Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua atau mungkin tiga minggu lalu seorang kenalan lama yang menganggotai satu Whatsapp group, yang saya juga ada di dalamnya, menghantar satu keratan laporan media.

Laporan itu siaran Januari ,menyebut “pengidap pertama Covid-19 di Malaysia adalah warga China”.

Komen yang mengiringi hantaran itu berbunyi: “Simpan laporan ini untuk direnungi anak cucu kita”. Lebih kurang begitu.

Lantas seorang yang ada dalam Whatsapp group itu ,juga kenalan saya, memberi komen begini: “Tapi yang dipersalahkan jemaah Tabligh.”

Itu mengundang satu lagi komen anggota group berkenaan : “Betul, yang dituduh orang Tabligh , geram betul.”

Yang dimaksudkan mereka ialah jemaah Tabligh dipersalahkan menyebarkan koronavirus di Malaysia, padahal menurut mereka, yang membawa virus ke negara ini warga China. Bagi saya yang tersurat dan yang tersirat ada unsur rasis di situ.

Bagi yang mencipta hantaran itu pula jelas tidak mahu anak cucu kita tidak tahu atau lupa pembawa virus itu ke negara ini ialah warga China. Ada unsur rasis juga pada pendapat saya.

Memang benar tiga orang yang mula-mula dikesan positif Covid19 di Malaysia ialah warga China. Hakikatnya juga bilangan besar jemaah Tabligh yang menghadiri majlis di Masjid Seri Petaling tempoh hari didapati positif Covid-19.

Tapi untuk mengatakan hanya jemaah Tabligh dipersalahkan dan bukan warga China adalah tidak benar. Kedua-dua dipersalahkan kumpulan kumpulan tertentu. Mengikut bangsa dan agama masing-masing. Jelas kedua-dua kumpulan bermain sentimen ras dan agama.

Sebenarnya baik warga China mahupun jemaah Tabligh tidak harus dipersalahkan. Mereka dijangkiti virus lalu menjadi pesakit .Menghalang jangkitan adalah luar daripada kemampuan mereka.

Bukan penjenayah

Dari kaca mata dua kenalan yang saya sebut tadi, warga China yang mesti dipertangggungjawabkan bukan orang Tabligh. Saya tidak setuju. Tapi saya juga tidak setuju jemaah Tabligh dipersalahkan. Seperti yang saya katakan diperenggan di atas.

Adalah tidak adil jemaah Tabligh dituduh orang yang merebak Covid19 di negara ini. Malah di mana-mana sekali pun.

Namun yang menimbulkan rasa kesal,sedih dan juga kemarahan pelbagai pihak termasuk umat Islam sendiri ialah apabila ada anggota jemaah Tabligh yang hadir ijtimak di Masjid Seri Petaling 27 Februari hingga 1 Mac lalu, yang masih belum atau enggan tampil membuat saringan di pusat kesihatan yang dikendali kerajaan.

Itu isunya yang pada hemat saya ramai yang sudah maklum. Ketika artikel ini ditulis kementerian kesihatan masih berusaha mengesan ramai lagi jemaah Tabligh yang menghadiri ijtimak tempuh hari untuk membolehkan saringan kesihatan dijalankan ke atas mereka.

Pelbagai pihak termasuk para agamawan sudah beberapa kali membuat kenyataan terbuka menasihati golongan tersebut tampil secara sukarela. Jelas atau lebih tepat lagi malangnya segala nasihat yang diberi belum dipatuhi sehingga kini.

Tidak dinafikan ada yang sudah datang secara sukarela. Tapi ramai lagi belum tampil. Hatta kementerian kesihatan cuba mengesan mereka dengan dibantu polis.

Pelik golongan yang belum tampil masih tidak tampil. Mereka bukan orang yang melakukan kesalahahan atau telah melanggar undang undang. Mereka bukan penjenayah.

Mungkin mereka ada alasan sendiri untuk tidak tampil. Namun apa pun alasan dan sebabnya mereka perlu malah wajib datang ke pusat kesihantan untuk disaring. Jika didapati postif mereka akan dirawat. Jika negatif alhamdulillah.

Lakukanlah bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri. Lakukan juga untuk keselamatan isteri, anak-anak dan semua yang disayangi. Dan lakukanlah demi kesihatan semua insan, yang Islam, yang bukan Islam.

Bantulah pecahkan rantai jangkitan, ratakan lengkung, sekali gus halang merebaknya Covid19.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS