Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebenarnya, mereka yang jenis benci-membenci antara satu sama lain di negara ini bilangannya hanya kecil sahaja.

Mereka itu pula jenis yang tidak faham maksud kemarahan kepada kerajaan dengan membenci negara sendiri. Mereka daripada kumpulan yang keliru apa itu sayang partai politik, dan yang mana satu semangat patriotik.

Kerana itu apabila mereka membenci kerajaan maka mereka pun mengibarkan bendera negara secara terbalik, misalnya.

Jika kamu bertanya apakah benar perbuatan itu - yakni perbuatan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik - betul-betul terjadi, maka kami akan katakan bahawa, kami tidak tahu. 

Gambar-gambar yang tular itu belum tentu betulnya, manakala perbuatan menjerit-jerit kerana mempertahankan bendera bukanlah bukti keberanian yang betul untuk mempertahankan negara.

Mungkin kamu pernah lihat bagaimana Vladimir Putin atau mungkin juga Recep Tayyip Erdogan mengutip bendera kecil yang jatuh di tanah tanpa berkata apa-apa.  

Atau kejadian yang lebih dekat, kita ditunjukkan bagaimana seorang anggota tentera mengutip sehelai bendera yang terjatuh di jalan raya.

Perbuatan itu adalah kiasan yang bermakna bagi menunjukan kasih sayang seseorang kepada negara bukanlah tergantung pada kuatnya anggota badan.

Bukan sebab membenci negara

Dan mereka melakukannya - yakni menghargai bendera negara sendiri - dengan sangat bersahaja. 

Membetulkan kesilapan selamanya tidak memerlukan emosi yang tidak terkawal.

Kita cuma perlu membetulkan kesilapan mereka yang berasa dicurangi oleh kerajaan hari ini dengan lebih berhemah. Kita boleh saja memberitahu mereka bahawa negara ini milik kita semua. 

Benci kita kepada kerajaan tidak boleh menjadi sebab untuk kita membenci negara. 

Jika benar kamu marahkan kerajaan maka bendera partai merekalah yang harus kamu jadikan alat melepas kebencian. Cuma di sini kita dapati PAS agak bijak dalam mereka bentuk simbol bagi partai mereka. 

Pusing ikut mana pun, lambang mereka tetap kelihatan normal. Lambang kebijaksanaan mereka yang mengambang agaknya. 

Ha ha... kami cuma bergurau. Jangan pula nanti ada ahli PAS menganggap kami mempermainkan perjuangan mereka.

Kami telah lama menulis tentang perbezaan di antara rasa cintakan negara dan partai politik, tapi apa yang kamu baca dan nampak ialah, kami ini penyokong partai itu atau partai ini.

Kesilapan beginilah yang kita ulang-ulangkan, dan partai politik mengambil kesempatan atas kekeliruan itu untuk menguntungkan mereka. 

Kerana hal itu, kita bergaduh dan melakukan tindakan yang akhirnya akan merugikan negara.

Kami percaya kita sebenarnya adalah rakyat yang mencintai negara ini dan segala kejahatan yang dilakukan oleh partai politik boleh kita hapuskan apabila kita semua bersatu.

Menangguk kepentingan politik

Kita telah menukar kerajaan yang kita rasakan gagal kepada satu kerajaan yang kita harapkan akan membetulkan semua kesilapan dulu.

Namun kegagalan kita dalam mengawal politikus yang sama dari duduk dalam kerajaan setelah bertukar partai adalah kesalahan yang harus diletakan keatas batu jemala kita.

Kita semua harus bangkit membetulkan kesilapan itu dan menentang kegagalan mereka dengan cara yang lebih berhemah.

Mereka tidak akan mendengar suara kita selagi kita sibuk bertelagah, dan - kalau kamu tidak tahu - memang itiulah yang mereka mahu.

Rakyat yang berpecah-pecah adalah rakyat yang lemah. Maka daripada kesempatan itulah politikus menangguk untuk kesejahteraan politik mereka.

Semua isu yang menjadi hangat sejak kebelakangan ini menjadikan negara kita sedikit bergoncang. Semua orang berasa berhak dan semua orang berasa dirugikan.

Menegakkan kebenaran memerlukan kesatuan. Justeru kita semua wajib melakukan sesuatu bagi memberi mesej yang terang kepada politikus bahawa kita ini bukanlah budak yang boleh diperkotak-katikkan.

Dengan saluran yang betul mungkin amanat yang mahu kita sampaikan kepada politikus akan membuahkan hasil. 

Mungkin kita semua boleh berpakat melakukan demo - misalnya - untuk membantah banyak kegagalan kerajaan hari ini. Dan kegagalan utama mereka tentu saja dalam isu perpaduan yang sedikit demi sedikit semakin merosakkan.

Mari semua bangsa di negara ini bangun dan membuka mata. Mari bersatu dan berganding bahu membenamkan kejahatan politik yang seakan tidak peduli selain kedudukan mereka semata-mata.

Tulisan kali ini diselang-seli dengan gambar-gambar daripada pameran [O]pening di Galeri Seni Fergana di Publika Dutamas, Kuala Lumpur.


ABDULLAHJONES telah lama menulis mengenai perlunya mencintai negara dan tetaplah dibaca orang sebagai pencacai partai politik jua.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS