Paling Popular
Terkini

Dalam beberapa artikel saya di kolum ini, mengenai kelahiran dan pertumbuhan ‘Islam Kelantan’ saya telah memperlihatkan bagaimana pertama, ketua agama Islam di negeri Kelantan, Sultan Muhammad IV bekerjasama dengan British (penjajah) untuk mengekalkan takhta dan kuasa. Pengganti-pengganti baginda kemudiannya, turut menggunakan pendekatan yang sama. Hal ini telah dibincangkan dalam artikel “Rusia, Yang Hilang di Kota Bharu”; “Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an”; “Sultan Kelantan di London, 1953”; dan “Panggung wayang, tari-menari di Kota Bharu”. 

Dalam artikel-artikel di atas juga saya mendatangkan bukti bagaimana tatkala rakyat Kelantan melarat dan dalam keadaan miskin susah, feudalisme terus mencengkam. Artikel tersebut juga menjelaskan perihal keadaan ekonomi dan persekitaran sosioekonomi dan politik Kelantan yang merosot dengan cepatnya.

Salah satu rekod sejarah yang dapat menghuraikan kenestapaan rakyat Kelantan di hujung abad ke 19 adalah laporan Bozzolo, pegawai Hugh Low yang merakam tentang kemelaratan orang Kelantan dalam tahun 1888. Kemelaratan yang sudah membusuk tersebut terjadi semuanya kerana tindak-tanduk pemerintah, dan dilengkapkan kitaran syaitannya oleh kebisuan ulama pondok.

Bozzolo ada menyatakan golongan fakir miskin di Kelantan terpaksa berhijrah mencari kerja di luar Kelantan. Ini memandangkan gejala kemiskinan menyebabkan banyak masalah sosial seperti berlakunya kecurian dan pelacuran. Orang Kelantan pula tidak dibenarkan mempunyai tabungan besar yang mengakibatkan dalam banyak kesulitan mereka akan berhutang daripada orang kenamaan yang mengenakan cukai dan pulangan bunga tinggi. Oleh sebab tidak dapat membayar, mereka dijadikan hamba hutang, yang menurut Bozzolo kebanyakannya “wanita dan kanak-kanak”. Selain itu terdapat juga sistem kerah yang mana lelaki merdeka dipaksakan bekerja di darat dan laut tanpa imbuhan, atau lebih dahsyat dikerah berperang (abad ke-19 Kelantan dipenuhi dengan siri perang saudara yang menurut Munshi Abdullah mengakibatkan orang Kelantan terperuk secara jelik).

Bozzolo menuliskan laporan yang ketika rakyat Kelantan tertindas, “raja asyik mengadakan perayaan, siang dan malam; sementara rakyat sedang menderita, menorah, mak yong dan wayang kulit dari beberapa negeri terus dipersembahkan”.

Akan tetapi cengkaman feudalisme ini tidak akan boleh berkuku jika tidak diizinkan oleh agamawan yang alpa bahawa kehadiran dan kelahiran Islam di tangan Rasulullah SAW adalah semata-mata untuk melindungi dan menjuarai golongan tertindas. Institusi pondok misalnya, tidak atau belum terdapat bukti untuk kita percaya bahawa para ulama bukan sahaja bertasawuf dan berkitab tetapi ikut serta menyelesaikan isu dalam masyarakat khusus ketika itu masalah pelacuran.

Gerakan Persekutuan al-Jubahah

Ini membawa kepada faktor kedua ‘Islam Kelantan’ yang mana ia ditandai oleh sikap agamawan yang tertumpu kepada urusan diri seperti membesarkan ilmu masing-masing di pondok, mempertahankan ego, dan tidak mempedulikan nasib orang tertindas. Aspek ini telah saya tuliskan dalam karangan seperti “Mufti Sultan yang Mendoakan Penjajah”; “Jenazah Tok Janggut yang Diterbalik”; “3 bulan sesudah Tok Janggut dibunuh”; “Membunuh Mak Yong dan Petala Indra”; dan artikel “Debat anjing di Kelantan, 1937”.

Inilah puncanya, meskipun dihina dan ditekan pembesar dan raja, Islam Kelantan kekal mencandui bangsa Kelantan sehingga gagasan atau bumbu perjuangan yang melawan atas nama keadilan ditolak dan tidak dapat berkembang baik.

Sebagai contohnya, di dalam sejarah, terdapat gerakan untuk melawan pemerintah dan Islam Kelantan yang diberi nama Persekutuan al-Jubahah. Menurut Abu Hanifah Haris dalam “Kegiatan Pertubuhan Sosiopolitik di Kelantan, 1945-1948: Satu Tinjauan Umum” ia diasaskan pada tahun 1948 dan keanggotaannya adalah sekumpulan kecil guru agama yang mempunyai kesedaran demokratik. Ketua organisasi ini adalah Haji Mokhtar Haji Muhammad iaitu seorang kadi di Kota Bharu. Orang kanan organisasi penting ini adalah Nik Muhammad Adeeb yang untuk memburukkan citranya telah didakwa terpengaruh dengan faham komunis.

Apa yang mengejutkan mengenai Persekutuan al-Jubahah adalah ia ingin mengambil kuasa pentadbiran agama Islam daripada sultan. Nik Muhammad Adeeb sebagai contoh pernah menyampaikan ceramah yang kandungannya menegaskan kemerdekaan sebenar tidak dapat diraih oleh orang Melayu jika tiadanya “kebebasan beragama”, yang saya percaya, dimaksudkan dengan tidak terkongkong oleh institusi agama seperti majlis agama, atau oleh istana.

Antara tindakan luar biasa yang diambil oleh Persekutuan al-Jubahah adalah menggesa anggotanya supaya tidak membayar zakat fitrah kepada majlis agama Islam dalam satu mesyuarat bertarikh 7 April 1948. Kemudian dalam satu mesyuarat pada 25 April 1948, seramai 300 guru agama terdiri dari imam dan staf masjid telah berkumpul di rumah Haji Daud, seorang guru agama di Tumpat dan melancarkan keahlian terbuka organisasi mereka kepada orang awam demi merealisasikan perjuangan untuk ‘memindahkan kawalan terhadap pentadbiran agama Islam di Kelantan dari tangan Sultan Kelantan, kerana, “sultan bukan sahaja tidak mempunyai kuasa kerana baginda berkuasa disebabkan kehendak rakyat, malah rakyat juga boleh menyingkirkan baginda jika difikirkan wajar”.

Kadi besar dipecat

Sumber risikan telah mengisyaratkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV yang saya tuliskan dalam artikel “Panggung wayang, tari-menari di Kota Bharu” mengenai kegemaran berhibur dan gaya hidup baginda; untuk memberi perhatian serius kepada Persekutuan al-Jubahah. Baginda telah memecat Haji Nik Muhammad Adeeb dari jawatan kadi besar yang membawa kepada kelumpuhan Persekutuan al-Jubahah.

Oleh sebab Persekutuan al-Jubahah ini dibantut, dihempuk, terlumpuh, dan dipicit di saat kelahirannya, pakatan Islam Kelantan gagal digugat, dan kekal berpengaruh.

Pergumulan aspek feudalisme dan agamawan pekak dari institusi majlis agama dan pondok telah mengukuhkan Islam Kelantan menjadi satu jalur Islam sempit yang mementingkan hal ranting, trivia, terkepung dan tertempurung, diinstitusikan atas nama pembesar serta mengabaikan nasib murbawan Kelantan.

Isu-isu pelacuran, ketidakadilan kepada wanita, penindasan dan penafian hak minoriti termasuk Orang Asli, tetek-bengek agama yang merimaskan, pergaduhan terlihat hari ini tidak akan berlaku jika dari awal masalah di Kelantan, seperti dilihat Munshi Abdullah sudah ditangani.

Malah, dalam tulisan-tulisan kolum di atas, saya juga berhujah bagaimana masalah di Kelantan ini diwarisi sehingga hari ini, serta membarah.

Untuk melengkapkan siri Islam Kelantan ini, saya akan menghujahkan dalam dua bahagian tulisan, bagaimana Islam Kelantan ini merayap, merebak, tersebar dan seterusnya menjadi momokan iklim keagamaan di Malaysia, dan dalam kalangan seluruh orang Melayu.

Untuk melihat ini kita perlu terlebih dahulu memahami mengapa, dan bagaimana Islam Kelantan ini tersebar di luar Kelantan langsung mempengaruhi umat Islam di negeri lain.

Bangsa Kelantan bertanggungjawab membawa Islam Kelantan ini ke luar sempadan negeri mereka. Akan tetapi, sebelum itu, siapakah dan apakah Bangsa Kelantan?

Saya berpendapat Hassan Harun dalam tulisannya “Kelantan: Rakyat Dinamik, Negeri Semakin Ketinggalan” seperti dikutip Haryati Hasan dalam artikelnya “Keunikan Penduduk Kelantan” secara lengkapnya mendefinisikan bangsa Kelantan ini.

Bangsa yang penuh pertentangan

Menurut Hassan Harun, bangsa Kelantan adalah bangsa yang penuh pertentangan, ambiguiti dan di sebalik pelbagai kekurangan terdapat kekuatan yang membentuk identiti mereka secara tersendiri:

“Orang Kelantan terlalu kedaerahan; kalau terdapat 3 orang keturunan India mereka akan tubuh kesatuan sekerja; orang Kelantan pula akan tubuh perkampungan Kelantan; mereka berpuak-puak dan berklik; jumpa sahaja sesama mereka terus bercakap Kelantan, bahasa mereka; mereka tidak boleh ditinggalkan, budu, kicap mereka. Mereka warak tetapi samseng, atau samseng tetapi warak; mereka tidak miss menjadi juara tilawah al-Quran tetapi mereka juga penyanyi pop dan dangdut yang cemerlang. Wanita Kelantan sungguh menawan dan profesional, mereka serba boleh, mereka doktor, profesor, orang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, guru, usahawan, ratu dan GRO. Orang Kelantan dominan di kampus-kampus dan tidak kurang ramai di Lorong Hj Taib. Mereka cemerlang; yang paling ramai berhijrah; paling ramai menganggur; negeri termiskin; antara tertinggi insiden perceraian dan penghidap HIV; mereka memimpin dunia korporat Melayu, mereka menerajui agensi utama kerajaan dan swasta. Mereka cukup pandai, sama ada dalam pelajaran atau pun perniagaan.”

Faktor paling signifikan tersebarnya Islam Kelantan adalah pertamanya berlaku penghijrahan besar-besaran rakyat Kelantan ke luar sejak hujung abad ke-19 kerana tekanan dan cengkaman masalah ekonomi yang amat menyedihkan.

Rujukan paling tuntas untuk poin ini antara lain adalah tulisan Profesor Ishak Shari, sarjana besar kita dalam bidang ekonomi menerusi karangan beliau “Keadaan Ekonomi dan Struktur Masyarakat Melayu Kelantan Dalam Abad ke-19” yang memperincikan keperitan orang Kelantan sehingga mengakibatkan mereka berhijrah ke negeri lain dalam jumlah besar. Ini menjelaskan kepada kita mengapa Kelantan akan macet, dengan kepulangan sejuta kenderaan perantau, setiap kali Hari Raya.

Keduanya, lelaki atau wanita Kelantan ini kemudian akan berkahwin dan persemendaan ini membantu Islam Kelantan mengental, dibantu perangai kedaerahan dan kedegilan mereka sehingga menjadi faktor kekeruhan budaya dan agama masyarakat luar Kelantan yang asalnya berwarna-warni, kompleks, dan mesra elemen tradisi.

Kedua-dua faktor ini akan dibincangkan lanjut dalam bahagian kedua kelak.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS