Minggu lalu saya telah menerangkan dari mana datangnya kekayaan, apa dia punca kekayaan. Dari kajian terbukti kekayaan datang hasil dari nilai lebihan masa dan tenaga kerja seorang buruh. Masa dan tenaga kerja ialah pelaburan dari seorang buruh yang dikumpul untuk menjadi kekayaan. Punca kekayaan ialah tenaga manusia.
Mat Husin yang memburuh lapan jam sehari di kilang biskut milik tauke Lim. Nilai tenaga dan masa Mat Husin untuk lapan jam ialah 50 ringgit. Tetapi tauke Lim hanya membayar Mat Husin 40 ringgit.
Lebihan 10 ringgit dari nilai tenaga dan masa memburuh telah diambil oleh tauke Lim. Tauke Lim dihalalkan mengambil 10 ringgit dari tenaga dan masa Mat Husin ini kerana dia melabur membuka kilang. Tauke Lim dikatakan telah mengambil risiko besar untuk melabur. Melabur dan risiko adalah hujah yang dihamburkan oleh para pendukung sistem ekonomi kapitalis.
Bayangkan kalau ada 40 orang Mat Husin bekerja untuk tauke Lim. Maka setiap hari tauke Lim tanpa membanting tulang akan mendapat 400 ringgit bersih. Lagi ramai yang bekerja untuk tauke Lim lagi banyak tauke Lim dapat duit.
Diuar-uarkan tauke Lim melabur memberi kerja untuk yang tak ada kerja. Dia juga mengambil risiko besar, maka kerana semua ini tauke Lim turun-temurun anak-beranak berhak mengambil lebihan nilai masa dan tenaga dari Mat Husin dan buruh yang lain.
Hasilnya tauke Lim – Bani Cina jadi kaya. Justeru Mat Husin Bani Melayu terus jadi Mat Husin yang dikritik oleh Mahathir. Mat Husin dikatakan malas bekerja, dikatakan memilih kerja, dikatakan suka bekerja dengan kerajaan. Suka kerja yang ada pencen. Amin.
Kenapa kita tidak berupaya melihat tauke Lim yang harta kekayaannya adalah hasil dari titik peluh lebihan tenaga dan masa Mat Husin dan buruh buruh yang lain.
Sampai kiamat tak akan kaya
Lihat pula bagaimana Alang Dusin bersama empat kawan turun ke laut jam tiga pagi sebelum air surut. Mereka merentas Selat Melaka selama dua hari tiga malam, bergantung pada tangkapan. Jika lumayan maka mereka bertahan lama. Jika meleset mereka akan pulang awal.
Di jeti Kuala Muda, Kedah, tauke Hong dengan Pajeronya telah menunggu Alang Dusin. Semua tangkapan Alang Dusin dipukul harga dan diambil terus oleh tauke Hong kecuali anak-anak ikan. Tauke Hong bukan hanya memukul harga ikan Alang Dusin. Apa sahaja ikan, sotong dan udang terbaik dari perahu nelayan yang lain akan juga dibeli oleh tauke Hong.
Tauke Hong akan menjual ikan, sotong, udang dan ketam ke restoran makanan laut di Tanjung. Satu kilo Senangin dari Alang Dusin tauke Hong membayar 10 ringgit. Kemudian tauke Hong menjual dengan harga 18 ringgit. Tauke Hong mendapat laba lapan ringgit dari setiap kilo Senangin. Tauke Hong membeli dari nelayan dengan harga murah dan menjual dengan harga yang lebih mahal.
Apa kelebihan tauke Hong? Dia tidak melabur apa -apa. Tidak ada risiko maut dari taufan dan ombak. Dia hanya datang dengan Pajero. Ops, sabar dahulu. Dari mana datangnya Pajero ini? Awal dulu tauke Hong hanya datang dengan kapcai dan sebuah raga.
Hubaya, hubaya, Pajero ini adalah pengumpulan tenaga dan masa dari nelayan-nelayan di Kuala Muda yang terdahulu. Inilah punca Pajero ini. Inilah punca kekayaan tauke Hong. Amin.
Kak Bibah menanam padi satu relung. Ibu tunggal anak tiga ini adalah pemilik dan pengusaha. Kak Bibah bekerja bersendirian setelah suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal. Kak Bibah berusaha sendiri. Masa dan tenaga Kak Bibah untuk Kak Bibah sendiri.
Tapi awas, sampai kiamat - 70 kali kerajaan membuat Dasar Ekonomi Baru atau membuat dasar Wawasan hingga ke tahun 2010000 pun - Kak Bibah tidak akan kaya.
Dongeng Bani Melayu malas
Ini kerana Kak Bibah tidak seperti tauke Lim atau tauke Hong yang berjaya mengumpul lebihan tenaga dan masa orang lain. Malah Kak Bibah sama seperti Alang Dusin dan Mat Husin tidak mungkin dapat menetapkan nilai lebihan tenaga dan masa milik mereka.
Bila agenda siapa menetapkan nilai masa dan lebihan tenaga ini ditimbulkan maka akan muncul jawapan: Kuasa pengeluaran dan permintaan. Atau untuk lebih cool dan cun dikatakan semua ini adalah market forces – kuasa pasaran.
Bila bab kuasa pasaran timbul maka Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin menjadi kabur kerana tidak faham apa itu pengeluaran dan permintaan dan apa itu market forces. Apa yang mereka tahu ialah mereka terus jadi hamba manakala tauke Lim dan tauke Hong bergenerasi menjadi kaya.
Perkara bagaimana Bani China jadi kaya dan kenapa Bani Melayu corot, ekonomi tidak diperjelaskan dengan tuntas. Anak semua bangsa didodoikan dengan dongeng bahawa Bani Melayu malas, memilih kerja dan dan dan. Ini cerita hampeh.
Justeru tugas saya di sini ialah membawa satu jalur penjelasan dan pencerahan untuk membuktikan bahawa ada satu lagi cara untuk kita semua melihat dan memahami kenapa Bani Melayu corot ekonomi.
Tukul dan paku yang saya gunakan untuk membawa pencerahan ialah tukul dan paku Marxis. Untuk saya inilah tukul dan paku yang paling tepat yang dapat memberi saya pemahaman kenapa Bani Melayu corot dan akan terus menerus corot ekonomi.
Tukul dan paku Marxis ini tidak diajarkan di sekoah sekolah. Tidak diajarkan di universiti dan kolej atau di institusi pengajian ilmu. Malah tukul dan paku Marxis ini dilarang dipelajari.
Sesiapa yang membaca dan menggunakan tukul dan paku Marxis ini akan ditangkap dan dipenjara. Memiliki buku dan ilmu yang bersangkutan dengan tukul dan paku Marxis pada satu ketika dahulu juga akan di tangkap dipenjara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah memiliki buku yang ada bau-bau tukul dan paku Marxis boleh digunakan sebagai salah satu bahan bukti untuk menghalalkan ditahan bawah ISA.
Ilmu Marxis
Ini bukan kisah penglipur lara dari Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah.
Ketika saya di Universiti Malaya pada tahun 1971, ada jenis jenis buku jika mahu dibaca maka wajib mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri. Kebanyakan buku-buku ini bersangkut dengan ilmu tukul dan paku Marxis tentang ekonomi dan politik.
Hasil dari dasar antiilmu dan anti-Marxis maka pandangan kita, analisis para ilmuwan kita tidak pernah tuntas dalam hal ekonomi. Analisis kita tentang kenapa Bani Melayu corot ekonomi bercelaru. Ini kerana satu alat bertukang untuk memahami ekonomi tidak kita guna pakai. Malah ilmuan kita tidak tahu menahu bahawa wujudnya satu lagi sistem ekonomi selain dari sistem ekonomi kapitalis.
Pusing-pusing yang disebut hanya nama Adam Smith. Bila disebut Marxisme akan muncul komunis, Yahudi dan kafir laknat tak sembahyang dan tak percaya pada tuhan. Apa sangkut paut tuhan dalam sistem ekonomi kapitalis ini, walllahualam bissawab.
Maka wajib saya beritahu bahawa Das Kapital garapan Karl Marx (1818-1883) ialah buku tentang ekonomi, tentang kaji masyarakat dan tentang politik. Tukul dan paku Marxis ini adalah pandangan paling saintifik tentang alam dunia kita ini. Tentang wujudiah umat manusia. Tentang kenapa kita menjadi kita. Dan kenapa dia tidak menjadi kita.
Tukul dan paku Marxis ialah pengumpulan pengalaman keilmuan umat manusia. Satu kajian saintifik tentang kita semua – anak semua bangsa. Malah dalam tukul dan paku Marxis ini dihuraikan juga pandangan tentang apa itu bani.
Paling afdal kita akan faham kenapa Kak Bibah tak kaya-kaya macam tauke Lim dan tauke Hong.
Mat Husin ialah Chile, Tauke Lim ialah Jerman...
Saya berani mengatakan bahawa tukul dan paku Marxis ini tepat, betul dan saintifik kerana teori dan pandangan kaum Marxs ini bukan hanya untuk memahami Kak Bibah dan Alang Dusin dan Mat Husin. Ia boleh digunakan untuk alam sejagat.
Kak Bibah ialah Moroko di bumi Arab. Alang Dusin ialah Uganda di Afrika. Mat Husin ialah Chile di Amerika Latin. Mereka adalah negara miskin. Tauke Lim ialah Jerman. tauke Hong ialah United Kingdom.
Kenapa Moroko, Uganda dan Chile terus miskin sama seperti yang dialami oleh Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.
Jawabnya senang sahaja. Kemiskinan adalah hasil sistem ekonomi sistem kapitalis. Sistem ini memiliki hukum dan syarat - untuk individu, untuk kumpulan dan untuk negara. Sistem ekonomi kapitalis ini tidak berubah rukun imannya: mendapat keuntungan maksimum, mencari laba. Keuntungan kaum kapitalis global ialah hasil dari lebihan nilai kerja dan masa umat manusia.
Semua yang hidup dalam sistem ekonomi kapitalis ini akan memiliki pengalaman, budaya dan gaya hidup yang sama. Tenaga dan masa mereka dieksploit untuk dikumpul dan dijadikan keuntungan.
Warga Chile memburuh di lombong tembaga akan dibayar dengan upah yang murah dari nilai harga tembaga. Pekebun buah limau di Moroko akan dibeli panel mereka oleh negara Kesatuan Eropah dengan harga murah. Upah pemetik kopi di Uganda sehari lebih murah dari harga secawan kapucino atau secawan kopi di Hotel Sheraton New York.
Hubaya, hubaya, sistem ekonomi kapitalis ini bergerak secara global. Di mana sahaja sistem ini diguna pakai maka akan wujud Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.
Moroko, Chile dan Uganda adalah negara dunia ketiga. Negara ini dieksploitasi oleh negara maju seperti Jerman, Kanada, Perancis atau Britain. Negara-negara maju ini tidak ada bezanya dari peranan yang dimainkan oleh tauke Hong atau tauke Lim.
Jenayah besar
Negara maju mengumpulkan nilai lebih masa dan tenaga bukan dari seorang Kak Bibah atau seorang Alang Dusin tetapi mengumpulkan nilai lebihan nilai tenaga dan masa 42 juta warga Uganda, 35 juta warga Moroko atau 18 Juta warga Chile.
Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin miskin bukan kerana dia dari Bani Melayu atau malas tetapi kerana sistem ekonomi kapitalis yang bergerak dengan hukum dan syaratnya. Tauke Lim dan tauke Hong kaya bukan kerana mereka Bani Cina dan rajin bekerja tetapi kerana hukum dan syarat ekonomi kapitalis menyebelahi mereka.
Sila cari dan baca kembali buku The Godfather (1969) garapan Mario Puzo. Ada tertulis:
“Behind every great fortune lies a great crime. Every great fortune begins with a crime.”
Di sebalik harta kekayaan ada jenayah besar. Setiap kekayaan bermula dengan jenayah. Apa jenayah ini? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.