story images
story images

Ketika saya menulis ini pada 28 April 2020, sebanyak 210 buah negara dan wilayah sedang diserang oleh Covid-19. Berbilion umat manusia sedang berkurung - berkhalwat.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan. Umat manusia sedang akur mengamalkan jarak social untuk menjauhkan diri dari virus korona. Statistik menunjukkan seramai 3,064,225 telah dihinggapi oleh viru korona baru ini. Seramai 211,573 telah tewas, manakala 922,387 telah diselamatkan. Amin.

Minggu lalu saya telah menulis tentang tangisan Ibu Pertiwi – Bumi Manusia atau Mother Earth. Ibu Pertiwi telah memberi amaran. Ibu Pertiwi memberi ingatan. Apa yang sedang berlaku hari ini belum pernah berlaku. 

Awas dan waspada ini bukan bermakna sesudah Covid-19 ini dilunturkan dan ditewaskan maka kita semua selamat untuk kembali berjoget dan berdansa. Tidak. Jangan berangan-angan. Umat manusia jangan berkhayal. 

Sedarlah Covid -19 ini hanya permulaan. Virus, hama dan busung busung baru akan muncul. Serangan yang akan datang ini lebih hebat, lebih mudarat, lebih ganas dan lebih pantas untuk membunuh umat manusia.

Betul ke? Atau ini hanya propaganda untuk menakut-nakutkan umat manusia? Apakah ada gajah di belakang Kancil. 

Adakah jalan selamat?

Ada projek untuk jual ubat. Atau ini hanya cubaan mengolah persetujuan agar semua akan tunduk mengikut arahan.

Ini bukan propaganda. Tetapi persoalannya, apakah umat manusia ada jalan selamat daripada busung, hama dan virus?

Manusia memiliki fikrah hingga boleh naik ke bulan. Mustahil fikrah manusia tidak berupaya mencipta ubat-ubatan untuk menewaskan virus, hama dan busung.

Sikap manusia moden hari ini ialah sentiasa berbangga dengan fikrahnya. Manusia moden angkuh dengan ilmu pengetahuan. Manusia moden percaya kemodenan mereka akan memunculkan jalan selamat.

Pada 7 Mac 2009 National Aeronautics and Space Administration (Nasa) telah menghantar teleskop bernama Kepler ke angkasa raya. Tujuan untuk mencari planet yang menyerupai bumi. 

Apakah ini persediaan untuk menyelamatkan diri dari bumi manusia ini bila busung baru sampai?

Sebenarnya kita tidak perlu ke angkasa raya untuk selamat. Di bumi ini sedia wujud jalan selamat untuk umat manusia. Jalan selamat untuk kesejahteraan umat manusia sentiasa terbuka.

Jalan selamat ini bermula dengan kesediaan umat manusia menerima hakikat bahawa kepala taik segala virus dalam alam semesta ini adalah manusia sendiri. Manusia wajib menerima hakikat bahawa manusia adalah virus. 

Manusia ialah hama. Manusia ialah busung. Manusia moden adalah busung yang amat merbahaya kepada umat manusia dan kepada bumi manusia. Amin.

Kenyataan demi kenyataan – saranan demi saranan – ingatan demi ingatan telah diumumkan kepada umat manusia. Kajian demi kajian. Dari gedung ilmu ini ke gedung ilmu itu. Dari kajian para ilmu benua ini kepada para ilmuan benua itu.

Busung segala busung

Hampir setiap tahun ada sahaja para ilmuan, para pakar dan para saintis memberi ingatan. Setiap tahun data diumumkan kepada umat manusia. Tetapi umat manusia tidak ambil pot. Umat manusia terus kenduri kendara – berjoget berdansa.

Umat manusia sombong dan angkuh dengan gaya hidup moden. Gaya hidup moden yang rancak dan ranggi ini melalaikan umat manusia. 

Manusia berdengung khayal ketagih dengan candu yang dipanggil konsumerisme. Umat manusia terus gian untuk menjadi pembeli, pengguna dan pemakai.

Membeli dan memiliki ini menjadi teras tamadun moden. Tamadun konsumer ini difatwakan sebagai yang soheh, yang soleh dan yang afdal. Tamadun ini sahajalah yang boleh menjamin kesejahteran umat. Gaya hidup lain, yang bercawat dan bogel dianggap tamadun kuno daripada kitab ajaran sesat.

Justeru ketika umat manusia moden berkhayal, dunia semakin panas. Karbon semakin meninggi. Oksigen semakin kotor. Air semakin tercemar. Sungai semakin kering. Laut semakin mengampoh. 

Angin semakin ganas. Taufan semakin gila. Hujan semakin lebat. Sawah semakin kering. Hutan semakin kurang. Kereta semakin banyak. Plastik semakin menggunung.

Sebenar-benarnya umat manusia inilah ibu segala virus. Umat manusia ialah kepala busung segala busung. Manusia adalah hama segala hama. Umat manusia yang sedia ada hari ini seperti korona sedang membaham bumi manusia.

Serangan Covid-19 yang ketika ini sedang melanda 210 buah negara berpunca daripada virus bernama manusia.

Yakinlah – pasca korona jika kedai akan dibuka semula. Kilang akan beroperasi. Perniagaan macam biasa. Maknanya - business as usual - meniaga seperti dulu. Jika ini sikap manusia pasca korona maka umat manusia akan menuju jahanam.

Saya cukup yakin dengan kenyataan dalam tulisan saya ini. Masa akan membuktikan saya tepat. Rakaman sejarah saya ini sebagai bukti.

Ketika saya menulis ini – ketika pembaca selesai membaca satu para tulisan saya sebanyak 24,000 tan air batu telah cair. Ais yang cair ini masuk ke laut. Setiap saat air laut bertambah sebanyak 10 biji air kolam renang skala olimpik. Warga Bagan Datuk, Tanjung dan Teluk Intan sila berwaspada.

Selesai sahaja pembaca membaca satu para tulisan saya ini bermakna 150 ekar hutan dara telah musnah. Setiap saat pada setiap hari 150 ekar hutan musnah. Seluas 200,000 ekar hutan hujan tropika dibakar setiap hari.

Seluas 78 juta ekar hutan dara dimusnah setiap tahun. Lebih daripada 20 peratus hutan hujan tropika Amazon telah musnah. 

Waspada Sabah dan Sarawak, syarikat China Merah akan sampai dibawa oleh Tiong. Hutan dara Kelantan telah dijual oleh Tok Lebai untuk dana ke Mekah opps.. silap dana perbelanjaan ke Moscow.

Warga Australia baru sahaja selesai melihat hutan kampung mereka terbakar. Sayugia diberi tahu bahawa kebakaran hutan ini hanya 15 peratus berlaku secara semulajadi – kerana petir dan kilat. Kebakaran 95 peratus lagi adalah akibat virus yang bernama manusia.

https://i.malaysiakini.com/1083/e268baf4c9ec2c9d8aafb10da5941191.jpg=s660

Pada akhir bulan Januari 2020 di Victoria dan New South Wales cuaca meledak panas. Kebakaran bermula secara semulajadi akibat panahan petir. Tetapi akhbar Sydney Morning Herald telah melaporkan seramai 183 virus manusia telah ditahan dan 24 virus ini telah didakwa kerana memulakan pembakaran.

Hutan di Australia ini terbakar selama 3 bulan. Seluas 27.2 juta ekar hutan telah terbakar. Statistik menunjukkan 20 peratus hutan Australia telah musnah terbakar. Kebakaran tahun 2020 ini paling besar dan belum pernah berlaku.

Saya berani membuat kenyataan bahawa kebakaran di Australia, di California atau di mana sahaja adalah kerana manusia. Manusia adalah punca kebakaran ini walau pun mancis api diguris oleh kilat dan petir.

Saya menuduh manusia sebagai pembakar kerana manusia menjadi punca dunia kita hari ini semakin panas berdebu. Umat manusia tidak boleh menafikan tuduhan ini.

Buktinya amat jelas. Apabila suhu di Sydney naik ke paras 48.9 darjah celcius atau 120 darjah fahrenheit - ini kepanasan yang belum pernah dirakamkan. Virus manusia moden menghasilkan kepanasan dunia sedemikian rupa. Amin.

Satu minggu saya membuang sampah sarap hampir 4 kilo. Sisa makanan dan plastik menjadi sampah utama daripada saya. Saya tidak tahu apa terjadi kepada sampah yang saya masukkan ke dalam tong sampah moden. 

Moden kerana tong sampah ini ada tiga bahagian – untuk plastik, kertas dan sisa makanan. Tong sampah berniat moden untuk menjaga alam sekitar bumi manusia.

Pada hemat saya tujuan tong sampah moden ini hanya untuk menyedapkan hati saya. Untuk melalaikan saya agar terus menjadi virus. Agar saya terus mengagungkan budaya konsumer. 

Laut kotor, ikan mati

Untuk membuktikan bahawa saya manusia moden yang sedar akan alam sekitar. Saya mahu memperlihatkan bahawa saya bukan virus tetapi sosok yang bertanggug jawab. Pooorah. Semua ini sandiwara budaya moden konsumer.

Ketika saya menulis ini, kajian telah memaparkan data bahawa setiap tahun 8 juta tan, saya ulangi, 8 juta tan plastik telah masuk ke dalam laut. 

Hari ini plastik adalah 80 peratus sampah di dalam laut. Sementara itu, 20 peratus lagi sampah di lautan adalah tayar, besi dan pelbagai perkakas peralatan manusia moden.

Akibat daripada perbuatan inilah kemalangan yang maha sangat sedang berlaku kepada Sang Laut tempat umat manusia menumpang makan. Laut jadi kotor. Ikan mati. Rumpai mati. Bila rumpai mati plankton ikut mati. Bila plankton mati ikan mati kebulur. 

Apabila nelayan memasang pukat yang masuk hanyalah Plastik Botol bin Plastik Bakul. Nelayan hanya menunggu masa untuk mati. Nasib baik ada bantuan rangsangan ekonomi. Dapat nelayan menyambung hidup untuk beberapa bulan.

Kebakaran hutan hujan tropika, pencairan glasier, alam sekitar semakin kotor, sampah sarap plastik menggunung, udara semakin tercemar – semua ini adalah wilayah subur untuk virus baru muncul.

Kita tidak tahu apa lagi virus yang tersimpan beku berjuta juta tahun dalam glasier. Kita tidak tahu busung apa yang tersimpan dalam perut bumi di hutan Kalimantan. Bila hutan di New South Wales terbakar kita tidak tahu campuran kimia apa yang akan memunculkan hama yang baru.

Kita juga tidak tahu berapa lama lagi PKP akan diteruskan. Tapi saya tahu bahawa virus korona dan Covid-19 adalah hasil buah tangan manusia. Virus yang bernama manusia ini dengan tamadun moden mereka telah berjaya mengumpul ayam, mengumpulkan lembu dan mengumpulkan kambing untuk dijadikan bahan makanan.

Dalam kawasan sempit, dalam reban dan kandang yang berasak-asak ini – ayam, babi, kambing, lembu dipaksa memakan daging sesama sendiri. Daripada haiwan makan rumput kini menjadi haiwan makan daging. Amin.

Tulang ayam dan bangkai ayam diproses untuk dijadikan makanan kepada kambing, lembu dan babi. Tulang dan bangkai babi dan kambing di proses untuk dijadikan makanan kepada lembu. Lembu makan kambing dan babi. Pelik tetapi benar. Ini bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

Ini fakta punca – mad cow disease - berlaku di United Kingdom pada tahun 1986 yang mengakibatkan 177 kematian. Seramai 4.5 juta lembu telah dibakar hidup-hidup untuk memastikan penyakit ini tidak merebak.

Tidak cukup dengan ayam, lembu, kambing dan babi – manusia moden mahu makan kelawar dan tenggiling.

Aduh! Jika ini bukan bukti bahawa manusia moden ini adalah virus maka saya bukan daripada Orang Asli suku Biduanda. Apa yang saya tulis ini hanya penglipur lara. Tetapi hakikatnya semua ini adalah fakta. Bukan penglipur lara.

Jika ini bukan penglipur lara bagaimana virus yang bernama manusia ini dapat kita musnahkan? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS