Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apa yang paling kami ingat apabila datangnya bulan puasa ialah amalan bertukar-tukar juadah antara jiran sekampung.

Tentu saja ada elemen yang memeranjatkan apabila acara bertukar juadah antara jiran berlangsung. Kita tidak tahu apa yang akan dihantar ke rumah kita setelah memberikan kuih-muih hasil tangan emak kita.

Tetapi biasanya kita boleh mengagak kerana setelah sekian lama kita akan tahu jiran yang mana suka membuat kuih apa setiap kali datangnya Ramadan.

Rumah Tok Mah yang mengajar al-Quran misalnya, anak-anak beliau semuanya perempun. Maka bermacam-macam kuih yang dibuat mereka. Buah melaka, lepat pisang, puteri mandi dan sebagainya.

Manakala dari rumah Kak Som pula tidaklah begitu meriah juadahnya kerana selain sibuk mengambil upah membasuh kain di rumah orang, Kak Som juga bukanlah orang senang.

Jadi dari rumah beliau mungkin kami dapat pisang goreng bergula atau pun cekodok bilis.

Begitu juga dari rumah Mak Cik Yah yang berkongsi bilik air dengan kami. Rumah Mak Cik Yah agak jauh ke belakang dan tidak mempunyai paip air. Jadi mereka sekeluarga akan mandi dan membasuh di rumah kami.

Mak Cik Yah walau bagaimanapun agak rajin membuat kuih-muih dan Kak Badar - iaitu adik Mak Cik Yah yang tidak berkahwin - akan menyediakan kuih bronok dan juga kadang-kadang kuih bakar.

Pengimbang lemak di atas

Mok saya sendiri pula amat rajin membuat kuih muih sejak bukan bulan puasa lagi. Setiap petang Mok akan menyediakan teh dan juga kuih-muih untuk kami.

Apabila datang saja bulan puasa tentu saja Mok akan bertambah cergas.

Berbagai jenis kuih Mok buat. Bersama dua adik perempuan, kami akan memghantar juadah ke rumah jiran.

Yang paling kami suka ialah lompat tikam. Ada yang mengatakan bahawa kuih ini juga digelar sebagai kuih som-som. Namun saya mengenalinya sebagai lompat tikam.

Biasanya Mok akan menyediakan dua talam lompat tikam untuk berbuka. Kami memang sentiasa akan bertanya mengapa kuih itu digelar demikian. Mengapa ia dinamakan lompat tikam.

Dengan bahagian atas berwarna putih dan bawahnya berwarna hijau, sebenarnya lompat tikam sudah lengkap sebagai hidangan. Bahagian atasnya adalah lemak manakala bawahnya pula pengimbang kepada lemak santan di kepalanya itu.

Setiap kali kami menuangkan manisan dari gula kerek ke atas lompat tikam, kami berasakan ianya macam suatu pengkhianatan kepada kuih berkenaan. Namun oleh kerana ini adalah resmi yang disukai ramai, kami pun mengiakan penderhakaan terhadap kuih tersebut.

Lompat tikam selamanya akan menjadi hidangan yang akan kita nikmati selama mana kita setuju bahawa kuih ini adalah tradisi yang tidak mungkin kita hapuskan bilamana kita setuju bahawa inilah gambaran sebenar sebuah kehidupan di mana apa saja adalah dibenarkan untuk mencapai kelaparan setelah lama berpuasa.

Pasti akan dipersoalkan tuhan

Dikatakan nanti setelah habis semua orang beriman dimatikan pada akhir masa, kejahatan akan jadi ringan seperti burung. Iaitu ianya mudah dan sewenang-wenangnya dikerjakan.

Harapannya ialah kita semua dimatikan sebelum datang waktu jahat tersebut.

Tidak lama lagi kita akan menyambut hari raya. Kali ini hari raya kita akan sedikit berlainan berbanding tahun-tahun yang pernah kita lalui. Tidak ada sembahyang sunat hari raya berjemaah beramai-ramai di masjid atau surau. Tiada juga menziarahi kubur saudara-mara. Tiada juga kunjung-mengunjung.

Maka adalah elok kita gunakan masa yang ada untuk bermenung memikirkan kesejahteraan umur yang dikurniakan tuhan.

Segala sesuatu akhirnya akan kembali kepada-Nya dan segala kuih yang kita makan setelah menang pasti akan dipersoal tuhan mengenai bagaimana datangnya ia ke meja kita.

Pertanggungjawaban ini jatuh pada bahu kita untuk menjawabnya nanti di persidangan yang menentukan pengakhiran kita sama ada kebaikan atau keburukan.

Selamat hari raya dan kami memohon ampun atas segala kesalahan dan kesilapan kami selama menulis di sini.


ABDULLAHJONES kini hanya menulis tentang makanan di media sosial.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS