Tiga tahun terakhir pemerintahan Sultan Ismail ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV, Kelantan telah diduduki oleh Jepun. Mulai 18 Oktober 1943, Jepun, sebagai menghargai bakti Thailand merelakan serangan terhadap Tanah Melayu telah diserahkan negeri-negeri Melayu Utara. Keempat-empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu telah diletak di bawah Pentadbiran Tentera Thai yang berpusat di Alor Star, Kedah.
Pentadbiran Tentera Thai ini berada di bawah kuasa seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Thai ataupun Khaluang Tahan Besar. Kecuali hal ehwal urusan ugama Islam dan adat istiadat Melayu, Khaluang Tahan Besar ini memiliki kuasa yang cukup banyak. Khaluang Tahan Besar yang pertama bagi Negeri-negeri Melayu Utara ialah Mejar Jeneral Kamol Sra Bhaisiradhikaran Jotikasathien dan beliau dinasihati oleh Kapten Momrojuorse Chalermlar Tharenong.
Di setiap negeri pula dilantik seorang Pesuruhjaya Tentera Thai atau Khaluang Tahan Phra Chamrat yang bertugas sebagai pembantu kepada Khaluang Tahan Besar. Makanya, Kelantan kini diserahkan kepada Thailand, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan diberi nama Montri Spa. Untuk mengaburi mata awam, Montri Spa ini kononnya dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan. Baginda Sultan Ismail mulai mengetuai Montri Spa ini pada 1 Januari 1944. Pada bulan Jun tahun tersebut, Sultan Ismail mangkat di usia 63 tahun.
Baginda digantikan oleh Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV iaitu adindanya. Ini kerana Sultan Ismail tidak berputera. Sultan Ibrahim menaiki takhta Kelantan pada 21 Jun 1944 dan dimasyhurkan secara rasmi di Istana Balai Besar, Kota Bharu pada 25 Oktober 1944. Baginda memiliki beberapa orang isteri dan kemudian dikurniakan 12 orang putera dan 14 puteri.
Untuk rekod baginda memerintah sehinggalah Tanah Melayu dibebaskan dari Jepun, kedatangan semula Inggeris, dan sempat menyaksikan kemerdekaan tanah air. Sultan Ibrahim ini mangkat pada 9 Julai 1960. Baginda bolehlah dikatakan meneruskan hubungan yang erat lagi akrab dengan British seperti ayahanda dan kakanda baginda, Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail.
Tidak seperti negeri-negeri Selangor, Terengganu dan Perlis, takhta istana Kelantan tidak sempat dibidak oleh pihak Jepun. Oleh sebab itu Sultan Ibrahim tidak diganggu sepanjang pendudukan Jepun. Dalam erti kata lain, konflik keluarga dalam Istana Kelantan tidak sampai direbut oleh Jepun seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.
Istana Kelantan nyaris terselamat dari pertelagahan kerabat. Pada tahun 1944, Sultan Ibrahim melantik Tengku Abdullah, putera sulung baginda sebagai Raja Muda Kelantan. Namun demikian Tengku Abdullah dilengser dari gelar dan kedudukannya tidak lama kemudian pada 25 November 1947.
Tengku Abdullah adalah anakanda baginda dengan Raja Perempuan Zainab manakala Tengku Yahya Petra (yang menggantikan baginda Sultan Ibrahim) adalah putera kedua dengan isteri ketiga iaitu Che Puan Besar Cik Embong Daud yang baginda kahwini dalam tahun 1916. Tengku Yahya Petra inilah yang dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 1 Februari 1948. Tengku Abdullah yang dipecat dari posisinya itu mempunyai pengalaman sebagai ahli parlimen Ulu Kelantan dan pernah menjadi duta di Sri Lanka, Jepun dan Pakistan. Beliau pernah mengahwini seorang wanita Inggeris bernama Annette Edith Olive Wheller pada tahun 1939. Terdapat dakwaan Tengku Abdullah diketepikan kerana gaya hidupnya yang bebas.
Sebagai bukti hubungan rapat baginda Sultan Ibrahim dengan Inggeris, pada tahun 1953 baginda menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II di London. Malaya masih belum merdeka tatkala itu.
Insiden Sultan Ibrahim tersebut diingati dalam sejarah Inggeris kerana baginda berkongsi kereta kuda dengan Ratu Salote dari Tonga, yang bertubuh besar. Ratu Tonga telah memastikan ‘carriage’ baginda terbuka meskipun hari hujan untuk melambai penduduk London.
Menurut akhbar The Sunday Post, Sultan Kelantan tampak kecil di sisi Ratu Tonga ini dan apabila ditanya orang kepada Noel Coward, pengamal teater yang terkenal di London waktu itu siapakah lelaki di sisi Ratu Tonga tersebut, Noel telah membalas: “Lauk baginda Ratu” (Her lunch).
Insiden ini diperikan oleh Edward R Levenson dalam The View from Kings Point, di mana beliau menggambarkan perarakan Ratu Tonga dan Sultan Kelantan itu sebagai sesuatu yang menurut beliau, semacam “menyedihkan” lagi “memalukan”. Levenson menulis begini:
“The crowd loved and responded to the splendid and animated Queen. Her companion in the carriage, however, did not. He was a small, sad and huddled figure in a tall white hat. He was His Highness, the Sultan of Kelantan. Kelantan is somewhere in Malaysia, and that is about all I know about it. He huddled tightly in the carriage, it was as though he was trying to wrap himself around himself to keep warm. He wanted to be somewhere else, out of the rain, but the poor fellow had to put up with his situation for the length of the parade route. He may have been a big shot in Kelantan, but he wasn’t going to tell the Queen of Tonga what to do.”
Noel Coward bagaimanapun dalam tahun 1960 memberitahu wartawan terkenal British, Walter Harris seperti dilaporkan The Times (26 Mei 2009), beliau tidak mengucapkan kata-kata itu. Menurut Noel, gerombolan perarakan yang membawa Ratu Tonga sedang melintasi mereka. Noel sedang berdiri di sisi Puteri Marina, Duchess of Kent ketika pertabalan di London tahun 1953 itu. Marina telah bertanya, “Noel siapakah lelaki kecil di sebelah Queen Salote of Tonga?” Seseorang dalam khalayak telah membuat lawak, "Oh, her lunch, my dear” yang kemudian menjadi sangkaan sebagai balasan jawapan daripada Noel.
Untuk lebih adil, baginda sebenarnya mewakili raja-raja Melayu ke istiadat pertabalan itu. Apa pun gambaran mengenai baginda Sultan Ibrahim itu dapat dianggap satu seloroh yang melampau, aib dan menyedihkan. Ia menjadi lebih aneh apabila kita membaca dokumen sejarah mengenai persetujuan dan kemudian penentangan baginda terhadap Malayan Union.
Dalam tahun 1945 apabila sebilangan kecil orang Melayu Kelantan, kira-kira 30,000 orang, berhimpun beramai-ramai di Padang Bank menyatakan bantahan terhadap Malayan Union, mereka telah berarak sehingga ke Istana Seri Cemerlang di Jalan Kebun Sultan dan lima orang wakil sudah masuk menghadap Sultan Ibrahim. Baginda bersetuju untuk mempertahankan hak-hak anak-anak Melayu untuk agama, bangsa dan tanah air. Gerakan bantahan Malayan Union menjadi hebat kemudiannya.
Seterusnya pada pukul 10.30 pagi 17 Disember 1945, wakil orang Melayu Kelantan kira-kira 50 orang termasuk Muhamad Asri Muda telah menghadap Sultan Ibrahim dan menggesa agar baginda “enggan daripada menyainnya”. Baginda Sultan menyahut permintaan itu, dengan antara lain bertitah menyatakan:
“Hendaklah rakyat-rakyat saya ingat saya tidak akan menyain dengan buta tuli selagi syarat-syarat yang saya tuntuti itu tidak dibenarkan oleh Baginda King. Dan saya percaya Sir Harold MacMichael sendiri akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Baginda King. Saya sememang tidak hendak menganiayakan rakyat saya Melayu. Saya ada bermesyuarat dengan orang-orang besar saya dalam perkara ini. Adapun tentang permesyuaratan saya itu adalah di dalam sulit lagi. Sekarang saya harap hendaklah rakyat saya bekerja dengan bersatu hati dan ingat yang kita dahulu ditindih oleh bangsa asing dan sekarang mestilah kita sedar dan ingat janganlah diberi mereka itu menindih lagi, bahkan hendaklah kita tindik mereka itu pula.”
Pun, pada hari tersebut, Sultan Ibrahim menyain atau menandatangani perjanjian Malayan Union dengan disaksikan oleh HT Bourdillon, Tengku Abdullah (Raja Muda) dan Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud, Menteri Besar Kelantan. Di dalam naratif sejarah arus perdana, baginda-baginda Sultan raja Melayu telah dikatakan “dipaksa” menandatangani perjanjian tersebut.
Menurut Nik Mohamed Nik Mohd Salleh dalam makalah “Tentangan Orang-orang Melayu Kelantan Terhadap Malayan Union”, Sultan Kelantan kemudian membantah perjanjian tersebut pada 10 Februari 1946. Nik Mohamed menyatakan Sultan Ibrahim ada kemungkinan menyesal dan terpedaya, dan ini berlaku kerana “terlalu lurus dan terlalu percaya kepada barang siapa juga” dan “tabiat bangsa Melayu yang mudah sangat bertolak ansur”.
Dalam tahun 1946, usaha menubuhkan Malayan Union bagaimanapun dimansuhkan dan Sultan Ibrahim pulang ke Kota Bharu pada 24 Disember selepas beberapa siri pertemuan dengan raja-raja Melayu dan pegawai-pegawai British. Perjanjian yang lain ditandatangani dengan Inggeris yang mana membolehkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
Di tengah-tengah kesibukan orang Melayu menolak pengaruh Barat dan anti budaya asing, dalam tahun-tahun 1940-an dan 1950-an itulah Kelantan, yakni di bawah Sultan Ibrahim, menjadi terkenal sebagai Paris Malaya. Ini semata-mata kerana banyaknya tempat hiburan termasuk kegiatan pelacuran. Episod sejarah ini akan dikupas dalam siri mendatang.
Pada tahun 1953, apabila Ratu Elizabeth naik takhta, Sultan Ibrahim mewakili raja-raja Melayu ke London dan naik satu carriage dengan ratu Tonga yang tingginya enam kaki. Antara tahun-tahun 1942-1945, Tonga menjadi “lauk Amerika Syarikat” apabila diduduki sementara.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Bahagian 1: Rusia, yang hilang di Kota Bharu
Bahagian 2: Mufti sultan yang mendoakan penjajah
Bahagian 3: Jenazah Tok Janggut yang diterbalik
Bahagian 4: 3 bulan sesudah Tok Janggut dibunuh
Bahagian 5: Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an
Bahagian 6: Membunuh Mak Yong dan Petala Indra