Bahasa Melayu ialah sebuah bahasa yang hebat. Sebagai bahasa dengan kerabat yang besar, ia merangkumi seluruh istilah Malayonesia, dengan 900 suku kaum dengan bahasa (atau dialek) tersendiri dengan bahasa lingua franca atau bahasa standardnya ialah bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mengalami tiga tahapan zaman iaitu pertama; sebelum kedatangan Islam yang dinamai bahasa Melayu kuno dengan sistem tulisan menggunakan huruf Palawa dan kemudian Rencong (sejak abad kedua sebelum Masehi); kedua, era bahasa Melayu klasik, dari era pertengahan abad ke-13 Masehi sehingga awal abad ke-20 Masehi yang menggunakan skrip huruf Jawi; dan ketiga, era bahasa Melayu moden apabila huruf Rumi/Latin digunakan.
Bahasa Melayu ini digunakan secara meluas mencakupi kerajaan kuno sejak kerajaan Funan (abad kesembilan Masehi), mencakupi kerajaan Sriwijaya (abad ketujuh Masehi), kerajaan Melayu Melaka (sekitar 1400 Masehi) dan merentas pelbagai tempat dalam daerah dunia Melayu.
Munshi Abdullah iaitu seorang mamak kacukan - yang bapanya Arab manakala ibunya India - sangat mencintai bahasa Melayu. Munshi sanggup belajar bahasa ini, dan kebanyakan guru beliau adalah bijak pandai yang sebenar. Contohnya Datuk Sulaiman dari Kampung Hulu yang sudah berusia lebih 90 tahun lebih semasa Munshi menjadi muridnya.
Selain Sulaiman, beliau juga belajar dengan Datuk Astur yang menguasai adat dan juga petua Melayu, termasuklah hikayat-hikayat lama.
Munshi tidak lelah mengkritik anak-anak Melayu yang enggan belajar bahasa sendiri, atau dalam maksud lain, mereka yang tidak berasa bangga dengan bahasa dan persuratan Melayu.
Mamak itu menegaskan tanpa berganjak: "Hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?"
Diberi gelaran munshi
Pelajaran bahasa - menurut Munshi Abdullah - sangat mustahak dimulai dengan bahasa ibunda terlebih dulu. Secara perincinya kritikan Munshi yang boleh ditemukan dalam Hikayat Abdullah itu berbunyi begini:
"Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini, belum sedarkan akan dirinya, ia tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab ia tiada mau belajar bahasanya sendiri dan tiada mau menaruh tempat belajar bahasanya itu. Maka mustahil pada akal: Adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai sendirinya? Bukankah segala bangsa-bangsa yang lain dalam dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya, melainkan orang Melayu? Dan lagi pula, katanya: 'Apakah gunanya dipelajari karena iaitu bahasa kita? Lagipun, dalam dunia sahaja berguna, terlebih baik bahasa Arab, berguna dunia akhirat.' Itu pun benar juga, tetapi hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?"
Munshi menegaskan kepentingan orang Melayu menguasai bahasa Melayu itu sendiri, kerana dalam banyak keadaan beliau menegaskan bahasa Melayu itu kaya kerana terdapat rahsia "barang tauladan atau petua atau tiruan selain banyak perkataan yang indah-indah dan yang manis-manis di mana boleh ditemui dalam simpulan perkataan dan ikatan perkataan dan tangkai perkataan dan ringkasan perkataan dan lanjutkan perkataan dan kuasa perkataan dan memaniskan perkataan dan tumbuh perkataan dan campuran perkataan dan tuju perkataan dan tajamkan perkataan dan sindiran perkataan dan rahsia perkataan dan sebagainya."
Untuk rekod, Munshi menguasai banyak bahasa termasuklah bahasa Hindustan yang beliau pelajari selama tiga empat tahun daripada askar-askar dan pedagang-pedagang Hindustan, seraya mengajar mereka dengan bahasa Melayu pula, yang kemudian memberikan beliau gelaran Munshi ekoran penguasaan bahasa Melayu itu.
Munshi turut menguasai bahasa Tamil, Cina dan Inggeris.
Hari ini kalau kita mahu sorong Munshi ke sekolah jenis kebangsaan boleh, ke sekolah kebangsaan pun boleh; ke sekolah antarabangsa boleh, ke sekolah agama pun boleh.
Banyak bergaul paderi
Pedagogi Munshi tidak diketahui, tetapi jika dia mengajar bangsa bukan Melayu, mereka dengan segera reti bahasa Melayu. Kecuali seorang paderi Jerman di Melaka yang pandai-pandai sendiri.
Memang Munshi dicemuh kerana belajar bahasa Inggeris. Terdapat tanggapan bahawa mempelajari bahasa Inggeris itu akan menyebabkan fikiran rosak dan terpengaruh dengan agama Kristian. Itu pun dengan segera disangkal oleh Munshi:
"Bermula, maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu, baik bahasa Inggeris. Maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, karena fikiran mereka itu dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris. Maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu serta memberitahu akan mereka itu bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang ke dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka, melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris, kelak nanti di belakang banyak gunanya."
Kenekadan Munshi mempelajari bahasa Inggeris dan pergaulannya dengan para paderi - khususnya dari Kolej Anglo - menyebabkan beliau didengki orang.
Bukan itu sahaja, terdapat label dan tohmahan bahawa Munshi sudah terpengaruh dengan agama Kristian sehingga beliau dipanggil Abdullah Paderi:
"Maka makinlah bertambah-tambah pula dengki mereka itu oleh sebab aku mengajar segala paderi dan Inggeris dalam Melaka bahasa Melayu dan kuertikan dengan bahasa Inggeris. Maka tiadalah dapat jalan mereka itu hendak membuat barang apa-apa kepadaku. Maka digelar oleh mereka itu akan namaku Abdullah Paderi. Maka pada sangka mereka itu, ia itu suatu nama keji dan aib. Dan lagi, diumpat oleh mereka itu akan daku sebab baik dengan orang putih, lagipun mengajar akan dia bahasa kita suatu dosa. Maka adalah pada fikiranku adapun amarah dan dengkinya itu sebab ia bodoh, akulah cerdik. Bolehkah orang bodoh itu menjadi guru paderi dan orang-orang putih? Dapat tiada orang yang pandai juga boleh jadi."
Akan tetapi, sebagai pencinta pelbagai bahasa, tetaplah Munshi menekankan suatu prinsip pelajaran bahasa yang paling utama. Mamak itu menegaskan tanpa dalih: "Hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?"
Apabila Munshi menuliskan ayat di atas, beliau memang jelas bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Akan tetapi bahasa jiwa bangsa itu apa?
Mamak bernama Munshi itu amat arif apa yang dimaksudkan oleh orang Melayu, apabila mereka mengatakan bahawa bahasa itu jiwa bangsa adalah bahasa itu harus: "hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?"
Sudah tentu terdapat kedalaman makna yang bukan enteng, tatkala nenek moyang kita menghujahkan bahasa itu dengan sendirinya jiwa bagi bangsa Melayu.
Bukan sesuatu yang calang
Dalam hal ini, apakah yang dapat kita ertikan dengan jiwa? Sekiranya membuka kamus Melayu, kita akan mendapati jiwa itu antara lain bermakna: ‘nyawa, roh (yang ada dalam tubuh manusia) atau; batin (perasaan, fikiran, cita-cita, dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia); juga diertikan; ‘benda atau orang yang memberi kegiatan serta semangat kepada sesuatu pertubuhan dan lain-lain’; malah ia juga membawa maksud ‘buah hati, kekasih’ serta yang harus diberi perhatian adalah ‘maksud yang sebenarnya, maksud yang tersirat’.
Oleh itu jika kita mengganding bahasa jiwa bangsa dengan pengertian di atas, ia boleh menjadi seibarat:
A. Bahasa jiwa bangsa itu adalah bahasa itu nyawa atau roh bangsa;
B. Bahasa jiwa bangsa itu adalah bahasa itu batin, perasaan, cita-cita bangsa;
C. Bahasa jiwa bangsa itu adalah bahasa itu kegiatan atau semangat bangsa;
D. Bahasa jiwa bangsa itu adalah bahasa itu tumpuan cinta, asmara dan rindu malah kekasih bangsa;
E. Bahasa jiwa bangsa itu adalah bahasa itu maksud sebenar, maksud paling dalam sesuatu bangsa.
Semua di atas memberi petunjuk bahawa bahasa itu bukanlah sesuatu yang calang - atau telah saya sebutkan sebagai enteng - bahkan menghantar satu utusan penting, yakni tiada bahasa pada bangsa juga bererti bangsa itu kehilangan nyawa (ibarat zombie yang hanya memilik jasad); atau tiada bahasa pada bangsa itu sepertinya bangsa yang kehilangan cita-cita dan perasaan.
Lebih menarik ialah tiada bahasa pada bangsa itu dengan sendirinya membawa maksud bangsa itu tiada lagi kegiatan dan semangat; atau serasa menusuk hati dan jiwa kita semua, apabila dihujahkan pula betapa tiada bahasa pada bangsa itu adalah umpama bangsa itu tiada lagi kekasih (justeru merupakan sosok yang lumpuh dan tiada matlamat hidup) atau tiada bahasa pada bangsa dengan itu ialah tiada lagi maksud paling tulen bagi sesebuah bangsa apabila bahasanya tiada lagi.
Kita juga menemukan pada peribahasa orang yang kurang bahasa itu bererti orang yang kurang sopan, jahil, tidak beradab, dan tidak halus. Masih berkait bahasa ialah, ia juga mengenai bahas yang bermakna penyelidikan, pengupasan, perbincangan dalam mencari kebenaran.
Dalam erti kata lain bahasa bukan sahaja sistem percakapan tetapi juga kesopanan, peradaban, kehalusan dan kebolehwacanaan yang membawa kepada kematangan itu adalah roh, batin dan cita-cita, semangat, kekasih dan makna paling tulen pada kita orang Melayu.
Semua perkara yang disebutkan di atas dengan itu menunjukkan bahasa jika dicabut dari bangsa Melayu bakal membawa kepada satu bencana, bahana, dan bahaya.
Inilah sebabnya mengapa Munshi menuntut agar orang Melayu belajar dulu bahasa Melayu sebelum beralih menguasai bahasa lain: "hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?"
Mudah-mudahan akan terngiang-ngiang
Sekiranya mamak bernama Abdullah bin Abdul Kadir atau Munshi itu menjadi salah seorang yang duduk dalam mesyuarat Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan bersama perdana menteri minggu lalu, mamak itu akan mengulang kata-kata yang sama: "hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?."
Dan Munshi bercakap bukan sebagai orang yang bodoh bahasa Inggeris, Tamil atau Cina, bahkan Arab. Beliau menguasai semua bahasa itu. Beliau bersuara dan menulis ayat di atas dengan sedar.
Namun, ahli mesyuarat Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan bersama perdana menteri minggu lalu tiada seorang pun Munshi. Malah mungkin tidak pernah membaca Hikayat Abdullah.
Itulah sebabnya mereka tidak berkutik. Senyap sunyi bagai Kerala dilanggar garuda.
Saya juga berpendapat, tiada mamak dalam mesyuarat itu seperti Munshi yang benar-benar mencintai bahasa Melayu. Juga tiada Melayu dalam mesyuarat itu yang setanding Munshi.
Saya harap jika ada ahli mesyuarat Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan bersama perdana menteri minggu lalu yang membaca kolum saya ini, moga-moga ayat karangan Munshi ini akan terngiang-ngiang dalam benak, dalam kepala dan bergemuruh dalam jiwa mereka.
Bahawa yang dikatakan bahasa jiwa bangsa itu, bagaimana? Biar masuk dalam hati mereka, kata Munshi: "hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?".
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.