Semasa kami berada sedikit jauh dari negara ini, Abu Yusof mengirim sebuah kaset yang isinya adalah lagu-lagu kumpulan Kembara yang semua lagunya hanya dinyanyikan oleh M Nasir.
Ia bukanlah kaset yang berisi album Kembara, tetapi lagu-lagu yang dipilih lalu diserahkan senarainya kepada kedai kaset untuk dirakam dengan upah yang tertentu.
Ia adalah kelaziman bagi generasi yang muda pada zaman Sudirman Hj Arshad atau Sahara Yaacob sedang panas.
Dalam kaset itu, tidak ada lagu dinyanyikan A Ali atau pun S Sahlan. Di situ kami rasa barulah betul-betul memahami tentang kehandalan seorang M Nasir.
Lama sebelum itu - semasa mendengar album berbahasa Melayu Freddie Arguilar dari filipina yang terkenal dengan lagu Anak itu - kami selalu bertanya: Siapakah yang menulis kembali lirik-lirik dari bahasa Tagalog itu?
Kemudian barulah kami tahu bahawa bahasa M Nasir jugalah yang campur tangan dalam hal penulisan semula lirik-lirik tersebut.
Lirik memainkan peranan penting kepada kami untuk mendengar dan menikmati sesebuah lagu. Pada waktu lirik lagu di Malaya ini diserang oleh penderitaan dan patah hati, kumpulan Kembara datang membawa pendengar kepada suatu jenis pendekatan yang lebih mesra kehidupan.
Macam pemikir agungPaling awal tentu saja mereka dikenali kerana sibuk mencari Hati Emas. Lalu diikuti pula oleh lirik yang menceritakan suasana kehidupan manusia terbanyak.
Mungkin masih melankolik, namun ianya adalah cerita tentang realiti kehidupan. Kembara menceritakan tentang buruh kasar, tentang payah mencari wang dan tentang manusia-manusia yang biasa kita temui dalam kehidupan seharian.
Kerana itu, M Nasir pernah menjadi hero kepada para remaja yang mahukan pembaharuan dalam muzik yang mereka dengar.
Namun setelah Kembara bubar, M Nasir mula sibuk mencari tuhan. Ini adalah proses biasa kehidupan seorang insan. Setelah berusia dan menuju mati, mulalah perjalanan mencari ketenangan.
Lirik-lirik yang beliau tulis sendiri - atau oleh teman baik beliau, arwah Loloq - mula mengambil agama sebagai latar dan dia meninggalkan ‘perjuangan’ orang terbanyak.
Beliau mula dibaca sebagai pemikir agung oleh sebilangan besar pengikut kerja seninya.
Dalam nada yang sedikit keras kami mengatakan bahawa proses dewasa M Nasir - daripada seorang kutu dan kemudiannya menjadi ‘nabi’ - adalah proses yang perlu bagi seorang seniman.
Tidak ada sudahnya jika mengaku seniman tetapi pada masa sama asyik menghasilkan yang itu, itu juga. Tidak membangunkan akal dan kekal dengan karya serupa hanya kerana karya itu diterima, tidaklah membawa apa-apa makna.
Sesetengah kita takut untuk mencuba sesuatu yang baru namun dengan yakin mengaku mahu (karya mereka) hidup seribu tahun lagi.
Apa yang lebih perlu difahami ialah, ianya hanya proses yang wajib dilakukan oleh semua orang yang mahu mengaku seniman demi kelangsungan dalam bidang yang mereka pilih.
M Nasir akan sentiasa dianggap kutu jika beliau masih kekal dengan lagu-lagu zaman Kembara. Dan dalam perkataan beliau sendiri: "Takkan nak suruh aku pakai Fung Keong seumur hidup!"
Hari ini lagu-lagu zaman Kembara beliau hanyalah filler apabila beliau mengadakan apa-apa persembahan. Tumpuan akan lebih diberikan kepada lagu-lagu ‘ketuhanan’ yang galak beliau usahakan mutakhir ini.
Cari kasut semula
Adalah malang apabila ketika M Nasir ‘menerima wahyu’ sebegitu, kita pula semua kehilangan suara. Seperti tidak ada lagi sesiapa pun yang mahu menceritakan perihal orang biasa seperti kita.
Hanyut kembali pendengar lagu kepada kepedihan percintaan yang tidak berbalas.
Kita memerlukan kekuatan dalam menjalani hidup dan kekuatan itu harus datang dalam pelbagai bentuk. Nasihat sahabat, dorongan penguasa dan daripada hiburan yang ada.
Melihat kepada kebodohan yang dihasilkan oleh sesetengah stesen radio dan televisyen hari ini bolehlah dikatakan bahawa kita sedang menuju jurang paling dalam untuk kebengapan.
Siapakah yang akan menyelamatkan kita daripada kegundahan cinta yang berpanjangan apabila juara yang pernah dijulang kini berpaling dari kecintaan dunia dan sedang asyik mahsyuk mendambakan alam fana.
Setelah M Nasir dan Ito diberi gelaran Datuk, maka kita hanya perlu menunggu Nasir Jani dan dR Sam pula menerima darjah yang sama bagi melengkapkan perjuangan genarasi kutu itu.
Sementara menunggu semua itu berlaku, kitalah yang paling sibuk mencari kasut Fung Keong buat dipakai sewaktu konsert M Nasir pada masa akan datang.
Semua gambar yang mengiringi tulisan ini adalah dari pameran 4 Persepsi yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara.
Pameran 4 Persepsi mengetengahkan karya Fauzin Mustafa, Hasnul J Saidon, Mohd Nor Mahmud dan Taufik Abdullah yang bergabung kembali setelah 30 tahun.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.