Tiga bulan sesudah Tok Janggut dibunuh dan digantung terbalik (kaki ke atas dan kepala ke bawah), Sultan Muhammad IV menghukum pula pembantu kanannya, Berahim Teleng bin Musa iaitu pada 22 Ogos 1915. Berahim dibunuh secara tembakan beramai-ramai sehingga maut sementara seorang lagi orang Tok Janggut didenda dan dipenjarakan di Singapura selama sepuluh tahun. Hal ini disebutkan oleh Ismail Che Daud dalam buku yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan iaitu Kisah-Kisah Sejarah Negeri Kelantan terbitan tahun 2016. Seperti yang saya tuliskan dalam siri sebelumnya, “Jenazah Tok Janggut yang diterbalik”, antara momen bersejarah bawah pemerintahan Sultan Muhammad IV (1899-1920) adalah kekacauan yang dicetuskan oleh Tok Janggut di Pasir Puteh.
Sultan Kelantan, Sultan Muhamad IV mangkat pada 23 Disember 1920 dan ini membuka jalan untuk anakanda baginda, Sultan Ismail ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV naik takhta. Baginda Sultan Ismail memerintah dari 23 Disember 1920 sehingga 20 Jun 1944. Baginda memerintah dalam era British, kemudian pendudukan Jepun, dengan pengaruh Siam yang amat kuat.
Salah satu tanda penting yang ditinggalkan oleh baginda Sultan Ismail ialah menyempurnakan pembangunan Masjid Muhammadi yang sudah dimulai sejak tahun 1919, pada tahun 1931. Masjid Muhammadi hampir-hampir terbengkalai pembinaannya jika tidak dengan bantuan kontraktor Cina dari Singapura, Wee Kam Siong. Beliau telah memotong 30,000 dari jumlah harga kontrak untuk membolehkan masjid tersebut dapat disiapkan. Moga-moga mendiang mendapat rahmat di alam sana, atas jasa dan pahala yang besar ini.
Harus diingatkan sebuah sekolah agama yang dinamakan Madrasah Muhammadi telah dibina oleh ayahanda Sultan Ismail, Sultan Muhammad IV pada 5 Ogos 1917 dan dirasmikan di hadapan penasihat British pada waktu itu.
Penubuhan sekolah tersebut, Masjid Muhammadi dan peneguhan Majlis Agama Islam Kelantan ketika pemerintahan Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail telah membentuk satu acuan yang dinamakan oleh William R Roff dalam The Origin and Early Years of the Majlis Agama sebagai ‘Islam Kelantan’. Pembentukan ‘Islam Kelantan’ ini banyak dicorakkan oleh guru-guru agama dari Patani yang menukar warna keislaman di negeri tersebut menjadi lebih tepu dan ketat. Kita perlu mengambil kira, orang asing seperti Hugh Clifford dalam tahun 1894 merasakan Kelantan bebas dari apa-apa prejudis dan fanatisme. Namun, pembentukan ‘Islam Kelantan’ ini sedikit sebanyak merubah landskap tersebut. Roff menyatakan ‘Islam Kelantan’ ini memberi reaksi segera (baca: melenting) kepada asakan budaya non-Islami dan gangguan sosial dengan cara peneguhan undang-undang syariah.
400 wanita kahwini warga Pakistan
Sebagai contoh cara ‘Islam Kelantan’ menangani kahwin campur di Kelantan pada zaman itu. Baru-baru ini Jabatan Imigresen mendedahkan terdapat trend lelaki warga Pakistan mengahwini wanita Kelantan yang sudah berumur demi tinggal lebih lama di negara ini. Trend ini dikatakan semakin meningkat dengan rekod kira-kira 400 wanita berkahwin dengan lelaki warga Pakistan dikesan di Kelantan. Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar dikatakan tidak akan sesekali membuat peraturan atau dasar baru yang tidak masuk akal iaitu mengawal pilihan rakyat yang ingin berkahwin.
Akan tetapi pada zaman itu, cara ‘Islam Kelantan’ menangani perkahwinan campur ini, dikatakan agak keras. Pada tahun 1919 misalnya, Majlis Kerajaan Negeri dengan nasihat Majlis Agama membuat undang-undang yang amat ketat untuk mengehadkan perkahwinan wanita Kelantan dengan orang Kabuli (lelaki Indo-Pakistan dan Afghanistan). Notis bertarikh 23 September 1919 sebagai contoh menjelaskan peraturan ketat ini. Alasannya pasti untuk melindungi perempuan Kelantan. Namun demikian, rekod dan kajian sejarah menunjukkan masalah yang sebenar datang adalah dari lelaki tempatan.
Sudah tentu terdapat banyak lagi contoh dapat dikemukakan mengenai ‘Islam Kelantan’ ini khususnya peraturan yang melibatkan pelacur di Kelantan. Kegiatan pelacuran ini naik sekali dengan pertumbuhan pondok yang merupakan salah satu gejala ‘Islam Kelantan’.
Seperti yang diketahui umum, sekitar tahun 1910-1945 adalah merupakan zaman keemasan perkembangan sekolah pondok. Banyak pondok telah dibina dan bilangan pelajar semakin bertambah. Antara pondok yang terkenal ialah Pondok Kemboja, Kampung Atas Sanggol, didirikan oleh Hj Awang bin Muhd Zin, Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian oleh Hj Mohd Yusof bin Ahmad (Tok Kenai) sekitar 1910, Pondok Tok Selihor, Kg Serangan Tumpat (1912), Pondok Ketereh (1916), Pondok Pulau Pisang, Sadang, Kota Sharu (1930), Pondok Sadang Jelapang, Kg Lemal, Pasir Mas (1925), Pondok Ahmadiyah, Sunut Payong Kota Sharu (1931) dan Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas (1932).
Kajian mengenai masalah pelacuran di Kelantan seperti yang ditunjukkan oleh Haryati Hasan, sejarawan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris berjudul “Pelacuran di Kalangan Wanita Melayu Kelantan Dari 1900 Sehingga 1941” menunjukkan pihak berkuasa agama negeri tersebut, dalam tahun-tahun 1920an, kehabisan idea menangani masalah sosial ini. Meskipun Majlis Ugama Islam Kelantan dikatakan bertoleransi tinggi terhadap para pelacur dan bapa ayam, tetapi polisi menangani masalah pelacuran ini banyak tertumpu kepada hukuman, dan wacana sekitarnya adalah bagaimana syariah dapat mengatasi persoalan ini.
Walaupun pihak berkuasa agama sedar punca masalah ini datangnya, antara lain adalah dari isu perkahwinan bawah umur dan perceraian yang tinggi, ‘Islam Kelantan’ masih sibuk merawat dan bukan mencegah gejala serius ini. Kita masih belum mengetahui misalnya, apakah program yang disediakan oleh pondok yang banyak di bawah ‘Islam Kelantan’ ini untuk menyelamatkan wanita Kelantan. Adakah guru dan murid pondok hanya sibuk belajar?
Apakah tumpuannya hanya belajar fikah, tasawuf dan berdebat soal jilatan anjing dan perkara ranting lain, sedangkan masalah kehidupan manusia sudah semakin kompleks. Sebagai contoh dalam tahun 1937, ulama Kelantan disibukkan oleh masalah jilatan anjing berbanding masalah pelacuran ini. Saya telah menulis mengenai insiden jilatan anjing ini di kolum ini, lihat “Debat anjing di Kelantan, 1937”.
Program membasmi pelacuran
Juga tiada kajian yang dapat menunjukkan sebarang program membasmi pelacuran dari akarnya (mencegah sebab musabab) ketika pondok pertama dibuka di Kelantan dalam tahun 1820 di Pulai Chondong.
Harus diingatkan masalah pelacuran ini bukanlah baharu dan telah direkodkan oleh Munshi Abdullah ketika belayar ke negeri tersebut pada tahun 1838.
Ketika pemerintahan Sultan Ismail juga, seperti yang telah disebutkan, Jepun telah menduduki Tanah Melayu. Saya berpendapat ketika inilah ‘Islam Kelantan’ meminjam terma yang diperkenalkan Roff, menjadi lebih teguh. Jepun telah, tanpa disedari, membantu kesuburan ‘Islam Kelantan’ ini.
Kobkua Suwannathat-Pian dalam makalah beliau British Colonial Rule, Japanese Occupation, and the Transformation of Malay Kingship 1930s-1957 menyatakan Raja-raja Melayu tidak melawan penakluk Jepun atau Japanese Malayan Military Administration (MMA).
Raja-raja Melayu ketika itu tidak melawan kerana khuatir dilengserkan dari takhta. Hanya raja-raja yang boleh bekerjasama dengan Jepun sahaja dikekalkan, sementara yang calon atau putera yang pro-British diketepikan dengan segera. Suwannathat-Pian menggambarkan keadaan waktu itu yang mana di Selangor, Tengku Musa Eddin diangkat. Sementara di Perlis, calon Jepun diketengahkan mengetepikan calon sedia ada:
“The Japanese-favoured candidate, Syed Hamzah was appointed the new Raja, bypassing the British-selected Raja Muda.”
Atas kerjasama itu, Jepun memberikan bayaran yang sama seperti yang dilakukan British, hal ini diputuskan oleh Perdana Menteri Jepun, Tojo Hideki dalam bulan Julai 1943.
Suka atau tidak suka, Jepun telah menjadikan suara kiri dalam kalangan pejuang Melayu, seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM ) sedikit terpinggir. Jepun juga membodohkan orang Islam waktu itu dengan melayan retorik jihad suci. Hal ini meneguhkan bentuk atau jalur Islam sedia ada seperti ‘Islam Kelantan’ di samping menumbuhkan gerakan Islam institusi seperti yang kita nampak hari ini:
“In early 1943, as a propagandist rally cry, the MMA ( Japanese Malayan Military Administration) identified the Pacific War as a ‘holy war—jihad or perang suci’ and had this claim endorsed by the 1943 Islamic Conference as a war to ‘liberate Muslims and the holy land from the tyrannical Anglo-Saxon yoke.”
Suwannathat-Pian mengatakan lagi, hal ini menunjukkan betapa mudahnya elit Melayu digula-gulakan, khusus demi kuasa:
“The Malay elite, new and traditional, found it necessary and, it seemed, easy to shift their allegiance to those who held the reins of power.”
Akan tetapi setelah Jepun beredar, ‘Islam Kelantan’ ini akan berdepan kembali dengan gugatan. Ia tidak lain tidak bukan, datang dari istana sendiri.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Bahagian 1: Rusia, yang hilang di Kota Bharu
Bahagian 2: Mufti sultan yang mendoakan penjajah
Bahagian 3: Jenazah Tok Janggut yang diterbalik