Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya memiliki pengalaman peribadi dalam hal penipuan ijazah ini. Sebelum saya bersurah panjang biar saya nyatakan satu perkara dengan sejelas mungkin. Saya mahu nyatakan falsafah dan mazhab saya.

Mazhab saya percaya tidak memiliki ijazah bukan satu kesalahan. Tidak masuk universiti juga bukan satu jenayah. Yang salah ialah menipu mengakui memiliki ijazah. Dalam ajaran mazhab saya - menipu adalah satu kesalahan.

Menipu memiliki ijazah dengan tujuan untuk mendapat menjadi calon YB adalah satu jenayah. Menipu mengaku memiliki ijazah Phd dengan tujuan untuk mengajar di universiti adalah satu jenayah.

Menipu itu satu kesalahan. Tak berijazah tidak salah. Tidak berijazah jadi YB atau jadi menteri juga tidak salah.

Tapi penipuan ini ada pelbagai genre. Bukan hanya menipu ijazah. Biar saya surahkan di sini satu kisah. Ini kesah seorang YB. Ops, bekas YB.

Si YB ini bila kita berjumpa dia akan membuka gelanggang dengan kisah-kisah hebat. Dia berlebong memberi gambaran seolah-olah dia baru dapat panggilan dari Obama. Atau dia terlihat miss called dari Clinton dalam telefon bimbitnya. Atau pada musim panas tahun lalu dia telah dipelawa oleh Putera Charles untuk pergi memburu kijang di Scotland. Lebongnya berkisah bagaimana dia bersembang panjang dengan Robert De Niro setelah Naomi Campbell menolak cinta De Niro. Bayangkan tanpa YB kita ini pasti Robert de Niro telah membunuh diri. Amin.

Meeting itu Valcav Havel ada, Paul Wolfowitz pun ada. Kami bincang hebat.”

Si bekas YB ini terus melebong.

“Masa itu aku di Johns Hopskin University.”

Telinga saya mendengar surah bekas YB ini pada satu petang dua tahun yang lalu. Si mamat ini sedang mengintai-intai untuk jadi calon di Lembah Pantai. Justeru dia datang ke Bangsar Utama.

Tapi bekas YB ini salah tempat. Dia singgah di Universiti Bangsar Utama (UBU). Di UBU tidak ada siapa pun ambil pot tentang Paul Wolfowitz mahupun Vaclav Havel.

“CNN jumpa aku, tapi Anwar tak nak ditemu bual oleh media.”

Bila ayat ini muncul maka dari mulut bekas YB ini maka keluarlah suara carutan.

“Kepala bu*** tak nak ditemu bual.”

Bekas YB ini tergamam kerana kena carut. Bayangkan rupa muka YB kena carut depan orang ramai. Terdiam dan terus berundur.

Hingga ke hari ini dia tak berani muncul di Bangsar. Desas-desus mula didengar bagaimana bekas YB ini sedang mengintai-intai untuk menjadi duta kita ke Jakarta. Mamat ini sedang menyebar lebong tentang dirinya yang memiliki hubungan yang amat intim dengan Presiden Jokowi. Amin.

Ada ijazah dibaca hebat

Sebenarnya menipu ijazah atau menipu pernah berbincang dengan Paul Wolfowitz tentang Saddam Hussein - tujuannya adalah sama. Ada ijazah dibaca hebat. Semua dilakukan untuk membuktikan bahawa sosok yang berlebong ini sosok hebat. Sesiapa yang mendengar lebong ini wajib kagum dengan kehebatan yang bersurah.

Hubaya. Hubaya. Yang bersurah ini bukan sosok kecil anak. Bukan sahaja memiliki ijazah PhD malah pernah sampai ke Universiti Johns Hopskin. Pernah dapat panggilan telefon dari Erdogan. Kerana hebat berilmu, kerana kenal orang hebat-hebat maka si dia ini boleh jadi YB, boleh jadi senator, boleh dinobatkan menjadi pak duta. Atau boleh mengajar di universiti. Dan boleh letak Dr di permulaan nama. Silap-silap hari bulan boleh jadi perdana menteri. Khatam kogia.

Percayalah, menipu kelayakan diri atau mengaku memiliki ijazah Phd ini bukan satu yang baru. Kini menipu memiliki ijazah - masuk universiti - semakin rancak dengan wujudnya Internet. Terima kasih Ronald Reagan. Sebenarnya sebelum wujudnya Internet ini tipu ijazah ini telah wujud.

Dari kecil lagi saya pernah mendengar kesah di belakang tabir. Desas-desus lebong di kampung tentang Haji Anu dan Lebai Polan yang pulang dari Mesir atau Saudi. Hakikatnya mereka bukan belajar. Ada yang menjahit kain di Saudi. Ada yang duduk bertahun-tahun merebus beras di Mesir. Akhirya pulang ke kampung menjual diri sebagai ilmuwan agama.

Orang kampung saya tak akan selidik. Mereka biarkan saja sosok ini menjual kisah bidadari, syurga dan neraka. Mereka cari makan dengan menyambung lebong tok Arab yang mereka dengari ketika menjahit di Mekah.

Jemaah haji. Gambar hiasan.

Hakikatnya, pada tahun 50-an, jika seseorang telah sampai ke Mesir atau Mekah itu untuk orang kampung adalah satu kejayaan.

Pada tahun 1974, saya adalah setiausaha agung Persatuan Universiti Malaya (PMUM). Pada satu petang Ahad dalam penggal kedua saya telah berhadapan dengan satu kes tipu. Ini bukan kes tipu ijazah. Bukan tipu fakulti. Ini kes tipu identiti.

Seorang mamat telah mengakui bahawa dirinya adalah pelajar tahun empat fakulti perubatan Universiti Malaya (UM). Di UM pelajar perubatan menginap di Asrama Klinikal. Ini asrama khusus untuk pelajar perubatan sahaja. Letaknya tidak jauh dari Universiti Hospital.

Pelajar tahun tiga dan empat fakulti perubatan tidak akan lagi berhadapan dengan peperiksaan. Mereka telah dianggap menjadi doktor justeru inilah masa dan ketika untuk mereka aktif dalam kesatuan pelajar.

Si mamat yang mengaku dari fakulti perubatan ini pasti tidak dikenali oleh pelajar fakulti lain. Ini kerana kursus yang lain di UM tidak melintas lebih dari tiga atau empat tahun. Untuk jadi doktor perlu belajar enam tahun. Justeru si mamat ini berani menyamar sebagai doktor.

Dia aktif dalam Kesuma - kumpulan kebudayaan PMUM. Dia menjadi penari dan mengikuti rombongan Kesuma menjelajah. Tidak ada siapa yang syak wasangka. Saya sendiri pernah terlihat si mamat ini di rumah persatuan. Tapi akhiranya dia kantoi.

Pada petang itu bila saya sampai ke rumah persatuan si mamat ini telah dikurung dalam bilik tamu. Bila saya masuk saya lihat dia menundukkan muka seperti kongkang menyorok muka.

Saya tidak bertanya apa pun. Saya menghubungi pegawai keselamatan untuk urusan seterusnya. Saya difahamkan si mamat ini telah dibawa ke rumah pasung. Khalas. Selainnya saya tidak ambil tahu kerana saya ada tugas yang lebih penting dari kes menyamar diri.

Rumah 'hijau' MCKK

Pada 10 April 2001 sekali lagi saya bertemu bertemu dengan kes tipu identiti. Pada suatu petang saya telah diambil oleh polis dari bilik saya di Bangsar Utama. Saya dimasukkan ke dalam kereta Proton hijau untuk dibawa ke rumah pasung.

Dalam kereta saya diapit oleh dua polis tanpa uniform. Seorang pegawai polis tanpa uniform telah duduk sebelah kiri saya. Dia kelihatan mahu bermesra dengan saya yang sedang bergari.

“Ala, kita sesama old boy.

Kepada saya perkataan old boy ini memberikan makna bahawa pegawai polis ini juga pernah belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Dia mahu memberi signal bahawa dia memiliki taraf pembelajaran yang tinggi. Ini kerana old boy dari Kolej Melayu semuanya hebat-hebat. Mungkin dia juga berharap saya akan bekerjasama dengan pihak polis.

Old boy, dulu rumah apa?” Saya bertanya. Dia senyap.

What house? Rumah apa?” Saya ulangi lagi.

“Rumah hijau,” dia menjawab dengan riang dan yakin sambil memandang ke muka saya.

Gambar ehsan Mohd Hafiz Noor Shams. CC BY 2.5.

 Pada ketika itu saya rasa nak ketawa. Rasa nak terkentut pun ada. Pegawai Polis ini telah kantoi. Dengan satu soalan sahaja saya dapat tahu bahawa si mamat ini sedang cuba menyamar diri sebagai old boy MCKK.

Jika dia old boy MCKK mustahil dia akan menjawab yang dia dari rumah hijau. Kantoi lagi.

Pada hemat saya sosok-sosok yang menyamar identiti, menyamar diri, yang mengaku ada ijazah, mengakui masuk ke universiti tersohor sebenarnya memerlukan pertolongan. Pada hemat saya semua mereka ini sakit.

Jika sesiapa mengaku ada Phd untuk menjadi guru di universiti, ini pasti satu jenayah. Menipu untuk mendapat gaji yang lumayan. Tidak diketahui apa ilmu yang akan diajarkan.

Sebenarnya amat senang untuk membogelkan penipuan ijazah Phd ini. Sila tanya apa kajian yang membolehkan dia mendapat Phd. Apa tesis yang telah ditulis. Kemudian tanya mana buku dan kajian dari dirinya yang pernah diterbitkan. Akhirnya sila tanya mendapat ijazah Phd dari universiti mana.

“Saya dari Oxford, saya dari Cambridge.”

Awas. Berhati-hati. Kalau terdengar bunyi Oxford atau Cambridge jangan gentar. Mungkin dari Oxford Street atau dari Cambridge Circus. Malah jika ijazahnya hanya PPE dari Oxford University pun jangan tergamam. Ini samalah dengan taraf Pengajian Melayu atau Pengajian Islam dari Univeriti Malaya. Amin

Internet ini membuka banyak kemungkinan. Kita boleh mencari seribu satu macam maklumat. Dari yang karut lagi marut hinggalah ke kajian ilmiah tentang cara membuat bom nuklear.

Mendapat ijazah dari Internet ini sedang menjadi-jadi. Universiti Internet kembang bercambah macam ulat tahi. Malah dari Internet ini bukan sahaja ijazah boleh dibeli. Apa sahaja yang teringin di hati boleh dicari dalam Internet.

Tepok dada tanya poket.

Sebenarnya saya amat kagum atas keberanian mereka menyamar. Bolehkah seorang yang mengakui memiliki PhH kini mengajar ilmu filem di UITM tidur nyenyak setiap kali meledak berita tipu ijazah.

Atau bagaimana agaknya rasa Sultan Melaka yang baru ditabalkan? Atau bagaimana rasa seorang yang mendapat gelaran Datuk kerana dia membelinya dari sultan? Kita tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS