Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pada tahun 2002 hingga 2012 Malaysia berada pada kedudukan nombor satu di dunia bagi kehilangan hutan.

Laporan New Global Forest Map dengan jelas menyatakan bahawa Malaysia menghilangkan kadar 14.4 peratus daripada hutan dunia. Keadaan yang sama juga dilaporkan berlaku pada setiap tahun dengan kehilangan hutan diantara 60-200 ribu hektar.

Pada tahun 2016, 185 ribu hektar hutan dilupuskan, 2017 sebanyak 162 ribu hektar dan 2018 sebanyak 144 ribu hektar. Secara kasarnya antara tahun 2002 hingga 2018 sebanyak 2,508,553 hektar hutan telah dimusnahkan di seluruh negara dengan Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah sebagai penyumbang utama kepada kehilangan ini.

Negeri-negeri lain di Malaysia di semenanjung turut sama menyumbang akan tetapi Kelantan adalah penyumbang terbesar dan dijangka Kedah pula akan menyaingi Kelantan untuk menduduki carta antara penyumbang kehilangan hutan terbesar di Malaysia.

Sejak PAS menguasai Kelantan, pendapatan utama yang diperolehi adalah melalui hasil pembalakan yang boleh digelar sebagai politik kayu balak.

Walaupun ia diistilahkan dengan nama lain seperti penanam semula, deforestation dan lain-lain lagi, tetapi hakikatnya adalah merosakkan dan menghapuskan hutan semulajadi kurniaan Allah swt.

Pembalakan di Kelantan diibaratkan sebagai barah tahap empat sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian pada 30 September 2019. Perkara ini dipertahankan dengan bermati-matian oleh pimpinan PAS termasuklah Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam sekitar yang baru.

Menggemparkan Malaysia

Pembalakan di Kelantan menjadi antara sumber hasil yang besar walaupun perkara ini pasti disanggah oleh mereka-mereka yang berkuasa. Pejuang politik kayu balak akan mengekalkan kekuasaan mereka dengan memperkukuhkan industri ini kerana banyak manfaat yang menantinya.

Penyakit suka menggondolkan hutan untuk menjana pendapatan mudah bagi negeri pimpinan PAS ini nampaknya mula meresapi negeri Kedah, negeri yang baru dikuasai PAS melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Yang menariknya, hanya selepas dua minggu menguasai negeri jelapang padi negara, Kedah berhasrat meneruskan kerja-kerja pembalakan dan menyambung semula lesen yang ditangguhkan semasa kerajaan PH menguasai negeri tersebut.

Kedah dijangka akan menjadi antara negeri yang bakal menyumbang kepada kerosakkan alam sekitar yang besar di Malaysia terutamanya menjejaskan kawasan Ulu Muda.

Sebuah kawasan tadahan air terbesar di utara semenanjung Malaysia yang mana akan menyebabkan terjejasnya pendapatan petani di Kedah, Perlis dan Perak Utara.

Politik kayu balak ini telah menggemparkan Malaysia dengan pendedahan kerajaan negeri Kedah berdepan saman RM1 bilion daripada pembalak, kemudiannya maklumat tersebut diperbetulkan oleh MB Kedah yang baru sebagai RM1.5 bilion. Perkara ini juga disokong oleh Menteri Alam Sekitar yang juga adalah dari parti yang sama. Bekas MB Kedah menafikan perkara ini.

Artikel ini bukannya bertujuan untuk menyerang kerajaan PAS, akan tetapi keadaan yang sama juga berlaku di negeri-negeri lain terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Ketika pemerintahan Taib Mahmud, masih ingatkah lagi kita seorang lelaki yang digelar Penan Putih, Bruno Manser yang hilang di hutan Sarawak pada 22 Mei 2000?

Beliau adalah seorang manusia yang melihat keindahan alam sekitar dan masyarakat asal yang tinggal di hutan sebagai lambang kemanusiaan yang tinggi.

Walaupun beliau digelar sebagai agen barat, pernah menjadi musuh nombor satu negara sebagaimana yang diistiharkan oleh Dr Mahathir Mohammad pada tahun 1992, akan tetapi beliau telah berjaya membuka banyak mata di dunia tentang politik kayu balak di Malaysia, bagaimana struktur dan lumayannya industri ini hingga sanggup dipertahankan dengan bermati-matian.

Bukan sekadar rasuah malah pelbagai aktiviti jenayah lainnya juga dibawa sekali dengan politik kayu balak ini seperti pemburuan haram, pembunuhan, rogol dan lain-lainnya.

Mahathir pada ketika itu cukup lantang menentang Bruno Manser walaupun isu tersebut sampai ke pengetahuan PBB dan Kesatuan Eropah.

Industri eksport kayu kayan Malaysia hampir lumpuh dengan gerakan sistematik oleh Bruno Manser hingga memaksa Mahathir mengutus surat peribadi kepada Bruno Manser.

Mahathir juga pada masa itu sering menyalahkan Barat yang dilihat menekan Malaysia kerana memusnahkan hutan yang dimiliki negara. Malaysia, negara-negara Asia Tenggara dan Amerika Latin membekalkan hampir 80 peratus oksigen kepada dunia yang disebut sebagai paru-paru dunia.

Akan tetapi sekali lagi politik kayu balak cuba menjelaskan kepada dunia bahawa mengapa negara sepetti Malaysia harus memberhentikan pembalakan kerana ianya adalah sumber utama negara-negara membangun. Maka kita berterus-terusanlah merosakkan ekosistem dunia atas nama pembangunan.

Hingga nafi hak Orang Asli

Bagi kerajaan negeri yang berkuasa dan cuba menjadikan industri pembalakan sebagai sumber yang halal mungkin mereka beranggapan bahawa hutan adalah milik Allah swt dan ianya tidak perlu dipinta izin dari tuan tanah.

Hutan melalui kanun tanah negara adalah milik kerajaan negeri, maka tiada masalah untuk mereka menggondolkannya. Tetapi lupakah anda bahawa pemilik hutan, dan semua isi alam ini termasuklah jasad yang kita punyai ini adalah milik mutlak Allah swt.

Tidakkah kita berlaku adil kepada Tuhan yang maha agung pencipta hutan? Yang membuat kayu balak dan lain-lainnya. Jangan jadi lupa diri dan sombong dengan nikmat Allah.

Tidak cukup hanya menjaga hubungan dengan tuhan semata-mata, hubungan dengan manusia dan alam sekitar juga perlu dipelihara. Jika Allah dan manusia mempunyai hak-haknya yang perlu ditunaikan, perkara yang sama juga perlu ditunaikan kepada manusia orang asli dan alam sekitar termasuk kayu balak di hutan Kelantan, Kedah, Sabah mahupun Sarawak.

Seperkara lagi, kerana terlalu pentingkan politik kayu balak, maka masyarakat asal atau yang disebut sebagai Orang Asli sanggup anda nafikan hak mereka. Ya mereka mungkin tidak ada dokumen pemilikan tanah sebagaimana kita yang kononnya moden dan bertamadun ini.

Akan tetapi mereka menghuni hutan dan menduduki kawasan-kawasan tersebut lebih awal dari kita. Akan tetapi sama sekali anda tidak fikirkan nasib dan cara hidup mereka. Sudahlah berdakwah kepada mereka pun sekadar melepaskan batuk di tangga, dan sekarang hak-hak mereka anda rampas. Ingatlah anda semua akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt nanti.

Bagaimana pula kisahnya tentang banjir kilat? Tanah runtuh, banjir lumpur dan lain-lain lagi. Sama sekali akan dinafikan dengan apa cara sekalipun oleh kerejaan negeri dan pihak-pihak yang terlibat sebagaiamaman yang terjadi di Kelanta pada tahun 2015.

Seperti kejadian-kejadian tersebut tidak pernah berpunca daripada politik kayu balak ini. Ianya berpunca daripada perkara lain. Ya memang betul banyak faktor yang terlibat, akan tetapi politik kayu balak juga terlibat sama. Jangan nafikan perkara ini kerana anda akan menjawab dihadapan Allah swt nanti.

Akhirnya apa yang kita cari di dunia ini? Mahukah kita menjadi sebuah negara maju yang merosakkan segala sumber yang ada atas kepentingan diri dan agenda peribadi?

Jangan kita jadi kelompok yang akan diingati dalam sejarah sebagai perosak dan yang menjahanamkan alam sekitar untuk kejayaan politik kayu balak ini. Seperkara lagi yang tak payahlah dinafikan adalah berkaitan rasuah dalam industri pembalakan.

Laporan yang disiarkan akhbar juga sebelum ini menjelaskan bagaimana setiap agensi berkaitan pembalakan ini terlibat dengan rasuah. Malah SPRM melalui siaran media pada Jun 2019 juga menyatakan bahawa semua industri pembalakan adalah dalam radar mereka kerana rasuah yang melinkunginya. Maka sebab itulah politik kayu balak ini harus dihentikan.

Tiada politik kayu balak tiadalah rasuah. Bukankah Islam suruh jauhi rasuah? Jadi janganlah benarkan kawasan pembalakan baru dibuka. Memilih kemudharatan yang kecil dan mengelakkan kemudharatan yang besar adalah satu tuntutan.

Hutan dan kayu balak milik bersama. Bukan milik kerajaan negeri semata-mata yang boleh dibuat ikut sesuka hati anda. Suara rakyat tidak pernah diambilkira dalam menentukan kawasan perhutanan yang perlu dijahanamkan.

Kuasa yang dipegang ahli politik lebih mesra kepada tauke-tauke balak berbanding masyarakat dan rakyat yang mengundi mereka. Di mana demokrasi dan ciri-ciri Islamik yang diperjuangkan?

Ingatlah anda semua akan dipertanggungjawabkan dengan politik kayu balak yang diperjuangkan. Fikir-fikirkanlah untuk legasi anak-cucu dan generasi kita dihadapan.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS