Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Salah satu mangsa kerakusan ‘Islam Kelantan’ yang dipelopori oleh penguasa dengan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan para ulama pondok dari Patani adalah golongan budayawan.

Produk budaya yang paling malang di bawah cengkaman ‘Islam Kelantan’ tidak lain tidak bukan adalah Mak Yong. Hal ini misalnya disebutkan oleh Profesor Karima Bennoune, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai hak-hak berbudaya (The Special Rapporteur in the field of cultural rights) yang melawat Malaysia secara rasmi antara 11 hingga 22 September 2017. Dalam laporan beliau untuk sesi ke-40 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva yang bakal berlangsung antara 25 Februari ke 22 Mac 2019 ini, hak-hak budayawan untuk mengamalkan makyung disebutkan secara jelas dan langsung.

Bennoune menyatakan larangan dan pengharaman warisan budaya seperti Mak Yong, wayang kulit, main puteri dan pelbagai lagi bentuk seni yang telah memberi bau harum buat Malaysia di peringkat antarabangsa sangat membimbangkan.

Beliau menegaskan apa sahaja bentuk tekanan dan halangan untuk pertumbuhan seni ini harus segera dihentikan. Malaysia khususnya Kelantan digesa lebih terbuka kepada pengamal budaya. Malahan pihak berkuasa disaran membayar pampasan atas penindasan yang mereka lakukan.

Beliau berkata:

"The bans and restrictions in the state of Kelantan that target vibrant cultural heritage practices, such as Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri and Dikir Barat, art forms that have contributed to Malaysia’s international reputation in these fields, are particularly worrying. These undue restrictions on the right to access and enjoy cultural heritage, and on the freedoms necessary for creative expression, negatively affect their practitioners, threaten the transmission of these art forms and must be lifted without delay .

Remove the bans on Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri and Dikir Barait in Kelantan, and on women performing in public. In consultation with a diversity of practitioners, take steps to redress the harm done to these art forms and their practitioners by these bans, including through compensation and the promotion of spaces for their performance and transmission."

(Terjemahan: Pengharaman dan sekatan di negeri Kelantan yang menyasarkan amalan warisan budaya yang hebat, seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri dan Dikir Barat, seni yang telah menyumbang kepada reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, begitu membimbangkan. Sekatan tidak wajar terhadap hak untuk menikmati warisan budaya, dan kebebasan yang diperlukan untuk ekspresi kreatif, memberi impak negatif kepada pengamalnya, mengancam penyebaran bentuk budaya ini dan perlu dihentikan segera.

"Hentikan larangan terhadap Mak Yong, wayang kulit, main puteri, dikir barat, dan persembahan oleh wanita di tempat awam di Kelantan. dalam berunding dengan pengamal budaya ini, langkah perlu diambil untuk memperbaiki bahaya yang telah diakibatkan oleh larangan ini terhadap seni ini serta pengamalnya, termasuk melalui pampasan dan promosi terhadap ruang untuk persembahan mereka.)

Beliau bagaimanapun tidak menyebutkan punca atau sebab-musabab mengapa tragedi budaya ini terjadi. Seperti yang telah saya tuliskan dalam artikel-artikel sebelum ini, ‘Islam Kelantan’ yang digubah sejak era Sultan Muhamad IV telah membuka jalan kepada perkembangan Islam yang mengkesampingkan minoriti, menindas golongan marjinal, melebih-lebihkan hal ranting seperti fikah, menekan produk budaya dan mengutamakan kelas tertentu sahaja. Lebih buruk ‘Islam Kelantan’ melakukan apa sahaja untuk bernafas termasuk mengorbankan pembantah penjajah British dan mendoakan hayat panjang kuasa kolonial.

Hukum yang keras

Mak Yong adalah khazanah Kelantan yang tidak terperi penting memandangkan ia telah diberi pengiktirafan UNESCO sebagai Mahakarya Lisan dan Tersembunyi Warisan Manusia pada 25 November 2005 . Ia lahir di Istana Melayu Patani lebih 400 tahun lalu dan kemudian berkembang di Kelantan . Pemerintah Patani termasuk Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning yang menguasai Patani antara tahun 1585 sehingga 1680 menjadikan Mak Yong sebagai hiburan istana yang tiada tolok banding.

Pada mulanya Istana Kelantan memberikan penghormatan besar buat Mak Yong. Ketika pemerintahan Sultan Ismail I, sebuah penempatan untuk pengamal Mak Yong telah dibuka iaitu Kampung Temenggung . Ketika era kegemilangannya, terdapat kira-kira 30 buah kumpulan Mak Yong membuat persembahan antara tahun-tahun 1926 sehingga 1942.

Antara kumpulan Mak Yong yang terkenal ketika itu adalah Kumpulan Mak Yong Che Kemala di Kota Bharu, Kumpulan Mak Yong Bidak Anak Ular di Bachok, Kumpulan Mak Yong Limah Anak Keli di Pasir Mas, Kumpulan Mak Yong Anak Gajah di Pasir Putih, dan Kumpulan Mak Yong Mat Nor Pa di Machang.

Hal ini dinyatakan oleh pengkaji A.S Hardy Shafii dalam tulisannya Makyung: Pelbagai Perspektif Tentang Teater Tradisional Malaysia. Namun demikian Mak Yong mengalami kemerosotan yang ketara menjelang tahun 1935 dan ia dikuatkan oleh penggerak utamanya, Tengku Temenggung yang meninggal dunia pada tahun tersebut.

Mak Yong mengalami kekangan yang paling menghempukkan pada tahun 1993 apabila Majlis Ulama dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mengharamkannya dengan alasan ia di luar landas agama kerana terdapat unsur percampuran lelaki dan perempuan, dan upacara buka serta tutup panggung yang menurut mereka bertentangan dengan Islam. Inilah inti teguran Profesor Bennoune dalam laporannya.

Alasan-alasan ‘Islam Kelantan’ untuk mengkebumikan Mak Yong menunjukkan perkembangan pendekatan hukum yang keras dan ketat tanpa menimbangkan nasib dan punca pencarian pengamal.

Setidak-tidaknya generasi hari ini masih berpeluang menonton Mak Yong di ibu kota walaupun dilarang di Kelantan. Terdapat sebuah lagi warisan budaya Kelantan yang telah pupus sama sekali iaitu apa yang dinamakan sebagai Perarakan Burung Petala Indera.

Menurut pegawai Jabatan Muzium Negara, almarhum Mubin Sheppard, Perarakan Burung Petala Indera ini dianjurkan pada tahun 1923 dan 1933. Hal ini disebutkan oleh beliau dalam satu observasi berjudul ‘Burong Perarakan Di-Kelantan’ dalam jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah pada tahun 1971. Persatuan Pencinta sejarah Kelantan pula menyatakan perarakan burung tersebut turut dianjurkan pada tahun 1919.

Dalam pengamatannya, Mubin menyatakan memandangkan perhubungan antara negeri Kelantan dan negeri-negeri di Tanah Melayu yang lain belum cukup baik ketika itu, ramai yang tidak tahu-menahu tentang apa yang beliau sebutkan sebagai ‘perarakan tidak ada bandingnya dalam sejarah kurun ke-20 di Tanah Melayu’.

Keadilan sosial, kelestarian budaya

Perarakan Burung Petala Indera ini adalah satu peristiwa di mana seekor burung raksasa dibina, yang mana seratus orang lelaki ‘tegap lagi gagah’ diperlukan untuk mengusungnya. Sepanjang perjalanan, pengusungnya berganti-ganti dengan 100 pengusung diperlukan pada satu-satu masa. Pada tahun 1923 itu, dua ekor burung raksasa dibina.

Mubin turut menyatakan seekor burung istiadat ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan, dan diperbuat daripada ‘kayu keras dan kulitnya dibuat daripada kain gemerlapan pelbagai warna, baldu dan kertas’. Dipercayai burung-burung tersebut dibina sempena majlis berkhatan ‘burung’ anak saudara Sultan Kelantan pada waktu itu. Perarakan itu mengambil masa tiga jam yang mana ia turut diiringi oleh Mak Yong, menora, asyik dan joget seraya terdapat bunyi-bunyian Rebana Besar.

Apa yang aneh, tradisi yang dikatakan bersumber ‘dongeng dewa-dewa Hindu’ itu mendapat sambutan ulama tatkala itu. Mubin menulis begini: "Lagi satu bahagian, di hadapan burong raksasa itu, mengandongi orang tua-tua yang beragama Islam dan pegawai-pegawai agama yang membacha salawat dan do’a sambil mereka berjalan perlahan-lahan. Di sabelah atas mereka, bomoh di-raja dan saorang guru agama dudok terchelapak di-atas leher burong itu. Mereka juga membacha ayat-ayat Kor’an dengan bergilir-gilir" .

Mereka yang menonton perarakan itu diberikan bubur chacha yang mana kawah bubur diatur sepanjang bangsal panjang di hadapan istana. Dilaporkan perarakan itu disertai oleh orang ramai yang ikut berjalan beberapa hari menyusuri sungai. Berdasarkan foto-foto lama simpanan Arthur Sleep pada tahun 1923 dan JSW Reid pada tahun 1933 yang tersimpan di Universiti Museum of Archaeology and Ethnology, Cambridge, perarakan tersebut sungguh gah, hebat dan melongokan.

Ia merupakan manifestasi kekayaan Istana Kelantan yang luar biasa di mana putera-putera raja yang bersunat itu dipakaikan busana sutera, pending emas, dokoh emas, gelang pontoh emas, keris berulu emas dan mahkota istiadat. Pada masa sama harus diingat, seperti dinukilkan dalam siri terdahulu; pelacuran di Kelantan dan nasib Orang Asli sedang mengalami bidak percaturan yang mendukacitakan. Malah seperti disebut dalam siri sebelumnya - Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an – bencana banjir sering berlaku .

Inilah yang dinamai William R Roff dalam The Origin and Early Years of the Majlis Agama sebagai ‘Islam Kelantan’. Saya berpandangan ‘Islam Kelantan’ ini sama sekali bukan ‘Islam Muhammadi' - bawaan Rasulullah SAW yang menjuarai wanita, mengangkat hak minoriti seperti orang Badwi dan menekankan akhlak serta tunjang akidah (bukan semata-mata syariah). Alangkah baiknya jika kemewahan perarakan burung itu disalurkan kepada kumpulan yang memerlukan. Mujur perarakan burung ini tidak berterusan.

Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan menyatakan perarakan burung tersebut ada kemungkinan diharamkan selepas tahun 1933. Menurut laman badan bukan kerajaan ini, terdapat kemungkinan ia ditegah oleh para agamawan kerana dianggap tidak selari dengan Islam:

"Selepas tahun 1933, ia tidak lagi dianjurkan kerana hal ini jelas mendepani unsur syirik dan Islam melarang sekeras-kerasnya akan perbuatan tersebut. Mungkin timbul desakan daripada para ulama yang di Kelantan pada masa tersebut untuk mengharamkan perarakan tersebut".

Jika kenyataan di atas benar, ia mengesahkan satu hakikat bahawa ‘Islam Kelantan’ memilih untuk mengharamkan satu-satu produk budaya secara terpilih dengan menggunakan alasan hukum dan bukannya kerana inti pati Islam yang menganjurkan keadilan sosial dan kelestarian budaya menerusi konsep meraikan budaya lokal. Kita mungkin boleh mengiyakan pengharaman perarakan burung memandangkan pembaziran yang berlaku, tetapi pengharaman Mak Yong telah membunuh mata pencarian segolongan budayawan tradisi.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Bahagian 1: Rusia, yang hilang di Kota Bharu

Bahagian 2: Mufti sultan yang mendoakan penjajah

Bahagian 3: Jenazah Tok Janggut yang diterbalik

Bahagian 4: 3 bulan sesudah Tok Janggut dibunuh

Bahagian 5: Melacur, melombong di Kelantan sekitar 1930-an



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS