Paling Popular
Terkini

Barangkali mereka yang berminat dengan falsafah Barat akan mengibaratkan Anwar Ibrahim sebagai watak Sisyphus dari mitologi Yunani, yang dihukum oleh Tuhan untuk menolak batu yang besar ke puncak gunung, hanya untuk melihat ia berguling ke kaki gunung semula. 

Sisyphus akan turun ke kaki bukit, menolak semula batu itu ke puncak, dan kemudian menyaksikan kesudahan yang sama. Ia diulangi berkali-kali untuk selama-lamanya.

Untuk lebih mudah difahami, Anwar umpama Lee Chong Wei dalam politik. Beberapa kali Lee Chong Wei begitu menghampiri pingat emas, sama ada dalam Sukan Olimpik mahupun Kejohanan Badminton Dunia, tetapi tewas kepada musuh ketatnya, Lin Dan di perlawanan akhir. 

Paling tragis apabila Lee Chong Wei berjaya menewaskan Lin Dan di separuh akhir, namun kecundang pula kepada Chen Long di peringkat akhir, dalam Sukan Olimpik 2016.

Berbalik ke medan politik tanah air. Dalam pergolakan kuasa yang berlangsung pada Februari 2020, Anwar Ibrahim pada satu ketika dilihat telah berjaya mendahului Mahathir Mohamad, kononnya dengan 92 kerusi Dewan Rakyat dalam genggamannya. Namun, sekali lagi Anwar Ibrahim berselisih bahu dengan jawatan perdana menteri, apabila Muhyiddin Yassin memintas beliau untuk masuk ke Seri Perdana melalui pintu belakang.

Berbeza dengan Lee Chong Wei, yang dikagumi lantaran kecekalannya untuk mencabar nasib yang ditakdirkan, Anwar Ibrahim sebaliknya dilontar dengan pelbagai sindiran, ekoran kegagalannya buat kali entah ke berapa. Paling sinis gelaran “bakal PM keempat/ kelima/ keenam/ketujuh/kelapan/kesembilan” yang dipersendakan oleh Najib Razak, PM keenam yang mencuba talian hayatnya dengan menelefon Anwar pada malam 9 Mei 2018.

Sementara ada yang mengkritik “kegelojohan” Anwar untuk merebut kuasa, ada juga yang tidak puas hati dengan sikapnya yang sentiasa teragak-agak untuk “membunuh” musuh politiknya ketika berkesempatan berbuat demikian. Sama ada Anwar terlalu gopoh, mahupun ragu-ragu, atau kedua-duanya sekali, hakikatnya, ramai yang percaya, sikap Anwar yang menentukan nasibnya sendiri.

Mahathir

Namun demikian, jarang-jarang ada yang mengusik Mahathir Mohamad, atau mengambil perspektif yang sama ketika menilai Mahathir. Beliau menguasai gelanggang, dengan jentera negara dalam genggamannya. Meskipun tidak berkuasa ketika menentang rejim Najib Razak, Mahathir masih memiliki kelebihan dengan kewibawaannya yang terbina dalam kalangan masyarakat Melayu untuk berdekad-dekad. Jikalau perlu menongkah arus, maka Mahathir meminjam kekuatan gerakan Reformasi yang dibina Anwar bersama sekutunya sejak tahun 1998.

Mahathir tampil dengan imej pemenang, dilambung dalam dunia yang cenderung menilai segala-galanya berdasarkan kesudahan. Apa tidaknya, sebelum 9 Mei 2018, ada juga yang membandingkan Anwar yang keluar masuk penjara dengan Mahathir yang keluar masuk Umno demi perjuangan politik masing-masing. Namun selepas 9 Mei 2018, apa yang lebih diperkatakan berbunyi: “Sekurang-kurangnya Mahathir menumbangkan Umno, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Anwar dalam pilihan raya umum pada tahun 1999, 2008 mahupun 2013.”

Suka atau tidak, inilah hakikatnya. Namun ia bukan gambaran yang menyeluruh. Ia menuntut tafsiran dari pelbagai sudut. Sesungguhnya, Pakatan Harapan gagal menawan Putrajaya tanpa sosok Mahathir Mohamad, tetapi pada masa yang sama, Pakatan Harapan akan gagal menawan Putrajaya tanpa gerakan Reformasi yang bercambah pada tahun 1998, juga Pakatan Rakyat yang terbina antara tahun 2008 hingga 2015, yang mana kedua-duanya berpisah tiada dengan sosok Anwar Ibrahim.

Secara jujur saya bukan peminat Mahathir. Tidak dinafikan jasa beliau dalam pembangunan negara, tidak dipadamkan juga dosa beliau yang mengakibatkan kebobrokan sistem negara. 

Malah menjelang PRU14, ketika kita terpaksa membuat keputusan sukar dalam dilema antara Najib dengan Mahathir, kita memilih Mahathir atas alasan beliau wajar diberi peluang untuk menebus dosanya jikalau hanya Mahathir boleh menghancurkan Mahathirisme.

Bekas presiden PAS, allahyarham ustaz Fadzil Noor pernah mendoakan agar Mahathir dipanjangkan usianya untuk melihat sendiri kerosakan yang dilakukannya. 

Bukan sahaja doa ini dimakbulkan, malah Tuhan memberi peluang kepada Mahathir untuk memperbetulkan kesalahan dirinya pada usia ke-93. Jadi, Mahathir agak bertuah, kerana bukan semua tokoh diberi peluang sedemikian. Mendiang Lee Kuan Yew dari Singapura misalnya, tidak sempat, malah tidak larat lagi pada usia 90-an.

Hang Tuah bahagian kedua

Pernah terlintas dalam otak saya bahagian kedua Hikayat Hang Tuah, apabila istilah “Mahathir 2.0” menjelma. Jikalau dikecualikan bab kesetiaan terhadap sultan, Mahathir agak mirip watak Hang Tuah – gagah, ganas, berani, bijak – sehingga Malaysia (Melaka) mencapai kegemilangan pada zamannya. Dengan kuasa (keris) dalam tangannya, Mahathir membangun Malaysia dengan membina bangunan tertinggi (KLCC), lapangan terbang terbesar (KLIA); malah dengan angka pertumbuhan ekonomi yang menakjubkan.

Namun Malaysia yang dibina dengan bangunan tersergam megah, rupa-rupanya rapuh roh dan jiwanya. Kita memiliki infrastruktur kelas pertama dengan mentaliti kelas ketiga. 

Bangunan parlimen dan mahkamah bagai mahligai indahnya, tetapi pada masa yang sama, kita menyaksikan kepincangan semak-imbang dalam sistem kerajaan, budaya feudalisme (sujud dan mengampu sang penguasa) berleluasa, percaturan politik dengan taktik kotor dan keji, pemujaan kebendaan dan penghinaan terhadap rakyat sehingga tahap “cash is king”. Malah, kita sanggup mendaki tangga kuasa dan sosial dengan memijak-mijak mereka yang berada di bawah tanpa sehiris rasa simpati dan empati.

Segala-gala yang nampak mewah, rupa-rupanya mewa. Perwatakan Hang Tuah berubah setelah beliau bertafakur selepas tumbangnya kesultanan Melaka. Hang Tuah mengembara ke China, merentasi benua Asia dan kemudian sampai di Turki. Kita diperlihatkan bagaimana Hang Tuah mula meraikan kepelbagaian. Hang Tuah pada zaman tuanya, lebih tenang dan sabar, lebih lembut dan tidak lagi keras dan ganas, lebih bijaksana untuk menyedari bahawa dunia ini bersifat sementara.

Satu ketika kita bersangka baik terhadap Mahathir. Jikalau “bekas diktator” ini sanggup melakukan sesuatu agar Malaysia dibaik pulih dari dalaman, dengan memecahkan pemusatan kuasa, mewujudkan suasana politik yang lebih sihat dan adil – menyaksikan persaingan parti atau politikus berdasarkan idea dan wawasan, atau kecekapan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran, maka dosa dan jasa beliau akan dinilai dengan lebih saksama mengikut nisbahnya. Tidak adil jikalau kita menuntut lebih daripada seorang tokoh yang dilahirkan pada tahun 1925, melalui zaman perang dunia pertama dan kedua – untuk melakukan sesuatu yang lebih daripada itu.

Namun Mahathir membiarkan, kalau bukan menggulingkan sendiri batu yang telah ditolaknya ke puncak gunung untuk bergolek semula ke kaki gunung. Mungkin kerana dengki, barangkali disebabkan degil, boleh jadi dikabui kuasa yang sentiasa menggoda – saya penentu segala-galanya.

Bukan sekali Mahathir meluahkan kebimbangannya bahawa pewarisnya mungkin gagal meneruskan dasar-dasarnya yang baik, seolah-olah pentadbirannya sempurna, dan dirinya satu-satu pemimpin yang tahu apa yang terbaik untuk Malaysia. 

Bukan sekali juga Mahathir mengakui bahawa Najib lebih berbahaya berbanding Anwar. Malah Mahathir pernah mengakui bahawa Anwarlah yang membina pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) sebelum PH.

Jikalau Anwar kalah ketika mencabar nasib dirinya, maka Mahathir kecundang ketika mencabar ego dirinya. Mahathir tidak sedar bahawa beliau boleh menumpaskan Najib dengan gabungan tenaga Anwar bersama rakan seperjuangannya. Mahathir tidak mengerti bahawa manusia dipegang pada janjinya. Kerana berpegang pada janji, Wan Azizah menolak gelaran “perdana menteri wanita pertama dalam sejarah Malaysia” yang hampir dikalungkan padanya ketika menghadap istana. Namun, tali keangkuhan dan kedegilan menambat langkah Mahathir untuk melangkaui Mahathirisme.

Mungkin ini sebabnya, atau mungkin lebih tepat, akibatnya apabila kita tidak habis menelaah Hikayat Hang Tuah hingga bahagian akhirnya. Segala titisan keringat untuk mereformasikan Malaysia, kini bergolek bagai bola salji ke kaki gunung. Cuma, siapakah yang akan menolak semula batu ini ke puncak gunung kali ini, bosku?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS