Paling Popular
Terkini

Kita semua tahu bahawa Nabi Muhammad itu berbangsa Arab - suatu bangsa yang terkenal dengan budaya keras.

Sebelum zaman Islam, bangsa Arab yang tinggal di padang pasir tidak dapat membina tamadun. Ibn Khaldun pernah menulis dalam Muqaddimah - menjelaskan bahawa sebelum zaman Islam, bangsa Arab dapat membina tamadun setelah ada integrasi dengan Farsi. Malah, Ibn Khaldun menegaskan juga bahawa tanpa integrasi dengan Farsi, masyarakat kota bangsa Arab tetap tidak ada beza dengan masyarakat padang pasir.

Walaupun sudah mempunyai kota, sifat keras itu tetap ada pada bangsa Arab. Walaupun sudah memeluk Islam, budaya padang pasir itu masih melekat dalam kalangan masyarakat Arab.

Nabi Muhammad yang diutuskan dari kalangan bangsa Arab ternyata berhadapan dengan cabaran besar dalam menyampaikan seruan Islam. Walaupun bangsa Arab yang terkenal dengan keras dan degil, semua itu berjaya Nabi SAW hadapi dengan baik.

Kadangkala terfikir, andai nabi datang dari kalangan masyarakat Eropah, cabaran nabi dalam menyeru manusia kepada Islam tidak serumit sepertimana berhadapan dengan bangsa Arab. Andai Nabi datang dari kalangan masyarakat Melayu, cabarannya tidak serumit berhadapan dengan bangsa Arab.

Kalau Nabi boleh hadapi bangsa Arab dalam dakwah, makanya bangsa Melayu boleh terima Islam hanya dengan hantar pendakwah. Kadangkala terfikir, jika nabi datang ke bangsa Melayu yang mudah terima Islam, dengan kedegilan Arab, tidak pelik jika diandaikan bahawa Arab sukar menerima Islam hanya melalui pendakwah.

Wali Songo

Berbagai teori dan kajian dalam menjelaskan bagaimana Islam masuk ke tanah Melayu. Ada kata melalui pedagang dari Farsi (ada kata Yaman atau India); ada kata melalui keislaman raja Melayu; tidak sedikit juga berhujah bahawa Islam masuk ke Tanah Melayu melalui pendekatan dakwah hikmah Wali Songo.

Pendekatan Maulana Malik Ibrahim atau dikenali juga sebagai Sunan Gresik melalui rawatan rukyah dan doa, menyebabkan masyarakat Melayu yang beragama Hindu tidak rasa bersalah untuk menukar agama mereka - dari Hindu kepada Islam. Apabila ada yang sihat dengan rawatan beliau, beliau jelaskan bahawa yang memberi sihat itu bukan beliau, tetapi yang memberi sihat itu adalah Allah.

Pendekatan itu, nampaknya ringkas dan bersahaja. Namun, ia memberi kesan besar dalam jiwa masyarakat melayu yang beragama Hindu. Sedikit demi sedikit, mereka telah menerima Islam sebagai agama anutan.

Kita juga boleh kagum dengan pendekatan Sunan Kalijaga yang tidak terus menghapuskan budaya bacaan mantera sempena kematian yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Hindu secara turun temurun. Minda hikmah dalam dakwah, beliau mengubah bacaan mantera Hindu tersebut kepada beberapa ayat al-Quran dan doa-doa dari hadis-hadis nabi.

Demikian juga pendekatan Sunan Kudus yang meminta masyarakat Islam di zaman beliau agar tidak menyembelih lembu di masa hari raya korban.

Beliau meminta begitu bukan kerana beliau anti ibadat korban, atau beliau "macai" Hindu. Beliau buat begitu kerana mahu memastikan imej Islam tidak rosak; beliau mahu, Islam tidak tergambar sebagai agama yang tidak toleransi; beliau mahu memastikan, masyarakat Hindu tidak prejudis terhadap agama Islam.

Kerja dakwah beliau ternyata memberi kesan pada penerimaan manusia terhadap Islam. Kesannya, permusuhan berjaya dihindari, Islam tidak dibenci, masyarakat Hindu pula semakin hari semakin menerima agama Islam.

Saudisme

Saudi membawa pendekatan Arab yang keras. Ia tidak sejajar dengan budaya Malaysia yang pelbagai kaum dan anutan Agama.

Saudi terkenal dengan kejumudan dalam memahami teks Islam. Itu bukan sekadar tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia, malah tak sesuai bagi masyarakat yang mahu kemajuan.

Di samping minyak, Saudi kaya kerana kota ibadat Muslim - Mekah dan Madinah ada di Saudi. Ia menjadi tumpuan tahunan bagi masyarakat muslim seluruh dunia. Kalau tiada kota ibadat itu, kita pun tidak tahu apa perlunya kita ke Saudi.

Membawa pendekatan Saudi, kemungkinan Islam tidak tersebar di Tanah Melayu. Kebijaksanaan seperti Wali Songo tidak ada pada pendekatan Saudi yang jika dibawa juga, kemungkinan yang berlaku adalah perbalahan atas nama agama.

Kalau Wali Songo, sebelum mereka memikirkan masyarakat menerima Islam, mereka fikirkan kemanusiaan. Berbeza dengan Saudi - pada mereka, Islam perlu dipaksa orang terima, walaupun berlaku perbalahan.

Islamisme

Satu lagi yang membelenggu pemikiran umat Islam dunia adalah pemikiran islamisme, iaitu pemikiran yang bermuarakan cita-cita negara Islam.

Kalau Wali Songo, mereka fikir imej Islam terjaga, makanya mereka berusaha agar prejudis manusia terhadap Islam dapat dihindari. Ini berbeza bagi pemikiran Islamisme, mereka hanya memastikan kemenangan berpihak pada kelompok mereka. Yang penting bagi mereka, Islam dalam penafsiran mereka sahaja berada di kemuncak kuasa. Soal imej Islam dan prejudis terhadap agama Islam, itu bukan penting bagi mereka.

Dengan sebab itu, banyak gerakan terorisme bermula dari jalur Islamisme. Boko Haram di Nigeria, antara rujukan usrah mereka adalah karya-karya Syed Qutb. Demikian juga Jemaah Al-Dakwah wa al-Hijrah yang dikepalai Syukri Mustafa yang berbangsa Mesir - antara perkara dasar dalam pemikiran mereka adalah menghukum kafir kepada kerajaan yang tidak melaksanakan hukum hudud dan qisas - sehingga menganggap boleh diperangi.

Walaupun tidak semua Islamisme itu adalah terorisme, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa banyak gerakan terorisme terpengaruh secara langsung dengan Islamisme. Walaupun tidak semua yang membaca karya Syed Qutb menjadi terorisme, tetapi tidak dapat disangkal bahawa ramai tokoh terorisme menjadikan karya Syed Qutb sebagai rujukan usrah.

Islam Nusantara

Di Indonesia, terdapat satu gerakan rakyat bernama Nahdatul Ulama. Mereka boleh dikatakan antara gerakan umat Islam yang tertua di sana.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka sedang memperkenalkan pendekatan Islam Nusantara. Pendekatan yang terbukti berjaya menyebarkan Islam secara aman - tanpa berbalah, malah mampu bersahabat dengan semua pihak, tidak kira apa agama, mazhab dan bangsanya.

Mereka menolak gerakan umat Islam yang membawa naratif keras, seperti wahabisme. Pada mereka, gerakan itu tidak menyumbang kepada keamanan dalam negara.

Wacana agama mereka juga menarik, seperti mereka pernah kemukakan idea bahawa tidak dipanggil "kafir" kepada masyarakat bukan Muslim. Walaupun pandangan sebegitu pernah dikemukakan oleh al-Qaradawi pada tahun 2004 yang lalu melalui satu karya beliau bertajuk Khitabuna al-Islam fi ‘Asr al-‘ulamah, tetapi cadangan pelaksanaan dipopularkan oleh mereka di Indonesia.

Idea itu dicadangkan bukan kerana menolak sebutan kafir yang ada dalam al-Quran, sebaliknya melihat pendekatan hikmah dalam berkomunikasi yang pernah dikemukakan oleh al-Quran. Seperti al-Qaradawi pernah berhujah bahawa, al-Quran sering mengemukakan kejahatan Yahudi dan Nasrani. Namun, apabila berinteraksi dengan mereka, al-Quran menggunakan seruan "Wahai Ahli kitab".

Mereka juga telah mengangkat wacana bahawa klasifikasi kafir kepada zimmi dan harbi tidak lagi relevan. Pada mereka, bukan Muslim dalam negara perlu dianggap sebagai warganegara yang sah dan mendapatkan hak yang sama dengan masyarakat Muslim.

Di Malaysia, rakyatnya berbilang kaum dan bangsa. Malah, punyai kepelbagaian anutan agama. Bilangan masyarakat Muslimnya pula, tidak jauh beza dengan masyarakat bukan Muslim kecuali di beberapa Negeri tertentu sahaja. Dengan itu, budaya damai amat perlu dibina.

Wacana Islam versi Saudisme dan Islamisme sudah tidak relevan untuk dibawa ke Malaysia, kerana kedua-dua pendekatan ini menyukarkan lagi membina budaya damai di Malaysia.

Dengan sebab itu, dalam usaha hendak membina budaya damai, apa salahnya kita belajar dari Nahdatul Ulama Indonesia yang mengangkat pendekatan Islam Nusantara.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS