Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Baru-baru ini seorang teman menghubungi saya. Kami berbual. Tidak semena-mena, beliau bertanya pandangan saya berkenaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam berhadapan dengan Covid-19.

Mendengar soalan itu, perkara pertama yang terpancar dalam fikiran saya ialah serangan atas isu perkauman dan agama yang amat kental dilakukan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa mereka memerintah dahulu.

Saya terus menjawab bahawa semasa PH memerintah, pihak yang membangkang selalu bermain isu perkauman dan agama.

Tidak dapat dibayangkan andai Covid-19 menyerang ketika PH masih kerajaan. Apa agaknya bakal menimpa pada negara apabila arahan kerajaan PH agar masjid-masjid dan surau 'dikunci', dan tiada solat Jumaat itu dimanipulasi.

Dengan sebab itu, saya melihat bahawa mungkin ini ujian yang Allah bebankan kepada kerajaan PN di awal pentadbiran mereka. Mungkin ini juga cara Allah nak selamatkan imej PH.

Walau bagaimanapun saya meletakkan sangkaan baik terhadap kerajaan PN. Dengan itu saya menyatakan bahawa, sebagai kerajaan baru, ia umpama orang bertatih.

Dengan sebab itu, dalam keadaan yang getir ini, jawatan menteri dari kalangan orang bijak amat perlu. Jika tidak, pasti akan melahirkan implikasi yang tidak baik.

Sebab itu, ramai mempersoalkan arahan kerajaan yang kelam-kabut pada waktu awal gelombang kedua wabak Covid-19 dulu. Disuruh mahasiswa kosongkan universiti, dalam masa yang sama perjalanan merentas negeri dilarang, kecuali dapat surat keizinan polis.

Akhirnya, Covid-19 yang mahu diatasi dengan menghindarkan perhimpunan, terjadi sebaliknya. Hal ini dapat dilihat apabila berlaku himpunan di stesen-stesen bas dan balai-balai polis.

Bukan dari kalangan ahli politik

Contoh lain, kenyataan menteri kesihatan dalam isu melibatkan air suam dan Covid-19 yang memberi imej buruk pada negara. Kelihatan keputusan kerajaan menyerahkan kepada Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengepalai perkara ini ternyata tepat.

Beliau terbukti mampu melakukan kerja sebagai menteri kesihatan walaupun beliau bukan daripada kalangan ahli politik.

Apabila dibangkitkan soal prestasi, saya kira agak baru untuk memberi penilaian. Tetapi setakat yang sudah berlaku, saya melihat banyak kritikan dalam media sosial menjurus kepada gambaran bahawa kerajaan PN terlalu perlahan dan kurang cekap.

Tidak kurang juga mereka yang menyalahkan kegagalan kerajaan PN ini mengawal keadaan di peringkat awal, yang - pada mereka - kononnya punca berlaku gelombang ketiga Covid-19 yang membimbangkan.

Terbaru, apabila kerajaan ingin membenarkan kedai gunting rambut beroperasi. Tidak dinafikan ada pihak yang bersetuju, tetapi tidak sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengkritik.

Pada mereka, implikasi keizinan itu akan memberi kesan tidak baik dalam usaha melawan wabak Covid-19.

Tidak pasal-pasal, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula meminta agar pihak kerajaan menangguhkan dulu keizinan tersebut dengan alasan yang yang sama dengan pandangan ramai rakyat yang mengkritik.

Ruang cari publisiti

Saya berharap para menteri tidak menjadikan serangan Covid-19 ini sebagai ruang mencari publisiti murahan. Apa yang dilakukan oleh Zuraida Kamaruddin baru-baru ini - menyarung pakaian lengkap seperti petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19 semasa menyembur bahan nyah kuman - mengundang kritikan daripada pakar kesihatan sendiri.

Juga saya berharap, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pakar terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Kerajaan perlu mengambil kira kritikan Anggota Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor Dr Christopher Lee, terhadap tindakan melakukan nyah jangkitan di permukaan jalan yang di Petaling Jaya.

Bagi beliau, ia suatu pembaziran sumber yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih mendesak.

Demikian juga, saya berpendapat kerajaan - sebelum mengemukakan sesuatu polisi - perlu berbincang dengan semua pihak terlebih dahulu.

Seperti dalam isu kedai gunting rambut. Pihak kerajaan sepatutnya bertanya pandangan pihak KKM terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan kepada pihak media.

Saya percaya jika kerajaan ada kecermatan dan kebijaksanaan, di peringkat awal lagi kerajaan dapat mengawal Covid-19 ini dengan baik.

Malah mungkin juga kerajaan dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 berbanding hari ini.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS