parti garis kanan dan ekstrem kanan. Di Perancis ada National Front, di Slovakia dengan Kotleba - Our Slovakia Party dan di Greece, Golden Dawn parti ekstrem militan kanan.
Di Jerman kini berkembang ideologi kanan penyambung pandangan Hitler melalui parti AID – Party Alternatif German. Di Itali ada Lega Nord parti haluan kanan yang ekstrem.
Hakikatnya di setiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen atau sistem demokrasi undi mengundi kita akan bertemu dengan parti politik yang memperjuangkan fahaman kanan.
Ciri-ciri yang memunculkan garis kanan ini adalah sama. Pertama semangat wataniah, semangat orang asal yang menjurus kepada nasionalisme.
Semangat nasionalisme ini dipasak pula oleh sikap mahukan kestabilan negara, mengagungkan kuasa polis dan tentera. Dalam masa yang sama garis kanan ini amat meluat dan benci kepada elit politik yang selama ini memiliki kuasa dan mengaut harta kekayaan.
Semangat orang asal atau wataniah ini amat jelas dalam slogan – Amerika First dan Make America Great Again. Slogan ini berjaya memenangkan Trump. Garis wataniah ini tidak dapat lari dari sikap utamakan rakyat asal – Sarawak untuk Sarawakian atau Malaysia untuk Malaysian.
Manifestasi pandangan dunia fahaman kanan yang paling jelas ialah tidak suka kepada pedatang asing dan imigran.
Anti imigran, dan anti pelarian perang - tidak suka kepada orang bukan waris kita ini sedang berlaku di hadapan mata kita.
Di Malaysia ianya bermula dengan kapal Rohingya. Ini diikuti oleh kes kluster Covid-19 di Pasar Borong Selayang. Ditakdirkan pasar ini juga wilayah Rohingya. Kemudian diikuti dengan kluster di Selangor Mansion – juga wilayah imigran.
Kemudian berita melaporkan kluster baru di kem tahanan pendatang haram. Semua serangan korona menjurus kepada pendatang. Pendatang haram dan halal dibaca sebagai sarang korona.
Kemudian laporan dari Singapura yang amat memeranjatkan. Singapura dari dari wilayah selamat zon hijau tiba-tiba menjadi wilayah zon merah. Lebih daripada 2000 didapati positif. Kluster baru ini datang dari perumahan pendatang buruh asing.
Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kita semua merasa gerun terhadap musuh yang tidak dapat dilihat. Virus korona ini telah menimbulkan rasa takut bila kita berhadapan dengan susuk yang tidak kita kenali. Malah dengan kenalan baik pun kita merasa was was kerana kita tidak tahu si polan mana yang telah berjumpa kawan kita ini.
Kita merasa sangsi. Kita was was apakah susuk tercegat berdiri di hadapan kita ini pembawa virus. Perasaan takut ini melonjak tinggi apabila kita berhadapan dengan warga asing yang bukan bercorak Melayu. Yang bukan bercorak Malaysia. Kita merasa takut.
Kita bertambah takut apabila melihat susuk hitam kurus mungkin Mat Bangla, mungkin Mat Rohingya atau mungkin Mat Myanmar. Mungkin susuk ini duduk di Kawasan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang, di Selangor Mansion, di Pasar Pudu atau di Chow Kit. Kita menjadi gerun.
Apakah betul orang-orang asing ini pembawa virus?
Jawapannya betul lagi sahih. Orang asing ini terbukti menjadi penyalur, penular dan pengembang korona. Masalah orang asing membawa virus ini bukan hanya meledak di Selayang, di Pudu, di Selangor Mansion atau di Singapura. Perkara yang sama juga berlaku di German. Berlaku di Greece dan di Eropah.
Duduk berasak, berhimpit
Virus ini menyerang pendatang yang halal dan yang haram. Ianya terjadi adalah satu perkara yang amat lojik. Ianya berlaku dan terbukti berlaku secara saintifik.
Di North Rhine-Westphalia Jerman, 150 daripada 200 buruh asing didapati positif Coviid 19 .Di Baden-Wurttemberg seramai 200 buruh asing juga didapati positif. Buruh asing Jerman datang dari Romania dan Bulgaria. Di Pulau Lesbos dan Athen ratusan pendatang haram dan orang pelarian didapati positif. Mereka ini pendatang haram dari Afrika dan Timur Tengah.
Selayang, Selangor Mansion, Pudu, Singapura, Jerman, Athens – semuanya memiliki watak yang sama. Buruh asing ini duduk berasak-asak. Sebuah flat kalau di Brickfeild mungkin diduduki antara 15 ke 20 orang. Mereka hidup berhimpit-himpit. Flat hanya tempat tidur. Malah bilik ini boleh mengisi ramai kerana – ada bekerja siang ada kerja malam. Mereka tidur bertukar ganti.
Pendatang asing ini duduk di dalam wilayah miskin. Atau dalam kem pelarian yang sempit tanpa asas kehidupan seperti tandas dan bilik mandi.
Hakikatnya pendatang haram, pendatang halal dan buruh asing ini menjadi kluster Covid-19 bukan kerana mereka orang luar atau kerana mereka kurus hitam dari Rakhine. Virus tidak kenal Melayu China atau Bangla. Pendatang asing diserang korona kerana cara hidup mereka amat subur untuk merebakkan dan menularkan pelbagai bentuk virus dan penyakit.
Apa yang jelas korona telah membuka mata kita untuk kita berhadapan dengan satu perkara yang selama ini tidak diberi perhatian rapi. Kita bincangkan sambil lewa.
Hakikatnya kebencian terhadap yang lain – the other – yang bukan Melayu - yang bukan orang kita telah sedia ada. Virus korona hanya aji no moto dan garam masala untuk menambah sedap kebencian yang sedia wujud.
Adalah fakta yang amat jelas semenjak pandemik diumumkan oleh Badan Kesihatan Dunia (WHO) sikap benci terhadap pendatang asing ini makin melonjak.
Parti politik garis kanan telah mengambil kesempatan. Langkah penutupan sempadan amat dialu-alukan. Menghalang pendatang haram berlabuh atau menyeludup masuk menjadi agenda besar. Polis, tentera darat dan laut bersiap sedia mengawal sempadan daripada ditembusi oleh pendatang haram yang berpotensi membawa virus korona.
Virus korona ini telah membuka pekong xenophobia. Ini bukan satu yang tidak baik. Untuk saya yang selalu menimbulkan persoalan nasional saya mengalu-alukan terbukanya agenda pendatang haram ini.
Ini bukan kerana saya dari mazhab kanan. Tetapi saya mahu agenda pendatang ini dibuka luas, dibincang dan dijadikan perbualan harian negara.
Saya mahu anak semua bangsa terusik dengan agenda pendatang.
Kita tidak boleh lagi berdolak dalik mengatakan bahawa kita mengucapkan ah lan was ah lan kepada sesiapa yang ingin datang ke negara kita. Kita tidak perlu berpura-pura suka warga Afrika tetapi mereka jangan duduk di kawasan perumahan kita.
Kita suka Bangla tetapi dengan satu syarat mereka tidak dibenarkan merayau-rayau berkain sarung berpegang tangan di kawasan perumahan yang kita duduk. Jika mereka duduk di Selayang atau Chow Kit atau Pudu tak ada masalah. Tapi jangan di Bangsar atau Taman Tun atau di Bukit Tunku.
Saya mencadangkan kita menjadi matador. Kita hadapi lembu asing ini – kita pegang tanduk dan kita patahkan lehernya. Kita wajib memperkasa diri dan jujur seperti Haji Hadi yang berhujah menolak warga Rohingya masuk ke Malaysia. Menurut Hadi ada di antara Si Rohingya ini yang cuba masuk untuk cari makan.
Kita wajib memiliki hujah dan pandangan dunia yang cerah dan tuntas. Pandangan dunia yang telah digobek lumat apabila menghadapi pendatang halal dan haram. Bahaya pendatang dalam era pasca Covid-19. Apa hujahnya? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.