Paling Popular
Terkini

Hari ini ratusan pekerja asing tanpa dokumen telah ditahan dan dihantar ke depoh-depoh tahanan imigresen. Ribuan lagi menanti hari untuk diserbu dan ditangkap. Jumlah mereka bukan sedikit, dikatakan menjangkau hingga empat juta orang, sebagaimana yang dilaporkan oleh beberapa media utama. Video terbaru yang disiarkan di Youtube terbitan Al Jazeera juga membongkar industri mewah dan licik yang melibatkan ramai pihak. 

Sekarang ini kelihatannya negara kita bukan sahaja menjadi tumpuan pekerja asing Rohingya Bangladesh dan Indonesia semata-mata, malah warga China dan India termasuk Afrika juga menjadikan Malaysia sebagai safe heaven untuk mendapatkan pekerjaan dan juga melakukan pelbagai aktiviti jenayah.

Pelbagai laporan juga jelas mendedahkan bagaimana Malaysia menyediakan pelbagai tarikan dan kemudahan untuk aktiviti berkaitan jenayah yang melibatkan kumpulan pekerja asing ini. Pasar Borong Selayang, Bandar Diraja Kelang, tapak-tapak pembinaan di sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak, Johor Bahru dan lain-lain lagi adalah tempat yang selamat untuk mereka. 

Konsep demand and supply menjadikan industri ini akan terus subur dan berkembang dari masa ke semasa. Pembangunan fizikal yang rancak dan pesat di negara ini menjadikan permintaan untuk tenaga kerja buruh murah dan segera amat diperlukan. Malah eksploitasi yang boleh dilakukan ke atas pekerja asing ini juga akan menjadikan mereka sebagai sasaran ampuh oleh lanun-lanun dan penjenayah ini.

Lambakan syarikat pembinaan termasuk yang dimiliki oleh negara luar terutamanya China juga dikatakan sebagai faktor yang menggalakkan berlakunya jenayah berkaitan pekerja asing ini. Pemain utama dalam industri pembinaan menyediakan kehidupan di rumah-rumah kongsi kepada golongan pekerja asing ini. 

Perumahan pekerja yang rata-ratanya tidak tersusun dan kotor yang terletak di kawasan pembinaan tersebut telah menjadi kawasan persembunyian paling selamat untuk kumpulan pekerja asing ini. Dipercayai ramai antara mereka yang tidak mempunyai dokumen atau memiliki dokumen tamat tempoh mahupun mempunyai dokumen tidak sah atau palsu tinggal di kawasan-kawasan penempatan tersebut.

Tidak terancangnya penempatan pekerja asing ini telah membawa kepada masalah yang lebih besar kepada Malaysia. Golongan pekerja asing telah berjaya membina koloni-koloni di pelbagai kawasan dan daerah yang dirasakan sesuai oleh mereka. 

Maka akhirnya pelbagai aktiviti tidak sihat juga muncul dalam komuniti ini termasuklah jenayah. Pemerdagangan manusia yang didalangi oleh kumpulan pekerja asing ini juga menjadi satu kebiasaan. Aktiviti pemerasan dan ugutan hingga ada yang menjadi gangster dapat diikuti di media massa sepertimana kes Long Tiger yang ditangkap di Johor baru-baru ini. 

Sindiket pemalsuan pasport, kad pengenalan dan lain-lain dokumen juga mudah didapati di kawasan penempatan yang tersembunyi dan tidak terancang ini. Malah laporan media juga memperlihatkan bagaimana kelompok ini ‘membeli’ penguat kuasa dengan wang ringgit yang juga dikenali sebagai wang pelindungan dan wang kopi.

Ada rekod, siar data di laman web

Melihat kepada isu Covid-19, terasa amat sukarnya kerajaan mendapatkan kerjasama daripada golongan pekerja asing untuk aktiviti saringan kesihatan. Masakah tidak, perkara ini pasti berlaku kerana mereka tidak berani berhadapan dengan penguat kuasa disebabkan ketiadaan dokumen dan juga pemahaman yang mereka akan ditangkap dan juga perlu membayar sejumlah wang untuk melakukan ujian kesihatan tersebut. 

Sejak akhir April hingga artikel ini ditulis, hampir 50 peratus kes baru harian direkodkan oleh KKM datangnya dari kluster pekerja asing. Malah dipercayai masih ramai lagi belum menjalani ujian kesihatan mahupun melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak berkuasa. Maka masalah Covid-19 di kalangan pekerja asing akan menjadi dilema lama yang tidak berkesudahan.

Pasca-Covid-19 yang bakal dilalui Malaysia tidak lama lagi adalah merupakan ujian besar kepada pengurusan pekerja asing di negara ini. Kerajaan melalui YAB PM telah memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) akan ditamatkan pada 9 Jun 2020, maka bagaimanakah pengurusan pekerja asing di Malaysia selepas ini? 

Adakah masih di takuk lama sebagaimana yang dibincangkan di atas? Atau sudah ada pembaharuan tuntas bagi mengatasi isu ini yang mungkin juga boleh disebut norma baru pengurusan pekerja asing? Adakah Malaysia akan menghadapi masalah yang sama? 

Pasar Borong Selayang dan kawasan-kawasan pembinaan akan terus dihuni dan dikuasai oleh pekerja asing yang rata-ratanya tidak mempunyai dokumen yang sah? Kerajaan perlu membuat satu keputusan drastik untuk menyelesaikan masalah ini.

Operasi imigresen di sekitar Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur

Disarankan untuk kerajaan Malaysia belajar dari Singapura, lihat bagaimana pengurusan pekerja asing terutamanya pekerja kelompok 3D yang telah dilakukan oleh pemerintah kota Singa ini. Semua pekerja asing ditempatkan di satu kawasan penempatan yang tersusun dan bersistematik sebanyak 43 asrama yang menampung lebih 200,000 pekerja asing. 

Kesemua mereka mempunyai data dan rekod yang disimpan oleh Kementerian Buruh dan pihak keselamatan Singapura. Semua data tempat tinggal mereka disiarkan di laman web rasmi Kementerian Buruh. Pengangkutan dari penempatan atau asrama ke kawasan pembinaan disediakan oleh kontraktor dan diselenggarakan dengan cukup teratur. 

Para pekerja asing ini mempunyai peluang untuk keluar dan berhibur dalam masa yang ditetapkan dan tempat-tempat yang telah digazetkan untuk memenuhi tuntutan naluri mereka.

Dengan cara ini, kerajaan Singapura dapat mengetahui segala pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh pekerja asing yang tinggal di negara mereka. Malah bukan sahaja aktiviti jenayah, apa-apa sahaja aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara akan dapat dikawal sebaiknya. 

Oleh sebab itulah, kegiatan ekstremis dan terrorisme di kalangan pekerja asing juga dapat dikekang sejak dari awal lagi. Walaupun jumlah positif Covid-19 di Singapura mencatatkan jumlah melebihi 700 kes setiap hari sejak akhir April yang lalu, akan tetapi jelas bahawa hanya satu digit atau kurang daripada 10 kes adalah lokal dan selebihnya datang dari kluster pekerja asing. 

Keadaan kes yang banyak ini kerana gerakan pengesanan dan ujian kesihatan yang menyeluruh dilakukan oleh kerajaan Singapura di semua asrama pekerja asing yang dimilikinya. Keadaan ini dijangka akan mengalami penurunan yang drastik dan seterusnya tamat pada Jun nanti.

Buat baik berpada-pada

Oleh itu, kita melihat bahawa Singapura akan berjaya mengawal Covid-19 di negara mereka terutamanya di kalangan pekerja asing kerana sistem pengurusan yang betul dan tepat. Bahkan Singapura juga berjaya menyekat kegiatan jenayah dan pemerdagangan manusia kerana mensahkan atau menghalalkan proses kemasukan pekerja asing dan dilakukan secara sistematik. 

Gerakan pembersihan dan pemutihan serta serbuan jika perlu akan dilakukan di kawasan-kawasan yang telah didaftarkan ini. Maka natijahnya kerajaan Singapura berjaya mengawal masalah berkaitan pekerja asing ini dengan baik.

Asrama pekerja asing di Singapura

Kita perlu belajar dari Singapura, pekerja asing sepatutnya boleh dikawal. Kita yang membenarkan dan membawa mereka masuk dan sepatutnya kita boleh mengawal mereka. Akan tetapi apa yang berlaku hari ini ialah mereka tidak dikawal malah berjaya mengawal kita pula. Mereka berjaya menguasai pelbagai sektor hingga mengakibatkan kerugian yang besar kepada ekonomi dan produktiviti negara. 

Pasca-Covid-19 ini memerlukan kerajaan bertindak tegas, pertamanya perlu melakukan gerakan pemutihan dengan pendekatan yang lebih keras. Keduanya isi kekosongan yang ditinggalkan oleh pekerja asing ini dengan rakyat tempatan yang secara relatifnya kehilangan pekerjaan disebabkan oleh impak besar Covid-19 ini. 

Sudah sampai masanya untuk dahulukan rakyat sendiri yang terhimpit dan menderita kesan Covid-19 ini. Benarlah kata pepatah, buat baik berpada-pada, jangan kerana terlalu baik dan sikap tidak ambil peduli memakan diri sendiri, menghancurkan sistem dan mengancam keselamatan negara.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS