Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kota Jogja seolahnya adalah ‘Mekah’ kepada para seniman. Sekurang-kurangnya untuk para seniman di sebelah kita. Tumpuan yang diberikan kepada seniman dan karya dari Jogja adalah sesuatu yang menghairankan kami.

Lalu kerana itu kami beberapa kali tiba di kota istimewa ini.

Banyak yang dapat dipelajari hasil lawatan-lawatan yang kami adakan itu. Selalunya yang menyambut kami apabila di Jogja ialah pengarca - atau disebut sebagai pematung di Indonesia - Ali Umar Ali Basyar.

Beliau berasal dari Sumatera Barat dan telah lebih 30 tahun menjadikan Jogja sebagai tempat untuk berkarya.

Kebanyakan seniman yang berkumpul dan menjadikan Jogja sebagai tempat berkerja datang dari seluruh Indonesia. Mereka asalnya datang untuk belajar di Institut Seni Indonesia (ISI), sebuah pusat pembelajaran yang khusus bagi apa saja bentuk kesenian.

Selain seni rupa, ISI juga menawarkan kursus muzik, seni pertunjukan, fotografi dan - yang terbaru - pengurusan seni.

Menurut Ali Umar, seni rupa Jogja mula meledak pada 2005, Ia merupakan masa yang dikenal para seniman Jogja sebagai era booming.

Apa yang berlaku adalah, ketika karya-karya kontemporari di China mendapat perhatian dunia, artis-artis dari Jogja mendapat tempiasnya. Lalu terdapat beberapa kumpulan ‘penggerak’ yang memulakan usaha mempromosi karya Jogja ke merata dunia.

Ada galeri masing-masing

Mereka memulakan usaha dengan menggembar-gemburkan kepada dunia bahawa karya-karya dari Jogja adalah karya yang berhak mendapat perhatian. Usaha mereka berjaya apabila dunia mula membuka mata kepada apa yang ada di kota ini.

Apa yang tidak diketahui ialah, para 'penggerak' itu - sebelum memulakan promosi karya seniman Jogja - terlebih dulu mengumpul dengan banyaknya karya-karya seniman terpilih.

Apabila usaha mempromosi kehebatan hasil kerja seniman Jogja berjaya,karya-karya mula dibawa keluar untuk dilelong di rumah-rumah lelong terkenal dunia.

Dari itu para penggerak terbabit beroleh keuntungan yang berlipat kali ganda. Dan dari situ juga kita akan dapati sebilangan seniman Jogja memiliki galeri, atau disebut sebagai muzium peribadi.

Sebahagian daripada mereka membina sendiri galeri itu hasil keuntungan berkarya manakala sesetengah pula dihadiahkan galeri peribadi oleh para penggerak yang memperoleh untung besar.

Ali Umar adalah seniman yang tidak mendapat limpahan dari booming itu. Apabila ditanya apakah beliau berasa rugi kerananya, Ali Umar menjawab, perjalanan hidup seorang seniman adalah sesuatu yang bukan dalam tangan sendiri.

Semuanya dikuasai oleh tangan yang lebih besar. Namun beliau mensyukuri apa saja yang dihulurkan oleh tangan besar itu.

"Ini hidup yang saya pilih. Saya tidak tahu apa selain daripada menjadi seniman kerana dari kecil memang ini cita-cita saya," kata beliau.

Ali Umar bersekolah menengah di Sekolah Seni Rupa, Padang, dan setelah itu melanjutkan pengajian di ISI. Kedegilan beliau mahu kekal sebagai seniman mungkin dirangsang oleh darah pejuang yang mengalir di tubuhnya.

Ayahanda Ali Umar merupakan pejuang kemerdekaan dan pernah dihukum mati oleh Belanda. Semasa hukuman dijalankan, ayah beliau sempat berpura-pura mati dan terjun ke sungai.

Di situlah ayahanda Ali Umar berdiam diri selama dua minggu.

Dari situ bapanya selalu berpesan untuk terus berjuang dalam apa keadaan sekali pun. Ali Umar memilih untuk bertahan dalam dunia seni.

Wajah sebenar akan muncul

Setelah booming reda, maka seniman yang mendapat durian runtuh itu kembali lagi kepada kenyataan dunia seni. Seniman terbabit kembali ditinggalkan selepas karya mereka tidak lagi mendapat perhatian.

Maka nasib seniman itu kembali sama seperti nasib seniman lain di mana-mana juga. Mereka mencari pendapatan melalui karya yang tidak lagi menjadi bualan orang. Sudah tentu ia suatu kerja yang sulit.

Namun begitu terdapat juga seniman hasil booming itu masih bertahan sehingga hari ini. Mereka masih dikendali oleh para 'penggerak' dan hanya masa yang boleh menentukan keberadaan mereka dalam dunia seni rupa.

Menjadi seniman tanpa pengurusan yang baik adalah sesuatu yang perlu dielak, namun jika yang ke depan menguruskan seniman dan hasil karyanya hanya kerana kepentingan wang ringgit, lambat-laun, tentu saja wajah sebenar kelompok terbabit akan terpampang juga.

"Setelah Radin Salleh pada abad ke-18, tidak ada seorang seniman pun yang direkod dalam sejarah seni Indonesia.

"Hanya setelah tahun-tahun 1930-an muncul Affendi dan rakan-rakan. Maka apakah tidak ada seniman selain Radin Salleh dari abad ke-18 hingga tahun-tahun 1900-an?" kata Ali Umar.

Kerana itu, katanya, sejarah seni rupa Indonesia seharusnya diteliti semula bagi memberikan gambaran sebenar.

Untuk rekod, ada pendapat yang mengatakan Radin Salleh adalah figura yang sengaja direka oleh sesetengah pihak bagi mengangkat jati diri rakyat Indonesia.

Susuk Radin Salleh itu sendiri diyakini wujud namun karya-karya yang dikreditkan kepadanya didakwa hasil kerja seniman lain yang diupah.

Perbahasan mengenai perkara ini masih diperkatakan oleh seniman dan sejarawan Indonesia. Disebalik semua itu, Ali Umar bersyukur kerana segala perjalanan hidup beliau sebagai seniman didokumentasi dengan lengkap.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair yang masih berada di Jogja akibat lockdown dan mengharapkan kerajaan menghantar penerbangan belas kasihan untuk membawanya pulang ke tanah air tercinta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS