Al-kisahnya, saudagar minyak unta ini ialah salah satu watak dalam filem Ali Baba Bujang Lapuk karya Seniman Agung Allahyarham P Ramlee.
Pelakon lain yang turut menjayakan filem itu termasuklah Aziz Satar, S Shamsuddin, Sarimah dan Normadiah.
Filem diterbitkan pada 1961 itu memberi gambaran sinikal tentang politik tanah air. Perompak - yang terdiri daripada pelbagai latar - bersatu untuk menjayakan misi perjuangan mereka - membesar perut dan tembolok masing-masing.
Ketua perompak dan gerombolannya berpura-pura menjadi saudagar minyak unta bagi merompak orang kaya baru.
Pada dunia hari ini, babak demi babak dalam filem puluhan tahun silam itu menjadi analogi kepada kartel-kartel penjahat beraksi di hadapan pemimpin PH yang baru berkuasa.
Atas kepintaran ketua perompak itu, akhirnya Ali Baba yang budiman terpesona. Daripada perompak durjana mereka - para penyamun itu - berlakonlah menjadi saudagar yang bertaubat.
Dalam hidup sebenar, jangan sekali-kali kita biarkan perompak berada di dalam rumah. Ketua perompak yang menyamar sebagai saudagar itu berpura-pura sementara sahaja. Apabila waktu sesuai tiba, dia akan menjadi dirinya yang sebenarnya.
Keluar masuk Putrajaya
Oleh itu, para pimpinan PH janganlah sewenang-wenangnya membawa perompak menjadi teman baru. Perompak biasanya akan tetap perompak. Mereka akan merompak bukan sahaja wang ringgit, harta benda tetapi integriti PH.
Akhirnya PH akan menjadi seperti rejim lepas yang membelasah khazanah negara semahu-mahunya. Mereka itulah yang nanti akan 'menjual' PH dengan sewenang-wenangnya.
Sejarah Umno juga begitu. Pada awal perjuangannya ia didukung oleh rakyat marhean. Setelah berkuasa, lama kelamaan parti itu dimasuki saudagar minyak unta yang merosakkan akar kekuatan mereka.
Ini bukanlah soal Umno atau parti lain. Ini adalah persoalan sifat kuasa dan perangai orang berkuasa.
Kini orang-orang yang berlagak seperti saudagar minyak unta dalam filem P Ramlee sedang berkeliaran, keluar masuk pintu Putrajaya mencari lubang dan peluang.
Mereka merompak secara berjemaah. Sama-sama makan hasil haram, sama-sama tutup rahsia.
Lingkaran saudagar ini adalah dunia kapitalis yang tamak. Mereka adalah kaum pemodal jahat yang menggunakan kekuatan modal untuk meraih keuntungan maksimum.
Jika perlu gunakan wang sogokan untuk mereka memperolehi projek, saudagar itu akan melakukannya tanpa banyak masalah.
Jika perlu gunakan kemudahan, kemewahan atau perempuan sundal, saudagar jenis itulah juga yang akan sanggup menyuap.
Saudagar minyak unta adalah bapa perompak. Kerjayanya merompak wang negara secara besar-besaran. Merompak siang-siang tanpa segan silu.
Menjarah secara sistematik
Saudagar minyak unta mempunyai rangkaian di semua jabatan utama dalam sistem birokrat. Di pasar, di padang, di pejabat, di jalan raya, di ladang, hatta di dalam masjid dan kuil pun mereka sudah ada rangkaian.
Mereka sebati dengan sistem siasah dan birokrasi negara. Ahli politik yang baru memperolehi kuasa dianggap sebagai pemain baru dalam sistem. Hal itu kerana ahli politik lama sudah terkeluar dari sistem akibat kalah pilihan raya. Jurang itulah yang digunakan oleh para pemain lama membuli atau mensebotaj pemain baru.
Sementalah ahli politik yang hilang kuasa kebanyakannya masih meneruskan hubungan dengan para saudagar minyak unta. Hubungan itu dilakukan sama ada secara gelap atau berterang-terangan.
Para saudagar minyak unta itu biasanya ialah penyalur modal buat ahli politik.
Integriti dan komitmen kaum birokrat dan peniaga dirosakkan oleh segelintir kecil kalangan pembuat onar dalam sistem pentadbiran negara. Birokrat, saudagar dan ahli politik jahat saling bekerjasama dalam menjarah khazanah negara secara sistematik.
Ada yang sukar untuk dibawa ke pengadilan kerana liciknya permainan kotor itu.
Saudagar-saudagar itu berpakat dengan rangkaian kartelnya merangka seberapa banyak projek pembangunan untuk masyarakat.
Tapi hakikatnya projek-projek pembangunan itu adalah jalan untuk membesarkan karung sendiri. Mereka berselindung atas faedah yang rakyat perolehi.
Inilah antara aktor yang menjejaskan harapan rakyat yang mahukan perubahan politik dalam negara. Aktor-aktor itulah yang boleh meretakkan hubungan antara pimpinan PH.
Keretakan itu sedikit akan membesar jika tidak dibaiki segera. Jangan biarkan retak menanti belah. Sila ambil perhatian, pak menteri.
Jangan jadikan perompak sebagai teman seperjuangan baru. Kesetiakawanan dalam perjuangan dapat dibuktikan semasa susah dan sukar. Saat senang, berhati-hatilah bersalaman dengan kenalan baru. Bimbang bukan tangan yang dihulurkan tetapi beban tanggungan yang sedang dipindahkan.
Pada babak akhir filem Ali Baba itu watak pembantu Ali Baba yang bernama Marjinah - dibawakan oleh Sarimah - berjaya membunuh ketua perompak.
Ya, perompak mesti dihapuskan walaupun kata-kata terakhirnya adalah "ana mati dalam iman".
Nah, sekarang siapakah Marjinah dalam kerajaan Malaysia Baru ini?
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.