Dalam lawatan kerja saya ke Asia Centre di Bangkok baru-baru ini, saya berpeluang bertemu dan berdiskusi dengan Dr Robin Ramcharan, Pengarah Eksekutif Asia Centre berkaitan hal ehwal pembangunan sosial Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Asia Centre adalah organisasi bukan berorientasikan keuntungan atau dengan maksud lain ia adalah sebuah Non Government Organization (NGO) yang bertujuan untuk mewujudkan impak sosial di rantau ini. Ia ditubuhkan di Bangkok, Thailand pada tahun 2015 dan kini sebuah cawangan Asia Centre yang baru telah ditubuhkan di Johor Bahru, Malaysia.
Saya amat mengalu-alukan inisiatif mereka untuk membuka cawangan pertama di luar Thailand yang pertama di Johor, Malaysia. Saya kira ini suatu penghormatan kepada Johor dalam konteks menjadi pusat pembangunan sosial dan belia di Malaysia.
Asia Centre ini berfungsi sebagai badan pemikir bebas, menyediakan ruang pertemuan, rakan kongsi projek dan memperjuangkan perusahaan sosial atau social enterprise.
Apa yang menarik dalam perbincangan kami ini ialah sungguhpun terdapat beberapa perbezaan pendekatan dalam aspek pembangunan sosial dan ekonomi, tetapi kami berkongsi satu matlamat yang sama iaitu mahu mewujudkan satu sinergi agar perubahan dalam masyarakat khususnya warga belia atau anak muda dapat dicapai.
Kami percaya pada prinsip asas iaitu dalam apa jua bentuk perubahan dalam pembangunan sosial dan ekonomi, pendekatan terhadap sesuatu isu atau masalah ini banyak bergantung kepada faktor ‘budaya’. Budaya ini lahir dalam pelbagai bentuk seperti pemikiran dan sikap individu serta masyarakat dalam aspek kerja, pergaulan, idea dan sistem.
Dr Robin berkongsi pandangan bahawa dalam konteks kerajaan, pada zaman globalisasi dan ‘Gig’ ekonomi ini, pemain utamanya adalah anak muda. Merekalah yang akan menentukan ke mana dasar dan hala tuju serta sejauh mana faedah Gig ekonomi ini akan berkembang dan dimanfaatkan oleh masyarakat.
Pendedahan terhadap konsep dan idea kepada anak-anak muda akan menjadi faktor penting bagaimana golongan ini berinovasi dan berkreativiti dalam bidangnya yang akan memberi impak kepada masyarakat dan negara.
Kesedaran dan keyakinan ke atas prinsip-prinsip asas seperti akauntabiliti, kebebasan berekspresi, hak asasi, transparensi dan lain-lain, akan mampu menggilap bakat serta potensi anak muda dan pada masa yang sama ia akan dapat mengubah persepsi atau stigma masyarakat ke atas golongan anak muda itu sendiri.
Asia Centre juga melihat bahawa perusahaan sosial (social enterprise) adalah bidang penting ketika ini dan pada masa hadapan kerana, perusahaan sosial ini bukan hanya semata-mata untuk menjana keuntungan daripada modal atau pelaburan wang atau aset, sebaliknya ia mampu mengubah budaya kerja yang akan memberi impak penyelesaian dalam banyak masalah di dalam komuniti atau masyarakat.
Perusahaan sosial boleh menjadi mekanisme yang amat penting bagi kerajaan dalam merangka dasar atau polisi dan undang-undang yang lebih inklusif untuk faedah rakyat.
Asia Centre sendiri menjadi contoh, bagaimana sebuah entiti biayaan sendiri bergerak dan berfungsi atas model perusahaan sosial. Selain menjalankan kajian dan menerbitkan laporan berkaitan isu-isu semasa, organisasi ini menyediakan ruang pelbagai fungsi seperti ruang kerja terbuka (co-working space) kepada mana-mana pihak secara percuma, kemudahan bilik mesyuarat, ruang bengkel, seminar dan forum, mini cafe, perpusatakaan mini dan ruang membaca.
Selain daripada itu, organisasi ini juga boleh membantu mengembangkan jaringan untuk para pelajar praktikal (intern) dan juga memberi khidmat nasihat dalam kelas-kelas yang dijalankan. Ia ibarat pusat sehenti mini yang membantu, menggalak dan mendedahkan anak-anak muda dalam bidang akademik dan perusahaan (perniagaan).
Saya percaya, ini boleh menjadi model yang baik dan saya kira model seperti ini telahpun kita cuba terapkan dalam agenda dan inisiatif pembangunan anak muda kita. Agensi-agensi belia di Malaysia baik daripada kerajaan negeri atau pusat mahupun entiti bebas (NGO), pastinya boleh melakukan perkara seumpama ini dengan lebih baik lagi.
Usaha ini harus dipupuk (nurture) demi memberdaya bakat dan potensi anak muda selepas waktu kuliah atau sekolah dalam usaha untuk menyediakan mereka dengan pengetahuan serta pengalaman yang berguna sebelum bergelar usahawan atau pemimpin yang berkualiti kepada masyarakat, negeri dan negara.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.