Rasanya kami dah pernah tulis mengenai betapa sebahagian besar masjid di negara ini mempunyai simpanan wang yang teramat banyak dan ia kemudian hanya digunakan untuk membaik pulih bangunan masjid, tukar permaidani dan hal-hal seumpamanya.
Memang itulah yang kamu dapat apabila masjid-masjid ditadbir oleh cikgu pencen, polis pencen dan individu yang berasakan masjid itu adalah milik peribadi mereka.
Yang polis pencen, sibuk nak tangkap pencuri wang tabung. Maka sibuklah dia memastikan ciri-ciri keselamatan masjid. Merata-rata dipasangnya CCTV. Keliling masjid dipasang pagar besi. Pantang ada pintu dan tingkap.
Masuk masjid kadang-kadang dah rasa macam masuk lokap. Mentang-mentanglah awak bekas polis.
Yang cikgu pencen pula sibuk dengan hal-hal keceriaan. Karpet mesti macam hotel lima bintang. Lampu cantik mesti ada di sekeliling pagar.
Pendingin udara wajib ada, sementara kipas gergasi dipasang sebagai persediaan sekiranya penyaman udara bermasalah.
Takut sangat panas semasa beribadat sedangkan panas api neraka terlebih panasnya apabila kamu salah uruskan wang orang ramai.
Kemudian cikgu-cikgu pencen tidak lain kerjanya ialah mengherdik budak-budak yang baru belajar ke masjid.
Jubal lawa, oud harum
Yang kanak-kanak dimarahi kerana bising. Yang remaja dijerkah kerana bacaannya salah. Yang tua sedikit dipersalah kerana tidak duduk muzakarah.
Maklumlah, cikgu pencen, dah terbiasa marahkan budak sampai ke tua tak habis panasnya.
Orang yang tidak pergi masjid pula bukannya dipujuk, malah diperlekeh seolah-oleh sebelah kakinya dah masuk neraka.
Apabila budak tabligh datang nak tolong ajak orang kampung kamu ke masjid, kamu buat muka masam. Menyampah - kata kamu. Busuk - kata kamu.
Walhal kamu tidak tahu yang kebangga budak-budak tabligh itu ialah memakai jubah yang paling lawa. Menyimbah minyak wangi oud paling mahal pada badan pula adalah kemegahan.
Kamu sendiri pun pakai minyak wangi Mydin. Itupun yang diwakafkan di masjid-masjid.
Kami tahu kamu akan segera mengatakan bahawa sebagai ejen DAP, tulisan kali ini mesti mahu mencari salah bangsa Melayu Islam.
Dan setelah menyerang bahasanya, kali ini - kata kamu - kami sibuk pula mahu mencari salah orang masjid.
Nak kata apa lagi, kamu semua memang jenis begitu.
Mesti rayu sumbangan
Nampak sampah di jalan, bukannya kamu pakat-pakat bersihkan sebaliknya kamu ambil gambar, letak di media sosial dan kamu maki.
Sampah itu kamilah. Tidak berguna kepada kamu. Menyusahkan dan menyesakkan.
Seperti yang kami katakan dulu, ada antara masjid di bandar-bandar besar mempunyai simpanan wang sumbangan orang ramai hingga berjuta-juta ringgit.
Wang itu tidak berkurangan kerana saban hari - dan yang paling penting - sebahagian AJK masjid akan merayu sumbangan.
Mahu kenduri sambut Maal Hijarah, minta sumbangan. Orang minta buat tahlil arwah pun kamu minta duit.
Pendek kata agenda paling utama sesetengah masjid ialah menambah wang simpanan masing-masing.
Yang dipertikaikan cuma, ke mana wang itu dibelanjakan?
Betullah kamu pandai mencari dana, namun mengapa wang itu hanya dibelanjakan untuk keceriaan bangunan masjid?
Keceriaan budak-budak yang mahu bersekolah, bagaimana? Apakah kamu tidak tahu berita betapa hari ini anak-anak kita yang sedang belajar di universiti ada antara mereka mengikat perut kerana tidak dapat cukup makan?
Mengapa tidak boleh wang yang sebegitu banyak dijadikan biasiswa? Jangan biarkan mereka berhutang dengan sesiapa.
Jangan biarkan mereka selamanya menjadi hamba sesiapa. Kita ini orang Islam!
Duit untuk siswa
Atau jika payah sangat, bayar saja mana-mana kedai makan berhampiran tempat budak-budak itu belajar. Suruh mereka sediakan makanan setiap hari kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu.
Tapi, siapkan makanan tu, mahal sikitlah. Janganlah kangkung goreng tiap-tiap malam. Buatlah hidangan yang macam kamu sendiri yang mahu makan.
Biar budak-budak itu senang belajar dan tidak perlu bersusah hati memikirkan perut masing-masing.
Atau bayarkan saja hutang PTPTN mereka.
Seperti yang kami katakan dulu, apabila kamu berbaik dengan budak-budak itu, nanti merekalah yang akan kembali memenuhi masjid kamu.
Jika kamu lakukan semua ini, nanti kita akan dapati lahir satu generasi yang selalu bersyukur, bukan jenis pendendam macam yang kita ada hari ini.
Disebabkan semasa belajar mereka miskin, apabila bekerja mereka membalas dendam dengan berbelanja macam tidak dilihat tuhan.
Kamu dapat wang percuma, dan selama mana ada ayat al-Quran yang mengatakan betapa besarnya kelebihan bersedekah, selama itulah akan ada mereka yang murah hati memberikannya.
Baca Alangkah seronoknya bergaduh
Budak-budak Bangladesh yang gaji entah berapa sen itu pun tidak pernah lokek untuk memberi sumbangan setiap kali tabung masjid lalu di depan mereka.
Sedangkan kamu apabila dapat wang daripada mereka, segera menyimpannya untuk dijadikan modal berbangga-bangga. Masjid aku banyak duit. Masjid aku cantik.
Budak curi RM2 kamu pukul setengah mati. Sakit sangat hati kamu apabila budak yang entah kebulur tidak makan atau sang bapa kebingungan menanggung keluarga mencuri seringgit dua wang yang memang sepatutnya menjadi hak mereka itu.
Tak malukah ada masjid kaya sedangkan ahli kariahnya meminta-minta? Kamu mahu jawap apa dengan tuhan nanti?
Kita orang beragama. Kita berbangga sebagai Muslim yang sederhana, Muslim yang tidak membunuh orang. Muslim yang taat dengan perintah benar tuhan.
Namun di mana mahu kita letak muka apabila orang tidak Islam mula mempertikaikan cara kita menguruskan wang sumbangan orang ramai?
Sepatutnya masjid-masjid yang mempunyai wang yang banyak bertindak melakukan sesuatu bagi membantu masyarakat di sekeliling.
Jika tidak pandai, gajikan mereka yang ahli. Tahulah mereka bagaimana mahu membelanjakan wang masjid itu.
Jangan bimbang ditipu kerana selama mana kamu menyimpan wang sumbangan orang ramai tanpa membelanjakannya kepada yang hak, maka selama itulah kamu sedang ditipu syaitan.
Selamat berpuasa kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga mendapat keberkatan bersama bulan ini - seperti yang dijanjikan tuhan.
Artikel kali ini dihiasi oleh foto pada malam perasmian pameran Moonlight Fragment oleh pelukis Fendy Zakri.
Pameran berkenaan berlangsung di Galeri Taksu, Kuala Lumpur.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang bergantung imannya: kadang-kadang rajin juga datang awal sembahyang Jumaat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.