Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rayuan membenarkan Najib Razak menangguhkan perbicaraan kes melibatkan dirinya. Ia bakal menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang bekas perdana menteri dibicarakan.

Tindakan peguam kepada bekas presiden Umno itu memeranjatkan kerana Najib sebelum ini dilaporkan sebagai berkata “mahkamah akan menjadi medan untuk membersihkan dirinya daripada fitnah dilemparkan Pakatan Harapan (PH)” sehingga menyebabkan beliau terhumban daripada kekuasaan.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, ahli parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

Beliau bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dan meminta untuk dibicarakan.

Perbicaraan ini sudah pasti ditunggu-tunggu majoriti rakyat Malaysia yang membuat keputusan menamatkan pemerintahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Selain itu, masyarakat dunia juga akan memerhatikan secara rapat selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menggelar skandal 1MDB pada zaman pemerintahan Najib sebagai “skandal kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia”.

Yang hilang dalam kegilaan

Sejak akhir-akhir ini, Najib begitu seronok menggunakan media sosial sebagai medan berkempen menentang kerajaan.

Kempen #maluapabossku yang dilancarkan pasukan Najib berjaya menarik perhatian sebahagian besar pengguna media sosial.

Sama ada golongan yang tertarik kepada #maluapabossku Najib melupakan dan memaafkan segala dakwaan ‘jenayah’ dilakukannya belum dapat dipastikan, akan tetapi ia berjaya menarik perhatian.

Umno yang masih hilang punca selepas kehilangan kuasa pada 9 Mei tahun lalu, kembali mendekatkan diri dengan Najib selepas membuangnya sebaik sahaja BN tidak lagi berkuasa.

Begitu juga dengan sekutu kuat mereka, PAS yang baru sahaja menarik diri daripada menyaman portal Sarawak Report kerana melaporkan parti Islam itu menerima RM90 juta wang 1MDB daripada Umno.

Akan tetapi sesuatu yang hilang dan langsung tidak kelihatan dalam kegilaan terbaru Najib ini ialah kehadiran isterinya, Rosmah Mansor.

Sama ada ini merupakan strategi pasukan Najib atau Rosmah sudah tidak lagi berminat untuk menyokong suaminya, kedua-dua sebab ini tetap akan mendatangkan kesian negatif.

Sekiranya menghilangkan Rosmah itu merupakan strategi, memang benarlah dakwaan selama ini wanita asal Negeri Sembilan itu adalah ‘liabiliti’ kepada Najib.

Kedua, ketika Dr Mahathir Mohamad berdepan dengan kerajaan Najib, Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak pernah meninggalkannya.

Dr Siti Hasmah akan selalu berada di sisi Dr Mahathir dan akan bersama-sama setiap kali pengerusi PH itu menjelajah ke seluruh negara untuk berkempen.

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa berada di sisinya ketika susah dan senang.

Sekiranya sejarah tercipta

Antara punca kemarahan rakyat kepada kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir ialah kerana pesalah-pesalah skandal 1MDB masih bebas di luar sana.

Ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low yang merupakan watak penting skandal 1MDB masih belum berjaya ditangkap dan masih bebas di luar Malaysia.

Itu antara sebab mengapa rakyat begitu marah.

Akan tetapi, apabila perbicaraan bermula, semua bukti-bukti yang selama ini hanya menjadi diketahui pihak pendakwaan, pihak pembelaan dan mereka yang mengikuti skandal 1MDB secara dekat akan menjadi pengetahuan umum.

Sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan segala pertuduhan, Najib yang juga anak kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussain tidak dapat melarikan diri daripada penjara.

Selain daripada mencipta sejarah sebagai bekas perdana menteri pertama dipenjarakan, Najib juga boleh memecahkan rekod sebagai anak bekas perdana menteri pertama yang merengkok dalam penjara.

Sekiranya itu berlaku, #siapayangmalubossku?


AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan beliau merupakan pandangan peribadi atas kapasiti sebagai seorang penulis dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS