Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiap peristiwa yang berlaku pasti mempunyai hikmah. Tinggal lagi, sejauh mana kita dapat melihat dan memahaminya.

“Maka sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6)

Beberapa hari lepas, dalam satu sesi bersama pemimpin parti, Sdri Yeo Bee Yin, mantan Menteri ada meluahkan perasaan beliau. Yang saya fahami, beliau menyatakan bahawa kita memiliki banyak idea-idea yang baik, yang boleh dilaksanakan untuk kebaikan rakyat. Tetapi akibat pertelagahan politik hari ini, idea yang baik ini tidak dapat dilaksanakan, semuanya telah terhenti.

Mendengar ucapan Bee Yin apatah lagi beliau dalam kondisi sarat mengandung cahaya mata yang pertama, sedikit emosional bagi saya. Pada masa yang sama, saya cuba merenung dengan lebih mendalam maksud 'gajah sama gajah bergaduh, pelanduk tersepit di tengah-tengah'.

Kedua-dua keadaan ini (ucapan Sdri. Yeo Bee Yin dan bidalan Melayu) bagi saya boleh dianggap mewakili garis politik anak muda, menjelaskan lagi betapa remuknya hati dan kepercayaan anak-anak muda akibat pertelagahan beberapa watak politik pada ketika ini.

Ada yang keliru antara perjuangan rakyat, prinsip, ketua, parti dan kuasa politik.

Kami antara pemimpin muda yang masih baru menerima amanah, belum dapat membuktikan kebolehan kami untuk berkhidmat kepada rakyat apatah lagi memberi impak sehingga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakan-rakan anak muda khususnya.

Pertelingkahan watak-watak ini telah membawa kita semua ke suatu sudut, krisis yang sukar untuk bertemu kesudahannya.

Saya mengambil beberapa hari untuk menenangkan diri dan rakan-rakan ketika ribut politik ini berlaku. Rakan-rakan muda baik ahli biasa, usahawan, aktivis mahupun pemimpin muda politik berkongsi pelbagai persoalan. Saya mendengar dan mencerap soalan-soalan ini dengan penuh teliti. Akhirnya saya simpulkan dengan satu realiti yang cukup pahit untuk diterima.

Adakah kita mahu terus membiarkan harapan dan masa depan kita diletak di tangan beberapa watak politik semata-mata? Atau kita sendiri yang harus ke hadapan mengambil baton kepimpinan? Saya ringkaskan soalan ini. Bersediakah kita atau Malaysia hari esok untuk bergerak tanpa watak-watak ini lagi? Pernahkah kita berfikir selangkah kehadapan dengan soalan-soalan yang memeritkan ini?

Majoriti anak muda yang membentuk lebih empat puluh peratus populasi rakyat Malaysia ketika ini sedang membina keluarga, membina kerjaya dan kehidupan mereka.

Selain berusaha meningkatkan produktiviti, kemahiran dan pendapatan, mereka berusaha keras untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Lebih separuh dari jumlah empat puluh peratus kumpulan anak muda ini hidup dengan pendapatan tiga ribu ringgit dan kebawah, ini bermakna mereka berada dalam kumpulan B40. Berapa lama lagikah masa yang diperlukan untuk mengeluarkan rakan-rakan kami anak muda ini dari kelas B40? Saya tak mampu menjawabnya ketika ini.

Adakah kita memahami psiki mentaliti kumpulan ini yang mungkin secara realitinya, mereka tidak peduli pun siapa akan menjadi Perdana Menteri atau parti apa yang akan menjadi kerajaan. Bagi mereka, siapa saja yang layak dan menang, laksanakanlah kerja dengan cekap dan baik, tidak merompak harta negara dan memberi keadilan dalam setiap inci pada kehidupan mereka. Inilah garis pemikiran orang muda.

Demikian juga dengan pimpinan muda, kami bekerja untuk membuka lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan, latihan dan pendedahan buat anak-anak muda. 

Projek kami adalah projek untuk membina keupayaan anak muda dalam pekerjaan dan demokrasi (undi18), kami pemimpin muda tidak ada projek-projek mega, besar dan gilang gemilang, semua ini tak ada dalam pemikiran kami semua. Inilah garis politik pemimpin muda seperti kami.

Kami disindir kerana terlalu idealistik dalam berpolitik, tetapi hakikatnya itulah yang menjadi semangat kepada kami untuk bekerja dengan lebih rajin dan berkhidmat dengan lebih ikhlas. Barangkali kami memang tidak pandai dan tak berpengalaman dalam mentadbir kerajaan, tetapi kerana kekurangan itu jugalah kami tidak pandai membuat duit dan mencari laba dari punca rasuah.

Sudah sampai tanda-tanda 'kiamat' besar agar pemimpin muda dengan dukungan anak muda harus mencari jalan keluar dari kerangka politik warisan lama yang dicatur oleh beberapa watak politik hari ini. 

Kita tak mampu mengubah sejarah dan sikap politik watak-watak ini, mereka telah terbelit dengan beban politik lama yang tak berkesudahan. Sebaliknya kita boleh mengubah masa depan kita dan generasi kita. Ini bergantung sejauh mana keberanian yang kita punyai.

Kita anak muda yang lahir pada era 70an dan 80an rata-ratanya, yang kini berada di lapisan kedua kepimpinan setiap parti, perlu bersatu dan bersama-sama mencari jalan keluar serta menjauhi politik intrik. 

Kita orang muda bersaing dengan prestasi dan pencapaian kerja. Kita bersaing untuk memberi kualiti perkhidmatan yang terbaik, bukan semata-mata untuk laba politik dan populariti. Kita juga bersama dan bersepakat tanpa kenal bendera parti, apatah lagi bangsa dan agama.

Kami adalah satu keluarga yang sedang membesar yang memerlukan keberanian untuk membuat perubahan yang lebih bermakna.

Kadang saya terfikir, beranikah atau sanggupkah kita menjadikan Perdana Menteri hari ini sebagai PM terakhir yang melepasi umur 50 tahun di Malaysia? Bersediakah kita melihat PM selepas ini berumur tidak melebihi usia 50 tahun sepertimana Jacinda Arden berumur 37 tahun sewaktu mengangkat sumpah sebagai PM New Zealand, Justin Trudeau berumur 42 tahun sewaktu menjadi Perdana Menteri Kanada?

Di mana-mana negara di seluruh dunia ketika ini sedang berubah dengan meletakkan peranan golongan muda dalam memimpin perubahan negara dan dunia. Kita lihat UAE, Shamma Al-Mazrui – Menteri Belia UAE hanya berusia 25 tahun, Anupriya Patel – Menteri Kesihatan India (35 tahun), Simon Harris (33 tahun) – Menteri Kesihatan Ireland.

Sebastian Kurz (33 tajun) – Menteri Luar Negeri dan Integrasi Austria (33 tahun), Nadiem Makariem (35 tahun) – Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia (35 tahun) selain Syed Saddiq (27 tahun) – Menteri Belia dan Sukan yang pernah kita ada di Malaysia.

Apakah yang menghalang kita anak-anak muda untuk merubah peta politik negara pada hari ini? Janganlah biarkan diri kita terus percaya pada propaganda yang kita cipta sendiri. Berjuanglah dan bekerjalah atas paksi realiti.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Ketua Pemuda DAP Johor dan Adun Paloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS