Babi. Bagi orang Melayu, mendengar perkataan itu saja sudah cukup untuk membuatkan mereka loya tekak, sedangkan ianya adalah makanan yang paling popular untuk sebahagian besar penduduk dunia.
Daging babi yang dihiris nipis-nipis dan digoreng adalah sarapan yang sangat digemari ramai. Peminat daging babi goreng bersumpah bahawa ianya adalah antara hidangan yang tersangat enak dalam dunia.
Suatu masa dulu daging babi menjadi terkenal disebabnya ianya jauh lebih murah berbanding daging lembu.
Lama-kelamaan ia - yakni daging babi itu - menjadi santapan wajib kepada sesetengah orang.
Bagi orang Melayu, babi ialah binatang yang paling hina teramat hina daripada segala haiwan yang dijadikan tuhan. Melayu melihat babi sebagai binatang yang perlu dijauhi seperti menjauhi api neraka.
Bencinya orang Melayu kepada babi adalah seperti bencinya orang Melayu kepada..... err, babi! Maaf. Kami tidak dapat mencari perbandingan selain daripada babi itu sendiri.
Apa yang gagal difahami oleh sebahagian daripada kita ialah, babi tetap haiwan sama seperti binatang-binatang lain. Ianya tidak boleh dibunuh sesuka hati walaupun ia adalah najis besar kepada orang Islam.
Tak pernah zalim
Islam tidak mengajar penganutnya supaya membunuh setiap babi yang dilihat, bahkan babi mempunyai hak yang sama seperti haiwan lain.
Islam melarang umatnya memakan daging haiwan itu. Jika tersentuh haiwan itu sama ada yang masih hidup atau telah mati maka anggota tubuh yang bersentuhan tersebut perlulah disertu.
Kerja menyertu itu bukanlah sesuatu yang membebankan. Ambil air tanah satu bahagian dan dibasuh lagi dengan enam bahagian air bersih. Maka kembali sucilah tempat yang terkena najis berkenaan. Bahkan, mereka yang melakukannya diberi pula ganjaran pahala.
Walaupun diharamkan memakan daging babi, sekiranya berlaku darurat yang boleh menyebabkan kematian akibat kebuluran, dan hanya daging babi sahaja yang ada, maka Islam tidak sekali-kali berlaku zalim.
Muslim yang berada dalam keadaan tersebut dibenarkan untuk memakannya sekadar melepaskan diri daripada kelaparan.
Tapi tak bolehlah kamu berbuat pesta daging babi panggang pula. Mentang-mentanglah dah dibenarkan (pada waktu itu).
Ajaran Kristian juga mengharamkan memakan daging babi, namun ianya telah dibatalkan oleh Paul.
Dalam memberikan perlambangan kelakuan pengotor, gelojoh, tamak - dan apa-apa saja tabiat buruk seorang manusia - untuk orang Melayu, babi adalah suatu contoh yang paling ideal.
Ianya adalah kejian makam tertinggi yang boleh kamu berikan kepada seseorang yang jahat sebegitu.
Sebab cari cacing
Untuk menyumpah seseorang - apabila kita dalam keadaan teramat marah - maka kata "babi" adalah kemuncak dalam semua maki hamun. Pada konteks yang sama, digelar babi adalah hinaan tahap paling rendah dalam semua kata hina.
Tidak mungkin kemarahan kita itu dapat dirasai sekiranya kita menyumpah seseorang mengunakan kata "kerengga" sebagai contoh perbandingan.
Kerana itu juga, kami tidak ada masalah apabila setiap kali melihat seniman, misalnya, melukis seekor atau sekawanan babi bagi menyampaikan keresahan hati mereka mengenai kerakusan politikus.
Itu adalah perlambangan paling sesuai untuk kumpulan manusia yang tamak, gelojoh dan menyondol apa saja yang lalu di depan matanya untuk mendapatkan kenyang.
Bagi babi, memang haiwan itu tidak pernah berfikir bahawa tindakan menyondol untuk mencari cacing di tanah atau pangkal tanaman petani akan menyebabkan kerugian kepada manusia.
Kami juga tidak menganggap melukis babi - jika kena pada tempatnya - sebagai masalah. Cuma apabila terlalu ramai artis sibuk melukis babi, ianya menyebabkan bosan.
Mentang-mentanglah boleh jual, semua sibuk melukis babi.
Kebencian kepada babi membuatkan ramai orang lupa betapa pemalunya haiwan tersebut.
Walau gelojoh, walau tamak dan walau menyondol segala-galanya, babi melakukan sondolan dalam gelap malam, manakala rakan senamanya - yang berkaki dua - membantai apa saja yang lalu di depan mata, tak kira siang atau malam.
Babi betul.
Artikel ini dihiasi oleh foto pameran At The End Of The Day Even Art Is Not Important oleh seniman pelbagai kepandaian, Ahmad Fuad Osman.
ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis dan penulis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.