Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dr Maszlee Malik digugurkan dari jawatan menteri pendidikan. Digugurkan atas arahan perdana menteri ketujuh yang juga perdana menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad.

Berbagai spekulasi terhadap punca beliau digugurkan. Antara yang kedengaran di media sosial, kononnya beliau digugurkan itu disebabkan banyak membuat keputusan di luar kabinet.

Tidak lama kemudian, perdana menteri mengumumkan bahawa beliau akan memangku jawatan menteri pendidikan. Pengumuman tersebut tidak mengejutkan sangat, kerana banyak pihak masih ingat bahawa di awal kemenangan Pakatan Harapan, Dr Mahathir memang telah menyatakan hasrat mahu memegang jawatan menteri tersebut. Namun, mendapat bantahan dari pendukung-pendukung Pakatan Harapan dengan alasan janji dalam manifesto.

Rakyat Malaysia masih tidak lupa bahawa pengajian matematik dan sains dalam bahasa Inggeris dahulu diideakan oleh Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri keempat. Namun, berdasarkan beberapa kajian dan penelitian yang memberikan gambaran negatif, pelaksanaan tersebut dimansuhkan di era selepas beliau tidak lagi jadi perdana menteri.

Bagaimanapun, pada saat beliau menjadi perdana menteri buat kali kedua - sejurus beliau memangku jawatan menteri pendidikan, sekali lagi beliau mengulangi hasrat untuk mengembalikan pengajian matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Hal itu melahirkan "kebisingan" di media sosial sehingga mendapat respons dari dua parti yang memerintah; PKR dan Amanah.

Timbalan menteri pendidikan yang merupakan ahli parlimen DAP juga akui bahawa apa yang disebut oleh Dr Mahathir tersebut tidak pernah dibincangkan dalam kabinet.

Sikap warga net

Secara dasarnya, sikap rakyat Malaysia terutama dari kalangan warganet dalam melihat isu pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris ini, mereka terbahagi kepada dua kelompok.

Pertama, golongan yang bersetuju. Kedua, golongan yang tidak bersetuju. Kebiasaannya dari kalangan yang pernah terlibat menolak PPSMI suatu masa dulu. Juga terdiri dari kalangan ahli bahasa, ahli sastera dan sebagainya. Tidak kurang juga dari warga pendidik.

Bagi golongan bersetuju, mereka memberikan beberapa alasan.

Alasan pertama: pengajian matematik dan sains dalam bahasa Inggeris sebagai usaha memperkasakan bahasa Inggeris dalam pendidikan di Malaysia.

Alasan ini dijawab oleh golongan yang tidak bersetuju dengan dua hujah berikut:

Hujah satu: bahasa Inggeris boleh diperkasakan tanpa perlu digunakan dalam pengajian matematik dan sains. Ini kerana, implikasinya adalah "yang dikendong keciciran, yang dikejar tak dapat" - kemahiran bahasa Inggeris tak tercapai, kemahiran matematik dan sains pula akan keciciran.

Hujah dua: guru - guru yang mengajar Matematik dan sains tak semestinya mereka mahir dalam menuturnya dalam bahasa Inggeris. Dengan ini, akan menghasilkan pengajian matematik dan sains yang kurang berkualiti.

Dengan ini, jika mahu perkasakan bahasa Inggeris, maka difokuskan pemerkasaan itu pada pengajian bahasa Inggeris, tanpa perlu diserapkan ia dalam pengajian matematik dan sains.

Alasan kedua

Alasan kedua bagi golongan yang setuju dengan pengajian matematik dan sains dalam bahasa Inggeris bahawa tindakan itu akan memudahkan penguasaan matematik dan sains, kerana banyak terma dan istilah sains dan matematik digunakan dalam bahasa Inggeris.

Bagi pihak yang tidak bersetuju menjawab alasan itu sepertimana berikut:

Jika dirujuk kepada pengajian Islam - antaranya ada pengajian kaedah fikah. Semua kaedah-kaedah itu menggunakan bahasa Arab, tetapi dalam pengajian Islam di Malaysia, hampir semua syarahan terhadap kaedah-kaedah itu menggunakan bahasa Melayu.

Berdasarkan pengalaman saya menuntut di Universiti Al-Azhar dahulu, saya dapat lihat sendiri bahawa tidak sedikit pelajar Malaysia yang tidak faham kaedah fikah yang disyarah oleh pensyarah dalam bahasa Arab. Tetapi, terdapat pelajar yang belajar di pondok mempunyai kefahaman terhadap kandungan kaedah fikah itu secara mendalam, walhal pengajian di pondok dalam bahasa Melayu sahaja.

Demikian dalam pengajian matematik dan sains dalam bahasa Inggeris - penggunaan terma dan istilah dalam bahasa Inggeris, tidak menghalang pengajian dan kupasan terhadap maksud dan kandungan terma dan istilah tersebut dalam bahasa melayu.

Apatah lagi, pengajian matematik dan sains dalam bahasa Inggeris tersebut dibimbangi pelajar bukan sekadar tidak fahami terma dan istilah, malah dibimbangi tidak memahami juga kandungan dan maksud di sebalik terma dan istilah tersebut. Ini sudah pasti merugikan.

Kabinet

Sebagai ketua kepada sebuah kerajaan, akhlak dan sikap yang perlu dibuat adalah hormati terhadap pasukan yang dibina secara bersama.

Dengan sebab itu, sebarang keputusan yang mahu dibuat, tidak sesuka hati dilontarkan di ruang awam kecuali selepas berbincang bersama anggota pasukan (baca : kabinet). Ia untuk mengelak dari unsur tidak puas hati, kekeliruan dan salah faham.

Demikian juga, sebarang polisi yang mahu dicadangkan, perlu kepada kajian dan data, bukan kerana ego dan permainan politik kepartian yang tidak berkesudahan.

Membina Malaysia bukan mengulangi sesuatu kegagalan masa lalu, tetapi perlu mengatasinya, serta membuat perancangan dengan hikmah. Ia tidak lain, untuk memastikan negara ini baik untuk seluruh warganya.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS