Paling Popular
Terkini

Dalam keluaran terdahulu, saya telah membincangkan mengenai Bangsa Kelantan dan menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perkembangan ‘Islam Kelantan’ yang mempengaruhi jiwa, minda dan kerohanian penduduk negeri tersebut. Tidak lengkap untuk membincangkan gejala ‘Islam Kelantan’ yang dipelopori Bangsa Kelantan ini tanpa melihat bagaimana aspek ekonomi telah membantu penyebaran jalur Islam yang aneh ini.

Kegiatan ekonomi di Kelantan dalam tahun-tahun 1920-an dan 1930-an adalah sangat bergantung kepada pertanian, dan ia tertumpu kepada penanaman padi. Menurut Haryati Hasan dalam Keunikan Penduduk Kelantan’ penanaman padi ini tertumpu di sebelah Kelantan Utara. Dalam tahun 1921, sejumlah 127, 459 orang penduduk Kelantan terlibat dalam aktiviti penanaman padi ini iaitu kira-kira 71.8 peratus daripada mereka yang sedang bekerja. Sementara itu getah juga menjadi eksport negeri yang penting menjelang tahun 1929 di mana hasil $5, 732, 427 dicatatkan pada tahun tersebut. Manakala kelapa kering turut dihasilkan dengan nilai $185, 256. Selain pertanian, terdapat aktiviti perlombongan seperti yang saya tuliskan dalam artikel kolum berjudul “Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an”. Penduduk Kelantan juga menjadikan aktiviti perikanan sebagai sumber kehidupan khususnya mereka yang menetap di kawasan pantai.

Akan tetapi angka-angka di atas masih terhitung rendah berbanding pengeluaran dan hasilan dari negeri lain di Tanah Melayu. Profesor Ishak Shari dalam Keadaan Ekonomi dan Struktur Masyarakat Melayu Kelantan Dalam Abad ke-19 pernah menghuraikan panjang lebar bahawa sejak abad ke-19 kegiatan pengeluaran atau aktiviti ekonomi Kelantan tatkala itu masih berbentuk kegunaan sendiri, dan bukan sangat untuk tujuan perdagangan. Antara punca kekurangan ini adalah kerana pertama, tenaga yang digunakan untuk aktiviti pertanian dan perikanan ini datang dari ahli keluarga sendiri semata-mata; kedua, rata-rata kaum tani tidak mempunyai alat yang canggih dalam pekerjaan mereka bahkan tidak memiliki kerbau; ketiga, terdapat sistem kerah yang mana raja atau bangsawan Kelantan sering memanggil kaum lelaki untuk berbuat sesuatu kerja. Akibatnya banyak kerja pertanian terbengkalai. Ini menjadi salah satu punca kaum perempuan terpaksa mengambil alih tugas lelaki.

Masalah di atas menjadi tambah sengit ekoran Kelantan yang sering di landa bencana alam seperti yang telah saya nukilkan dalam artikel “Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an” itu. Bahkan sejak tahun 1880-an dan 1890-an lagi Kelantan sering dilanda taufan besar yang bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda yang besar, tetapi membawa sama serangan wabak taun dan cacar yang mengorbankan banyak nyawa.

Dalam masa yang sama Ishak Shari dalam Keadaan Ekonomi dan Struktur Masyarakat Melayu Kelantan Dalam Abad ke-19 menyebutkan bagaimana istana mengganggu kehidupan ekonomi rakyat.

Terdapat dua sistem yang mendera rakyat pada waktu itu iaitu pertama sistem cukai yang dinamakan banci atau poll tax. Ia dikenakan kepada semua orang kecuali kaum kerabat raja. Saya petik nukilan Ishak Shari di sini:

“Banci merupakan cukai sebanyak $1 ke atas setiap orang lelaki dewasa yang bebas merdeka (bukan hamba), dan 50 sen ke atas setiap hamba berhutang, yang dikenakan sekali dalam setiap tiga tahun. Dalam kawasan-kawasan di mana penduduknya melombong emas, kadar cukai ‘banci’ yang mereka harus bayar ialah $3 bagi setiap orang Melayu dan $12 bagi setiap orang Cina, manakala ke semua kerabat diraja dan hamba-hamba mereka dikecualikan dari membayarnya.”

Untuk nota, hasil pungutan banci ini antara lain digunakan untuk menyediakan bunga mas yang dihantar ke Siam. Lebihan dari pungutan banci dimasukkan dalam perbendaharaan sultan Kelantan, yang menurut laporan Bozzolo, pegawai Hugh Low sebagai raja suka berhibur. Dalam tahun 1903 dan 1904 kutipan banci adalah $28,000 dan hanya $11,000 sahaja digunakan untuk penggubahan bunga mas yang akan dihadiahkan kepada Siam itu. Wang yang lain dibolot oleh istana.

Sistem kedua iaitu serah atau tribute jauh lebih kejam dari sistem banci di atas. Ia ternyata menghempuk penduduk Kelantan seteruk-teruknya. Secara asasnya, rakyat Kelantan yang berusaha mendapatkan hasil hidup perlu menyerahkan bahagian tertentu dari titik peluh mereka itu kepada raja dan golongan bangsawan. Saya sekali lagi ingin memetik tulisan Ishak Shari untuk memahamkan kita kepada sistem yang opresif ini:

“Serah juga merupakan satu bentuk percukaian yang harus ditanggung oleh rakyat Kelantan dan dikutip melalui dua cara. Pertamanya, golongan pemerintah akan membawa barang-barang serah ke sebuah kampung untuk dijual pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Setelah menerima serah itu, ketua kampung akan memanggil seluruh penduduk kampung berkenaan dan menetapkan bayaran yang dikenakan ke atas setiap penduduk untuk menjelaskan jumlah wang yang diperlukan oleh pemerintah. Barang-barang itu kemudiannya dibahagi-bahagikan di antara mereka yang membuat bayaran. Tetapi, oleh kerana jumlah barang yang boleh dibahagikan itu sedikit berbanding dengan jumlah wang yang terpaksa dibayar, dan golongan berpengaruh tempatan selalunya menuntut hak penuh mereka, maka golongan penduduk biasa hanya mendapat sedikit sahaja dan kadangkala tidak mendapat apa pun. Ini bermakna bahawa beban serah yang dikutip melalui cara ini lebih ditanggung oleh golongan bawahan. Keduanya, sultan atau pembesar negeri akan memberi sedikit wang kepada rakyat untuk mendapatkan getah jelutong atau lain-lain hasil hutan, yang mana setelah memperdagangkannya mereka akan mendapat hasil yang lebih besar daripada jumlah wang yang mereka dahulukan. Menurut Clifford, wang serah ini selalunya diberikan kepada orang individu yang terpaksa masuk ke hutan untuk mencari jumlah barang hutan yang diperlukan. Semasa menjalankan tugas ini, individu berkenaan terpaksalah mengabaikan kerjanya. Oleh itu, mereka yang menerima serah mendapati bebannya amat berat sekali. Sementara itu, hasil yang didapati melalui serah ini digunakan oleh sultan dan pembesar negeri untuk membeli beras, senjata dan keperluan tertentu seperti mengadakan hadiah-hadiah kepada raja atau pembesar Siam sebagai dorongan mendapat bantuan dan naungan.

Dalam pada itu seperti yang saya sebutkan dalam artikel “Bangsa Kelantan”, rakyat juga berdepan dengan sistem hamba berhutang yang mana penduduk Kelantan yang miskin akan meminjam daripada raja dan kerabat. Akan tetapi lantaran tidak dapat membayarnya, akan terus berhutang manakala jumlahnya menjadi terlalu besar, mereka terpaksa menjadi hamba dan terus-menerus bekerja dengan tuan atau lintah darat itu. Hal ini, hamba berhutang, bukan sahaja menimpa Bangsa Kelantan, tetapi juga berlaku di Pulau Kukup, Johor seperti yang pernah saya sebutkan dalam sebuah artikel saya bertajuk “Menyingkap rahsia sejarah gugup di Pulau Kukup”. Ia juga berlaku secara meluas di Perak seperti disingkap oleh tokoh pendidikan, Aminuddin Baki, dalam The Institution of Debt Slavery in Perak.

Untuk memahamkan penderitaan rakyat Kelantan ekoran sistem hamba berhutang ini, mungkin kita dapat menyorot sebuah kes. Dua orang hamba berhutang bernama Jusoh Dolah dan Mek Kecil (isterinya) telah merayu kepada penasihat Inggeris pada tahun 1913 akan masalah mereka.

Penerjemah Penasihat Inggeris mencatatkan aduan mereka begini dalam fail BAK 723/1913:

We owed money to Ungku Bongsu, the Sultan’s aunt – my wife borrowed $26 from her father some 30 years ago and I borrowed $10 from Ungku Bongsu herself some six years ago – we did not pay anything back but used to work for her cutting wood and carrying water, etc. in her house, but feeding ourselves and living in the Raja Muda’s compound and doing other work to provide our food, worked for her four or five days a week and for ourselves the other two or three. Recently, she summoned us for the return of the capital, but claimed $26 + $20 in place of $26 + $10, and the court ordered us to pay $3 per month. We now work at the Kais Coffee Shop (this also the refuge of Sepiah, the Raja Negeri’s runaway slave who said she was raped some years ago by a detective at the market while a debt slave of and under protection of the Raja Negeri)...we think that all these years of work should cancel the debt.”

Perenggan di atas sangat penting kerana ia menjelaskan kepada kita bagaimana hamba berhutang di Kelantan ini dilayan dengan tidak adil sekali oleh kerabat raja, di mana sudahlah terpaksa menghamba diri dan bekerja tanpa upah kepada peminjam, mereka juga perlu membuat kerja untuk menampung makan minum sendiri; dan mahkamah pula tidak memihak mereka. Selain itu perenggan laporan ini juga penting kerana mencatatkan bagaimana hamba raja atau bangsawan juga bebas menjadi samseng dengan melakukan jenayah seperti rogol terhadap hamba berhutang dan terlepas dari perbuatan tersebut.

Hanya setelah pengaruh Inggeris benar-benar meluas di Tanah Melayu, sistem banci, serah, dan hamba berhutang ini berjaya dihapuskan. Itulah kadangkala saya menyatakan, kita mungkin menolak Inggeris sebagai penjajah, tetapi ironinya, dalam banyak keadaan Inggeris telah membantu kita keluar dari kekejaman bangsa sendiri.

Dalam keadaan semua kejahatan di atas, tidak sedikit pun ulama Kelantan melakukan apa-apa selain bertengkar mengenai jilatan anjing, menulis kitab perihal akhlak dan tasawuf sambil membesarkan pondok pengajian. Inilah yang saya namakan Islam Kelantan, yang menurut sarjana Nik Abdul Aziz Nik Hassan, bekas tenaga pengajar di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam makalah bertajuk “Ulama-ulama Dalam Abad ke-19 di Negeri Kelantan: Suatu Komentar” sebagai kegagalan ulama membantu umat untuk keluar dari kezaliman penguasa (iaitu orang Islam sendiri dan bukan penjajah).

Nik Abdul Aziz dalam artikelnya itu menyatakan keadaan ulama ini yang patuh kepada feudalisme, terkongkong dalam ilmu keagamaan, dan terbatas aspek ibadah atau ritual semata-mata:

“Pada pandangan penulis di samping kerana suasana feudal yang wujud yang menyelubungi pemikiran masyarakat ialah juga kerana sistem pendidikan agama itu sendiri. Pada umumnya ulama-ulama ini mempelajari agama tidak sampai kepada sumber asli Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith. Maksud kembali di sini ialah kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith mengikut metodologi tafsir dan metodologi ilmu hadith itu sendiri. Mereka dilatih untuk memahami dan bertaqlid kepada kitab-kitab karangan ulama-ulama sebelum khususnya ulama-ulama ‘mutaakhirin’. Oleh yang demikian ulama-ulama ini alim dalam kitab-kitab yang mereka pelajari itu sahaja. Justeru kerana itulah maka wujudnya istilah ulama-ulama kitab dalam zaman itu. Tambah lagi pula asas pengetahuan untuk membolehkan mereka memahami disiplin kemasyarakatan langsung tidak ada. Oleh itu tidak hairanlah apabila kita dapati tidak lahir ulama-ulama yang mendokong Islam secara syumul di Kelantan sehingga abad ke-20. Penekanan pengajaran mereka ialah kerana aspek-aspek ibadah yang khusus dan persoalan-persoalan akhlak yang terbatas kepada diri orang perseorangan itu sahaja.”

Saya sudah pernah menulis dalam kolum ini perihal mufti atau agamawan rasmi yang menjadi pembisu dalam keadaan nestapa umat seperti dalam artikel Mufti sultan yang mendoakan penjajah. Ia menjelaskan kepada kita mengapa ketika Tok Janggut dikatakan kononnya berjuang untuk melawan raja itu, ulama lain tidak mempedulikannya. Ini saya nukilkan dalam “Jenazah Tok Janggut yang diterbalik” dan artikel “3 bulan sesudah Tok Janggut dibunuh”.

Dalam keadaan penuh derita, seperti diungkap di atas, penduduk Kelantan tidak mempunyai pilihan lain iaitu keluar dari negeri mereka dan berhijrah ke tempat lain. Sudahlah hilang tempat berpaut mereka tidak dipedulikan oleh agamawan. Malangnya ia tidak menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya menjangkitkan masalah mereka ke negeri lain. Penghijrahan besar-besaran rakyat Kelantan ekoran kekejaman penguasa itu membolehkan Islam Kelantan yang jumud, rigid, pekak dan tidak peka, berbumbukan kasih sayang kepada feudalisme ikut sama tersebar ke luar Kelantan.

Ia menjadi satu jalur Islam yang berbeza dari Islam yang pernah digagaskan dan diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW, yang mana mementingkan keadilan, cinta, dan hak asasi manusia.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS