Kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini mengenai kemungkinan akan berlakunya pilihan raya mengejut dalam jangka masa terdekat menarik minat banyak pihak. Sudah pasti kenyataan beliau ini bukanlah dibuat tanpa apa-apa sebab atau tanpa ada maklumat dalaman. Saya yakin ada perkara yang rakyat tidak ketahui.
Sebagai seorang veteran dalam politik negara, pastinya beliau mempunyai sebab yang kuat dalam mengeluarkan kenyataan itu.
Saya tidak mahu membicarakan bila PRU-15 mungkin diadakan kerana itu terpulang kepada perdana menteri. Dia saja yang ada kuasa untuk menentukan bila parlimen dibubarkan. Saya cuba membuat penilaian, bukan secara empirikal tetapi secara kajian sentimen rakyat ketika ini.
Pada telahan saya, jika berlaku pilihan raya umum ke-15 saya yakin Pakatan Harapan (PH) akan terus mengekalkan kuasa. Walaupun ada kajian dibuat tentang populariti PH yang semakin menurun dan kemarahan orang Melayu semakin ketara, namun bagi saya itu boleh diubah dengan menukar naratif kejayaan PH.
Semua ini tidak sukar dilakukan kerana PH menguasai segala media cetak utama dan media sosial.
Kenapa saya berkata demikian? Ada beberapa faktor utama yang menyokong hujahan saya:
Faktor Umno
Umno selaku parti utama negara masih gagal mengemukakan kepimpinan yang benar-benar dilihat berwibawa. Hampir semua pemimpin yang ada sekarang terpalit secara langsung atau tidak langsung dengan pelbagai isu.
Rakyat secara umumnya sudah tidak percaya dengan kepimpinan Umno sekarang mampu untuk membawa perubahan yang lebih baik daripada kerajaan PH. Dalam erti kata lain jika Umno memerintah kembali maka ia hanya sekadar mengulang kembali perangai dan sikap dahulu.
Maka, Umno perlu dilihat benar-benar berubah dan mengemukakan barisan kepimpinan baru dengan idea yang baru. Adakah Umno sedia untuk berubah? Saya rasa amat sukar. Umno memerlukan kepimpinan yang berjiwa besar dan berani untuk membuat perubahan.
Rakyat masih tidak jelas hala tuju Umno sekarang, terutama di kalangan pimpinan. Khabar angin mengatakan pimpinan Umno sendiri berpecah kepada beberapa kumpulan dan masing-masing mahu menaikkan pemimpin sendiri. Ini senario yang memakan diri dan Umno perlu melihatnya secara serius.
Budaya 'cah keting' terkenal di kalangan ahli dan unsur ini akan menyebabkan mereka sanggup mengundi lawan atau merosakkan kertas undi.
Pada masa sama, Umno masih tidak begitu 'mesra' dengan NGO dan pemimpin masyarakat lain. Mereka masih merasakan diri sebagai kerajaan dan memandang sepi peranan NGO dan pimpinan masyarakat. Jangankan nak dengar pandangan malah untuk berjumpa pun begitu sukar walaupun Umno sudah tidak punyai apa-apa kuasa.
Mereka lupa bahawa pengundi atas pagar adalah ramai dan pengundi ini boleh berubah arah bila-bila masa. NGO mempunyai pengikut dan penyokongnya tersendiri dan mereka ada pengaruh yang besar dalam masyarakat. Jika Umno lupa faktor ini, bermakna mereka telah mengabaikan satu segmen yang besar dalam masyarakat.
Dalam hal ini, saya lihat PAS lebih terbuka dan berlapang dada tetapi PAS agak sukar untuk menang di peringkat pusat kerana kurang bersedia baik dari segi kewangan mahupun sokongan. Saya jangka PAS akan memfokuskan kepada negeri, bukan pusat.
Faktor Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad adalah seorang pakar strategi. Tiada siapa yang tahu apa yang akan dilakukannya pada hari esok. Beliau boleh membuat 'the impossible' dan ini tidak boleh dipandang ringan. Kebijakan ini saya lihat tidak dimiliki oleh ramai ahli politik termasuklah Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir adalah faktor utama kemenangan PH. Ini hakikat yang semua pihak akui. Kalau dalam keadaan tiada kuasa beliau boleh menang inikan pula ketika beliau menerajui negara, kecuali beliau berubah pendirian.
Faktor DAP
Strategi DAP sejak kebelakangan ini menunjukkan kebijakan mereka untuk terus berkuasa. Gambar-gambar yang tersebar yang menunjukkan pemimpin parti itu mendekati orang Melayu dilihat satu strategi yang sangat licik dan menyentuh perasaan.
Melihat Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang sanggup makan di dalam talam semasa majlis berbuka puasa pastinya mencairkan hati ramai orang melayu. Ditambah dengan bantuan kewangan yang diberi kepada masjid dan surau serta kepada petugas masjid menambah nilai imej mereka dalam kalangan orang Melayu.
Saya tidak terkejut ramai Melayu akan mula menyokong DAP. Apatah lagi dengan kemelut ekonomi sekarang, bukan sukar untuk memenangi hati orang Melayu yang rata-rata kesempitan wang. Ingat, mereka menguasai Kementerian Kewangan dan beberapa kementerian lain. Maknanya mereka mempunyai segala kekuatan untuk terus bergerak.
Ketika menteri-menteri Melayu sibuk membuat kenyataan-kenyataan hambar dan kebudak-budakan, mereka sibuk menyelinap ke dalam hati dan sanubari orang Melayu.
Ada juga dakwaan yang mengatakan kawasan pilihan raya akan dipecah-pecahkan terutama yang mengandungi majoriti pengundi Cina. Dikatakan DAP akan mampu menambah 28 buah kerusi lagi dan jika ini berlaku, DAP akan dapat 70 kerusi semuanya. Pembangkang tiada harapan lagi.
Mungkin ada yang skeptikal dengan penilaian saya ini. Terpulang kepada rakyat untuk menentukannya dan saya tidak meminta apa-apa. Tetapi ia sesuatu yang perlu direnungi oleh parti pembangkang dan membuat perubahan di mana yang perlu.
Ingat, dengan orang Cina hampir semua mengundi PH, mereka hanya perlu beberapa peratus saja lagi undi orang Melayu untuk terus kekal berkuasa.
Parti-parti pembangkang perlu sedar hakikat ini dan mula rangka strategi baru.
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.