Paling Popular
Terkini

Baru-baru ini ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Muhammad V pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) menyatakan rasa kasihannya kerana “pada setiap hujung minggu, ramai rakyat Kelantan perlu ke Terengganu semata-mata untuk menonton wayang”. Ekoran dari itu beliau menyarankan agar “panggung wayang patuh syariah dibuka” dan dengan itu “kerajaan boleh menambah cukai hiburan”.

Sudah tentu, Syahbuddin menyuguhkan sandaran agama ketika berucap itu. Beliau menyatakan “panggung wayang dibolehkan ulama tersohor, Prof Sheikh Dr Yusuf al- Qaradawi’ apatah lagi jika ‘filem itu boleh memberi manfaat’.

Sehubungan dengan itu beberapa media turut melaporkan bahawa operasi panggung wayang di Kelantan, antara lain Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama, telah lama dihentikan selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada BN pada tahun 1990. Hubungan PAS dan panggung wayang, dan segala macam aktiviti hiburan dan kesenian di Kelantan memang panjang. Artikel akan mengupas aspek ini.

Ura-ura untuk Kelantan mempunyai sebuah panggung wayang ini pernah diapungkan pada tahun 2016, akan tetapi terdapat laporan ia sukar dilaksana memandangkan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Kelantan tidak masuk akal bisnes sepertinya “tiada filem dibenarkan tayang sepanjang Ramadan dan malam Jumaat”, serta “penonton lelaki dan wanita yang perlu dipisahkan”, manakala “lampu pula diminta agar tidak dipadamkan”.

Di kolum ini, saya telah menulis sebanyak tujuh siri sejak Januari lepas mengenai kelahiran dan kebangkitan Islam Kelantan yang ditandai oleh para ulama yang gemar membincangkan isu ranting, agamawan yang mengabaikan masalah sosial khusus melibatkan minoriti, mendukung pemerintahan Inggeris dan ajaran Islam Kelantan ini mempunyai banyak pergulatan tolak-terima dengan istana.

Dalam kolum sebelumnya, “Sultan Kelantan di London, 1953”, saya memerihalkan episod sejarah di mana Sultan Ismail ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV yang tidak berputera telah digantikan oleh Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV iaitu adindanya. Sultan Ibrahim menaiki takhta Kelantan pada tahun 1944 dan menyaksikan pelbagai insiden penting negara ini antara lain berakhirnya Perang Dunia Kedua, bantahan terhadap Malayan Union (meskipun baginda antara raja Melayu yang menandatangani), kemerdekaan tanah air dan kekacauan yang ditimbulkan golongan Komunis. 

Satu hal yang menarik mengenai pemerintahan Sultan Ibrahim ialah sikap baginda terhadap “Islam Kelantan” yang ditanam, dibaja, disemai dan ditumbuhkan oleh ayahanda dan nenda baginda. Dalam hal hiburan dan keperluan alamiah manusia kepada kesukaan dan pesta gembira, serta naluri melubu-lubu rakyat terhadap kesenian dan kebudayaan; Sultan Ibrahim mempunyai “pandangan tersendiri”.

'Paris of Malaya'

Tatkala pemerintahan Sultan Ibrahim, Kelantan menjadi sangat terkenal sebagai “Paris of Malaya” seperti yang pernah dilaporkan oleh The Straits Times bertarikh 15 April 1959 (di halaman 5). Dalam laporan itu dinyatakan terdapat industri seks yang membabitkan anak-anak sekolah lelaki dan perempuan dan gejala ini dibincangkan dalam mesyuarat atau Dewan Undangan Negeri.

Nik Mohamed Ali salah seorang ahli dalam sebuah komiti yang melaporkan mengenai pelacuran telah merungut kerana para remaja (baca: kanak-kanak) terjebak dalam pekerjaan seks. Beliau menyarankan agar pihak berkuasa (baca: Majlis Agama Islam Kelantan) tidak hanya menghukum, tetapi, sebaliknya yang maha penting memberikan pekerja seks ini peluang pekerjaan (yang mulai langka di Kelantan ketika itu).

Nik Mohamed mengatakan, saya petik: “Prostitution cannot be curbed by sending prostitutes to jail. They must be given jobs”.

Hal ini disahut oleh Inche Yaacob Awang dari Parti Perikatan (nama lama BN) yang mengeluh malu kerana Kelantan dikenali sebagai Paris of Malaya dan saya petik ayat The Straits Times; “Prostitution here is becoming worse and worse. Wherever one goes over the length and breadth of the country, one will find prostitutes from Kelantan".

Bukan sahaja pekerja seks asal Kelantan bertebar di serata Semenanjung dan Singapura, gejala ini terjadi kerana perkahwinan bawah umur mengakibatkan perceraian di usia muda, yang seterusnya mendorong janda muda ke kancah pekerjaan seks. Inche Yaacob, tipikal politikus dari BN menyalahkan isteri kerana meminta cerai dari suami apabila berlaku pertengkaran.

Pun, isteri Inche Yaacob, Che Halimah, yang juga ahli dewan bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan suaminya. Che Halimah menegaskan, wanita sahaja tidak boleh dipersalahkan memandangkan lelaki lebih banyak berperanan dalam hal ini. Sekali lagi, kesedaran bahawa gejala pelacuran ini berakar dari perkahwinan bawah umur dan ketidakcekapan "Islam Kelantan" menyelesaikan masalah sosial menyebabkan keadaan bertambah buruk telah ditimbulkan.

Che Halimah menyatakan “many women become prostitutes because they have to earn something to live, especially if they have children and have been divorced by their husbands”.

Perbincangan menggerunkan mengenai Paris of Malaya ini (aneh kenapa kota Paris yang dipetik!) sebetulnya telah pun bermula diwacana secara terbuka seawal tahun 1950. Josephine Foss seorang pegawai kebajikan British telah membuka satu pekung yang menakutkan, bahawa wanita dilatih untuk menjadi pekerja seks seawal usia 12 tahun.

Cik Foss mengatakan ibu-ibu ayam yang melakukan pekerjaan melatih pelacur ini hidup di hotel mewah dengan memeras tenaga anak-anak gadis. Kenyataan beliau ini dilaporkan dalam The Straits Times pada 17 Mac 1950, di halaman 4. Sudah tentu kenyataan Foss tersebut dibantah keras oleh orang Melayu, antara lain oleh Utusan Melayu yang mengatakan penjajah sengaja membesar-besarkan masalah sosial orang Melayu dan pelbagai lagi hujah dangkal untuk menyembunyikan masalah ini. Demikianlah cara Melayu menyelesaikan masalah: menafikan ada masalah.

Pelacuran sekitar 1930-an

Padahal seperti yang dilihat sembilan tahun kemudian, masalah pelacuran ini terpaksa dibincangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Bahkan, seperti yang saya tuliskan dalam artikel “Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an”, masalah pelacuran ini sudah pun kronik sejak mulai tumbuhnya Islam Kelantan dan diabaikan begitu sahaja oleh para agamawan. Oleh sebab sikap acuh tidak acuh dan tiada kekuatan intelektual dan jihad untuk membasmi kemiskinan, buta huruf, dan memperbaiki nasib minoriti termasuk wanita; makanya Islam Kelantan telah mengakibatkan gejala ini kian memburuk. 

Apakah sikap Islam Kelantan terhadap masalah sosial yang disebutkan di atas? Sekali lagi tiadanya usaha yang benar-benar berani dan cekal oleh agamawan. Satu aspek yang paling simplistik untuk mengekang gejala "Paris of Malaya" ini ialah dengan menutup sahaja semua pusat hiburan. Bila tutup, masalah selesai. Benarkah begitu?

Apa yang menarik buat pengkaji adalah tatkala pemerintahan Sultan Ibrahim, Kelantan; industri hiburan dan kesenian di Kelantan mengalami kepesatan yang luar biasa. Seperti yang saya sebutkan tadi, ini adalah kerana, kemungkinan sikap Sultan Ibrahim terhadap hiburan dan seni amat berlawanan dengan pihak berkuasa agama.

Sebagai contoh, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman hadir ketika perasmian bangunan baru Kelab Malam, Suara Muda Club di Kota Bharu yang berharga 80 ribu ringgit. Harus diingatkan kelab malam ini telah beroperasi selama 20 tahun dan untuk acara pembukaan itu, anak buah Sultan Ibrahim, Tengku Nor Asiah telah menyanyi.

Bukan sahaja persembahan nyanyian lagu moden diketengahkan, menora dan mak yong turut dipersembahkan. Ini dilaporkan oleh The Straits Times bertarikh 28 April 1958 dengan judul “A Royal Song and Dance Act”.’

Tuanku Sultan Kelantan juga kerap menghadiri acara tari-menari dan ikut menari sama dengan Miss I Chek, seorang “pengelola perempuan bagi St. John Ambulance Brigade Persekutuan” dan ini berlaku di “ibu pejabat brigade itu di Kota Bharu”. Ia dilaporkan pada 13 November 1958 oleh Berita Harian dengan tajuk “Sultan Menari”.

Keratan akhbar Berita Harian, 13 November 1958

Selain itu baginda Sultan juga menyokong pembangunan panggung wayang. Berita Harian bertarikh 12 November 1958 menyiarkan berita Sultan Ibrahim tiba di panggung wayang Odeon di Kota Bharu untuk menonton filem Selendang Delima. Baginda disambut oleh “manager panggong tersebut, Tuan Lim Chin Huat”.

Kecintaan tuanku Sultan Ibrahim kepada kesenian Melayu turut jelas apabila baginda dipersembahkan dengan tarian-tarian asli Kelantan yang berasal sejak 500 tahun dahulu (hari ini kebanyakannya sudah pupus) di Istana Balai Besar. Persembahan tersebut adalah demi meraikan hari keputeraan baginda yang ke-62. Antara tarian yang sudah tidak diketahui hari ini ketika majlis itu ialah tarian Lokan yang “membayangkan gerak-geri binatang”.

Ada kemungkinan terdapat pergeseran antara para agamawan Islam Kelantan dengan istana pada waktu itu. Ini kerana Umno telah mendesak agar kerajaan PAS Kelantan mengharamkan pertunjukan hiburan pada hari Jumaat. Hassan Mohamad, dari Umno Kota Baharu telah membuat rayuan kepada Sultan Ibrahim agar hal ini dipatuhi.

Hassan merungut yang pihak istana mengabaikan tuntutan ini; “Tetapi sehingga hari ini satu tindakan pun belum dibuat oleh pihak yang berkuasa. Kami berharap rayuan yang kedua ini akan memberi bekas.”

Temasya di bulan puasa

Sementara dilaporkan juga Persatuan Penuntut2 Agama Kelantan turut “mendesak supaya Sultan sebagai raja yang mempunyai kuasa penoh dalam hal ehwal agama melarang pertunjokan hiboran diadakan pada malam dan siang hari Jumaat untok menghormati hari yang mulia itu”.

Hal ini dilaporkan oleh Berita Harian bertarikh 25 April 1959, di halaman 5.

Tindakan Islam Kelantan yang tidak menyelesaikan masalah di akar ini telah menyebabkan penari joget ini kesesakan punca kerana gagal mencari mata pencarian. Dalam laporan The Straits Times bertarikh 3 Mac 1960 diberitakan “Fasting joget girls appeal to Sultan”.

Ia mengenai penari joget di sebuah kelab malam bernama Biarritz Park yang telah merayu ihsan baginda agar kekal dapat menari "saperti biasa dalam bulan Ramadhan kechuali pada malam Juma'at". Sultan Ibrahim dalam satu laporan Berita Harian bertarikh 8 Mac 1960 dengan tajuk "Di-benarkan Berjoget" telah memberikan persetujuan baginda. Penari-penari itu dikecualikan oleh baginda tuanku “daripada Peratoran2 Panggong Wayang dan Tempat2 Hiboran Umum tahun 1957 yang menegah lesen2 di-keluarkan untok sa-barang bentok hiboran dalam bulan Puasa”.

Keratan akhbar Berita Harian, 8 Mac 1960.

Justeru, bulan puasa berjalan seperti biasa pada tahun 1960 seiring dengan ‘temasha joget yang diadakan buat pertama kalinya semenjak mula bulan puasa telah berlangsong malam tadi.’ Berita Harian melaporkan persetujuan baginda itu disahut segelintir rakyat Kelantan dengan meriah sekali kerana ‘Biarritz Park penoh sesak dengan orang untok menyaksikan temasha itu.’

Tindakan baginda telah membuatkan kerajaan Kelantan PAS melenting. Kerajaan Kelantan memutuskan untuk menutup taman hiburan Biarritz Park tersebut dan menyatakan “kami akan tetap memutuskan untok menghapuskan ma’asiat dalam Taman Hiboran Biaritz itu”.

Hal ini dinyatakan oleh Mohamed Asri, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan janji “akan mengusahakan mata2 pencharian lain untok pelayan2 yang bekerja di-taman hiboran itu, manakala tempat itu di-tutup kelak”.

Pun janji mencarikan kerja tinggal janji, 80 orang penari Biarritz Park dan ahli keluarga telah membuat bantahan di hadapan istana pada bulan Julai 1960. Ura-ura penutupan taman hiburan itu tidak menjadi kenyataan, dipercayai dengan sokongan baginda tuanku.

Baginda Sultan Ibrahim adalah pemimpin Majlis Agama Islam Kelantan ketika itu.

Sultan Ibrahim mangkat pada 9 Julai 1960. Ini membuka jalan buat Islam Kelantan dan para agamawan untuk melakukan apa yang menurut mereka adalah “mengharamkan tarian-tarian Barat”. Pada 1 Januari 1963, buat pertama kalinya hiburan berjaya dilarang di Kelantan.

Apakah yang berlaku kepada penari, penghibur dan pengamal seni tradisional dan pekerja seks tatkala Islam Kelantan berleluasa? Adakah ‘masalah sosial’ berjaya dipadam?


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS