Paling Popular
Terkini

Artikel saya bertarikh 4 Februari menggariskan tiga langkah yang diperlukan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi perang komunikasi secara amnya. 

Artikel pada hari ini akan menghuraikan langkah ketiga: Mewujudkan sebuah naratif politik Melayu yang baru.

Pilihan raya Semenyih merupakan makmal yang sempurna untuk mencuba naratif terbaru ini.

Mengulas mengenai Semenyih, profesor sains politik Muhammad Nadzri Mohamed Noor menyebutkan:

“Hampir 70 peratus daripada pengundi adalah kaum Melayu. Jadi, suka atau tidak, Bersatu mesti memainkan sentimen Melayu juga.”

Memang profesor tersebut tidak salah, tetapi perkataan “memainkan sentimen Melayu” lebih kedengaran seperti Umno dan PAS, terutamanya pada hari ini.

Dalam artikel saya sebelum ini, saya menulis bahawa hukum pertama dalam komunikasi politik adalah: jangan ikut rentak pihak lawan - iaitu jangan benarkan mereka untuk menentukan corak perdebatan.

Sesiapa yang sering bersikap defensif, dan respon secara terburu-buru terhadap apa jua dakwaan musuh, sudah pun tewas.

Sebagaimana veteran DAP Lim Kit Siang tidak mampu mengalahkan permainan (troll) mantan PM Najib Razak, begitu juga Bersatu dan PH tidak mampu out-Malay (menjadi lebih Melayu) daripada Umno dan PAS.

Ini bermakna Bersatu dan PH tidak mampu mengeksploitasi ketidakpuasan, kemarahan dan ketidaksenangan orang Melayu (atau orang Malaysia) - disebabkan oleh mereka berada dalam kerajaan, sedangkan Umno dan PAS di blok pembangkang.

Pembangkang akan sentiasa ada kelebihan ini, dan jika PH cuba untuk jadi lebih pembangkang dari pembangkang, PH akan tewas sebelum perlawanan bermula.

Jalan untuk memenangkan PH bukanlah dengan menjawab setiap dakwaan pembangkang, tetapi dengan membuktikan prestasi yang lebih tinggi dari mereka, dan dengan menawarkan sesuatu yang lebih baik.

Artikel ini akan membincangkan matlamat akhir yang sepatutnya dalam komunikasi politik PH, bagaimana untuk meletakkan mesej dalam konteks, dan apakah jalan terbaik untuk menguruskan masalah Umno dan PAS.

Pemberdayaan sebenar, maruah dan kemakmuran

Kita bermula dengan matlamat dahulu.

Apa jua mesej politik yang berbaloi mesti boleh diringkaskan kepada beberapa ayat mudah.

Gambaran utama yang seharusnya disemai oleh PH dalam sanubari dan minda rakyat boleh disimpulkan seperti berikut:

Bawah Umno, hanya segelintir Melayu sahaja yang mampu menjadi kaya, dan itu pun melalui jalan rasuah dan kronisme. Sementara kebanyakan yang lainnya dibiarkan dalam keadaan miskin agar Umno boleh mengekalkan kebergantungan Melayu terhadap Umno.

Bawah pentadbiran PH, kaum Melayu akan mengambil langkah pertama menuju pemberdayaan sebenar, maruah berteraskan kemandirian dan kemakmuran buat semua.

Pemberdayaan sebenar melibatkan pelaburan sumber yang bukan sahaja banyak dari sudut kuantiti, tetapi juga tinggi dari sudut kualiti, serta dirancang dengan teliti dalam usaha untuk melahirkan kaum Melayu yang mandiri dan berpendapatan tinggi.

Ini membawa kepada idea maruah.

Maruah sebenar tidak didefinisikan oleh ahli politik, atau kumpulan-kumpulan yang dilagakan antara satu sama lain.

Maruah sebenar berpunca dari pemberdayaan yang mengupayakan seseorang untuk mendapatkan mata pencarian yang baik dan halal, menerusi kerja yang baik dan halal - iaitu kerja yang menghasilkan sumbangan bermakna untuk memacu pembangunan ekonomi negara.

Kemakmuran yang dikongsi bersama secara adil bererti, pertamanya, menghumban sistem feudal lama yang rosak, yang segala sumber akan pergi ke golongan atasan sedangkan rakyat di bawah hidup atas saki-baki mereka.

Dan keduanya, mengagihkan kekayaan negara secara saksama merentasi semua kelas dan kaum.

Era Melayu Baru’ lawan ‘Era Melayu Umno’

Dengan ada mesej yang mudah ini, kita mesti menempatkannya dalam konteks yang betul, seperti berikut:

Tiada seorang pun yang menafikan orang Melayu sedang menghadapi masalah – kurang peluang ekonomi, ketidaksamarataan intra-etnik, dan persepsi kurang kelebihan berbanding yang lain, apabila dibandingkan sesama rakyat Malaysia dan juga terhadap dunia secara amnya.

Persoalannya, bagaimana kita sampai ke tahap ini?

Itu bukanlah masalah yang baru muncul semalam, atau minggu lalu, setahun lalu, atau sedekad lalu. Ia juga bukanlah masalah muncul bawah satu atau dua perdana menteri.

Ini adalah masalah yang berusia 60 tahun. Ia merupakan sebahagian daripada pengamalan rasuah, rompakan dan salah tadbir ekonomi yang memundurkan Malaysia saat negara-negara lain sedang maju di hadapan.

Singapura dan Korea Selatan adalah contoh yang jelas, apa lagi negara-negara seperti Thailand dan Vietnam yang kini sudah memintas kita.

Ini merupakan era Melayu Umno.

Naratif era Melayu Baru adalah seperti berikut:

Tahun pertama pemerintahan kerajaan PH mestilah didedikasikan untuk menyelamatkan bahtera Malaysia daripada tenggelam. Kemusnahan ekonomi yang diakibatkan oleh 1MDB dan lain-lain skandal rasuah telah mengundang bahaya yang jelas. Penggerak-penggerak utama ekonomi kita mesti disetkan semula, jika kita tidak mahu lemas dalam lautan hutang.

Memandangkan PH sudah mengambil langkah pertama untuk memulihkan negara dalam tempoh setahun yang lalu, mereka boleh menghalakan fokus mereka untuk fasa selanjutnya dalam pengembaraan Malaysia Baru ini: mencipta ‘Melayu Baru’ dan kemakmuran yang dikongsi secara adil untuk semua.

Menjawab’ Umno dan PAS

Tawaran Umno dan PAS terhadap rakyat, terutamanya pasca-Cameron Highlands, adalah mudah sahaja: bahawa PH didominasi oleh DAP yang ingin memijak segala yang berkaitan dengan Melayu dan Muslim, dan bahawa Umno dan PAS adalah satu-satunya benteng pertahanan Melayu dan Muslim.

Betapa banyak masa dan sumber yang dibazirkan hanya untuk membuktikan bahawa PH bukanlah tunggangan DAP.

Ini bagaikan seorang suami yang tidak bersalah cuba untuk membuktikan kepada isterinya yang curiga bahawa dia tidak curang. Seorang isteri boleh membuktikan bahawa suaminya curang, tetapi hampir mustahil untuk seorang suami ‘membuktikan’ bahawa dia tidak curang. Semakin banyak dia cuba untuk protes bahawa dia tidak curang, semakin banyak curiga isterinya itu.

Dalam hal ini, apa yang boleh dilakukan oleh PH hanyalah mengambil sebanyak mungkin langkah untuk mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa DAP yang mengepalai segala-galanya.

Yang penting, PH patut lebih proaktif. Sebagaimana yang telah saya hujahkan dalam artikel sebelum ini, pertahanan terbaik adalah serangan yang baik.

Cara paling mudah untuk menyerang Umno dan PAS adalah dengan bertanya: Apakah yang sebenarnya telah berjaya dicapai oleh mereka untuk kaum Melayu?

Umno, dengan sepenuh autoriti, telah mengemudi Malaysia lebih 60 tahun.

PH perlu membuktikan dengan terang dan bersuluh bahawa kedudukan kaum Melayu pada hari ini tidak boleh disalahkan kepada orang lain kecuali Umno.

Adalah amat menggelikan hati sekiranya seseorang menganggap bahawa MCA atau MIC mampu menghalang Umno daripada melakukan apa yang mereka mahu, bila mereka mahu dan bagaimana mereka mahu.

Selepas 60 tahun, ini sahajakah yang Umno mampu tunjukkan?

PAS juga mudah diserang dalam hal ini, memandangkan mereka tidak mempunyai apa-apa pencapaian yang memberangsangkan dalam pembangunan dan pentadbiran di kubu kaum Melayu, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Melihat kepada reaksi mereka susulan dakwaan skandal RM90 juta Sarawak Report, terdapat juga beberapa petunjuk jelas bahawa PAS agak terdedah dan mudah diserang dalam isu ini.

Mengetengahkan gambaran bahawa PAS gagal untuk mempertahankan dirinya daripada pertuduhan mengambil sejumlah besar wang daripada Umno pastilah akan mencemarkan lagi imej parti tersebut yang bergantung kepada imej suci mereka.

Menang peperangan, bukan pertempuran sahaja

Pada tahun 2019, adalah penting untuk membezakan antara pertempuran dengan peperangan.

Dari sudut pentadbiran, pilihan raya kecil tidak mempunyai apa-apa kesan. Tidak akan berlaku perubahan kerajaan, dan perubahan dalam dewan undangan agak kecil juga.

Ahli politik bukan sahaja mesti faham perkara ini, tetapi juga mesti ingat bahawa pengundi juga faham perkara ini.

Ini memberikan kelebihan kepada pembangkang. Pengundi tidak akan rugi apa-apa sekiranya mereka memangkah selain daripada kerajaan - walau pun hanya untuk berkata: hai kerajaan, jangan ambil mudah terhadap kami.

Dari sudut demokrasi, ada yang menganggap memang baik untuk seorang lagi pembangkang didengari dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Ada dua perkara di sini.

Pertamanya, adalah amat baik sekiranya hak pengundi untuk mengundi pembangkang diiktiraf, dan bahawasanya PH mengerti sebab di sebalik perbuatan itu. Pendekatan ini lebih baik berbanding menghamburkan ancaman, menyebarkan ketakutan atau pun terlalu meminta-minta.

Perkara kedua lebih penting, kerana ia melibatkan kefahaman bahawa kadangkala kamu mesti tewas dalam pertempuran untuk memenangi peperangan.

Jika PH berhajat untuk bermati-matian dalam usahanya untuk meraih kemenangan di Semenyih ini, mereka berisiko untuk menanggung lebih banyak kerugian dalam peperangan ini secara keseluruhannya.

Akhirnya, PRU ke-15 adalah jauh lebih penting berbanding PRK Semenyih, dan itulah matlamat yang seharusnya disasarkan oleh PH.

Oleh sebab itu, Semenyih seharusnya dilihat sebagai titik permulaan kepada lontaran idea dan strategi yang mampu melonjakkan PH untuk mencapai kemenangan pada PRU ke-15 - bukannya mesti menang dalam setiap pertempuran tanpa mengira untung ruginya.


NATHANIEL TAN bekerja di EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, moderasi, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS