Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Padan muka jugalah kepada PH atas kekalahan mereka di Semenyih tempoh hari.

Dan jika kamu percaya kata-kata orang banyak, kekalahan itu berpunca daripada kegagalan PH menjalankan tanggungjawabnya sebagai kerajaan.

Kamu kata kerajaan tidak menunaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya yang lalu. Hidup kamu masih derita sepertimana hidup di bawah kerajaan yang lalu.

Tiada bahagia seperti yang diimpikan. Setiap langkah adalah beban besar dan hanya kematianlah kerehatan yang didambakan daripada hidup dilukai janji manis pemimpin.

Tol tidak dihapuskan. BR1M berkurangan. Ladang sawit mahu ditukar kepada rumpun buluh, harta kerajaan habis dijual sedang mereka hanya sibuk berpolitik sesama sendiri, asyik mahu berebut jawatan dalam partai dan seribu macam kepandiran lain.

Justeru kamu menghukum mereka dengan memberikan undi kepada pembangkang.

Tidak sedikit mereka yang berasa terlalu gembira dengan keputusan itu. Mereka datang dari kedua belah pihak yakni penyokong kerajaan mahu pun pembangkang.

Sekali lagi padan muka PH.

Bahkan boleh dikatakan bahawa para perokok adalah antara manusia yang paling gembira dengan keputusan pilihan raya tersebut.

Cahaya cerdik dalam politik

Dendam mereka seperti berbalas. Kezaliman ke atas mereka seperti terbukti diadili oleh tuhan. Mereka adalah orang teraniaya yang doanya telah dimakbulkan.

Kita nak kata apa? Para penagih biasanya hilang rasional apabila madat pilihan mereka diperhalang. Bunuh mak pun sanggup. Apalah sangat memberi undi kepada pihak lawan jika nak dibandingkan.

Apa yang gagal dilihat adalah bagaimana pengundi kini sudah faham tugas mereka. Mereka kini memahami betapa kuasa memilih dan membuang ada di tangan mereka.

Sedikit demi sedikit kita sedang melepaskan diri kita daripada belengu kepartaian. Cahaya demokrasi dalam berpolitik mungkin mula menyinari kebodohan kita semua.

Sebahagian daripada kita sedar bahawa partai politik hanya mahukan kuasa untuk dijadikan modal berbangga. Mendabik dada konon telah mendapat kepercayaan rakyat pabila menang dan menuduh kita semua ini manusia dungu apabila partai mereka tewas.

Lihat saja bagaimana kita diperintah oleh hanya satu gagasan selama 60 tahun. Lihat pula bagaimana bangganya kumpulan yang memerintah dulu memperkotak-katikan kita semua.

Mereka bebas berbuat apa saja kerana mereka tahu betapa kita ini hanya perlu ditakut-takutkan dengan kemiskinan, dengan perpecahan.

Lalu kita disogok dengan perbagai cara demi mencapai matlamat kuasa yang diidamkan mereka.

Lindungi rakyat, bukan parti

Dituduhnya kita berpuak-puak, sedang mereka sibuk melaungkan hak kaum masing-masing.

Kita diberi sedikit-sedikit supaya kita sentiasa meminta-minta, sedang mereka berjoli sakan tak ingat dunia.

Tidak ada politikus yang mengisytiharkan harta lalu untuk terbukti mereka adalah sederhana. Semuanya mewah tanpa perlu berbuat apa selain berjanji dan mencadangkan mimpi indah kepada kita.

Duduk sajer pun ada sepuluh juta! Baser.

Semua kita hendaknya menggunakan kuasa yang ada untuk mengajar politikus yang ada sekarang ini bahawa mereka ialah wakil rakyat. Bukannya wakil kerajaan.

Tugas mereka ialah untuk melindungi kita dan bukan partai wakilan mereka.

Jika mereka makan suap, jika mereka gagal menjalankan tugas maka kitalah yang bertanggungjawab membuang mereka.

Bukan sokong membuta tuli hanya kerana mereka dari partai yang kita sokong.

Ini tidak, bila politikus jerit pasal membela kaum, kita pun naik semangat. Rasa macam Hang Tuah dan mahu segera bertengkolok dan berkeris. Pasang kekuda dan sedia bergasak dengan siapa saja yang kononnya mengambil hak kita.

Pemimpin partai jerit "Tuhan Maha Besar!" lalu kita pun sibuk mencari jaket pembunuh diri dan rela meletupkan siapa saja yang kita lihat sebagai anti-Islam, yang hina agama.

Padahal awak, sembahyang pun culas.

Selagi tidak berasa diri itu miskin, selagi itulah tidak ke masjid. Apabila berdoa, mintak kaya dan mintak partai menang. Dalam kepala hanya ada itu: untuk diri sendiri dan partai.

Orang lain semua biar miskin, biar mati kafir. Baser bodo blaker.

Jadilah pengundi yang cerdik. Jadilah rakyat yang bijak. Jangan selamanya kita diherdik. Jangan selamanya kita dipijak.

Sebelum terlupa, selamat pengantin baru diucapkan kepada Umno dan PAS. Semoga jodoh mereka berpanjangan.

Cuma, jika benar gabungan itu adalah kerana Islam dan Melayu maka wajarlah kedua-dua partai itu dibubarkan dan membentuk satu partai baru.

Guru kami yang bijak laksana, Fauzi Oslaini, mencadangkan "Ampas" sebagai nama baru partai gabungan yang bercita-cita besar itu.

Guru kami itu bekas ahli seumur hidup Umno yang kemudiannya menganggotai PAS.

Kebijakan beliau terserlah apabila bergabungnya kedua partai berkenaan.

Artikel kali ini dihiasi karya-karya yang dipaparkan di Ken Gallery, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sempena pameran Being Human.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penyair, penulis, peminat foto dan si bodoh yang mencintai negaranya.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS