Sama ada setuju atau tidak, tekanan kepada bangsa Melayu semakin hari semakin kuat sehingga segala ruang untuk berkata mengenai bangsa Melayu dianggap rasis dan ekstremis.
Saya yakin penulisan ini juga akan dianggap sebagai rasis.
Usaha terancang hapus Melayu sebagai identiti
Pelbagai dasar, undang-undang dan akta sudah mula digerakkan untuk diubah bagi mencairkan keabsahan orang Melayu. Cadangan merubah Dasar Kebudayaan Negara, penggunaan bahasa asing secara berleluasa, tekanan kepada sekolah-sekolah agama, cadangan pengiktirafan UEC, penghinaan terhadap perpaduan Melayu, dan banyak lagi adalah antara contoh strategi menghapuskan jati diri orang Melayu.
Usaha terancang ini diperhebatkan dan dilengkapkan lagi dengan cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan di mana Raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu akan boleh dipertikai dan dihina secara terbuka.
Sekarang ini kalau mana-mana pihak cuba mempersoalkan terhadap keistimewaan orang Melayu dan Raja-raja Melayu maka mereka akan dikenakan tindakan bawah Akta Hasutan walaupun dalam parlimen. Tetapi dengan pemansuhannya nanti maka imuniti ini akan hilang. Dalam erti kata lain mana-mana pihak boleh mempersoalkan kedua-dua perkara berkenaan. Malah, tidak mustahil akan ada cadangan di masa hadapan supaya perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dipinda.
Lebih menyedihkan lagi, pembunuhan orang Islam secara beramai-ramai di New Zealand baru-baru ini dikaitkan juga dengan perpaduan orang Melayu yang difitnahkan sebagai boleh membawa fahaman yang ekstremis. Malangnya, ada orang Melayu yang termakan dan menyokong fitnah tanpa asas ini.
Ekonomi orang Melayu
Walaupun penduduk Malaysia merangkumi lebih 60% penduduk berbangsa Melayu namun kerajaan selama ini hanya menyasarkan pemilikan ekuiti sebanyak 30%. Ini pun sudah dianggap rasis dan tidak adil, apatah lagi jika kita meminta supaya dinaikkan kepada 60% bagi menyamai peratusan penduduk orang Melayu.
Pendek kata, apa-apa keluhan dan rintihan orang Melayu mengenai ekonomi bangsa mereka sentiasa dianggap rasis. Bertambah malang lagi apabila Perdana Menteri kita sendiri sentiasa melabelkan orang Melayu sebagai lemah dan pemalas. Doktrin negatif seperti ini dalam banyak keadaan melemahkan pemikiran dan semangat orang Melayu. Jika kenyataan sebegini diteruskan maka lama-kelamaan ia menjadi satu kepercayaan sehingga sukar untuk orang Melayu bangkit semula. Dalam masa yang sama ia memberi ruang kepada bangsa lain untuk terus memperkecilkan orang Melayu dan mendesak keistimewaan itu dihapuskan supaya mereka dapat mengaut semua hasil mahsul negara.
Ini belum lagi cerita tentang cadangan untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan yang mana kita semua ketahui bahawa rata-rata kawasan bandar di Malaysia diduduki dan dikuasai oleh orang Cina. Jika ini berjaya dilakukan, maka orang-orang Melayu akan semakin terpinggir.
Dari segi pendapatan isi rumah, orang Melayu menduduki tangga ketiga selepas Cina dan India. Jurang pendapatan ini dijangka akan semakin melebar di masa-masa hadapan ditambah pula dengan kegawatan ekonomi yang sedang kita alami sekarang. Jika tiada suatu dasar yang jelas, maka kemungkinan besar orang Melayu akan hanya menjadi pengemis di bumi sendiri.
Ini semua bukan perkara baru malah telah bermula sejak zaman BN lagi. Sebab itulah orang Melayu mengharapkan kerajaan baru ini dapat memperbaiki dan mengubah nasib mereka. Tetapi bak kata pepatah, kuingat panas sampai ke petang, namun rupanya hujan di tengah hari.
Seruan persamaan bangsa
Pada masa yang sama, seruan Malaysian Malaysia semakin kuat dan desakan persamaan hak dalam segala aspek sering diungkapkan oleh pendukung fahaman ini. Sesiapa sahaja yang menentang idea ini akan dianggap sebagai ketinggalan zaman dan ekstrem. Semua ini digerakkan atas asas Hak Asasi Manusia.
Sejarah juga ingin diubah bagi menunjukkan bagaimana bangsa lain juga telah berkorban untuk negara. Walaupun sudah menguasai segala-galanya namun mereka masih tidak puas sehingga isu agama pun mereka ingin menyamaratakan.
Ada yang cuba untuk menafikan kenyataan ini dengan mengatakan bahawa pemerintahan masih dikuasai oleh orang Melayu namun ini dinafikan sendiri oleh Perdana Menteri dengan mengatakan bahawa banyak jawatan dalam kerajaan dan polisi ditentukan oleh pihak lain. Maka, tidak hairanlah segala keluhan orang Melayu hanya tinggal sebagai suara-suara sepi di pinggir tangga.
Apakah nasib bangsa Melayu pada dekad yang akan datang?
Sukar untuk kita gambarkan jika keadaan sekarang dibiarkan tanpa ada mereka yang bangun membela. Ahli-ahli politik Melayu lebih sibuk merebut kuasa berbanding memikirkan nasib bangsa sendiri, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Nasib bangsa dipercaturkan sekadar untuk meraih undi sahaja.
Apa maknanya mempunyai bilangan yang ramai jika nilai jati diri tergadai?
Kejatuhan umat Islam di Andalusia dan Khilafah Uthmaniyyah bukan disebabkan ketenteraan mereka tidak kuat tetapi disebabkan jati diri yang lemah dek pengaruh barat dan kemewahan yang melampau.
Kejatuhan bangsa Melayu juga bukan disebabkan jumlahnya yang sedikit tetapi jati diri yang hilang.
Orang Melayu sudah tidak yakin pada diri sendiri bahawa mereka boleh maju, memimpin, bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain disebabkan pendoktrinan yang negatif.
Akhirnya mereka hanya menjadi seperti buih yang sekadar mengikut arus suasana dan menyerah kepada takdir!
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.