Paling Popular
Terkini

Baru-baru ini Najib Razak muncul di Shah Alam. Berpakaian serba hitam. Jaket parka, jean, sniker. Semua hitam.

Bekas perdana menteri itu datang untuk satu sesi “bertemu rakyat”. Sejak kebelakangan ini Najib kerap mengadakan sesi seumpama itu.

Tapi kali ini selepas sesi berkenaan, berlangsung pula satu acara khas. Promosi acara yang dipromosi Najib sendiri.

Dengan pakaian serba hitam yang disebut tadi, Najib menghampiri sebuah motosikal warna hitam merah jenis Yamaha Y15ZR 150cc. Beliau terus “memanjat” motosikal itu dan memulas throttle. Atau “remp”, bak kata budak-budak motor.

Najib tidak pula menunggang motosikal itu keluar dari perkarangan acara. Maksudnya Yamaha itu tidak bergerak. Cuma 'di-remp' dan 'di-remp'.

Aksi Najib itu disambut sorakan hadirin. Aksi beliau juga dirakam. Dan di platform khas ada poster aksi sama. Najib berjaket hitam, jean hitam, sniker hitam bersama Yamaha Y15ZR 150cc. Kaki di atas tempat duduk, menoleh ke belakang. Gambar diambil dari sudut belakang. Pose istimewa. Posing promosi menarik.

Slogan acara berbunyi “Malu apa bossku”. Nombor plat motor pula 8805KU. Kalau dieja sebutannyaseolah olah “BOSSKU”.

Semasa beliau menjadi PM dulu, Najib memang punya banyak kumpulan pemikir, think tank dan dan ahli strategi. Dan juga pasukan tentera siber untuk mencorak strategi dan rancangan politik dan juga program tingkatkan imejnya. Mereka semua diklasifikasikan sebagai Tim Najib.

Jelas apa yang dilakukan di Shah Alam tempoh hari ialah satu strategi penjenamaan. Usaha penjenamaan Najib sebagai seorang anggota working class atau kelas pekerja.

Jelas Tim Najib masih bergerak aktif untuk beliau. Lihat saja poster yang dipamerkan di acara berkenaan. Lihat juga kemeja T yang dipakai penyokongnya. Semua sekadar menunjukkan acara itu sesuatu yang dirancang dengan teliti dan punya bajet untuk digerakkan.

Jelas juga sasarannya ialah orang Melayu khususnya orang muda kelas pekerja. Memilih Shah Alam sebagai venue dan motosikal sebagai kenderaan membuktikan itu.

Shah Alam penghuninya majoriti orang Melayu. Yamaha Y15ZR 150cc pula kesukaan ramai anak muda Melayu kelas pekerja.

Budaya 'rempit'

Menurut penolong pengarang berita Malay Mail Online Zurairi AR yang menulis mengenai perkara itu, beberapa hari sebelum acara di Shah Alam itu, Najib sudah mula “berjinak-jinak” dengan budaya “rempit”.

Di laman Facebooknya Najib bertanya - “Antara Ysuku dan NVX mana satu pilihan anda?”

Rasanya ramai tahu sasaran beliau bila membuat posting demikian. Ysuku ialah slang untuk Y15ZR manakala NVX ialah skuter 155cc Yamaha.

Adakah usaha penjenamaan Najib daripada imej orang atasan ke imej working class berjaya?

Mereka yang hadir di acara di Shah Alam menyambut baik. Najib pun sudah pos gambarnya melaram dengan motosikalnya di Facebook. Mungkin sekarang sudah tular dan tentu ramai juga yang suka.

Namun di media sosial juga ada yang mempersenda. Seperti yang ditulis oleh Zurairi.

Seorang commentator popular bernama Amirul Aminn berkata:

“Dengan ini saya dengan rasminya menutup langganan saya dengan Astro. Adanya Najib Razak saya tak perlu lagi Maharaja Lawak Mega, kamu benar benar menghiburkan kami.”

Nyata perli.

Selain imej mat motor, Najib banyak pos di Facebooknya gambar beliau bersama rakyat terutama golongan berpendapat rendah. Gambar beliau bermesra dengan orang ramai di pasar, di warung, di flet. Ini sebahagian strategi menonjolkan beliau sebagai “seorang pemimpin sempoi yang prihatin terhadap rakyat”.

Akan tetapi bekas perdana menteri itu turut pos gambar beliau beli kopi Starbucks. Dan Starbucks lazimnya dikaitkan dengan golongan kelas pertengahan bukan kelas pekerja.

 Begitu juga baru baru ini, Najib pos gambar bersama anak lelakinya membeli barang runcit di pasar raya Mercato. Itu pasar raya high end. Mercato seperti kita tahu bukan Mydin, Giant mahupun NSk. Sekali lagi ada pertentangan antara gaya hidupnya dengan imej yang ingin dipaparkan.

Najib dilahirkan golongan bangsawan. Ayahnya perdana menteri kedua Malaysia. Allahyarham ayahnya juga pernah bergelar Orang Kaya Indera Shahbandar – gelaran kurniaan kesultanan Pahang. Gelaran itu kini dipegang Najib.

Tidak ada salahnya itu semua. Itu rezeki beliau.

Bagaimanapun mungkin kerana kerjaya politik, Najib lebih gemar “menyembunyikan ” privilege lifestyle beliau dan menonjolkan imej orang kebanyakan atau orang biasa. Seolah-olah memberitahu orang ramai “I am like you”.

Kenangan di St John’s

Teringat saya akan majlis ulang tahun ke 100 St John’s Institution di Bukit Nanas Kuala Lumpur pada tahun 2004. Najib selaku bekas pelajar St John dijemput sebagai tetamu istimewa.

Saya juga bekas pelajar sekolah itu. Lantas turut hadir.

Pada ucapan pada majlis itu, antara lain Najib mengenang kembali ketika beliau datang ke sekolah berkata, “dengan seragam baju dan seluar putih, membawa beg, berjalan kaki, terhegeh-hegeh naik Bukit Nanas...”

Seorang tetamu ,juga bekas pelajar, yang duduk di sebelah saya, agak resah dan menoleh ke arah saya.

Sambil tersenyum beliau berbisik:

“Masa dia sekolah sini ayahnya timbalan perdana menteri. Tentulah anak timbalan PM datang ke sekolah dengan kereta siap dengan pemandu dan bodyguard kot?“

Jawab saya: “Ya tak ya juga eh.”


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS