Paling Popular
Terkini

Sharifah Aini pernah mengalunkan sebuah lagu nukilan pengubah Khairil Johari Johar bertajuk Terbang Helang. Lagu itu cukup popular pada tahun 1990-an dan dianggap sebagai salah satu lagu terbaik Sharifah Aini.

Biduanita Negara itu pergi meninggalkan kita pada 2014.

Beliau menghasilkan pelbagai lagu yang mempunyai unsur asli Melayu, pop, dangdut dan pelbagai rentak yang malar segar.

Pada akhir kehidupannya sebagai anak seniman, Sharifah Aini menghabiskan masa dengan pelbagai aktiviti keagamaan. Rumahnya dijadikan tempat pengajian al-Quran untuk wanita. Ada juga kuliah agama.

Sharifah Aini memang bukan seorang ustazah atau sarjana yang kata-katanya dijadikan azimat. Namun tiada salah untuk mengutip hikmah daripada nyanyiannya itu.

Hampir setiap tahun - sejak terlibat sebagai penyanyi - beliau menghasilkan album lagu baru.

Walaupun gelaran Sharifah pada namanya menjadi tanda mempunyai salasilah keluarga Nabi Muhamad SAW, namun dalam hidupnya beliau tidaklah menjaja ke hulu hilir susur galurnya itu.

Beliau lebih mesra dikenali sebagai Kak Pah atau Aini. Ia adalah panggilan yang cukup merakyat.

Sungguh megah lagaknya

Sharifah Aini banyak juga menyanyikan lagu tentang bunga seperti Mawar, Seroja, Teratai, Bunga Tanjung, Melur dan sebagainya.

Ada juga nyanyiannya berkaitan binatang selain helang seperti Jalak Lenteng dan Kuda Hitam.

Dalam lagu Terbang Helang, dinyatakan bahawa wilayah burung adalah di angkasa, bukan di atas tanah. Helang berkongsi ruang dengan segala jenis binatang yang dicipta Allah SWT, tuhan semesta alam.

Jika di atas tanah, helang menjadi penakut. Ia turun ke tanah hanya untuk menerkam mangsanya. Itupun sedetik sahaja. Jika lama sedikit, mungkin kucing pun boleh menerkamnya.

Sharifah Aini dalam lagunya itu merakamkan lagak helang sewaktu terbang di langit tinggi.

Elok kita mentelaah sedikit lagu tersebut buat panduan hidup. Pada rangkap pertama berbunyi:

Di angkasa nan luas

terbang sang helang bebas

menebarkan sayapnya

sungguh megah lagaknya

helang mendabik dada

membelahi angkasa

dengan gaya perwira.

Rangkap mukadimah nyanyian itu awal-awal menonjolkan sifat helang yang megah, sombong dan besar diri. Itulah sifat helang tatkala berada di atas. Ketika ia di puncak kuasa.

Helang dijadikan simbol negara untuk AS. Rusia pula memilih beruang, manakala China menjadikan panda sebagai simbol negara komunis itu.

Gambar hiasan

Negara kita memilih harimau Malaya. Indonesia, rajawali. Thailand - gajah.

Pemilihan itu ada falsafahnya tersendiri. Helang adalah simbol kekuasaan dan kebebasan.

Sayap dan dada helang adalah anggota penting dalam mempamerkan kesombongan dan kehebatan diri. Dada helang yang menonjol bulat dan sayap yang lebar adalah bentuk fizikal melambangkan kegagahan.

Bahkan warna bulunya yang legam itu juga lambang kehebatan. Memanglah gagak juga berwarna hitam tetapi ia tidak sama seperti helang.

Sempurna kerana ada masyarakat

Antara kehebatan helang adalah keupayaannya terbang di angkasa seperti perwira. Sifat keperwiraan dapat dilihat daripada penampilan diri seperti pakaian seragam.

Namun sifat keperwiraan itu hanya terbukti di medan pertempuran sebenarnya. Berani berlawan berhadapan. Berpakaian bak perwira belum tentu memiliki kualiti keperwiraan.

Pada rangkap kedua pula, penyanyi kelahiran Johor (sesetengah orang kata, beliau lahir di Singapura) itu menghuraikan lebih lanjut sifat dan sikap burung helang yang berperikebinatangan.

Helang bukan seperti manusia yang secara lahiriah hidup bersosial. Manusia tidak boleh hidup bersendirian.

Gambar hiasan

Watak solo seperti Lone Ranger, Zorro dan Robinson Crusoe hanya ada dalam filem. Hakikatnya kesempurnaan hidup manusia kerana adanya masyarakat.

Namun oleh kerana helang itu haiwan, maka ia memang mementingkan dirinya sendiri. Kawan sendiripun mahu diserang atau dimusuhi.

Binatang yang lebih lemah pasti mengambil pendekatan mengalah lebih awal.

Dengarlah suara Sharifah Aini yang mendayu-dayu sewaktu penyanyi kesayangan ramai itu menyanyi. Terasa bagai kita juga terbang sama ke angkasa.

Bacalah senikata pada rangkap kedua yang berbunyi:

Bila saja engkau menghampiri

burung lain terbang lari

kaumerasakan dirimu gagah

hak yang lain tak kau indah

mengganas engkau di angkasa.

Bukanlah helang namanya jika ia tidak mengganas di angkasa. Helang tidak pernah memikirkan soal hak atau keadilan haiwan lain. Helang mencari mangsa saja.

Helang bukan ada akal sangat. Perasaan, jauh sekali. Helang hanya ada naluri kehaiwanan yang abadi. Bukanlah helang sejati jika jinak seperti singa sarkas.

Pada rangkap ketiga dan akhir pula, Sharifah Aini bernada sinis menyarankan agar helang untuk terbang lebih tinggi. Ia disebut sebagai psikologi berbalik (reverse psychology).

Usah lupa diri

Kedua-dua rangkap lagu itu adalah kesimpulan yang ingin disampaikan oleh Sharifah Aini dalam lagunya itu.

Cuba perhatikan bait-bait kata pada rangkap ketiga dan akhir lagu itu:

Terbanglah engkau tinggi

sampai ke mana lagi

ingin engkau jelajahi

sehingga kau terlupa

yang tinggi jatuh jua

bila tiba ketika

kau ke tanah akhirnya.


Di angkasa nan luas

terbang sang helang bebas

menebarkan sayapnya

usah kau lupa diri

bahwa langit itu tinggi

nanti lemas sendiri

nanti lemas sendiri.

Ungkapan "langit itu tinggi" pada rangkap akhir adalah kata yang cukup berbisa kepada haiwan yang sombong seperti helang.

Agaknya sudah berapa ribu ekor helang terdengar lagu ini. Sharifah Aini mengingatkan agar jangan lupa diri. Sharifah Aini menyanyi untuk masyarakat dan peminatnya. Sharifah Aini tidak menyampaikan lagu untuk menasihati helang.

Helang tidak akan faham.

Gambar hiasan

Penyakit lupa dirilah yang selalu melemaskan. Itulah nasihat Sharifah Aini pada akhir lagu tersebut. Lupa diri tentang asal usul. Lupa diri akan tanggungjawab.

Ini kerana pada akhirnya "ke tanah juga" segala kesombongan yang ada. Istilah "ke tanah juga" adalah proses kembali yang fitrah.

Tanah adalah perlambangan. Dari tanahlah manusia diciptakan. Tanah bagi helang adalah satu lambang pertentangan dengan angkasa atau langit. Dua darjat yang terpisah tetapi di akhirnya kembali kepada ke tempat asalnya.

Nyanyian Sharifah Aini bukan sahaja merdu tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam. Namun ia hanya mendalam kepada sesiapa yang cuba mendapatkan pengajaran daripada lagu itu.

Nyanyian bukanlah sekadar hiburan atau halwa telinga.

Ratusan - dan mungkin ribuan - lagu biduanita negara itu adalah karya bangsa. Karya yang membina citra dan rupa bangsa.

Salah satu album kompilasi nyanyian Sharifah Aini bertajuk Takkan Hilang Melayu Di Dunia yang diterbitkan pada 1999 adalah manifestasi bangsa yang hendak diperkukuhkan oleh penyanyi terhebat negara.

Hadiahkanlah surah al-Fatihah buat Kak Pah yang telah pergi buat selama-lamanya ke negara abadi.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat Allah dan mendapat keampunan-Nya. Al-Fatihah.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS